Asia Tenggara diancam

Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Sumber: Mingguan Malaysia 5 Disember 2004


IMEJ Australia sebagai pembantu sherif Amerika Syarikat (AS) semakin jelas. Ini membuatkan kedudukan geografi sebagai jiran kepada negara-negara Asia Tenggara lebih menimbulkan ketegangan daripada membina kesefahaman.

Dasar luar dan tindak-tanduk Australia jarang mengambil kira sensitiviti negara jiran. Sekalipun mempunyai jiran khususnya negara-negara Asia Tenggara tetapi yang jelas Australia lebih selari dengan dasar AS.

Malah dalam kempen pilihan raya umum Oktober lalu, isu menyerang negara-negara jiran di Asia Tenggara diangkat sebagai agenda utama. Perdana Menteri Australia, John Howard percaya sensitiviti anti-Asia boleh mendapat sokongan daripada rakyat. Atas tiket membanteras kegiatan pengganas khususnya Jemaah Islamiah (JI) dan Al-Qaeda, dasar luar Australia menjadi tidak ubah AS semasa menyerang Afghanistan dan diikuti ke atas Iraq.

Dalam konteks Asia Tenggara, pengganasnya bukan lagi JI atau Al-Qaeda tetapi Howard yang menjaja ``keganasan'' sebagai tatacara baru dasar luar negaranya. Gunakan apa saja istilah untuk mewajarkan serangan itu. Australia tetap dilihat menghormati prinsip kejiranan Asia Tenggara khususnya negara-negara ASEAN.

Rancangan serangan awal (pre-emptive) terhadap kubu pengganas di negara lain adalah kebiadaban dasar luar Australia. Kenyataan Howard mencetuskan ketegangan kepada Malaysia dan Indonesia yang didiami oleh majoriti penduduk beragama Islam. Malah kenyataan Howard itu dilihat khusus kepada Indonesia selepas serangan bom di Kedutaan Australia di Jakarta dan sebelum itu di pusat hiburan di Bali.

Sikap provokatif Australia juga tidak kurang hebatnya apabila meneruskan pendirian untuk membeli peluru berpandu jarak jauh dan campur tangan dalam konflik di Timur Timor (Timor Leste) tahun 1999. Inilah yang mengganggu gugat kestabilan politik dan keselamatan di Asia Tenggara.

Maka apabila Australia enggan menandatangani Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama (TAC) pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-10, itu menambahkan lagi kecurigaan bahawa siapa pengganas sebenarnya? Negara-negara anggota ASEAN curiga terhadap kejujuran Australia untuk sama-sama mewujudkan kestabilan politik dan keselamatan di rantau ini.

Ini terbukti apabila pelawaan Australia buat pertama kali ke Sidang Kemuncak ASEAN di Vientiane, Laos itu tidak dimanfaatkan untuk kesejahteraan rantau ini. Bagi ASEAN perjanjian ini penting.

Selaras dengan dasar luar negara-negara ASEAN, TAC adalah tanda komited supaya tidak ada negara yang mencampuri hal-ehwal negara lain seperti yang dilakukan oleh AS. Pada masa yang sama TAC dilihat sebagai mengekang rancangan Australia untuk melancarkan serangan awal di negara luar yang dianggap kubu pengganas.

Akhbar Sydney Morning Herald melaporkan, pendirian Australia itu mengecewakan banyak diplomat ASEAN yang menghadiri sidang kemuncak itu. Malah akhbar itu melaporkan ada diplomat yang memberi amaran supaya Australia tidak diundang pada persidangan yang akan datang.

Keengganan itu memberi gambaran bahawa Australia akan meneruskan rancangannya untuk menyerang negara-negara jiran. Biarpun Howard sebelum ini pernah berjanji tidak akan menyerang "dengan mudah'' negara-negara jiran tetapi keengganan menandatangani TAC memperlihatkan sikap yang sebenarnya.

Tidak salah kalau menganggap negara Asia Tenggara destinasi serangan Australia. Tujuan serangan yang kononnya menghapuskan pengganas kini dilihat oleh banyak pihak di Asia Tenggara sebagai ancaman kepada penduduk yang beragama Islam. Apalagi dengan semangat anti-Asia yang sangat ketara yang mendukung Australia.

Australia sebenarnya prejudis terhadap Asia Tenggara khusus yang mempunyai majoriti penduduk Islam. Lalu serangan yang menjadi agenda membanteras keganasan ditujukan kepada Malaysia dan Indonesia. Melabelkan Malaysia dan Indonesia sebagai kubu pengganas hanya akan membawa kepada serangan pejuang Islam yang membenci Australia.

Campur tangan dalam konflik di Timor Leste mengundang kepada serangan bom di pusat hiburan di Bali di mana majoriti mangsa adalah orang Australia. Kemudian diikuti dengan serangan bom di pejabat Kedutaan Australia di Jakarta. Ini adalah isyarat bahawa Australia telah menyuburkan sentimen musuh untuk memusnahkannya.

Dalam buku Towards A New Pasific Order (laporan Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik ke-6 1991) Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik Antarabangsa (ISIS), Tan Sri Noordin Sopiee menggariskan empat perkara yang wajar dijadikan asas persefahaman di Asia Tenggara. Pertama wujudkan kerjasama keamanan dan keduanya melupakan era konfrontasi.

Kalau dilihat daripada gagasan ini, apa yang dilakukan oleh Australia adalah sebaliknya. Dengan menyemarakkan konfrontasi ke atas negara lain, kerjasama dan keamanan tidak akan wujud.

Adakah ini kerana Australia tidak memahami budaya Asia? Banyak yang percaya bahawa semua keangkuhan ini berlaku disebabkan Australia bukan merujuk Asia sebagai jirannya. Australia merujuk kepada AS. Hubungan rapat AS disebabkan tidak ada negara Asia Pasifik lain yang secocok kecuali Australia. AS melihat Asia Pasifik atau Asia Tenggara mampu memberikan ancaman misalnya pengganas.

Maka hubungan akrab AS dengan Australia sekadar mahu menjadikan Australia sebagai pangkalan AS untuk memantau ancaman daripada Al-Qaeda di sebelah sini. Melihat kepada sistem pertahanan Australia seperti membeli peluru berpandu jarak jauh, ini bukan lagi untuk mempertahankan diri daripada serangan tetapi membuat serangan.

Maka kecurigaan ASEAN terhadap Australia bukan lagi prejudis dengan kisah-kisah silam. Kecurigaan dan kekecewaan ASEAN terhadap Australia sangat berasas. Sikap Australia pada Sidang Kemuncak ASEAN kali ini boleh dijadikan ukuran sama ada ASEAN masih memerlukan Australia atau sebaliknya.

Tidak ada alasan yang kukuh kenapa Australia menolak menandatangani TAC. Howard hanya menganggap perjanjian itu hanya penting kepada ASEAN dan tidak kepada Australia. Kepada sebuah stesen radio di Melbourne, Howard dilaporkan berkata, "Australia tidak mungkin mengikat diri dengan perjanjian seperti itu.''

Howard melihat tatacara itu sebagai mengikat bukan persefahaman. Sikap ini tidak membantu mengukuhkan hubungan dengan negara-negara di rantau ini. Malah persepsi seperti itu mencurigakan apakah sebenarnya muslihat Australia.

Australia sebelum ini kelihatan bersungguh-sungguh mahu menjadi sebagai sebahagian daripada ASEAN. Sandiwara atau sekadar menunjukkan kuasa? Banyak negara ASEAN pernah dijajah. Taktik penjajah adalah seperti yang diperlihatkan oleh Australia. Negara-negara yang pernah dijajah sangat arif menilai kebebasan.

Maka apabila Australia mahu menjadi penjajah zaman baru dengan sewenang-wenang menyerang negara-negara berkenaan, ini yang akan mewujudkan ketegangan. Pendirian ASEAN dalam hal ini sangat jelas. ASEAN menolak rancangan serangan awal kerana ini bukanlah cara terbaik memerangi pengganas. Ini lebih kepada penjajahan dan menafikan kedaulatan negara yang merdeka.

Lihatlah pendekatan AS memerangi pengganas di Afghanistan dan Iraq. Kedua-dua negara ini dijajah dan dinafikan kedaulatan. Kalau rancangan Australia tidak disekat, Australia akan menjadi AS di rantau ini.

AS juga sebenarnya bukan berhasrat bersungguh-sungguh membanteras pengganas. Keganasan dijadikan alat untuk mewajarkan serangan. Malah runtuhnya dua menara kembar Pusat Dagangan Dunia (WTC) juga tiket untuk menyerang negara-negara yang majoriti penduduknya Islam.

Apabila Australia enggan berjanji tidak akan menyerang negara lain di rantau ini, inilah musuh ASEAN.

Dalam satu wawancara dengan majalah The Bulletin, Susilo yang baru saja dipilih menjadi Presiden Indonesia melontarkan kenyataan keras kepada Australia.

"Tentera Australia tidak diperlukan langsung di bumi Indonesia.'' Susilo merujuk kepada rancangan menyerang pengganas atau lebih tepat lagi menyerang Indonesia yang menjadi pangkalan JI.

Australia membeli kapal perang yang dilengkapi peluru berpandu jarak jauh. Peluru berpandu itu mampu memusnahkan sasaran sejauh 1,000 kilometer. Semua ini membuktikan Australia sememang tidak akan menerima pendekatan keamanan dan keselamatan cara ASEAN. Australia menolak TAC kerana TAC mengikat Australia daripada menjadi pengganas yang sama seperti AS.