Kemboja kehilangan raja berjiwa rakyat - Sihanouk turun takhta

Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Sumber: Mingguan Malaysia 10 Oktober 2004


DALAM sejarah moden Kemboja, tidak ada tokoh atau personaliti yang lebih menonjol daripada Raja Norodom Sihanouk. Dia menonjol bukan kerana menjadi raja Kemboja. Dia menonjol sebagai nasionalis yang memerdekakan Kemboja dari Perancis.

Frasa "raja berjiwa rakyat'' kini menjadi terlalu klise kerana kerap kali digunakan pada tempat yang salah. Tetapi apabila memperkatakan tentang Sihanouk, kita terpaksa mengulangi frasa klise ini, "Sihanouk memang raja berjiwa rakyat.''

Bagi sebuah negara yang situasi politik sentiasa berkocak, menjadi seorang raja bukanlah destinasi untuk hidup senang. Malah di Kemboja institusi raja dan politik hanya dipisahkan oleh satu garis nipis; raja berpolitik dan orang politik jadi macam raja.

Sekalipun beberapa kali berada dalam buangan, diturunkan takhta dan dikenakan tahanan dalam istana, Sihanouk membuktikan dia nasionalis yang lekat di hati rakyat. Dia bukan anak raja yang tipikal, mewah dan lupa perjuangan. Dia cuma kelihatan elitis dan sedikit kebaratan.

Maka tidak hairanlah kalau Sihanouk yang kini berusia 81 tahun lebih banyak menjadi rakyat biasa daripada raja. Misalnya dalam satu majlis negara di Kemboja, Sihanouk menyanyikan lagu-lagu Tom Jones kepada para diplomat luar negara.

Bukan itu saja, malah Sihanouk juga banyak mengarah filem selain mengubah lagu dalam bahasa Khmer dan memimpin sebuah kumpulan muzik jaz. Filem dan lagu juga membuatkan jurang status antara golongan marhaen dengan bangsawan hampir tidak ada.

Sesetengah orang percaya apabila menjadi raja, banyak perkara yang menjadi kegemaran mesti dilupakan terutama yang tidak sesuai dengan protokol sebagai raja. Tetapi Sihanouk membuktikan, seni satu ekspresi jiwa dan minda untuk dikongsikan dengan semua orang. Maka dialah satu-satunya seniman yang berada di atas takhta.

Personaliti Sihanouk sebenarnya penuh warna-warni. Perjalanan hidup yang berliku itu menjadikan dia sebagai monumen penting untuk melihat sejarah moden Kemboja enam dekad yang lalu. Hidupnya merentasi banyak peristiwa; penjajahan Perancis, Perang Vietnam, kekejaman Khmer Rouge, pertelagahan fahaman politik hinggalah dia sendiri jauh terbuang di negara orang.

Katakan pengalaman apa lagi yang harus dilalui untuk menjadi seorang yang memahami sepak terajang politik atau agenda tersembunyi imperialis?

Dia lelaki hebat dan tidak putus asa. Sekali- pun dalam buangan di China, Sihanouk masih memerintah Kemboja apabila mempunyai pengikut-pengikut yang setia dan sanggup lari ke gunung untuk memperjuangkan Sihanouk.

Kerana itu apabila Khamis lalu dia mengutuskan surat untuk turun takhta yang diduduki selama lebih setengah abad, rakyat di Kemboja semacam tidak dapat menerimanya. Ketika ini Sihanouk berada di Beijing, China kerana mendapatkan rawatan.

Rakyat menyayangi Sihanouk sekalipun dia seorang yang autokratik, tidak pernah toleran dengan kritikan.

Siapa sangka Sihanouk berani memutuskan hubungan diplomatik dengan AS tahun 1965 apabila banyak rakyat Kemboja terkorban dalam Perang Vietnam yang didalangi AS. Secara terbuka Sihanouk memberitahu agensi berita BBC ketika itu bahawa tragedi itu berlaku kerana, "Amerika Syarikat adalah imperialis.''

China dan Korea Utara menjadi negara keduanya. Di sinilah dia meneruskan pemerintahan dalam buangan ketika Perdana Menteri Lon Nol merampas kuasa.

Sihanouk dilahirkan pada 1922 mendapat pendidikan awal di Saigon (sekarang Ho Chi Minh City) dan di Paris. Semasa penjajahan Perancis, Sihanouk dinaikkan ke atas takhta sebagai raja. Lima tahun kemudian diturunkan takhta.

Bagi Sihanouk, antara menjadi raja atau tidak sebenarnya tidak banyak bezanya. Maka dia merasakan dia bukan raja tetapi rakyat Kemboja yang turut bertanggungjawab ke atas nasib tanah air. Lalu tidak hairanlah kalau Sihanouk pernah berkata, "Saya Sihanouk dan semua orang Kemboja adalah anak-anak saya.''

Sihanouk diingat kerana dianggap pejuang menentang penjajah Perancis selepas Perancis mengangkat dia menduduki takhta pada usia 18 tahun.

Perancis tersilap menjulang Sihanouk sebagai pemimpin tertinggi pada usia yang sangat muda. Buktinya tidak lama selepas menjadi raja, anak muda ini bukan lagi raja yang bergoyang kaki dan selesa dengan habuan diberikan penjajah.

Sihanouk menjadi pemimpin nasionalis muda Kemboja berjuang pula menuntut kemerdekaan dari Perancis. Dia berjaya dan Kemboja merdeka dari Perancis tahun 1953. Malangnya ayahnya Norodom Suramarit menurunkan dia dari takhta kerana dia lebih cenderung menjadi nasionalis daripada raja.

Sebenarnya jasa dan dosa Sihanouk kepada rakyat Kemboja sama banyak. Dalam pada dia berjasa, langkahnya tersilap. Semasa dalam buangan di China, dia menubuhkan pergerakan gerila komunis Khmer Rouge yang dipimpin oleh ultra-maoist, Saloth Sar. Nama ini tidak begitu popular kerana dia dikenali sebagai Pol Pot.

Apabila dia bersekongkol dengan manusia sekejam Pol Pot, dia berdosa kepada rakyatnya sendiri. Bayangkan dianggarkan 2 juta rakyat menjadi mangsa Khmer Rouge. Idealisme untuk kembali ke tanah air tercapai. Pendekatan kejam Khmer Rouge berjaya menjatuhkan Lon Nol pada 1975 dan Sihanouk balik ke Kemboja.

Tetapi kekejaman Pol Pot mengecewakan Sihanouk. Dia berasa berdosa kepada Kemboja tanah airnya. Sementara Pol Pot yang sangat kuat ideologi Marxisme curiga dengan agenda Sihanouk. Ini kerana Sihanouk berjaya mendapat simpati dari dalam dan luar negara.

Pendekatan Sihanouk yang menyebelahi rakyat jelata membuatkan Pol Pot mengenakan dia tahanan dalam istana selama empat tahun. Lima daripada 14 anaknya dibunuh Khmer Rough. dia juga akan dibunuh tetapi dapat diselamatkan oleh campur tangan seorang pemimpin Cina, Chou En Lai.

Dalam sejarah moden Kemboja, tidak ada tokoh yang sangat berwarna-warni personalitinya kecuali Sihanouk. Hidupnya berliku dan perjuangan politik tidak pernah berakhir hingga Khamis lalu apabila dia dengan sendirinya mahu turun dari takhta.

Sihanouk menjadi personaliti penting untuk melihat sejarah politik Kemboja yang juga tidak kurang warna-warninya. Malah Kemboja bukan saja berdepan dengan permainan politik yang sangat kotor oleh orang tempatan, sebaliknya menjadi medan politik kuasa luar seperti Perancis dan AS.

Banyak orang tidak percaya Sihanouk akan turun dari takhta yang didudukinya. Mereka tidak percaya kerana Sihanouk sangat strategis orangnya. Kalangan pemerhati politik masih belum percaya pengaruh Sihanouk akan hilang dalam percaturan politik Kemboja.

Malah ada pemerhati politik yang bimbang keputusan Sihanouk untuk memindahkan takhta kepada anaknya, Sihamoni yang menjadi penari balet ketika Kemboja dilanda perang. Pengganti Sihanouk dilihat sangat nipis ciri-ciri nasionalis sekalipun menjadi duta ke Unesco.