As-Britain terima bahana Iraq

Oleh: Zin Mahmud
Sumber: Mingguan Malaysia 26 Mac 2006


PERBAHASAN mengenai patutkah Iraq diperangi dan diduduki oleh Amerika Syarikat (AS) dan sekutu-sekutunya berlaku di seluruh dunia, oleh semua negara khususnya yang terlibat secara langsung dengan konflik itu.

Pelbagai hujah dikemukakan dengan menggunakan pelbagai bahasa, bukan saja Inggeris tetapi juga Perancis, Jerman, Rusia dan sudah tentu Arab yang mengupas dan mengulas mengenai perang Iraq sejak ia berlaku tiga tahun lalu.

Tetapi sudah tentu perbahasan paling banyak dilakukan dalam bahasa Inggeris, bukan saja ia merupakan bahasa global tetapi juga pemain peranan dalam perang Iraq itu didominasi oleh negara bertutur Inggeris.

AS, Britain dan Australia yang menjadi pemain peranan utama dalam konflik itu menggunakan bahasa Inggeris. Sebuah lagi negara berbahasa Inggeris utama dunia, iaitu Kanada tidak pula terlibat dalam perang berkenaan.

Maka dalam media dan ruang perbahasan politik negara-negara ini, AS, Britain dan Australia menyerlahkan inti-inti perdebatan mengenai perang itu.

Maka perdebatan mengenai perang ini di ketiga-tiga negara tersebut dapat diikuti dengan mudah oleh banyak orang di seluruh dunia kerana penggunaan bahasa Inggeris yang bersifat global itu.

Pun begitu di Australia, perdebatan tidaklah seimbang kerana pada keseluruhannya rakyat negara itu menyokong pembabitan negara mereka dalam peperangan berkenaan.

Perkara ini dapat dilihat bukan daripada kemenangan pilihan raya kerajaan pimpinan Perdana Menteri John Howard, dalam hal ini, Perdana Menteri Britain, Tony Blair dan Presiden AS, George W. Bush juga turut menikmati kejayaan yang sama, tetapi sikap yang ditunjukkan oleh rakyat Australia, majoriti berkulit putih dan keturunan Inggeris adalah menyebelahi AS.

Sememangnya Australia dilihat malah menonjolkan diri sebagai timbalan bagi AS untuk rantau Asia. Tetapi kedudukan Australia yang berjiran dengan negara-negara Asia lain, ditambah pula mereka mahu menyifatkan diri mereka sebagai negara benua itu menunjukkan bahawa keseimbangan perlu dilakukan untuk keselamatan politik mereka.

Dari segi ekonomi, Australia sentiasa menampilkan diri mereka sebagai negara Asia. Bukan saja kerana Asia Timur muncul sebagai rantau paling pesat berkembang tetapi masa depan politik negara itu dilihat sebagai berkait rapat dengan benua berkenaan, dan ini diserlahkan melalui keanggotaannya ke dalam Sidang kemuncak Asia Timur (EAS).

Pun begitu, dalam corak politik global, Australia adalah sebahagian daripada perikatan Barat pimpinan AS. Australia merupakan negara Komanwel yang berkait rapat dengan Britain tetapi juga bersekutu dengan AS yang turut berkongsi Lautan pasifik dengannya. Maka sifat sekutu Australia dengan AS adalah satu yang dianggap semula jadi.

Lebih-lebih lagi apabila dilihat dari sudut keturunan dan bangsa. Sesungguhnya Australia, AS dan Britain merupakan negara Anglo-Saxon daripada keturunan bangsa yang sama.

Tetapi dalam hal ini mengapakah Kanada dan New Zealand yang juga mempunyai pertalian rapat dengan Komanwel dan Britain tidak menunjukkan sifat seperti Australia?

Pada hakikatnya Kanada dan New Zealand yang juga berbahasa Inggeris dan keturunan Anglo-Saxon juga adalah sebahagian daripada keluarga AS-Britain.

Namun begitu, mereka mempunyai ciri-ciri yang menampilkan sifat kebebasan mereka daripada AS dalam hal-hal tertentu. Kanada tidak menyertai AS dalam perang Iraq itu. New Zealand dalam soal-soal nuklear umpamanya, mengambil jalan bebas daripada AS.

Mungkin ada dua ciri yang menjadikan mereka sebagai negara keluarga Inggeris yang bebas daripada AS-Britain.

Kanada, walaupun negara berbahasa Inggeris dan dalam Komanwel tetapi pada hakikatnya adalah negara dwiketurunan. Bahasa rasmi Kanada bukan saja Inggeris tetapi juga Perancis. Quebec merupakan wilayah utama Kanada yang mampu menjadi pengimbang kepada wilayah-wilayah lain yang berbahasa Inggeris.

Maka dengan mengambil kira bahawa Perancis menentang perang yang dilancarkan oleh AS ke atas Iraq, maka dapat difahami bahawa penduduk keturunan Perancis juga mempunyai sikap sedemikian. Maka Ottawa mengambil garisan bebas dengan tidak menjadi sekutu AS.

Dari segi sejarah, Kanada yang walaupun berjiran dan berkait rapat khususnya dari segi ekonomi dengan AS, tetapi mereka tidak mengikut Washington sepanjang masa.

Bergabung

Sememangnya pernah pada satu masa terdapat cadangan bahawa Kanada bergabung saja dengan AS untuk menjadi negara Amerika Utara yang lebih besar dan kuat. Gagasan seumpama ini pernah diperkirakan apabila Quebec diberi pilihan secara pungutan suara untuk sama ada merdeka dengan keluar dari Kanada. Maka jika perkara ini berlaku maka kanada menjadi kecil dan hanya berbahasa Inggeris yang menjadikan kewajaran untuknya menyertai AS.

Tetapi ternyata, majoriti, walaupun sedikit menolak kemerdekaan Quebec dan mereka memilih untuk berada dalam kanada. Dan ini menyelamatkan wilayah-wilayah Kanada yang lain daripada merasakan keperluan untuk bergabung dengan AS.

Sebelum merdeka, Kanada merupakan tanah-tanah jajahan yang setia dengan Britain, iaitu berbanding dengan 13 negeri di pesisiran pantai timur Amerika Utara yang memberontak menentang London untuk menubuhkan AS.

Selepas kemenangan 13 negeri ini dalam Perang Kemerdekaannya, maka penduduk yang setia dengan Britain berhijrah ke Kanada.

Tetapi akhirnya, Kanada juga mencapai kemerdekaan daripada Britain tetapi proses itu berlangsung secara evolusi dan tanpa pertumpahan darah. Mula-mula ia menjadi negara berpemerintahan sendiri yang diberikan status bernama Dominion.

Rakyat Kanada bersetuju dengan Britain dalam gagasan Komanwel yang berbentuk empayar. Mereka menyertai Perang Dunia pertama dengan semangat membela negara ibunda mereka iaitu Britain.

Begitu juga dalam Perang Dunia Kedua. Tetapi dalam Perang Dunia kedua, pemimpin-pemimpin Kanada sudah merasakan bahawa mereka semacam diperalatkan oleh Britain untuk kepentingan London. Dasar-dasar yang dibuat di London termasuk berperang dengan Jerman tidak mengambil kira kepentingan Komanwel pada keseluruhan. Ia lebih kepada kepentingan London.

Kanada hanya dipanggil untuk membantu Britain semasa timbul ancaman perang. Tetapi dalam waktu damai, Kanada tidak dipedulikan. maka gerakan berpemerintahan sendiri muncul dengan lebih kuat di Kanada yang akhirnya membawa kepada kemerdekaan. Proses ini disertai juga oleh Australia dan New Zealand, yang secara langsung mengubah kedudukan Komanwel daripada sebuah empayar kepada ikatan negara-negara berdaulat.

Suasana ini kemudian memudahkan gerakan kemerdekaan India, yang akhirnya meruntuhkan empayar Britain.

Dengan kejatuhan empayar Britain, AS pula masuk menggantikannya. Gambarannya adalah seolah-olah Britain menyerahkan empayarnya kepada AS dalam konteks pascakolonialisme. Sementara pascakolonialisme ini muncul dalam bentuk neokolonialisme.

Penanda besar perubahan daripada kolonialisme Britain kepada neokolonialisme AS adalah Israel dan itulah yang terus menjadi masalah sehingga hari ini.

Maka AS kemudian terlibat langsung sebagai penjajah bentuk baru bagi rantau Asia Barat. Ia pernah berlaku di Iran, dan kini berlangsung di Iraq. Britain pernah menjajah Iraq dan kemudian berundur. Kini AS menghadapi keadaan yang serupa.

Perbahasan mengenai perang Iraq berlaku dengan meluas di AS dan Britain. Nama-nama seperti Michael Moore di AS dan Robert Fisk di Britain muncul mempersoalkan perang di Iraq.

Perdebatan ini berlaku semasa AS belum masuk Iraq hingga ke hari ini. Walaupun Bush dan Blair terus memenangi pilihan raya tetapi boleh dikatakan majoriti rakyat AS menolak peperangan itu. Setiap tahun, mereka yang menentangnya bertambah dan itulah yang berlaku pada hari ini.

Bush memberi hujahnya tetapi dibalas balik oleh para intelektual awam di AS. Bagaimanapun, jika diteliti perbahasan yang berlaku, melalui pelbagai media dapat dirumuskan bahawa Britain lebih banyak mengalaminya, lebih-lebih lagi ia mempunyai penduduk yang jauh lebih kecil.

Malah media utama Britain yang pernah menyokong Blair iaitu The Economist dan The Guardian menegaskan bahawa Blair wajar berundur kerana peperangan ini.

Bahasa Inggeris yang digunakan oleh kedua-dua pihak memudahkan pertukaran hujah dan jika kedua-dua pemimpin itu bekerjasama, maka begitu jugalah dengan penentang-penentangnya dari kalangan intelektual awam.

Tetapi secara keseluruhan media yang menyiarkan hujah-hujah bagi menentang perang itu lebih terserlah di Britain.

Perlu diingat juga bahawa Bush datang daripada parti konservatif iaitu Republikan sementara Blair merupakan wakil parti kiri iaitu Parti Buruh. Umumnya, anggota Parti Buruh menentang perang dan mereka mempunyai para intelek yang cekap memainkan hujah.

Justeru, tekanan yang diterima oleh Blair lebih kuat daripada Bush. Tetapi hubungan AS-Britain tidak semudah perkiraan demokratik. Andai kata tinjauan umum menyatakan bahawa kedua-dua pemimpin itu harus berundur tidaklah semudah untuk mematuhinya.

Keputusan

Dalam sistem demokrasi AS dan Britain, pemimpinnya tidak menentukan segala-galanya. banyak pertimbangan lain yang melibatkan pelbagai kepentingan sama ada terdedah atau tersembunyi. Ia berangkai hingga akhirnya tidak dapat dipastikan siapa yang membuat keputusan.

Justeru, walaupun majoriti rakyat AS dan Britain mahukan tentera mereka berundur, tetapi keputusan berbuat demikian tidak boleh dibuat sekelip mata oleh Bush atau Blair. London harus melihat pertimbangan Washington. Sementara washington mempunyai rangkaian yang perlu diambil kira, dari New York, Los Angeles hinggalah ke Baitulmaqdis.

Kalau Ayatullah Khomeini dapat menghentikan perang Iran-Iraq dengan membuat keputusannya secara berseorangan walaupun akibat desakan, Bush dan Blair tidak dapat berbuat demikian.

Demokrasi di AS dan Britain menjadikan negara itu tidak diketahui siapa yang mempengaruhi sesuatu keputusan akhir.

Banyak kajian dibuat tentang sistem politik AS dan Britain yang memaparkan kuasa-kuasa di belakang Bush dan Blair.Tetapi perbahasan daripada kalangan intelektual awam mempunyai peranan besar mempengaruhi keputusan.

Bush berada di penggal akhir dan pengganti Blair juga sudah bersedia. Akhirnya Bush dan Blair akan berundur juga dalam tempoh yang kelihatan jelas. Keadaan ini membuka ruang perubahan.

Kesemua parti utama AS dan Britain iaitu Republikan, Demokratik, Konservatif dan Buruh mempunyai intelektual awam yang aktif menulis dan berbahas.

Pengunduran AS dari Vietnam dahulu dan Britain dari empayarnya atas pelbagai sebab juga disumbangkan oleh perdebatan intelektual awam ini.

Kebenaran hujah politik yang berasaskan idealisme ideologi masing-masing bertembung dengan kepentingan kuasa yang berasaskan pada harta dan kuasa.

Keadaan ini akan berterusan dari zaman ke zaman tetapi hujah wajar dikemukakan dan media menjadi medan perbahasan. Tekanan yang diterima oleh Bush dan Blair akan akhirnya mengundurkan tentera-tentera mereka dari Iraq.