Kompressor, Masterpiece; begitukah budaya wakil rakyat?

Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 8 Julai 2006


SEPANJANG hidup, penulis ini tidak pernah berurusan dengan wakil rakyat kerana tidak ada merasakan keperluannya.

Bagaimanapun, penulis ini mengundi setiap kali pilihan raya umum untuk memilih wakil rakyat sebaik saja umur mencapai tahap kelayakan.

Ketika mendaftar sebagai pemilih dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), ia merupakan pengalaman yang bermakna dan dihargai kerana di situlah sebagai warganegara, penulis mendapat hak menentukan wakil rakyat dan secara tidak langsung kerajaan yang memerintah negara.

Kawasan-kawasan yang pernah penulis mengundi untuk memilih wakil rakyat adalah di Sungai Besi, Titiwangsa dan Selayang. Tetapi penulis tidak pernah berurusan dengan mereka kerana tiada keperluan.

Penulis hanya bertemu dengan wakil rakyat dari pelbagai kawasan di Dewan Rakyat ketika membuat liputan Parlimen pada tahun-tahun 80-an, atau dalam acara-acara parti politik.

Tidak berurusan dengan wakil rakyat tidak bermakna tidak mengambil berat tentang apa yang mereka lakukan. Sejak di bangku sekolah lagi laporan Parlimen merupakan ruangan yang sentiasa menarik minat penulis untuk mengetahui apa yang disuarakan oleh wakil rakyat.

Bagi hemat penulis, wakil rakyat merupakan warganegara istimewa dan penting kerana mereka yang menentukan corak perjalanan kerajaan dan negara. Mereka bukan saja menggubal undang-undang tetapi memberi cadangan kepada kerajaan di samping mempersoalkan apa-apa yang tidak kena dalam perjalanan kerajaan.

Kuasa dan pengaruh wakil rakyat adalah besar tetapi kedudukan mereka itu bukanlah suatu kerjaya atau pekerjaan, tetapi merupakan amanah. Wakil rakyat mewakili penduduk di kawasan masing-masing, sama ada mereka yang mengundinya ataupun tidak. Tidak kira sama ada mereka itu penyokong partinya ataupun tidak.

Wakil rakyat membawa aspirasi penduduk kawasannya di samping membantu kehidupan seharian mereka di mana wajar. Kerja wakil rakyat amat sukar tetapi terpulang pada setiap daripada mereka untuk menjadikan jawatan itu benar-benar bermakna sebagai bakti kepada rakyat yang memerlukan pembelaan mereka.

Wakil rakyat boleh menjadikan kedudukannya sebagai pangkalan kepada wawasannya untuk memajukan negara dan memperbaiki kehidupan rakyat. Dengan mengambil perhatian kesusahan dan masalah yang ditanggung oleh penduduk di kawasannya, seseorang wakil rakyat mampu mengubah nasib mereka.

Sebaliknya wakil rakyat juga boleh mengetepikan kepentingan rakyat dan menumpukan perhatian kepada kepentingannya sendiri, umpamanya dalam bidang perniagaan ataupun politik. Maknanya politik dijadikan kerjaya dan bukannya untuk rakyat. Jawatan wakil rakyat direbut atas kepentingan kerjaya dalam politik, atau perniagaan bagi kepentingan diri.

Sebagai manusia biasa yang mempunyai keinginan untuk hidup lebih senang, memiliki harta benda, wakil rakyat juga mahu kehidupannya terjamin lebih-lebih lagi untuk masa mereka bersara di kemudian hari. Tetapi jawatan wakil rakyat itu adalah suatu amanah yang istimewa dan berbeza daripada kerjaya politik ataupun perniagaan. Wakil rakyat merupakan pejuang dan aktivis bagi membela rakyat. Ia bukan kerjaya.

Walaupun seringkali digunakan istilah kerjaya politik, tetapi ia tidak boleh disamakan dengan kerjaya lain seperti kerjaya perniagaan atau profesional. Walaupun ia disebut sebagai kerjaya, pada hakikatnya ahli politik lebih-lebih lagi wakil rakyat bukannya kerjaya. Ia adalah perjuangan. Disebutnya sebagai kerjaya hanya dalam konteks bahawa mereka juga diberikan ganjaran sewajarnya kerana rakyat dan negara menerima khidmat mereka.

Justeru, budaya kehidupan wakil rakyat perlu berbentuk prihatin kepada kepentingan rakyat, dan bukannya soal-soal kereta mewah seperti Mercedes-Benz, sama ada Kompressor atau Masterpiece.

Bercakap mengenai benda-benda mewah yang jauh daripada kehidupan kebanyakan orang ramai hanya melukakan hati rakyat.