Didiklah guna Internet dengan betul

Oleh: Ku SEMAN KU HUSSAIN
Sumber: Mingguan Malaysia 19 Jun 2005


Laman web porno lagi. Kali ini kerajaan menerusi Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Tenaga Air dan Komunikasi dipertanggungjawabkan membendung kegiatan melayari laman web porno.

Kerajaan mengambil langkah drastik. Semua syarikat telekomunikasi dan pembekal khidmat Internet (ISP) diarah menyediakan perisian untuk menyekat laman web porno. Semua ini berkuat kuasa serta- merta. Sebelum ini selepas 12 tahun Internet diperkenalkan di negara ini, bergegar satu negara bahawa 1.5 juta laman web porno dapat diakses dengan mudah.

Kita wajar menyambut baik usaha drastik kerajaan menangani gejala sosial dari Internet. Sekalipun mengambil masa agak lama (12 tahun) untuk menyekat akses laman web porno, usaha kali ini menuntut sokongan daripada semua pihak.

Menyekat laman-laman web tertentu khususnya porno dan politik bukan perkara baru. Di negara lain sudah lama mengamalkan sekatan begini. Misalnya Amerika Syarikat (AS) menerusi Communication Decency Act 1996 yang menyekat bahan politik tertentu.

Di China pula kerajaan mewajibkan pemasangan perisian menyekat laman-laman web porno yang dikenali sebagai Great Firewall of China. China mempunyai 40 juta pengguna Internet setakat ini setelah lebih 1,000 pemilik kafe siber dikenakan tindakan kerana melanggar peraturan penggunaan Internet.

Myanmar pula melarang sepenuhnya akses Internet. Sementara Korea Selatan mengarahkan ISP menyekat akses laman web yang isi kandungannya mempunyai simpati dengan Korea Utara.

Serentak dengan arahan terbaru daripada kerajaan, sesetengah daripada kita menjadi retorik. Seperti biasa, kita akan bercakap mengenai syarat itu dan ini. Kali ini antara syaratnya ialah pihak berkuasa tempatan tidak mengeluarkan lesen sekiranya kafe siber tidak memasang perisian antilaman web porno. Ironiknya banyak pendedahan dibuat di akhbar mengenai kafe siber yang tidak berlesen.

Tanpa menafikan hasrat murni kerajaan mengarahkan syarikat telekomunikasi dan ISP menyediakan perisian menyekat laman web porno, tetapi menggunakan Internet dengan berhemah juga menyekat gejala akses laman web porno.

Tetapi siapa peduli tentang literasi Internet untuk mendepani satu budaya teknologi yang baru? Selama 12 tahun ini nyatakan berapa banyak program mendidik masyarakat menggunakan Internet dengan betul?

Baguslah kalau kita prihatin untuk menyekat laman web porno. Itu suatu yang baik untuk umum. Tetapi menyekat laman web porno saja tanpa melihat masalah ini secara mikro, ia tidak membudayakan masyarakat dengan Internet. Kita banyak bercakap fasal teknologi, Internet memang teknologi tetapi khalayaknya manusia. Hal-hal manusia yang sukakan laman web porno bukan luar biasa. Maka mereka perlu dibimbing bahawa Internet lebih berfaedah kepada manusia.

Masyarakat atau keluarga tentu tidak boleh lepas tangan kepada perisian antilaman web porno. Kalau menunggu perisian itu, apa tugas mereka melindungi anak-anak daripada laman web porno? Jangan bersikap menyerahkan tugas melindungi anak-anak daripada gejala laman web lucah kepada kerajaan.

Ini kerana tugas menyediakan literasi Internet dan menggunakan teknologi ini dengan berhemah berada di tangan masyarakat. Perisian antilaman web porno tidak dapat membudayakan pengguna khususnya remaja supaya menjadi pengguna berhemah tanpa penglibatan masyarakat.

Perisian itu hanya salah satu alternatif membendung jangka pendek. Tetapi untuk jangka panjang, apabila Internet menjadi suatu yang maha penting, membendung dengan "peralatan'' seperti itu tidak meninggalkan kesan.

Sebelum ini Badan Bertindak Kesedaran Penderaan Seksual Kanak-Kanak (MCPSA) telah menggemparkan negara apabila mendedahkan terdapat 1.5 juta laman web porno dan boleh diakses dengan mudah. Tujuan pendedahan ini mungkin baik tetapi kesannya boleh menjauhkan masyarakat dengan Internet.

Antara kesannya Internet akan dilihat hanya di sisi gelap; laman web porno, penyebaran ideologi yang bertentangan dengan dasar negara dan membawa budaya kuning dalam masyarakat. Perkara-perkara ini akan diingat melampaui sumbangan Internet sebagai sumber maklumat paling cekap di dunia.

Kalau benar kita masyarakat yang prihatin, kita pasti tidak akan banyak bercakap fasal perisian antilaman web porno. Keprihatinan atau rasa sayang kepada generasi muda hari ini perlu dizahirkan menerusi program yang boleh meningkatkan literasi Internet.

Masyarakat atau sesiapa saja tidak boleh menjadikan arahan memasang perisian antilaman web porno untuk "lepas tangan'' memikul obligasi sosial kepada generasi muda. Malah mereka perlu memikirkan program bercorak pendidikan untuk menjadi pengguna Internet yang berhemah.

Jangan terlalu mengharapkan "kekebalan'' perisian antilaman web porno. Menyekat sesuatu daripada masuk menerusi maya bukan mudah. Kalau ada pun kosnya kepada pengguna sangat tinggi. Sebelum ini kekebalan perisian antivirus sering dipertikai.

Perisian antivirus gagal memberi jaminan bahawa virus tidak merosakkan sebarang data dalam komputer kita. Antivirus juga tugasnya menyaring keluar masuk e-mel yang kemungkinan menyebabkan virus. Maknanya semua komputer yang menggunakan Internet belum selamat seratus peratus daripada serangan virus.

Dengan kegagalan ini apakah kita menaruh harapan yang besar kepada perisian menyekat laman web porno? Suatu yang dibimbangkan adalah usaha ini tidak memberi manfaat sepenuhnya kepada golongan sasaran. Definisi sasaran di sini adalah keluarga, anak-anak mereka dan juga pemilik kafe siber. Sebaliknya keuntungan kepada pihak lain, pembekal perisian misalnya.

Apabila arahan menyekat laman web porno dikuatkuasakan, tentu banyak pembekal perisian ini yang muncul di tengah-tengah kita. Kita (kerajaan atau individu) mengeluarkan wang yang banyak untuk membeli perisian tersebut.

Faedah kepada golongan sasaran belum pasti dikecapi tetapi pihak pembekal akan mendapat keuntungan yang besar daripada jualan perisian untuk menyekat laman web porno.

Tentu ada baiknya kalau sebahagian daripada kos menyediakan perisian itu diperuntukkan kepada program-program untuk mendidik penggunaan Internet. Ini penting untuk jangka panjang bagi menangkis penggunaan Internet untuk tujuan yang tidak berfaedah.