Kedudukan konsep ‘rasmi’ pada negara

Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 14 Julai 2006


BAHASA Melayu yang dinamakan bahasa Malaysia adalah Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

Apakah perbezaan antara kebangsaan dan rasmi? Kebangsaan merujuk kepada kedudukan bahasa itu untuk mewakili jati diri atau entiti Malaysia. Sementara rasmi pula merujuk kepada kedudukannya sebagai bahasa yang digunakan pada peringkat urusan kerajaan, iaitu melibatkan jabatan kerajaan.

Bagaimanapun, dalam negara, bahasa-bahasa lain bebas digunakan tanpa halangan.

Tetapi tidak semestinya sesuatu yang rasmi menjadi kebangsaan dan begitu juga sebaliknya. Umpamanya ada sebuah negara yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Maka jati diri negara itu dilambangkan melalui bahasa Melayu. Namun begitu bahasa rasmi disebut sebagai bahasa Inggeris, Melayu, Mandarin dan Tamil. Maka keempat-empat bahasa itu digunakan dalam urusan rasmi kerajaan.

Ada perkara yang boleh mempunyai kedudukan kebangsaan dan serentak dianggap rasmi tanpa disebut. Ada pula dianggap kebangsaan tetapi tidaklah disifatkan sebagai rasmi. Begitu juga, ada perkara yang disifatkan sebagai rasmi, tetapi tidak pula dilihat sebagai kebangsaan.

Contohnya, Negaraku adalah Lagu Kebangsaan. Ia menampilkan jati diri negara. Ia dinyanyikan dalam acara-acara rasmi, tetapi tidaklah disebut sebagai lagu rasmi. Begitu juga dengan bunga raya yang merupakan Bunga Kebangsaan, ia tidak disebut sebagai bunga rasmi. Tetapi ia bukan saja disifatkan mewakili jati diri negara tetapi juga dijadikan motif dalam kain-kain rentang untuk acara-acara rasmi.

Bagaimana pula dengan agama. Islam adalah agama rasmi negara. Tetapi tidaklah disebut sebagai agama kebangsaan. Namun begitu, dari segi semangat dan amalan Islam juga ditampilkan sebagai mewakili jati diri negara.

Tidak ada sesiapa yang boleh menafikan bahawa bulan sabit yang terdapat pada Jalur Gemilang dan enam negeri melambangkan agama Islam.

Oleh kerana Islam adalah agama rasmi, maka wujudlah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), adanya Masjid Negara dan wujudnya Mahkamah Syariah.

Sifat Islam yang merupakan agama kebangsaan menyebabkan Malaysia menjadi anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) tanpa sebarang pertikaian. Walaupun tidak disebut sebagai agama kebangsaan, Islam merupakan salah satu jati diri negara, seperti mana juga antara lain bahasa Melayu.