Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 15 April 2006
Perkataan tanah air dan ibu pertiwi adalah perkataan-perkataan unggul dalam bahasa Melayu yang merujuk kepada negara. Istilah ibu pertiwi apabila diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, ia menjadi motherland.
Orang Inggeris merujuk kepada tanah air mereka sebagai motherland tetapi orang Jerman menamakan negara mereka sebagai fatherland. Tetapi istilah ibu pertiwi melangkaui maksud motherland. Memang pertiwi juga bermaksud tanah. Justeru, ibu pertiwi bermakna ibu tanah.
Pertiwi adalah perkataan Sanskrit yang merupakan salah satu daripada lima unsur bumi menurut kosmologi Melayu purba. Konsep yang bernama panca mahabhuta ini menggariskan lima unsur bumi terdiri daripada pertiwi (tanah), apah (air), teja (cahaya), bayu (udara) dan angkasa (ruang).
Konsep ini membentuk maksud negara apabila menjadi ibu pertiwi dan tanah air. Hubungan rakyat kepada negaranya adalah seperti dengan ibu kandungnya, yang terdiri daripada tanah, air dan ruang udara.
Pada zaman dahulu, negara ditandai dengan tanah dan sempadan dibuat menurut kedudukan tanah. Orang Melayu yang merupakan bangsa maritim di mana ibu pertiwinya meliputi gugusan pulau-pulau Melayu, juga disebut Nusantara dan Tanah Melayu, air menjadikan sebahagian daripada ruang lingkup negara. Justeru konsep tanah air merujuk betapa orang Melayu pernah menandakan negaranya melalui bukan saja tanah tetapi juga air, seperti sungai dan laut.
Penjajah Barat yang membentuk empayar laut juga menetapkan kepentingan sempadan di atas air.
Maka, tanah dan air adalah unsur penting bagi kedaulatan negara. Selepas perang dunia kedua, dengan kemunculan kapal terbang, ruang udara juga menjadi unsur penting dalam konsep kedaulatan negara.
Malah kini istilah tanah air boleh dibesarkan kepada tanah air udara untuk melambangkan maksud ruang lingkup kedaulatan negara.
Tidak hairanlah Angkatan Tentera terdiri daripada tiga cabang iaitu Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara.
Dalam konteks ini, adalah tepat bagi kerajaan untuk bertegas dengan Singapura untuk tidak menyerahkan hak bekalan pasir dan ruang udara. Sesungguhnya pasir dan ruang udara adalah sebahagian daripada ciri-ciri tanah air yang kedaulatannya mesti dipertahankan.
Kalau dahulu tanah hanya bermaksud wilayah, kini ia meliputi juga pasir. Ini kerana pasir sebagai satu elemen tanah boleh mengurangkan dan menambah wilayah sesebuah negara.
Dalam hal ini, Malaysia juga baru sedar tentang perkara ini. Sudah bertahun-tahun sebelum ini Singapura membawa masuk pasir dari Johor walaupun secara membelinya.
Begitu juga dengan air. Walaupun dalam konsep tanah air, apa yang dimaksudkan dengan air ialah wilayah perairan tetapi kini air sebagai keperluan asas manusia menjadi bukan saja sebahagian daripada soal kedaulatan negara tetapi juga keselamatan.
Itulah yang terjadi terhadap isu air yang melibatkan hubungan Malaysia dan Singapura. Bagi Singapura, air adalah masalah keselamatan. Begitu juga dengan Malaysia walaupun dahulu ketika pemisahan, perkara ini tidak nyata. Perjanjian air yang pada satu masa dahulu dilihat sebagai wajar kini bagi Malaysia adalah berat sebelah dan menjejaskan maruah negara di mana air yang begitu berharga dijual amat murah kepada republik itu.
Soal air ini juga menyebabkan perhatian Singapura melangkaui masuk ke wilayah Malaysia. Keseluruhan paip hingga ke tempat tadahan di Johor merupakan sebahagian daripada keselamatannya.
Bukan itu saja, pemisahan pada tahun 1965 telah menetapkan juga bahawa Selat Teberau dan Tambak Johor tidak boleh diubah kecuali atas persetujuan kedua-dua pihak. Ini juga berkaitan dengan paip dan saluran air dari Johor ke Singapura.
Malaysia berhasrat untuk membina jambatan menggantikan tambak. Tetapi ia tidak boleh dibuat jika Singapura tidak setuju walaupun dalam wilayah Malaysia.
Bagaimanapun, dalam rundingan Singapura mengehendaki bekalan pasir dan ruang udara. Maknanya, selain daripada air yang telah didapati, ia mahukan tanah dan udara. Jika Malaysia beri, maka jambatan itu bolehlah dibina.
Maka kerajaan membuat keputusan tepat dengan menolak permintaan Singapura itu.