Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Sumber: Mingguan Malaysia 6 Februari 2005
KAKI banjaran Himalaya telah sekian lama menjadi latar belakang adegan percintaan dalam filem Hindi. Adegan aktres jelita berlari berpintal-pintal dikejar aktor sekacak Shashi Kapoor atau Shah Rukh Khan seperti tidak cukup romantisnya tanpa menumpang saujana yang hijau dan puncak bersalji di Himalaya.
Himalaya sangat melekakan kerana keindahannya. Tetapi keindahan itu hanya pandangan dari luar kerana Nepal yang menjadi tapak Himalaya adalah sebuah negara miskin, kucar -kacir dan mempunyai raja yang selalu buat kerja gila.
Nepal tidak seindah Himalaya. Tetapi Nepal seganas laluan untuk ke puncak Everest yang juga terletak di negara yang bersempadan India dan China ini. Lebih malang lagi apabila Nepal mempunyai raja yang hidup kaya-raya hasil kerja bermati-matian rakyat yang papa.
Himalaya yang indah menyembunyikan seribu satu cerita duka dan melarat rakyat Nepal. Bayangkan sehingga kini hanya 15 peratus saja rakyat yang mendapat akses elektrik, 500,000 kanak-kanak bawah 14 tahun menjadi buruh, anak-anak gadis Nepal terlibat secara serius dalam industri seks. Maka jangan terkejut kalau statistik menunjukkan 60 hingga 70 peratus daripada mereka mempunyai HIV positif. Satu lagi, banyak yang mati sebelum menjangkau usia 25 tahun di mana antara faktornya adalah pengguguran haram.
Inilah realiti satu-satunya negara Hindu di dunia yang sangat unik sama ada di segi politik, sosial mahupun alam semula jadinya. Nepal tertera di peta dunia bukan kerana kehebatan tetapi pergolakan politik, kemiskinan dan krisis sosial yang sangat tenat.
Baru-baru ini Nepal sekali lagi menjadi tumpuan dunia apabila Raja Gyanendra memecat Perdana Menteri Nepal, Sher Bahadur Deuba. Tindakan itu bersandarkan alasan kegagalan Perdana Menteri menyelesaikan krisis politik. Selepas memecat Perdana Menteri, raja yang dibenci oleh sebahagian besar rakyat ini melantik 10 anggota kabinet baru.
Dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen raja berperlembagaan, tindakan Raja Gyanendra secara terang-terangan mencabul demokrasi dan menggantikan dengan autokrasi. Tindakan yang tidak demokratik ini mengundang lebih banyak masalah kepada rakyat bawahan.
Raja tidak boleh sewenang-wenang mencampuri hal ehwal politik kerana kerajaan dibentuk oleh empat parti politik. Tindakan Raja Gyanendra memecat perdana menteri menambahkan lagi tekanan hidup kepada rakyat bawahan.
Nepal tidak boleh hidup hanya dengan memiliki lapan daripada sepuluh puncak tertinggi di dunia termasuk Everest. Apabila rakyat hidup dalam keadaan papa kedana sementara raja sewenang-wenang membazirkan wang rakyat, akhirnya apalah erti daulat dan setia kepada raja.
Jurang kaya dan miskin yang sangat luas ditambah dengan pergolakan antara parti politik melemparkan rakyat ke kancah kemusnahan. Statistik menunjukkan 42 peratus daripada 27.7 juta rakyat Nepal hidup di bawah paras kemiskinan sementara pendapatan per kapita hanya AS$250 setahun.
Konflik terbaru pemecatan perdana menteri yang dipilih menerusi amalan demokrasi dilihat akan menambah keperitan hidup kepada rakyat. Di Nepal sebenarnya tidak ada falsafah hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Hati gajah raja yang lapah, hati kuman untuk rakyat marhaen yang 42.2 peratus daripada populasi Nepal buta huruf.
Pemerhati politik melihat konflik terbaru akan membuka laluan kepada komunis untuk menguasai negara yang sangat dikenali sebagai pengeksport tentera Gurkha semasa Perang Dunia Kedua ini. Salah sebuah parti politik yang sah di sisi undang-undang Nepal adalah Parti Komunis Nepal (Maoist).
Maoist sangat berpengaruh dan ini membimbangkan kerana doktrin komunis adalah kesamarataan. Tambahan pula Maoist adalah antara dua parti politik utama yang selain Parti Kongres Nepal. Berbanding sistem demokrasi berparlimen raja berperlembagaan sekarang, yang kaya hanya raja bukan rakyat.
Nepal hanya indah bagi orang luar dengan adanya Banjaran Himalaya dan puncak-puncak dunia yang tertinggi. Tetapi semua ini tidak memberi makna dalam kehidupan rakyat biarpun sektor pelancongan antara yang menyumbang kepada pendapatan negara.
Negara ini menjadi rebutan tiga pihak; istana, kerajaan dan pemberontak Maoist. Apabila Parti Komunis Maoist berpecah, pemberontak Maoist menggunakan pendekatan yang kejam untuk membina pengaruh di kalangan rakyat yang miskin. Cara pemberontak Maoist mudah; bunuh dan tindas yang menentang.
Dengan konflik politik terbaru ini, Nepal semakin jauh untuk menggapai keamanan dan kemakmuran. Kemiskinan dan tahap literasi yang sangat rendah menjadi pemangkin yang berterusan kepada ketidakstabilan dalam semua hal.
Nepal mempunyai aset yang besar. Salah satunya Himalaya dan puncak Everest yang memungkinkan satu destinasi pelancongan yang boleh mengubah nasibnya yang miskin. Tetapi aset ini tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya apabila banyak masa yang dibuang untuk menyelesaikan konflik politik.
Maoist sebenarnya banyak mencorakkan realiti sosial dan politik di Nepal. Dengan menguasai 80 peratus rakyat Nepal yang tinggal di pendalaman, komunis mempunyai masa depan yang cerah untuk menguasai Nepal. Kalau begitulah akhirnya, raja yang sekarang hidup mewah akan turun dari takhta sementara Nepal yang menjadi satu-satunya negara Hindu akan berubah wajah. Ini kerana doktrin komunis adalah antiagama sekali pun Maoist tidak ada hubungan dengan Parti Komunis China (CCP) yang memerintah China.
Maka selama-lamanya Nepal hanya akan diingat sebagai pengeksport tentera Gurkha yang setia kepada British, Banjaran Himalaya dan puncak Everest. Selebihnya tidak ada apa yang istimewa lebih-lebih lagi bagi rakyat yang tidak pernah tenteram seperti damainya pemandangan di Himalaya.
Iktibarnya apabila suasana politik tidak stabil dan rakyat tidak banyak yang celik huruf, inilah peluang untuk oportunis yang sedikit cerdik, bijak dan selalu mendahulukan kepentingan diri mendapat tempat. Tepatlah kata orang bijak pandai; yang si miskin makanan si kaya, si bodoh makanan si cerdik dan rakyat makanan si raja.