Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
Sumber: Mingguan Malaysia 25 September 2005
Ketika ada kalangan orang kelas bangsawan dan berpendidikan Inggeris memperleceh gerakan memperjuangkan kemerdekaan oleh nasionalis Melayu, dia dengan lantang berkata, "Malaya pasti merdeka.'' Dia sangat optimis dengan gerakan beberapa nasionalis Melayu, yang diikuti juga oleh golongan guru dan sasterawan akan membawa kemerdekaan kepada Malaya.
Kini tidak banyak yang ingat namanya, tetapi bukan menghairankan kerana dia bukan tokoh politik. Dia seorang sasterawan, berjuang untuk Malaya dengan pena, kertas dan minda yang terbuka. Dia tegas dan sangat percaya kepada idealisme perjuangan yang dipegangnya.
Ketika dia menulis puisi Malaya Pasti Merdeka, fajar merdeka masih jauh untuk digapai. Tetapi dia yakin dan puisi Malaya Pasti Merdeka dianggap mahakarya yang ditinggalkan kepada generasi hari ini selepas 48 kali 31 Ogos melewati kalendar kita.
Dia Afrini Adham yang senama dengan ledakan dan cetus perjuangan yang digerakkan menerusi landas sastera dan bahasa. Afrini Adham antara sasterawan besar yang kita miliki sekalipun dia lebih tersorok di Kedah daripada kemilau dan tertonjol di tengah kota.
Sebagai sasterawan dan nasionalis, Afrini Adham meninggalkan banyak khazanah dan cerminan hidup kepada kita. Sebagai sasterawan yang memuncak pada dekad 50-an, Afrini Adham tidak menjulang slogan seni untuk masyarakat atau seni untuk seni yang dipelopori oleh Angkatan Sasterawan 50 (Asas 50).
Afrini Adham mempunyai prinsip perjuangan yang tersendiri dalam relung sasteranya. Maka tidak hairan kalau Afrini Adham memperjuangkan seni untuk perjuangan dan ini membuatkan dia berbeza daripada sasterawan Asas 50.
Dia menjulang idealisme perjuangan menuntut kemerdekaan, inilah anak muda yang membakar semangat orang Melayu bahawa Malaya pasti akan merdeka pada tahun 1955 lagi.
Petang Khamis lalu Afrini Adham nama sebenarnya Ahmad Ariffin telah menutup usia ke-77 tahun. Pada 4 November ini genaplah usianya yang ke-78 tahun. Selepas beberapa lama menderita barah usus, Afrini Adham yang dikenal juga sebagai Kelana Muda, Mak Inang Moden dan Bidas menghembuskan nafas terakhir di Hospital Alor Star.
Allahyarham mempunyai riwayat yang panjang dalam kesusasteraan. Sebagai orang muda yang menggelegak darah ketika Malaya bermimpi kemerdekaan, Allahyarham sangat yakin dan menulis puisi Malaya Pasti Merdeka. Puisi itu disiarkan dalam akhbar Utusan Zaman tahun 1955.
Afrini Adham dilahirkan di Kampung Seberang Nyonya, Alor Star pada 4 November 1927. Mendapat didikan awal di Sekolah Seberang Perak, Alor Star kemudian ke Sekolah Melayu Sungai Korok dan Sekolah Melayu Sungai Petani hingga darjah lima.
Zaman kanak-kanaknya dilingkar kemiskinan. Tetapi Afrini Adham tetap percaya miskin atau kaya, ilmu akan menjadikan seseorang itu lebih berguna kepada bangsa dan negaranya. Maka tidak hairanlah di samping belajar agama, sebelah petang Afrini Adham belajar bahasa Inggeris di Seberkas Free School, Alor Star selama dua tahun mulai 1947.
Dalam pertemuan sasterawan yang diadakan di Kuala Lumpur, Afrini Adham jarang ketinggalan untuk hadir dan bertemu sasterawan generasi baru. Allahyarham seorang tua umpama ayah yang memahami orang muda kerana gelegak muda itulah yang menjulang namanya pada dekad 50-an.
Allahyarham mulai dirangsang untuk berkarya apabila sebuah puisinya disiarkan oleh Warta Negara pada 1946. Bermula di situ, Afrini Adham muncul satu demi satu di penerbitan ternama seperti Utusan Zaman, Warta Mingguan, Mingguan Melayu, Majlis, Mastika, Juita dan Majalah Guru.
Dalam kesusasteraan khususnya genre puisi, Afrini Adham banyak berbicara mengenai perjuangan kemerdekaan, bangsa dan tanah airnya. Allahyarham boleh diumpamakan sebagai pemerhati yang kemudian mengolah secara kritis dan kreatif dalam karya sastera.
Afrini Adham dalam konteks kesusasteraan Nusantara, bukanlah hanya sasterawan Kedah. Lingkarannya ke Nusantara, tinggi karyanya setanding Allahyarham Usman Awang atau Masuri SN di Singapura.
Allahyarham pernah dianugerah Tokoh Budaya Kedah dan Tokoh Penyair Gapena beberapa tahun lalu yang disampaikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Langkawi.
"Allahyarham seorang yang pentingkan isi bukannya kulit. Hidupnya sangat sederhana walaupun besar jasanya. Kita mungkin sukar untuk menemui lagi manusia seperti ini,'' demikian kata Timbalan Menteri Penerangan Datuk Zainuddin Maidin mengenai sasterawan yang pernah menjadi idolanya.
"Afrini Adham besar daripada apa yang kita lihat,'' tambah beliau yang mengakui kehilangan seorang kawan rapat.
Afrini Adham sebenarnya mempunyai pengalaman dalam penerbitan majalah. Pada tahun 1949, Allahyarham dilantik sebagai penolong pengarang majalah Juita terbitan Malay Press di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Pada tahun 1953 Allahyarham menjadi pengarang sekali gus mengendalikan halaman cerpen dan puisi serta menulis pojok dengan nama Mak Inang Moden.
Suatu yang menariknya, waktu itu Allahyarham tidak menetap di Kuala Pilah, sebaliknya terus tinggal di Alor Star. Semua manuskrip yang hendak disiarkan dihantar ke Alor Star, disunting kemudian dihantar semula ke pejabat Malay Press di Kuala Pilah.
"Saya selalu bertemu Afrini Adham semasa di Singapura tahun 50-an. Allahyarham selalu datang ke Singapura bertemu rakan-rakan dalam Asas 50,'' kata Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said.
Beliau mengakui Afrini Adham antara orang yang memberi semangat kepadanya untuk berkarya kerana waktu itu Samad masih bersekolah.
``Afrini selalu mengingatkan saya waktu itu bahawa orang melayu mempunyai tradisi kesusasteraan yang tinggi. Malangnya tidak memanfaatkan ketinggian kesusasteraan itu,'' ujar Samad sambil memberitahu Afrini Adham bukan tergolong dalam Asas 50.
``Allahyarham hanya sezaman tapi bukan Asas 50. Malah Allahyarham ada prinsip juang tersendiri iaitu seni untuk perjuangan,'' kata Samad mengenai sasterawan yang dikelaskan sebagai sangat merendah diri itu.
Sementara Ketua Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Profesor Rahman Saari berkata, beliau selalu menyarankan kepada pelajar dan guru-guru sastera supaya menghayati puisi Malaya Pasti Merdeka karya Afrini.
``Allahyarham bukan saja meramal dalam puisinya tapi sangat yakin dengan perjuangan menuntut kemerdekaan. Ada hujah-hujah kenapa Malaya pasti akan merdeka,'' tegas Rahman.
Beliau juga memberitahu Afrini Adham mencipta slogan perjuangan tersendiri dalam kesusasteraan yang lain daripada Asas 50 iaitu seni untuk perjuangan. Maka yang tertonjol dalam puisi-puisi sasterawan tersohor itu adalah jurus perjuangan untuk tanah airnya.
``Bagi saya Afrini Adham sasterawan yang besar. Tetapi agak tersisih daripada media dan tidak seperti rakan seperjuangan di Kuala Lumpur, Usman Awang atau Masuri SN di Singapura,'' kata Rahman.
Baginya, sekiranya Afrini Adham berada di Kuala Lumpur, Allahyarham juga akan tertonjol seperti Usman Awang dan lain-lain yang seangkatan dengannya. Rahman juga menganggap Afrini Adham seorang yang sangat merendah diri malah dari luarnya tidak kelihatan karakter seorang sasterawan besar.
Ketika bertugas di Alor Star tahun 1983, saya telah menemu ramah seorang lelaki tua yang membahasakan dirinya "pak cik'' di Bangunan Peruda. Waktu itu bagi saya "pak cik'' ini sama dengan beberapa orang lain yang berada di kaki lima Bangunan Peruda hari itu.
Sebelah malamnya pada acara deklamasi puisi di Dewan Pelbagai Guna (sekarang Kompleks Belia dan Sukan), "pak cik'' yang ditemui siang tadi mendeklamasikan puisi Malaya Pasti Merdeka dengan garang dan lantang.
Saya tanya orang yang ada di situ, siapa lelaki tua itu? Kata mereka, "Itulah Afrini Adham.'' Hari ini setelah pemergiannya, pasti terasa bahawa kita semua banyak berhutang kepadanya.