Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
Sumber: Mingguan Malaysia 13 Februari 2005
PUTERI Diana yang menerima gelaran Princess of Wales masih hidup segar dalam ingatan rakyat Britain. Bagi mereka "Puteri Rakyat'' itu tidak pernah mati kerana sumbangan khidmatnya terhadap kerja-kerja kebajikan.
Puteri Diana yang menemui maut dalam tragedi kemalangan jalan raya pada 31 Ogos 1997 sebenarnya lebih berpengaruh daripada semasa hayatnya. Kematian dalam keadaan yang sangat tragis telah menyemarakkan kecintaan rakyat Britain dan seluruh dunia terhadap wanita ini.
Diana selembut namanya adalah rakyat biasa. Cuma Puteri Diana bernasib baik kerana dipilih oleh Putera Charles sebagai isteri. Peluang berada dalam keluarga diraja digunakan untuk "menulis'' semula hukum-hukum keluarga diraja Britain yang sangat berpengaruh itu. Diana merakyatkan sistem monarki dan menjadi jambatan yang paling disenangi antara Istana Buckingham dengan rakyat jelata.
Pengaruh Diana di kalangan rakyat sangat luar biasa. Lihat saja bagaimana rakyat melontarkan kebencian mereka apabila Putera Charles menceraikan Diana pada 1996. Istana dikecam dan publisiti buruk dilemparkan kerana mempersia-siakan Puteri Cinderella moden yang hadir di tengah-tengah mereka.
Maka siapa yang akan mengisi kekosongan sebagai isteri Putera Charles wajar mendepani tekanan ini daripada rakyat. Ini kerana rakyat semacam telah menggariskan prasyarat untuk menjadi isteri Putera Charles. Antara ciri-cirinya tentunya lebih baik atau sekurang-kurang sama seperti Puteri Diana yang acara pengebumiannya disaksikan oleh 2.5 bilion penduduk di dunia.
Kekasih Putera Charles 30 tahun lalu, Camilla Parker yang dengan rasminya akan menjadi Duchess of Cornwall dan isteri Charles pada 8 April depan harus menerima hakikat ini. Khamis lalu pihak Istana Buckingham telah mengeluarkan kenyataan mengenai perkahwinan Putera Charles dengan Camilla selepas pelbagai kontroversi yang memperemehkan pihak istana.
Rakyat tidak menyambut berita gembira pasangan ini seperti mereka berpesta gembira apabila Putera Charles memilih Puteri Diana dua dekad lalu. Suasana di kalangan rakyat sangat berbeza.
Camilla wajar mendepani rasa dingin rakyat terhadap raja mereka apabila memilih dirinya, bekas kekasih yang dikatakan merampas Putera Charles daripada Puteri Diana.
Biarpun 8 April merupakan fasa pertama berakhirnya penantian Camilla selama tiga dekad untuk bertakhta di hati Charles secara sah tetapi laluan masih berliku. Camilla yang berusia 57 tahun itu wajar bersedia untuk dibandingkan dengan Puteri Diana yang meninggalkan nama yang baik lagi harum selepas kematiannya.
Kemarahan rakyat kerana Camilla menjadi orang ketiga antara Putera Charles dan Puteri Diana sebenarnya tidak pernah reda. Rakyat menyalahkan Putera Charles yang gagal menilai antara kaca dan permata, memarahkan Camilla yang merampas kasih putera raja itu selepas dia bercerai dengan pegawai tentera, Andrew Parker Bowles pada 1995.
Benarlah kata orang, cinta pertama kesannya sangat dalam, kenangannya berpanjangan dan kalau hidup ada cetakan kedua mereka mahu mengulanginya dari mula. Mengundurkan waktu tentulah tidak mungkin tetapi Putera Charles dan Camilla cuba mengulangi episod lama dalam pentas waktu yang baru.
Putera Charles pertama kali bertemu Camilla dalam satu pertandingan polo di Winsdor pada 1970. Cinta pandang pertama pun berkembang tetapi apabila Putera Charles menyertai angkatan tentera laut tiga tahun kemudian, Camilla berkahwin dengan Andrew.
Perkahwinan Putera Charles dengan Puteri Diana pada 1981 sangat mengecewakan Camilla. Tetapi barangkali beliau terbaca kata hikmat seorang penyair Hungary, Janos Arany bahawa, "Dalam hidup hanya cinta dan mimpi saja yang tidak ada mustahil untuk berlaku.'' Memang benar, tiga dekad pun tidak mustahil untuk kembali bersatu.
Tiga dekad Camilla memburu bayang-bayang Putera Charles. Sebagai wanita penantian itu tentunya sangat panjang. Tanpa kesabaran dan kukuhnya kasih serta sayang, Camilla mungkin bosan dan membuang Putera Charles jauh daripada hatinya. Apa lagi media membongkar bahawa beliau antara penyebab perceraian Putera Charles dengan Puteri Diana.
Cinta tiga segi ini membuatkan Puteri Diana terlalu kecewa. Beliau tahu tentang Camilla tetapi tidak menyangka Camilla masih memburu Putera Charles yang telah berkahwin dan punya dua putera.
Skandal Putera Charles dengan Camilla mulai dihidu oleh media pada 1986 yang membuatkan perpisahan dengan Puteri Diana pada 1992 sebelum bercerai secara rasminya pada 1996. Semua yang berlaku ini menyumbangkan simpati rakyat kepada Diana dan sekali gus melabelkan Camilla sebagai memusnahkan rumah tangga keluarga yang dianggap paling ideal itu.
Lebih menyemarakkan kemarahan rakyat lagi apabila tercetus spekulasi bahawa kemalangan maut Puteri Diana bersama Dodi Al Fayed di sebuah terowong di Paris adalah perancangan Putera Charles dan Camilla. Setakat ini belum ada bukti atau dibuktikan penyebab kemalangan itu selain disebabkan oleh kegagalan teknikal pada kereta yang mereka naiki.
Kini Camilla berjaya menawan hati pihak istana terutama Ratu Elizabeth untuk membolehkan beliau menjadi keluarga diraja Britain itu. Tetapi tekanan dan skeptikal rakyat telah mulai dirasakan apabila Camilla tidak mampu merakyatkan dirinya seperti Puteri Diana.
Camilla mendepani halangan untuk bertakhta di hati rakyat selagi beliau tidak dapat mempotretkan dirinya sebagai ikon yang menjadi ikutan rakyat. Beliau perlu memperlihatkan imej yang sama bersih dengan Puteri Diana untuk rakyat melupakan tindakannya yang melukakan itu.
Sebelum ini perancangan perkahwinan Putera Charles dan Camilla mendapat tentangan daripada pihak paderi Canterbury. ABC News Online pada 4 Jun lalu melaporkan pihak paderi Canterbury menafikan laporan bahawa pihak paderi telah meluluskan permohonan perkahwinan itu.
Bagaimanapun United International Press pada 15 Disember lalu menyiarkan kenyataan sumber pihak Istana Buckingham bahawa pasangan itu bebas berkahwin selepas penyiasatan kes kematian Puteri Diana selesai.
Walau apa sekalipun Camilla tetap dilihat gagal menyaingi Puteri Diana, seorang "orang biasa'' yang disenangi di seluruh dunia. Kerja kebajikannya hebat seperti memperjuangkan pembasmian periuk api di seluruh dunia termasuk melawat Bosnia dan Anggola.
Tetapi bagi Putera Charles dan Camilla pula, perkahwinan yang bakal berlangsung ini tentulah seperti kata pantun Melayu lama;
Nyiur gading puncak mahligai,
Sayang ketupat berisi inti;
Hancur daging tulang berkecai,
Belum dapat belum berhenti.