Tutup kem Guantanamo bukan isunya

Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
Sumber: Mingguan Malaysia 12 Jun 2005


Di kem tahanan Guantanamo, Cuba, mereka yang dilabelkan "teroris'' diperlakukan sesuka hati oleh tentera AS. Guantanamo memercikkan makna kekejaman yang dilakukan tanpa dilindungi oleh mana-mana undang-undang antarabangsa, waima Konvensyen Geneva.

Demi mengotakan janjinya ketika berdiri di atas runtuhan Pusat Perdagangan Dunia (WTC) pada 11 September 2001 bahawa "teroris'' akan diburu hingga ke lubang cacing, Presiden George W. Bush bersedia mengetepikan isu hak asasi manusia.

Contoh yang paling jelas adalah kaedah penderaan tahanan yang dilakukan di kem Guantanamo. Bush mengetepikan persepsi dunia terhadapnya. Lihat saja reaksi dunia selepas dipilih semula sebagai presiden. Daripada tinjauan global yang dibuat oleh stesen televisyen BBC, 58 peratus menganggap Bush adalah ancaman kepada kestabilan dunia.

Kelmarin Setiausaha Pertahanan, Donald Rumsfeld berkata, AS lebih suka kalau tahanan di Guantanamo ditahan oleh kerajaan mereka sendiri. Ini kenyataan yang sangat retorik sekali gus memperlihatkan seolah-olah bukan hasrat AS untuk menahan tahanan di kem itu.

Beberapa jam selepas Rumsfeld mengeluarkan kenyataan, Bush pula berkata, beliau tidak menolak kemungkinan akan menutup kem tahanan itu. Bagi Bush, kem yang juga dikenali sebagai Kem X Ray itu sudah mencapai matlamat untuk mengekang serangan teroris. Maknanya di kem itu tentera AS mendapat banyak maklumat daripada 540 tahanan Islam.

Banyak yang gembira apabila Bush membayangkan kemungkinan kem tahanan Guantanamo itu ditutup. Banyak menganggap ini kejayaan protes dunia Islam terhadap layanan buruk kepada tahanan.

Guantanamo sudah menjadi senama dengan kezaliman tahanan tanpa bicara dari Pakistan dan Afghanistan. Pendedahan yang dibuat oleh media AS menunjukkan di situ bukanlah sekadar kem tahanan. Guantanamo adalah kem penderaan hingga ada yang menemui maut.

Tentera AS membawa tahanan secara rahsia dari Pakistan dan Afghanistan selepas menyerang negara itu. Semua ini berlaku selepas tragedi 11 September 2001. Paparan di media tentang penderaan mental dan fizikal di Guantanamo mencalarkan kredibiliti Bush.

Benar atau tidak dakwaan Bush tentang maklumat yang diperoleh itu adalah soal lain, malah bukan perkara penting. Pengumuman yang membayangkan kem itu kemungkinan ditutup pula bukanlah suatu yang boleh disambut dengan gembira. Ini kerana kem tahanan Guantanamo tidak ada kena-mengena dengan penderaan oleh AS terhadap pihak yang dilabelkan sebagai musuh mereka.

Kontroversi kencing atas al-Quran yang meletus baru-baru ini menjadi api menyemarakkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia terhadap AS. Api kemarahan terhadap kebiadapan AS menyala dengan bahang yang sangat luar biasa.

Sebelum ini juga tidak kurang kontroversinya. Media melaporkan tahanan Pakistan dan Afghanistan diseksa secara mental dan fizikal. Tahanan ditutup kepala, dirantai kaki dan tangan dan dibiar duduk berjam-jam seharian di tanah lapang.

Kerajaan Bush menjadi sasaran kecaman pejuang hak asasi manusia. Tetapi Bush peduli apa dengan kecaman kelompok yang hanya bersuara tetapi tidak ada kuasa. Pengarah Sokongan Human Right Watch, Wendy Patten menganggap Guantanamo sebagai Bermuda Triangle bagi hak asasi manusia. Maknanya di Guantanamo tidak ada undang-undang.

Dalam program This Week yang disiarkan di stesen televisyen ABC baru-baru ini, anggota kanan Demokrat AS, Senator Joseph Biden menggesa Bush menutup saja kem tahanan itu. Bagi Biden kem itu lebih membawa padah daripada memberi faedah kepada AS.

Apabila Bush membayangkan akan menutup kem tahanan itu, banyak pihak yang menganggap kononnya satu perjuangan telah mencapai kejayaan. Kononnya desakan daripada pelbagai pihak telah menekan Bush hingga akhirnya mahu menutup kem itu.

Jangan terlalu awal untuk bergembira. Soal sama ada kem tahanan Guantanamo ditutup atau dipindahkan ke negara lain, bukanlah isunya dalam konteks kekejaman AS terhadap tahanan. Kekejaman yang dilakukan oleh AS di Guantanamo bukanlah dasar kem tahanan itu. Perlakuan tidak berperikemanusiaan misalnya menahan tanpa bicara bertahun-tahun lamanya adalah dasar AS. Dasar ini tetap seperti sebelumnya, tidak berubah apa-apa.

Jadi, kalau kem itu ditutup sekalipun, sikap AS ini akan dibawa ke tempat lain di mana tahanan akan diseksa. Bush membayangkan penutupan kem ini sekadar mahu meredakan kontroversi terutama selepas al-Quran dikencing di kem itu. Kekejaman AS bukan saja di Guantanamo, sebaliknya di seluruh dunia. Dulu di Vietnam, kemudian Afghanistan dan Iraq.

Lihat saja bagaimana kekejaman tentera AS terhadap orang awam di Iraq. Lihat juga bagaimana AS menjadikan penjara Abu Gharib di Iraq sebagai Guantanamo kedua. Beberapa saksi dalam skandal penderaan tahanan di penjara Abu Gharib memberitahu media, perkara yang sama dilakukan di kem tahanan Guantanamo. Maknanya ini adalah dasar AS.

Jadi apalah ertinya khabar yang membayangkan penutupan kem tahan Guantanamo? Kalau ditutup dan kekejaman terhadap tahanan akan berterusan di tempat-tempat lain yang dikuasai oleh AS. Selagi sikap AS yang mengambil pendekatan tidak berperikemanusiaan, penderaan tahanan tidak akan berakhir.

Ketika ini di Guantanamo terdapat 540 tahanan yang ditahan di Afghanistan dan Pakistan pada 2001 dan 2002. Mereka yang ditahan dilabelkan sebagai teroris yang mempunyai kaitan dengan al-Qaeda pimpinan Osama Ben Laden. Tahanan ini didera secara mental dan fizikal tetapi tanpa dihadapkan ke muka pengadilan. Tahanan tidak diberi hak membela diri atau peluang bertemu peguam.

Menahan tanpa bicara adalah kezaliman sesama manusia. Perbuatan ini juga melanggar hak asasi manusia di mana orang dituduh melakukan kesalahan tidak diberi peluang membela diri. Itulah kem tahanan Guantanamo, peluang untuk bela diri tidak ada. Malah diseksa tanpa menjelaskan kesalahannya.

Kenapa AS memilih Guantamano? Kenapa tidak ditahan di AS yang tidak kurang ketat kawalannya? Kenapa AS bersusah payah membawa tahanan itu dari Afghanistan ke Guantanamo dan tidak terus ke AS?

AS sengaja memilih Guantanamo sebagai tempat tahanan. Muslihatnya AS boleh menghalalkan perlakuan di luar batas kemanusiaan tanpa perlu bimbang dilindungi mana-mana undang-undang antarabangsa.

Ini kerana Guantanamo berada di luar AS. Malah pangkalan tentera AS itu juga tidak tertakluk dengan apa-apa perjanjian dengan Cuba. Maka tentera AS bebas membuat apa saja di Guantamano tanpa sebarang undang-undang antarabangsa.

Senator Biden mencadangkan sebuah suruhanjaya bebas bagi menyiasat keadaan di kem tahanan Guantanamo yang juga disebut Gitmo. Tujuannya bagi memperjelaskan kepada dunia bahawa tahanan itu ditahan untuk tujuan risikan dan bukan tahan tanpa bicara.

Rumsfeld pernah berkata, tahanan itu sebenarnya pejuang perang yang tidak diiktiraf oleh undang-undang. Beliau menggunakan istilah enemy combatant, bukan tawanan perang. Frasa enemy combatant tidak ada dalam Konvensyen Geneva.

Tahanan dari Afghanistan dan Pakistan sengaja dibawa ke Guantanamo kerana ada muslihatnya. Maka ura-ura menutup kem Guantanamo juga pasti ada perlu dilihat secara mikro muslihatnya. Ini dan permainan licik AS untuk mengelakkan daripada dilabel pencabul hak asasi manusia. Kalau tidak masakan Rumsfeld mencipta frasa enemy combatant yang memeningkan kepala pengkaji undang-undang?