Elak perang dunia keempat

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 25 Jun 2006


MENGAPAKAH Piala Dunia didominasi negara-negara Eropah dan Amerika Latin? Akhbar antarabangsa International Herald Tribune (IHT) ada mengulas betapa perlawanan bola sepak telah menggantikan peperangan dalam pertembungan antara negara.

Maksudnya, manusia, khususnya orang lelaki mempunyai dorongan agresif untuk berperang. Jadi jika tidak berperang, dorongan dan tenaga untuk berperang ini perlu disalurkan kepada cara lain, maka permainan sukan merupakan antara kaedah psikologi bagi menampung kecenderungan untuk berperang ini.

Dalam hal ini, Eropah dianggap telah serik untuk berperang selepas mengalami penderitaan dan kemusnahan teruk semasa Perang Dunia Kedua dahulu. Maka secara umumnya, mereka telah memansuhkan peperangan dengan menubuhkan Kesatuan Eropah (EU) dan dorongan berperang itu disalurkan kepada permainan bola sepak dengan kemuncak pertempuran berlaku semasa Piala Dunia.

Mungkin ada benarnya sangkaan ini. Teringat sebuah filem fiksyen sains tahun 70-an dahulu bernama Rollerball. Ia mengisahkan betapa pada masa akan datang dunia telah mengharamkan perang. Sebagai ganti, sebuah permainan ganas yang mencantumkan elemen American football, bola sepak dan hoki ais dan gelongsor dicipta. Di sinilah segala dorongan agresif lelaki disalurkan sebagai menggantikan perang. Permainan ini ganas hingga boleh membawa maut tetapi ia menyelamatkan dunia daripada kancah peperangan.

Sangkaan bahawa sukan, olahraga dan permainan fizikal sebagai kaedah mengurangkan dorongan untuk berperang bukan perkara baru.

Malah banyak bentuk olahraga dan permainan berasal dari bentuk peperangan. Memanah, membaling lembing dan berlawan pedang adalah asalnya untuk perang. Apatah lagi acara-acara seperti judo, karate, tae kwan do dan silat yang memang asalnya untuk berperang.

Maka asal usul Sukan Olimpik juga berkait rapat dengan usaha untuk mewujudkan perdamaian di Yunani purba, yang mana kota-kotanya sentiasa berperang di antara satu sama lain.

Begitu juga dengan sejarah bola sepak yang banyak menunjukkan kaitannya dengan tentera dan peperangan. Kini simbol-simbol termasuk warna bendera dan jersi pasukan menggambarkan warisan ketika negara berperang di antara satu sama lain.

Dalam tradisi Melayu, beberapa peperangan dielakkan apabila digantikannya dengan perlawanan laga ayam dan lembu. Maka peperangan antara Jawa dan Melayu dapat dielakkan melalui laga kerbau di mana lahirnya suku kaum Minangkabau atau menang kerbau. Begitu juga dengan kisah bagaimana daerah Besut berpindah daripada pemerintahan Kelantan kepada Terengganu.

Tetapi kalau sungguh penglibatan Eropah dalam bola sepak dikaitkan dengan hasrat warganya untuk mengelak perang, bagaimana pula dengan Amerika Latin?

Perlu difikirkan bahawa walaupun Amerika Latin tidak terlibat dengan Perang Dunia Kedua, tetapi benua itu sejak ia mencapai kemerdekaan daripada Sepanyol dan Portugis, ia terus bergolak yang melibatkan peperangan dalaman. Selepas revolusi kemerdekaan pimpinan Simon Bolivar, benua Amerika Selatan bergolak dengan rampasan kuasa serta pemberontakan gerila berlaku terus-menerus hingga ke zaman Perang Dingin apabila Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Soviet turut terlibat.

Demokrasi sukar untuk dilaksanakan hinggakan seluruh benua itu sentiasa dirundung oleh pemerintahan junta tentera. Ia pula mendorong kebangkitan gerakan gerila dan melahirkan banyak wira revolusi kiri, antaranya yang terkenal ialah che Guevara.

Hanya selepas Perang Dingin, barulah terdapat tanda-tanda damai meliputi seluruh dunia dengan demokrasi dilaksanakan dan rakyat memilih parti-parti kiri.

Sepanjang pergolakan itu turut lahir pasukan-pasukan bola sepak yang kuat dan mungkinkah ekspresi untuk damai terlihat dengan kemunculan Amerika Selatan sebagai benua yang mendominasi Piala Dunia.

Maka tinggallah Afrika dan Asia. Peperangan masih berlaku di beberapa tempat di Afrika tetapi beberapa negara benua itu, yang miskin dan turut dalam peperangan menyumbang kepada wira-wira bola sepak.

Asia masih jauh ketinggalan dalam bola sepak. Benua ini walaupun terkenal dengan kepesatan pertumbuhan ekonomi mempunyai pusat-pusat ketegangan paling utama di dunia. Palestin, Iraq, Iran, Afghanistan, Pakistan, India, Sri Lanka dan Korea Utara adalah dalam benua Asia.

Pasukan Asia yang sampai ke pesta Piala Dunia di Jerman ialah Arab Saudi, Iran, Korea Selatan dan Jepun.

Korea Selatan dan Jepun pernah mengalami kesan Perang Dunia Kedua amat teruk. Kedua-duanya juga kini di ambang ancaman senjata nuklear Korea Utara.

Dalam sejarah kontemporari, Iran terlibat dengan perang dengan Iraq, dan kini menerima ancaman perang AS berhubung dengan soal nuklear.

Arab Saudi pula terlibat dengan perang dengan Iraq apabila Saddam Hussein menceroboh Kuwait. Ia juga dibayangi dengan pergolakan AS-Iran berhubung dengan nuklear.

Maka soal perang berkaitan nuklear inilah yang disifatkan sebagai perang dunia keempat oleh Forum Keamanan Global, satu gerakan mengharamkan perang pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengadakan sidangnya sepanjang minggu lalu.

Forum itu menunjukkan keprihatinannya terhadap ketegangan antara Washington dan Teheran berhubung isu nuklear di mana AS menunjukkan ancaman akan menyerang Iran.

Jika benar-benar AS menyerang Iran, inilah yang disifatkan sebagai bermulanya perang dunia keempat yang akan merebak ke seluruh dunia melibatkan penggunaan nuklear.

Iran sendiri baru berhasrat untuk membina kemudahan tenaga nuklear tetapi AS sudah memiliki senjata nuklear. Di antara negara-negara yang menyertai Piala Dunia, mereka yang memiliki senjata nuklear selain daripada AS ialah Perancis dan England.

Tetapi melihat Eropah yang komited terhadap mengelak peperangan, maka boleh disebut bahawa adanya senjata nuklear di tangan Perancis dan England tidak menghalang benua itu menikmati keamanan.

Justeru, jika Iran dibenarkan memiliki senjata nuklear, ia mungkin juga boleh mendatangkan keamanan di Asia Barat, iaitu untuk menjadi pengimbang kepada Israel yang memiliki senjata sedemikian.

Bagaimanapun jika hari ini AS menyerang Iran yang belum memiliki senjata nuklear, maka perang dunia keempat boleh meletus. Iran mampu membalas dengan menyerang Israel. Rejim Tel Aviv pula membalas dengan menggunakan senjata nuklear.

Rusia yang berpihak pada Iran akan turut serta membalas serangan dan bumi tercebur dalam kancah perang dunia keempat.

Di sebelah Asia Timur pula, Korea Utara mampu menyerang Korea Selatan dan Jepun, kedua-dua sekutu AS.

Serangan balas akan dilakukan oleh AS yang melindungi sekutunya. China yang memiliki senjata nuklear tidak akan duduk diam. Maka bertambah terheretnya bumi ke dalam kancah peperangan.

Maka keadaan itulah yang hendak dielakkan. Cara bagi mengelaknya ialah AS hentikan saja sebarang hasratnya untuk menyerang.

Bagi gerakan keamanan, peperangan wajar dihapuskan sama sekali. Kalau institusi perhambaan yang begitu lama diamalkan oleh manusia boleh diharamkan, maka mengapa tidak peperangan?

Peperangan harus dilihat sebagai kejahatan dan bukannya sifat semula jadi manusia. Tetapi jika pemansuhan perhambaan membawa kepada kelas pekerja sebagai gantian, maka begitu juga dengan peperangan. Ia wajar ada bahan ganti kepadanya. Ini kerana peperangan juga melibatkan budaya dan psikologi manusia. Maka sukan dan permainan boleh menggantikan peperangan sebenar.

Perang Dingin yang dianggap sebagai perang dunia ketiga oleh gerakan keamanan sejagat ini memperlihatkan beberapa perkara yang boleh dipelajari.

Walaupun tidak ada pertempuran secara besar-besaran dan berhadapan antara AS dan Soviet tetapi pertempuran berlaku secara proksi dan ia melibatkan banyak negara, dari Korea, Vietnam hinggalah kepada Afghanistan.

Soviet pernah menampilkan pasukan bola sepaknya untuk Piala Dunia tetapi ia kecundang di tangan Brazil walaupun sukan itu dirancang sebegitu saintifik.

Tetapi sepanjang Sukan Olimpik yang diadakan, negara-negara blok Soviet berjaya menampilkan kehebatan mereka di bidang sukan. Kemuncaknya ialah apabila Moscow berjaya menjadi tuan rumah Sukan Olimpik tetapi gagal mendapat penyertaan dunia kerana pencerobohannya ke atas Afghanistan.

Ada dua andaian di sini. Sama ada penglibatan besar negara-negara bersaing dalam sukan itu mengendurkan Perang Dingin hingga ia bertahap dingin dan tidaklah sampai kepada perang yang benar-benar panas atau kesannya terhadap semangat berperang tidak wujud langsung.

Perlu juga diingatkan betapa Jerman Nazi pernah menjadi tuan rumah Sukan Olimpik dan dia menggunakan sukan untuk kepentingan fahaman politiknya tetapi ternyata gagal.

Akhirnya Perang Dunia Kedua berlaku juga dan semasa ia berlaku, tidak ada negara yang ada selera untuk bersukan atau menganjurkan permainan.

Selepas Perang Dunia Kedua, hampir seluruh dunia serik untuk berperang. Tetapi kemudian Perang Dingin berlaku juga.

Di satu pihak Moscow yang mengetuai blok komunis mahu menyebarkan ideologinya. Di satu pihak blok Barat tidak mahu melepaskan tanah-tanah jajahannya.

Maka perjuangan menuntut kemerdekaan di Vietnam berubah menjadi gerakan komunis kerana pada awalnya kuasa penjajah Perancis enggan melepaskannya.

Belum reda daripada kepenatan perang, tentera British datang menyerang pejuang kemerdekaan Indonesia di Surabaya bagi membantu Belanda kembali memerintah tanah jajahannya.

Tetapi dilihat dengan ancaman perang dunia keempat ini ialah elemen rebutan pada minyak dan lebih penting lagi ialah keengganan AS, Eropah dan Israel untuk menerima bahawa Palestin mahukan sebuah negara merdeka yang berdaulat dan bebas.

Di situlah kunci masalah dunia dan menjadi penyumbang besar kepada ancaman perang dunia keempat.

Mungkin bagi AS, perang dunia keempat sudah pun bermula iaitu apabila Al-Qaeda melakukan serangannya ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC) New York pada 11 September 2001.

Penaklukannya ke atas Iraq dan ancamannya terhadap Iran adalah sebahagian daripada peperangan ini.

Perang menentang keganasan inilah perang dunia keempat dan seperti Perang Dingin dahulu, AS melihat dunia secara hitam putih. Siapa yang tidak bersamanya adalah musuhnya.

Kalau banyak parti sosialis dan nasionalis yang bukan komunis dan berkecuali disifatkan sebagai musuh AS pada Perang Dingin dahulu, maka begitu juga dalam perang menentang keganasan. Mana-mana pihak yang tidak bersamanya, sama ada Hamas atau kerajaan- kerajaan kiri di Amerika Latin yang tidak memihak pada AS, maka mereka dianggap musuh seperti juga Al-Qaeda.

Dalam tiga peperangan dunia, Perang Dunia Pertama, Kedua dan Dingin, Washington berasa mereka menang kerana kebenarannya. Maka keangkuhannya inilah yang boleh membawa kepada ancaman perang dunia keempat.

Iran mempunyai istilah untuk golongan takbur ini, iaitu mustakbirin. Untuk menghapuskan perang, pemikiran golongan ini mesti dipinda. Inilah sebahagian usaha daripada Forum Keamanan Global Perdana 2006.