Apabila Zionis marahkan Iran

Oleh: ZIN MAHMUD (Wartawan Utusan)
Sumber: Utusan Malaysia 5 Januari 2006


Dunia Barat sedang marah pada Iran bukan kerana kedegilan negara itu meneruskan program nuklearnya tetapi kenyataan Presidennya, Mahmoud Ahmedinejad bahawa Zionisme adalah serupa dengan fasisme.

Ini dianggap sebagai lanjutan kepada dua kenyataan Mahmoud sebelum ini, yang menyatakan bahawa pembunuhan ramai orang Yahudi oleh Nazi, dikenali sebagai Holocaust adalah mitos. Diikuti pula dengan seruannya supaya Israel dihapuskan dan negara Yahudi ditubuhkan di mana-mana negara di Eropah.

Sememangnya kenyataan Mahmoud itu pedih bagi orang Barat, khususnya Yahudi.

Jika membaca lidah pengarang majalah bisnes utama dunia kapitalis, Forbes, dapat dikesan kemarahan yang diluahkan oleh penerbitnya, Steve Forbes terhadap Mahmoud.

Beliau mencadangkan supaya Iran diperangi seperti mana Amerika Syarikat (AS) lakukan terhadap Iraq. Baginya Iran perlu dibebaskan daripada rejim ulama yang dianggap sebagai fasis.

Majalah itu mencadangkan bahawa kalau AS tidak mahu melakukan serangan ke atas loji nuklear, maka Israel boleh melakukannya.

Tetapi walaupun amalan demokrasi tidak serupa dengan AS, hakikatnya Mahmoud dipilih secara demokratik.

Persoalannya, adakah Iran menjadi ancaman bagi AS atau kuasa besar itu yang merupakan ancaman kepada Iran? Teheran tidak akan dapat menyerang Washington. Walaupun azam Mahmoud hendak menghapuskan Israel, beliau tidak dapat melakukannya. Loji nuklear Iran tidak sampai ke tahap menjadi senjata nuklear. Sebaliknya, AS dan Israel masing-masing mempunyai senjata nuklear yang boleh menghapuskan mana-mana negara di Asia Barat.

Sejak ditadbir oleh ulama, Iran hanya berperang melawan Iraq. Itupun kerana Saddam Hussein menghantar tentera menceroboh wilayahnya. Semasa perang Iran-Iraq, dunia Barat menyebelahi Saddam.

Tetapi AS dan Israel telah melancarkan banyak pencerobohan. Kini AS masih menduduki Iraq, Israel pula menguasai Bukit Golan milik Syria dan wilayah-wilayah Palestin.

Dunia kini mengeji fasisme, suatu ideologi yang mengamalkan kediktatoran dan bersifat perkauman keterlaluan hingga meminggirkan bangsa lain.

Fundamentalisme Islam yang diamalkan oleh Teheran walaupun dianggap sempit tetapi masih berlandaskan pada agama yang berasaskan universalisme merentasi bangsa, kaum dan keturunan.

Tetapi Zionisme merupakan ideologi yang berasaskan pada bangsa dan agama Yahudi. Ia meletakkan keagungan bangsa Yahudi hingga membenarkan kezaliman dilakukan ke atas bangsa dan agama lain.

Sementara demokrasi yang diamalkan oleh rejim Tel Aviv tidak memberi keadilan kepada penduduk Palestin.