Oleh: Rosnah Majid
Sumber: Mingguan Malaysia 27 Disember 1998
"APA salahnya jika gerakan reformasi meminta bantuan asing untuk campur tangan dalam politik negara kita?" demikian antara hujah seorang pemimpin pelajar universiti tempatan. Beliau berkata begitu apabila ditanya pendapatnya mengenai tindakan gerakan reformasi meminta campur tangan Amerika Syarikat untuk membantu membebaskan Datuk Seri Anwar dan menekan supaya Datuk Seri Dr. Mahathir berundur.
Kata-kata tersebut menyamai sepanduk reformasi yang berbunyi "Clinton tangkap Mahathir", "Amerika bebaskan Anwar" sewaktu mereka berdemonstrasi ketika berlangsungnya Persidangan APEC di ibu kota yang turut dihadiri oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Madeline Albright serta Naib Presiden Al Gore.
Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sendiri menemui Albright dan selepas itu memberi sidang akhbar, antara lain menyebut yang "Albright berkata AS akan memberi bantuan apa saja untuk membela suaminya."
Mungkin ramai lagi rakyat Malaysia yang sependapat dengan para reformis ini.
Betapa naivenya mereka! Apa yang mereka patut buat hanyalah membaca sejarah negara-negara yang meminta campur tangan AS dalam politik negara masing-masing dan mengambil iktibar daripadanya!
Kemboja, sebuah negara yang kaya dengan sumber alam dan tamadun silam adalah contoh yang terdekat dengan kita. Pada tahun 1960-an Kemboja merupakan sebuah negara maju, sebahagian daripada Lembangan Mekong, pengeksport beras utama dunia. Ibu negaranya, Phnom Penh dipanggil "Paris of the East" kerana pembangunannya yang pesat dan kemakmurannya yang melimpah.
Kerana tidak senang dengan Putera Norodom Sihanouk, AS menaja supaya berlaku rampasan kuasa oleh Jeneral Lon Nol pada tahun 1970 bagi menumbangkan kerajaan beraja itu.
Campur tangan AS ini membangkitkan perasaan anti-Amerika di kalangan rakyat Kemboja sehingga lahirlah gerakan Khmer Rouge yang dipimpin oleh Pol Pot, berhaluan kiri, yang antara matlamat asalnya ialah menentang kerajaan boneka Amerika di bumi Kemboja.
Lon Nol yang berkuasa hanya lima tahun akhirnya ditumbangkan. Tetapi negaranya diselimuti perang saudara bagi tempoh lebih 20 tahun. Bermula daripada campur tangan AS, Kemboja menjadi sebuah negara miskin dan mundur. Apakah ia memberi apa-apa kesan kepada AS? Tidak. Hanya rakyat Kemboja yang menderita.
Hingga hari ini negara tersebut masih merangkak untuk membangun semula dan kemasukannya dalam ASEAN juga cuba dihalang. Negara yang pada awalnya berpotensi untuk maju menjadi musnah menerusi campur tangan asing yang dijemput sendiri oleh beberapa gelintir rakyat negara itu yang hanya pentingkan diri sendiri.
Chile, sebuah negara yang kaya dengan hasil bumi di Amerika Latin, juga menerima nasib yang sama dengan Kemboja. Jeneral Pinochet, yang kini sedang ditahan di Britain dan dijangka akan diekstradisi ke Sepanyol untuk dibicarakan adalah asalnya boneka AS.
Dalam pilihan raya tahun 1970 rakyat Chile telah mengundi memilih sebuah kerajaan pimpinan Dr. Salvador Allende yang berhaluan kiri (Marxist) kerana mereka kecewa dengan kerajaan pimpinan Eduardo Frei dari Parti Unidad Popular (berhaluan Demokrat Kristian) sebelum itu.
AS tidak senang dengan kerajaan baru Chile ini walaupun ia dipilih menerusi pilihan raya. Lalu mereka menaja rampasan kuasa oleh Jeneral Pinochet pada September 1973 di mana Allende terbunuh. Melantik dirinya sebagai Presiden pada Disember 1973, Pinochet yang pada awalnya memerintah menerusi dukungan tentera, didakwa telah melakukan pelbagai jenayah terhadap penentangnya.
Ejen CIA
Antara yang ditangkap dan diseksa ialah Maria Gonzalez, seorang wartawan wanita yang berani. Saya menemui Maria Gonzalez sewaktu beliau datang ke Universiti Harvard, Amerika Syarikat untuk menerima Anugerah Lyon pada tahun 1988. Anugerah itu diberi kepada wartawan yang gigih memperjuangkan kebebasan akhbar dan kemanusiaan.
Saya masih ingat dengan segar ucapannya sewaktu menerima anugerah itu. Dengan air mata yang jatuh bercucuran di pipinya, dengan nada suara yang penuh emosi, Maria memberitahu betapa kejamnya AS kerana menaja pemerintahan Pinochet yang turut berlaku kejam ke atas rakyat Chile.
Maria, yang menceritakan kisah apa yang berlaku ke atas keluarganya sebagai mewakili apa yang berlaku di seluruh Chile berkata: "Bermula dengan campur tangan Amerika Syarikat, hidup saya sekeluarga berpecah belah. Saya terpaksa berpisah dengan suami saya dan dua anak saya terpaksa dihantar ke Perancis."
"Saya telah dipenjarakan di dalam sel kecil di tengah-tengah sel besar yang diletakkan banduan lelaki. Tujuan mereka satu iaitu untuk mematahkan semangat dan mental saya. Kesalahan saya ialah menulis menentang kekejaman Pinochet dan Amerika Syarikat."
Di akhir ucapannya Maria berkata: "Tuan-tuan dan puan-puan, saya benci Amerika Syarikat, saya benci Amerika Syarikat, saya bencikan Amerika Syarikat!" Kami yang mendengarnya turut menangis.
Apa yang berlaku kepada Pinochet kini? Walaupun di akhir pemerintahannya beliau cuba membetulkan keadaan dengan berusaha mengembalikan demokrasi di Chile iaitu menganjurkan pilihan raya bebas, namun beliau terus dihantui dakwaan jenayah yang dilakukannya sebelum itu.
Dalam pilihan raya pada Disember 1989 itu Pinochet tidak bertanding, tetapi meminta Presiden baru, Patricio Aylwin supaya mengekalkannya sebagai Ketua Turus Tentera Chile hingga tahun 1997.
Beliau yang kini sedang dirawat di hospital di Britain kerana sakit telah ditahan oleh kerajaan Britain, sekutu rapat AS, sebagai memenuhi permintaan Sepanyol untuk dibawa ke negara itu untuk dibicarakan di atas jenayah beliau. AS tidak pun membantunya. Apakah apa yang berlaku di Chile memberi apa-apa kesan kepada AS? Tidak. Yang menderita hanyalah rakyat Chile.
Panama, sebuah negara yang memiliki terusan yang penting dalam perdagangan antarabangsa, mempunyai kedudukan yang strategik. Kerana itu ia perlu diletakkan di dalam kekuasaan mereka. Inilah apa yang dibuat oleh AS. Mereka telah mendidik Manuel Noriega untuk menjadi Presiden Panama yang akan menjaga kepentingan mereka.
Tanpa disedari oleh rakyat Panama, CIA telah mengasuh Noriega untuk menjadi pemimpin negara itu. Beliau telah dibayar gaji oleh CIA selama 20 tahun. Setelah Noriega tidak lagi mahu mengikut telunjuk, AS menjadi marah dan menganggap Noriega musuh, maka di waktu itu barulah dunia mendapat maklumat bahawa Noriega merupakan ejen CIA.
Bagaimana nasib Noriega? AS telah menghantar tenteranya ke Panama, lalu menangkap Noriega dan dibawa pulang ke AS untuk dibicarakan menggunakan undang-undang AS dan dipenjarakan di penjara AS hingga kini.
Antara sejarah campur tangan AS di dalam negara asing, di Iranlah yang paling mengecewakan mereka. Dengan menjadikan Shah Iran sebagai sekutu kuatnya di Timur Tengah, AS menguasai rantau yang kaya dengan minyak. Betapa pentingnya peranan AS di Iran dapat diukur dari saiz kedutaan mereka di Tehran, iaitu antara bangunan kedutaan AS yang paling luas di dunia ketika itu.
Campur tangan AS ini telah membantu penindasan ke atas rakyat Iran. Negara yang begitu kaya dengan minyak, namun kebanyakan rakyat miskin. Akhirnya meletus revolusi Iran yang menumbangkan Shah Iran bersekali dengan kedudukan AS di Iran. Kakitangan kedutaan AS telah dijadikan tebusan yang walaupun cuba diselamatkan oleh satu misi komando AS, namun kecundang. Rakyat Iran sehingga kini menjadikan AS sebagai musuh mereka.
Apabila Shah Iran terpaksa lari meninggalkan negaranya, AS enggan membenarkan beliau berhijrah dan menetap di bumi mereka. Maka berpindahlah Shah dari satu negara ke negara lain dan akhirnya mati di Mexico. Demikian layanan yang diberikan oleh AS terhadap sekutu kuatnya.
Hak asasi
Sejarah campur tangan AS di empat negara ini jelas menunjukkan yang tindakan mereka bukanlah untuk menyelamat rakyat dan negara itu, sebaliknya untuk kepentingan mereka semata-mata. Bukan saja negara musnah, rakyat menderita, termasuk yang menyokong campur tangan itu sendiri turut menerima padah.
Jangan kita fikir Malaysia tidak akan menerima nasib yang sama jika AS dibenar mencampuri politik dalaman negara kita. Inilah yang mereka nanti-nantikan.
Bagi mereka yang berfikiran sama seperti pemimpin pelajar universiti tempatan itu, satu ingatan yang patut dipelajari daripada Kemboja, Chile, Panama dan Iran ialah untuk melakukan kemusnahan ia boleh dibuat dalam sekelip mata saja, tetapi untuk memperbaiki dan membina semula negara yang telah musnah, ia memakan masa berpuluh tahun.
Mereka yang procampur tangan asing mungkin berpendapat bahawa pembangunan, keamanan, kestabilan dan kesenangan hidup rakyat Malaysia hari ini adalah sesuatu yang datang bergolek, suatu hak yang datang bersama kelahiran mereka.
Golongan ini lupa bahawa apa yang dinikmati hari ini adalah sesuatu yang dirancang dengan penuh teliti oleh para pemimpin kita sejak bangkitnya gerakan nasionalisme menentang penjajah dahulu lagi hinggalah sekarang. Dan apa yang kita nikmati hari ini adalah hasil perjuangan yang tidak pernah selesai.
Kenapa perjuangan memelihara kemerdekaan, keamanan, kestabilan, kemakmuran dan pembangunan ini mesti diteruskan? Kerana ia bukanlah sesuatu yang akan terus kekal jika ia tidak dipelihara. Lihat banyak negara yang dahulunya seperti Malaysia - maju, stabil dan aman - bertukar menjadi medan perang yang memusnahkan negara dan rakyatnya.
Sewaktu Tanah Melayu memperolehi kemerdekaan pada 1957, Sri Lanka (dahulunya Ceylon) merupakan sebuah negara bekas tanah jajahan British yang sedang pesat membangun. Mereka memperolehi kemerdekaan sepuluh tahun lebih awal daripada kita, tetapi hari ini negara itu masih belum selesai menderitai perang suku kaum.
Contoh terdekat ialah Indonesia, yang dulunya stabil, merdeka dan mempunyai jumlah makanan yang mencukupi, tetapi hari ini untuk mengimport beras hancur pun terpaksa terlebih dahulu meminta kebenaran IMF di Washington!
Jika mereka yang procampur tangan asing menganggap AS adalah penegak keadilan, kebebasan dan pejuang hak asasi manusia, apa kata mereka apabila AS dan Britain menyerang Iraq?