Apa itu 9 skala Richter?

Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
Sumber: Mingguan Malaysia 2 Januari 2005


Gempa bumi di luar perairan Acheh dikesan pada 8.45 pagi Ahad lalu. Radio RTM menyiarkan kenyataan Jabatan Kaji Cuaca seawal 9 pagi. Ombak besar tsunami pula hanya melanda pantai di utara negara ini pada 1.30 tengah hari. Dalam tragedi itu antara yang menjadi korban adalah mereka yang sedang berkelah dan menjalankan aktiviti harian di tepi laut.

Banyak yang mengikuti siaran radio RTM tahu tentang gempa bumi yang gegarannya 9 skala Richter. Tetapi orang ramai tidak diberi amaran kesan daripada gegaran sedahsyat gempa di Alaska 40 tahun lalu.

Jarak masa antara gempa bumi dan ombak tsunami di bahagian utara negara ini lebih tiga jam. Apa yang kita lakukan dalam masa tiga jam itu?

Banyak bertanya adakah Jabatan Kaji Cuaca yang di dalamnya ada bahagian seismologi yang khusus memantau gempa bumi tidak menjangka tsunami berlaku? Di Alaska, gegaran yang sama kuat telah mencetuskan tsunami.

Tsunami yang melanda 11 negara Asia termasuk Malaysia tercetus daripada gempa bumi itu. Malaysia bernasib baik kerana ia mengambil masa lebih tiga jam untuk sampai ke sini.

Cuba bayangkan kalau semasa radio RTM melaporkan berita gempa bumi itu disusuli dengan jangkaan awal oleh Jabatan Kaji Cuaca bahawa kemungkinan berlaku ombak besar yang mencecah ke pantai utara negara ini.

RTM hanya melaporkan gempa bumi dan berita gempa bumi di luar negara tidak lebih sebagai berita, bukan amaran. Jabatan Kaji Cuaca juga melaporkan kekuatan gempa iaitu 9 skala Richter. Bagi orang biasa, bukan semua tahu bahawa skala yang begitu tinggi menggambarkan suatu yang dahsyat berlaku.

Tambahan pula negara ini bukanlah selalu dilanda gempa dan kejadian begitu sangat asing dan jarang diambil perhatian. Tetapi pakar-pakar seismologi di Jabatan Kaji Cuaca tentu dapat membayangkan dahsyatnya 9 skala Richter dan sudah boleh menjangka tsunami melanda beribu-ribu kilometer jaraknya dari tempat gempa bumi.

Memang benar tsunami tidak pernah berlaku di negara ini. Tetapi tidak pernah berlaku bukan bermakna tidak akan berlaku apa lagi dengan skala gempa bumi yang begitu besar. Pihak yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini tentu mempunyai kemampuan membayangkan kesan alam daripada gegaran tersebut.

Gempa ini dikatakan sama kuat dengan gempa yang berlaku pada 27 Mac 1964 di Alaska. Maknanya dalam masa 40 tahun inilah gempa kedua terbesar berlaku di dunia. Gempa yang berlaku di Alaska juga menyebabkan berlakunya ombak tsunami, sama seperti yang melanda 11 negara Asia dalam tragedi kali ini.

Semasa gempa bumi besar itu berlaku di Alaska, serangan ombak tsunami tidak dapat dikesan semua pihak kerana tidak ada pengalaman sebelumnya. Tragedi 40 tahun lalu itu meninggalkan satu pengalaman yang sangat berharga kepada manusia selepas itu. Pengalamannya ialah apabila berlaku gempa bumi di dasar laut yang kuat, akan wujud ombak luar biasa tinggi dan kuatnya.

Orang biasa mungkin tidak banyak tahu tentang tragedi gempa bumi di Alaska dan ombak tsunami akibat gempa itu. Tetapi orang yang mengkaji bidang ini, semua tragedi ini bukanlah asing bagi mereka. Alangkah baiknya kalau pihak yang arif dalam bidang ini menggunakan pengalaman Alaska dalam masa tiga jam sebelum tsunami melanda di pantai utara negara ini.

Yoshinobu Tsuji profesor Institut Kajian Gempa Bumi Universiti Tokyo mendakwa, semua seismologis tahu apabila gempa bumi dasar laut mencecah skala 6.3 akan mencetuskan tsunami dan di peringkat bahaya apabila melebihi 7 skala Richter.

Jepun antara negara yang pernah menjadi sasaran tsunami. Dalam tragedi tsunami di Pulau Hokkaido tahun 1993 jumlah kehilangan nyawa pada relatifnya kecil ialah hanya 239 orang. Semua ini bertolak daripada amaran awal yang diberikan oleh Agensi Kaji Cuaca Jepun.

Dalam tragedi tsunami di perairan Acheh ini, ombak besar mengambil masa sejam selepas gempa bumi untuk sampai ke pantai di selatan Thailand. Selepas dua setengah jam pula ombak itu bergerak sejauh 1,600 kilometer dan menyerang India dan Sri Lanka.

Tsunami memang tidak dapat dihalang. Hujah di atas ini pun bukan untuk menghalang tsunami. Sama seperti tragedi gempa bumi dan gunung berapi. Tetapi dengan pengalaman yang pernah dialami oleh negara lain tidak mustahil kita boleh mengurangkan jumlah kehilangan nyawa apabila memberikan amaran awal.

Dalam masa tiga jam barangkali banyak nyawa dapat diselamatkan, setidak-tidaknya tidak ada yang menjadi mangsa ketika sedang bersuka ria di pantai. Ini sangat menyedihkan kerana mereka tidak diberitahu apa-apa tentang tsunami yang sedang datang kepada mereka.

Tentu saja dalam masa tiga jam kita tidak dapat menyelamatkan harta benda. Mustahil untuk menyelamatkan bot atau calet di tepi pantai. Tidak dinamakan tragedi kalau manusia mampu menyelamatkan semua milik mereka. Tetapi kita mempunyai peluang untuk mengurangkan kehilangan nyawa.

Jangan bandingkan kemusnahan di Acheh. Di sana yang kedudukan geografinya tidak sampai 150 kilometer dari tempat gempa bumi tentu saja tsunami mengambil masa lebih cepat menenggelamkan Acheh. Malah dengan kelajuan dan ketinggian ombak melanda Acheh, mangsa di sana memang hanya mampu menyerah kepada takdir.

Tetapi tsunami yang berlaku di negara ini berbeza. Selain mengambil masa untuk sampai ke sini, jarak air laut melimpah ke daratan juga tidak sejauh Acheh. Kerana itu kehilangan nyawa akibat tragedi tsunami di negara ini bukanlah kerana Malaysia tidak mempunyai sistem amaran awal seperti yang dipasang di Lautan Pasifik.

Laut di perairan negara ini tidak termasuk dalam rantaian pusat gempa bumi atau gunung berapi seperti di Indonesia. Maka keperluan memasang sistem amaran untuk negara ini tidak ada. Cuma yang perlu dipertingkatkan ialah pertukaran maklumat dengan negara-negara lain yang berada dalam rantaian itu.

Apabila Jabatan Kaji Cuaca Malaysia mengeluarkan kenyataan selepas gempa bumi itu berlaku, ini bermakna kita telah menerima isyarat mengenai gempa itu dengan pantas. Cuma yang terlambat malah tidak terfikir ialah kesan daripada gempa bumi itu.

Memang banyak baiknya kalau negara-negara yang terlibat dengan tragedi tsunami ini mempunyai sistem amaran awal yang dipasang di Lautan Hindi seperti yang terdapat di Lautan Pasifik. Sistem canggih itu tentunya memerlukan kos yang besar. Tetapi sebelum memikir tentang sistem itu, mendapat tahu skala Richter sudah cukup untuk kita mengambil langkah wajar.

Kepada Jabatan Kaji Cuaca mungkin tragedi boleh memberikan pengalaman yang sangat bermakna pada masa depan. Keseriusan misalnya mungkin boleh dipertingkatkan lagi. Akhbar melaporkan Jabatan Kaji Cuaca Pulau Pinang menerima faksimile mengenai gempa bumi itu pukul 11.12 pagi. Tetapi tidak dinyatakan amaran atau tindakan segera untuk diambil. Sementara kakitangan Jabatan Kaji Cuaca Langkawi pula mendakwa mereka menerima faksimile yang sama pukul 12.30 tengah hari.

Hari ini setelah 66 nyawa terkorban, beribu orang lagi hilang tempat tinggal, terjejas mata pencarian dan kemungkinan serangan wabak penyakit, kita terpaksa menerima semua ini sebagai takdir. Kelewatan Jabatan Kaji Cuaca membuat jangkaan awal tentang kehadiran tsunami juga mungkin satu takdir. Apa lagi kalau bukan takdir.