Pemikiran tahyul dedahkan kelemahan pendidikan sains

Oleh: ZIN MAHMUD( Wartawan Utusan)
Sumber: Utusan Malaysia 25 Februari 2006


Penduduk Malaysia bukanlah minat pada muzium walaupun ia merupakan gedung penting bagi sesebuah negara bertamadun dan maju.

Muzium menyimpan khazanah negara dan ia merupakan sebuah institusi pendidikan dan ilmu yang mengandungi maklumat serta pengetahuan berharga.

Mereka yang mencintai ilmu pasti gemar terhadap muzium, seperti mana seseorang itu suka membaca buku atau menyertai seminar. Muzium yang baik adalah seperti buku berkualiti. Ia memperkayakan penggunanya, dari segi ilmu pengetahuan dan hati budi seseorang insan.

Dalam mengharapkan masyarakat Malaysia berkualiti sepadan dengan Wawasan 2020, rakyat negara ini wajar digalakkan dan disemai minat terhadap institusi-institusi budaya, dari teater, balai seni lukis, perpustakaan hinggalah ke muzium.

Justeru, muzium-muzium di negara ini, khususnya di negeri-negeri perlu diberi sokongan supaya dapat memberi sumbangan bagi pembinaan negara maju dengan berjati diri nasional.

Malangnya ribuan penduduk yang menyerbu Muzium Negeri Pahang bukannya kerana minat terhadap artifak sejarah dan ilmu yang terkandung di dalamnya tetapi kerana teruja dengan sebiji botol makhluk misteri.

Sememangnya botol makhluk misteri itu juga sebuah artifak yang juga mencerminkan budaya dan antropologi masyarakat Malaysia. Ia juga sebahagian daripada ilmu.

Tetapi tidak ada misteri di sebaliknya. Ia boleh dijelaskan melalui ilmu pengetahuan, dalam bidang antropologi, psikologi, sosiologi dan juga sains biologi.

Sememangnya masyarakat Malaysia minat pada apa yang disebut sebagai misteri. Bukan saja orang Melayu, tetapi kaum-kaum lain juga memiliki tradisi tahyul masing-masing.

Bagaimanapun, hubungan masyarakat Melayu dengan dunia misteri mempunyai keistimewaannya. Sebab itulah Muzium Negara yang menyimpan khazanah sejarah negara pernah pada satu masa diserbu ribuan pengunjung apabila ia menganjurkan pameran hantu.

Seperti makhluk misteri yang dipamerkan oleh Muzium Negeri Pahang itu, bidang ini adalah juga sebahagian daripada khazanah budaya dan kosmologi bangsa Nusantara. Justeru apabila terdapat rancangan televisyen berjudul Misteri Nusantara, ia menjadi program popular.

Misteri menjadi satu genre media, karya dan hiburan yang sentiasa menyentuh perasaan dalaman manusia.

Malah Bigfoot yang seharusnya berbentuk usaha mencari spesies biologi telah menjadi seolah-olah satu pembongkaran fenomena misteri.

Gejala berfikiran misteri ini bukan saja berlaku di negara-negara Timur tetapi juga Barat. Di sana juga perkara-perkara misteri, bukan saja dalam bentuk tradisi tetapi juga fiksyen sains seperti UFO menarik minat banyak orang.

Bagaimanapun, keadaan yang dilihat sebagai semula jadi dalam masyarakat ini perlu diimbangkan dengan pemikiran rasional, logik dan saintifik.

Walaupun masyarakat Barat juga dirundung dengan kepercayaan karut-marut tetapi institusi dan gerakan saintifik mereka sudah mapan dan mampu menjadi pengimbang kepada kecenderungan tahyul di kalangan orang awam.

Walaupun masyarakat Melayu cenderung untuk mempercayai dan suka akan benda-benda misteri tetapi dalam Rukun Negara telah ditetapkan bahawa Malaysia mempunyai objektif membina sebuah masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.

Sememangnya dari sejak mencapai kemerdekaan lagi, penyemaian pemikiran saintifik dilakukan melalui pendidikan.

Sains bukan saja diajar tetapi juga diutamakan di sekolah-sekolah supaya melahirkan komuniti saintifik yang kukuh.

Pelajar-pelajar bumiputera bukan saja digalakkan tetapi juga diasak ke dalam aliran sains dengan perubatan dan kejuruteraan menjadi bidang yang diutamakan.

Maka dapat disaksikan betapa banyak sekolah menengah sains dan teknikal diwujudkan di seluruh negara. Lanjutan daripada itu, pendidikan tinggi sains disokong oleh kerajaan melalui penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Pertanian Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), kesemuanya memiliki fakulti-fakulti sains yang kuat.

Di kalangan negara-negara membangun, kebangkitan komuniti sains di Malaysia amat pesat dalam jangka waktu yang pendek. Kini pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris adalah juga bertujuan untuk meningkatkan daya saing bidang ini. Di sinilah terkandung kebimbangan tersembunyi tentang keberkesanan pendidikan sains di sekolah hari ini.

Sememangnya matlamat pendidikan sains negara ini berbentuk melahirkan sumber manusia dengan tujuan ekonomi.

Tetapi hakikatnya, pendidikan sains di negara ini sewajarnya berupa satu gerakan kejuruteraan sosial yang bertujuan mengubah mentaliti masyarakat Melayu daripada memiliki kepercayaan tahyul kepada bersikap rasional dan saintifik.

Jadi, selagi masyarakat Melayu terperangkap dengan pemikiran karut, usaha pendidikan sains negara masih belum mencapai matlamat.

Pendidikan sains di sekolah tidak wajar terhenti setakat tamat peperiksaan. Masyarakat perlu terus dididik untuk berfikiran logik dan rasional melalui usaha berbentuk popular.