Umat Islam berjaya di AS

Oleh: Datuk Muhammad Alias (bekas diplomat Malaysia dan bekas wartawan Utusan Melayu)
Sumber: Utusan Malaysia 9 Mac 2006


Awal tahun 1970-an dua orang belia Islam dari Thailand tiba di Amerika Syarikat (AS) dengan tujuan berasingan. Manat dari Bangkok datang untuk melanjutkan pelajaran, sementara Surachai dari Yala untuk berniaga. Kini, lebih dari 30 tahun kemudian, kedua-duanya masih berada di California. Bekerja, berkahwin dan mempunyai beberapa orang cucu.

Kedua-duanya berjaya dalam bidang masing-masing. Jelas sekali, kehidupan mereka adalah tersangat baik dibandingkan dengan saudara mara di negara asal.

Dua orang belia dari Thailand ini merupakan sebahagian daripada sejarah yang dilalui oleh berjuta-juta orang Islam yang meninggalkan negara asal untuk merantau ke AS. Sejak awal tahun 1960-an lagi, beratus-ratus orang pelajar Islam dari seluruh dunia khususnya India, Pakistan dan Asia Barat belajar di beberapa buah universiti di AS. Penumpuan lokasi universiti ketika itu ialah di California dan Michigan.

Lantaran itu Muslim Students Association (MSA) pertama ditubuhkan di Michigan tahun 1963, kemudian diikuti di California.

Ramai kalangan pelajar ini terus menetap di sini. Lantaran itu hingga ke hari ini penduduk Islam paling ramai mendiami California Selatan dan Michigan.

Islamic Center of Southern California (ICSC) ditubuhkan awal tahun 1960-an. Menurut ceritanya ketika ICSC ditubuhkan hanya kira-kira lapan orang terdiri daripada pelajar dan pekerja yang sering berjemaah sembahyang Maghrib dan Isyak. ICSC mula beroperasi di lokasi sekarang iaitu di South Vermont Avenue, Los Angeles awal tahun 1970-an.

Menariknya, pengasas imigran Islam ini mengutip derma untuk membeli tanah serta membangunkan masjid, surau dan pusat-pusat Islam. Sebagai sebuah negara yang memegang teguh kepada prinsip pemisahan antara gereja dan negeri, maka kerajaan tidak memberi bantuan kepada mana-mana agama di AS.

Lantaran itu setiap agama terpaksa mencari wang sendiri untuk membina tempat-tempat beribadat dan aktiviti-aktiviti keagamaan.

Ketika ini di California Selatan sahaja terdapat lebih daripada 100 buah masjid, surau dan pusat Islam. Di bandar raya Los Angeles sendiri terdapat tiga buah masjid besar yang boleh memuatkan ribuan jemaah.

Malahan di Anaheim yang terkenal dengan Disneyland terdapat pusat Islam yang besar. Ia merupakan tempat sembahyang dan lain-lain aktiviti keagamaan.

Begitu juga di Michigan, Washington D.C, New York dan lain-lain bandar besar dan kecil. Dianggarkan kira-kira 8,000 masjid, surau dan pusat Islam wujud di seluruh AS.

Penghijrahan beramai-ramai orang Islam ke AS adalah ekoran undang-undang Imigresen tahun 1964 yang berkuat kuasa mulai tahun 1968. Undang-undang tersebut buat pertama kalinya membatalkan sistem lama yang hanya memberi kemudahan imigrasi kepada penduduk-penduduk berasal dari negara-negara Eropah. Dalam lain perkataan undang-undang baru membuka pintu kepada imigran dari pelbagai pelosok dunia berhijrah ke AS.

Lantaran itu, orang Islam dari benua kecil India, Myanmar, Iran, Turki, Mesir dan Asia Barat mengambil peluang berhijrah ke AS. Antaranya termasuklah kumpulan profesional, pensyarah universiti, pakar undang-undang Islam dan guru-guru agama. Malahan ada antaranya yang datang atas sebab-sebab politik. Sementara para pelajar yang menamatkan pelajaran mengambil peluang untuk terus menetap.

Dasar

Tahun 1960-an juga kumpulan Black Muslims (masyarakat berkulit hitam AS) mula menonjolkan diri. Mereka menentang perang Vietnam atas dasar bertentangan dengan Islam. Muhammad Ali, peninju terkenal enggan berkhidmat di Vietnam sebaliknya sanggup dipenjarakan.

Kini Black Muslims berpecah dua. Satu diketuai oleh Louis Farrakhan dan satu lagi di bawah W.D. Muhammad. Kumpulan W.D. Muhammad dikenali sebagai Islam konservatif. Meskipun begitu, kedua-duanya mempunyai matlamat perjuangan yang sama.

Dewasa ini penduduk Islam di AS dianggarkan antara tujuh hingga lapan juta.

Penghijrahan imigran Islam ke AS semakin bertambah ekoran daripada persengketaan dunia. Penyatuan Vietnam di bawah rejim komunis pada pertengahan tahun 1970-an berkesudahan dengan penghijrahan ribuan orang Melayu Cham dari Vietnam.

Begitu juga dengan kemelut di Somalia, Palestin, Iraq, Iran, Lebanon, Bosnia, negara-negara Asia Tengah dan Afghanistan. Dewasa ini orang Islam mendiami setiap negeri di AS.

Sesuatu yang menarik, umat Islam AS mampu membina rumah-rumah ibadat sendiri tanpa bantuan kerajaan. Di samping bantuan daripada beberapa negara Arab, umat Islam AS juga mengutip derma sesama sendiri. Kemampuan mereka berbuat demikian kerana sebahagian besar mereka terdiri daripada golongan profesional atau peniaga.

Perpaduan di kalangan umat Islam khususnya imigran nampaknya rapat meskipun ada kalanya agak luaran sahaja. Orang Islam dari pelbagai mazhab bersembahyang bersama-sama.

Di AS tiada siapa yang bertanyakan mazhab seseorang. Agama adalah hak peribadi. Malahan apa sahaja mazhab dalam Islam terdapat di AS.