Sepinya penghayatan kemerdekaan

Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
Sumber: Mingguan Malaysia 21 Ogos 2005


DI PERUT kota raya Kuala Lumpur pada ketika ini masih belum terasa bahang ulang tahun kemerdekaan. Sepuluh hari lagi genaplah 48 tahun negara ini mencapai kemerdekaan. Nilai satu catatan sejarah 48 tahun lalu yang menelan sekian banyak nyawa dan sengsara berbayar apabila kemerdekaan berada dalam genggaman rakyat negara ini.

Kisah-kisah tentang kekejaman penjajah; sama ada Jepun, British, Portugis dan Belanda banyak diperkatakan. Semuanya tragis dan seksa menjadi satu bangsa yang bertuankan orang lain yang berbeza geografi, budaya dan juga agama.

Tidak ada cerita gembira kepada bangsa yang dijajah. Semuanya cerita duka, penuh air mata dan darah. Maka apabila kemerdekaan jatuh ke tangan rakyat, nilainya tentulah sangat besar.

Kalau melihat daripada betapa tingginya nilai kemerdekaan, kita tentu tidak percaya bahawa sekalipun hanya tinggal 10 hari lagi belum ada apa-apa yang menandakan kebesarannya. Kemerdekaan semacam ditinggalkan dalam sejarah dan menjadi terlalu usang untuk dikenang.

Negara menjadi sebegini maju dan rakyat mengecapi keamanan dan kemewahan, apa lagi yang menjadi faktornya kalau bukan kemerdekaan? Maknanya kemerdekaan sangat berjasa kepada kita semua, tidak kira mereka generasi ke berapa. Tetapi dengan suasana yang tidak mencerminkan kecintaan kepada sebuah kemerdekaan, apakah generasi hari ini ada rasa terhutang budi kepada kemerdekaan dan generasi yang merintisnya?

Beberapa tahun lalu sempena sambutan Bulan Kemerdekaan yang diadakan mulai 15 Ogos hingga 15 September, bendera Jalur Gemilang terpacak pada hampir semua kenderaan; kecil dan besar, mewah dan murah. Bendera sebesar telapak tangan menjadi paparan di mana-mana. Demikianlah hebatnya kempen mengibar bendera dengan tawaran hadiah yang juga tinggi nilainya.

Waktu itu di mana-mana penuh dengan bendera. Malah dekorasi dalaman juga ada yang berkonsepkan Jalur Gemilang. Suasana menjelang ulang tahun kemerdekaan terasa dan banyak mengharapkan suasana itu berulang pada tahun-tahun seterusnya. Mereka yang mengharapkan menjelang ulang tahun kemerdekaan sama dengan riuh dan riangnya Hari Valentine pada setiap 14 Februari.

Tetapi hari ini bangunan-bangunan tinggi, canggih lagi prestij lokasinya terpisah daripada Jalur Gemilang. Mahu tunggu bila lagi untuk mengibarkan Jalur Gemilang yang menjadi ekspresi kebanggaan bangsa yang merdeka? Apakah kita atau mereka terlupa bahawa tanpa kemerdekaan apakah mungkin bangunan itu mampu berdiri di situ?

Apakah tanpa kemerdekaan mereka boleh mengecapi hidup yang ultra mewah daripada kestabilan politik dan ekonomi negara ini? Terasa kemerdekaan semakin susut nilainya di kalangan sesetengah korporat kita. Lalu berlakulah endah tidak endah saja dengan rayuan kerajaan untuk menghidupkan suasana menjelang ulang tahun kemerdekaan.

Pengerusi Jawatankuasa Induk perayaan Hari Kebangsaan tahun ini, Datuk Seri Kadir Sheikh Fadzir pernah meluahkan rasa kecewanya apabila pihak korporat sangat dingin dalam menaja pintu gerbang. Pintu gerbang itu dibuat sebagai salah satu yang memeriahkan ulang tahun kemerdekaan.

Kadir yang juga Menteri Penerangan berhak untuk berasa kecewa. Ini kerana yang dilakukan bukanlah satu pembaziran sebaliknya satu apresiasi rakyat yang mengecapi kemewahan hasil kemerdekaan.

Apakah kerana hari ulang tahun kemerdekaan tidak ada elemen budaya kepenggunaan, maka nilainya di kalangan korporat kita jauh lebih rendah daripada Hari Valentine? Pada setiap tahun menjelang 14 Februari, semua pusat membeli-belah seolah-olah turut merayakan Hari Valentine.

Warna merah jambu yang menjadi lambang cinta melitupi hampir semua pusat membeli-belah. Produk dan aksesori berbentuk hati ada di mana-mana. Maka tidak hairanlah kalau semua orang terasa suasana yang dinanti-nantikan itu.

Hari Valentine menjadi sebahagian daripada budaya kepenggunaan. Peniaga sibuk mengira untung daripada ledakan industri iklan dan penyiaran yang memberikan promosi kepada Hari Valentine ini. Pengguna didesak supaya turut serta dalam ``pesta'' menjelang 14 Februari.

Maka apabila ulang tahun kemerdekaan tidak menjadi sebahagian daripada budaya kepenggunaan, ia menjadi sepi. Industri pengiklanan tidak ada apa yang hendak dijual kepada pengguna menjelang ulang tahun kemerdekaan.

Apakah hanya kerana tidak ada produk pengguna maka korporat tidak ambil endah dengan hari bersejarah ini? Mujurlah pada tahun-tahun sebelum ini korporat seperti Petronas, Telekom Malaysia, Penerbangan Malaysia dan beberapa lagi menaja iklan bermesej merdeka di televisyen.

Saban tahun juga stesen televisyen terutama RTM menyediakan program khas yang bertemakan kemerdekaan. Tetapi malangnya terasa agak superfisial dan dipaksa-paksa. Kemerdekaan tidak menjelma secara semula jadi sebagaimana yang sewajarnya. Pengisian di stesen televisyen agak didaktik. Mungkin ini juga menjadi faktor kemerdekaan yang baru berusia 48 tahun dirasakan terlalu usang dan tidak relevan lagi.

Sementara acara malam ulang tahun kemerdekaan pula sudah tidak boleh dijadikan ukuran patriotisme di kalangan kita. Pelbagai persembahan hiburan diadakan dan seperti biasa sambutan sangat luar biasa. Tetapi sambutan yang sama juga diberikan kepada persembahan pada hari-hari lain. Maknanya kalau sambutan hebat pada malam kemerdekaan bukanlah kerana tingginya nilai patriotisme. Sambutan hebat kerana ia sebuah persembahan hiburan dan generasi kita suka hiburan.

Kerana itu secara jujur kita perlu bertanya apakah wajar 31 Ogos dijadikan hari cuti umum? Tentu membazir cuti umum pada 31 Ogos kalau apresiasi terhadap kemerdekaan begitu rendah dan semakin susut nilainya. Apabila sesetengah pihak menganggap 31 Ogos tiada bezanya dengan hari lain, elok saja dimansuhkan cuti umum pada hari itu.

Maka apabila kerajaan terpaksa mengeluarkan peruntukan sebanyak RM2.5 juta sebagai belanja menyemarakkan 31 Ogos kepada 1.3 juta penghuni kampung baru Cina di seluruh negara, itu adalah realitinya hari ulang tahun kemerdekaan kita. Tujuan peruntukan itu adalah membolehkan penghuni di kampung baru Cina menghias kampung mereka dengan Jalur Gemilang.

Memanglah cantik apabila Jalur Gemilang berkibaran di sana sini. Tetapi apalah ertinya kalau mengibar Jalur Gemilang itu bukan datang daripada hati dan nurani untuk menghargai kemerdekaan?