Islam–Barat bertembung di PBB

Oleh: ZIN MAHMUD (Di New York, Amerika Syarikat)
Sumber: Mingguan Malaysia 24 September 2006


New York sememangnya ibu kota dunia. Bukan saja ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ada di sini tetapi kedudukan bandar raya itu dalam tamadun manusia moden mewajarkannya dianggap sebagai ibu kota dunia.

Di sinilah terletaknya Bursa Saham New York (NYSE) yang merupakan nadi ekonomi dunia. Di sinilah jugalah dunia mula mengenal konsep pencakar langit dengan bangunan pertama tertinggi dunia iaitu Empire State Building diikuti dengan bangunan Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang sudah tiada lagi.

Bukan saja dunia korporat menjadikan New York ibu kota dunia, tetapi juga sifat dinamiknya dalam budaya. Dunia teater di Broadway dan Times Square sangat terkenal. Akhbar terbaik dunia ialah The New York Times. Muzium-muzium seperti Museum of Natural History, The Metropolitan Museum of Art dan Museum of Modern Art (MOMA) mengukuhkan kedudukan kota raya ini. Malah di sinilah terletaknya perpustakaan awam terbesar iaitu New York Public Library dan kedai buku terbesar di dunia, Strand yang mempunyai rak buku sepanjang lapan batu.

Kedudukan New York sebagai kota Barat menunjukkan bahawa tamadun Barat yang ditampilkan oleh Amerika Syarikat (AS) sedang mendominasi dunia. Ia muncul dengan kedudukan itu selepas Perang Dunia Kedua.

Sesuatu yang bermakna apabila pulau utama New York di mana terletaknya ibu pejabat PBB bernama Manhattan. Ini kerana program yang membangun bom atom pertama bernama Projek Manhattan. Ia menghasilkan bom yang memusnahkan Hiroshima dan Nagasaki dan seterusnya menetapkan peta dunia seperti yang terbentuk hari ini dengan PBB sebagai paksi bersama AS menjadi kuasa utama dunia.

Kali akhir kota Islam dianggap menjadi ibu kota dunia ialah ketika Khalifah Uthmaniah memerintah empayar Islam di Istanbul. Sebelum Istanbul ialah Baghdad, bersama Cordova di Andalusia. Sebelum Baghdad, ialah Damsyik.

Melihat kota-kota dunia dalam sejarah, dari Damsyik, Baghdad, Cordova, Istanbul, Vienna, London dan kini New York, peranan kreatif dan intelektual masyarakat Yahudi dalam memberi sumbangan kepada tamadun Islam dan Barat adalah besar.

Sebelum kemunculan Islam, ibu kota dunia terletak di Rom. Mula-mula Rom, kemudian Constantinople yang sekarang dikenali sebagai Istanbul. Pada zaman Rom, Yahudi ditindas teruk. Penindasan terus dilakukan apabila Rom dikuasai Kristian, baik dalam pemerintahan Constantinople mahupun apabila kuasa Kristian berpindah ke Eropah: Madrid, Paris, Berlin dan London.

Kegemilangan dunia Islam sudah lama berlalu. Bukan saja wilayah-wilayah Islam menjadi tanah jajahan tetapi apabila kemerdekaan diperoleh kembali, Palestin dihalang mendapat negara sendiri, sebaliknya Israel ditubuhkan dengan membawa masuk orang Yahudi yang sebelum ini hidup dengan ditindas di Eropah.

Dalam keadaan yang sebegini lemah, muncul Malaysia dengan segala kekerdilannya mampu berada pada kedudukan sosioekonomi dan politik lebih selesa berbanding dengan kebanyakan negara Islam lain. Dengan sasaran untuk menjadi negara maju dalam kerangka Wawasan 2020, Malaysia merupakan antara harapan kebangkitan semula dunia Islam.

Maka adalah suatu yang bermakna bahawa Kuala Lumpur mampu menyertai New York bersama Chicago dan kini Taipei sebagai kota yang pernah memiliki bangunan tertinggi dunia. Kedudukan Malaysia sebagai negara Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan sebagai pelopor gagasan Islam Hadhari yang cuba menampilkan wajah positif dan progresif kepada umat Islam merupakan harapan bagi umat Islam untuk kembali dihormati dan diterima oleh dunia Barat.

Justeru sewajarnya pertemuan antara Presiden George W. Bush dan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Pengerusi OIC memberikan harapan damai antara Barat dan Islam. Kelihatannya Washington menerima baik peranan Kuala Lumpur dalam mengukuhkan hubungan Barat-Islam.

Tetapi perhatian AS lebih tertumpu kepada ancaman daripada wajah lain Islam. Barat tidak melihat Malaysia dan OIC sebagai wajah Islam. Mereka lebih cenderung untuk melihat Iran dan Al-Qaeda sebagai wajah Islam kerana kedua-duanya dianggap sebagai ancaman mereka.

Permusuhan terhadap Iran berasaskan kepada soal program nuklear yang hendak diteruskan oleh Presiden Mahmoud Ahmedinejad. Nuklear kelihatannya menjadi fobia bagi AS dan apa yang dilakukan oleh Korea Utara dan Iran membimbangkan mereka. Tetapi program nuklear Pakistan tidak dihalang seperti apa yang dikenakan ke atas Iran. Ini kerana Pakistan adalah sekutu rapat AS. Tetapi Iran adalah musuh sejak Revolusi Islam Iran tahun 1979.

Lebih ketara lagi ialah lingkungan Iran adalah meliputi Israel. Sokongan Iran terhadap Hizbullah yang berperang menentang Israel juga mengukuhkan kedudukannya untuk menjadi musuh utama AS.

Maka antara hujah yang dibahaskan di kalangan rakyat AS ialah kebimbangan bahawa senjata nuklear Iran ini mungkin boleh jatuh ke tangan Al-Qaeda, walaupun jelas Al-Qaeda dan Iran adalah bermusuhan. Maka Iran dan Al-Qaeda merupakan wajah Islam yang dipandang oleh AS, lebih-lebih lagi warga New York.

Mereka kini lebih mengenali kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Al-Qaeda dengan disifatkan sebagai ancaman nyata umat Islam terhadap mereka. Terbaharu ialah apabila dalam reaksi kemudian isu kenyataan Pope benedict XVI, kenyataan Al-Qaeda menyatakan bahawa mereka akan menakluk Rom dan mewujudkan semula khalifah. Kenyataan in i disifatkan sebagai pernyataan perang orang Islam terhadap Barat. maka ditimbulkan bahawa orang Islam hendak menakluki dan menguasai serta menghambakan Barat.

Tentu hakikatnya tidak demikian. Al-Qaeda bukanlah sebuah negara malah bukan pun pertubuhan. Ia hanyalah rangkaian bersenjata yang tidak bertunjang pada satu kepimpinan politik serta ideologi yang bermatlamat.

Apa yang dinyatakan Al-Qaeda berhubung dengan membina khalifah merupakan retorik. Mereka hanya rangkaian yang mendatangkan kesan dalam bentuk pembunuhan dan kerosakan bukannya membangunkan khalifah.

Di satu pihak, AS rasa tidak selamat. Di pihak satu lagi, dunia Islam rasa dianiaya. Faktanya WTC diruntuhkan. Palestin terus dijajah juga adalah suatu fakta. Maka pertembungan ini dapat disaksikan dalam ucapan Presiden Bush dan Presiden Mahmoud di PBB Selasa lalu. Di New York, Presiden Iran dikeji dan melayakkannya untuk dipaparkan sebagai tokoh kulit depan majalah Time. Bukan kerana program nuklear yang juga dibimbangkan tetapi lebih berat lagi ialah penafiannya terhadap peristiwa Holocaust dan sikapnya untuk menghilangkan Israel dari peta dunia.

Sudah tentu perkara ini adalah sensitif dan mengejutkan khususnya bagi orang Yahudi. Bagi Mahmoud, Holocaust adalah punca Yahudi dibenarkan mendirikan negara Israel.

Pihak Barat marah pada Mahmoud kerana hendak memusnahkan Israel. Tetapi umat Islam sudah tidak dapat hendak kata apa kerana pihak Barat sudah lama memusnahkan Palestin. Orang Yahudi wajar berasa sensitif kerana Holocaust tetapi sejak dari awal pihak Zionis menafikan hak milik orang Palestin terhadap tanah-tanah mereka yang kini diambil alih oleh Israel.

Holocaust memang benar berlaku tetapi bagaimana pihak Zionis memanipulasinya dalam pelbagai kaedah untuk mengingatkan dunia barat tentangnya supaya mengesahkan kewujudan israel adalah suatu yang tidak adil.

Justeru, Presiden Mahmoud menyebut tentang keadilan dalam ucapannya di PBB sementara Bush mengingatkan tentang demokrasi dan harapan generasi baru rakyat negara Islam untuk menyertai arus globalisasi.

Bagaimanapun, Perdana Menteri menyebut tentang salah faham yang berlaku antara pihak Barat dengan Islam. Apa yang Mahmoud dan Bush kata mempunyai kebenaran masing-masing. Tetapi apa yang diperlukan adalah titik pertemuan dan persefahaman.

Langkah pertama untuk meningkatkan persefahaman antara Barat dan Islam ialah menghentikan kata-kata buruk yang dilemparkan kepada satu sama lain. Sebab itu dalam ucapan Abdullah dinyatakan bahawa menamakan sesuatu pihak sebagai jahat atau paksi kejahatan tidak memperbaiki keadaan.

Ia di pihak AS, Bush bukan saja menyebut mengenai paksi kejahatan yang dilemparkan kepada Iran tetapi juga menyebut kumpulan Islam radikal sebagai Islam fasis. Iran sudah lama menamakan AS sebagai syaitan besar, sementara Israel adalah syaitan kecil. Israel pula menyebut Iran sebagai syaitan besar dan Hizbullah sebagai syaitan kecil.

Tetapi sikap Barat yang lebih memburukkan lagi hubungan ialah perbuatan-perbuatan seperti penerbitan buku Satanic Verses oleh Salman Rushdie, kartun Denmark yang menghina nabi dan terbaru kata-kata Pope Benedict XVI yang memetik kata-kata penulis silam yang menyebut Islam sebagai jahat dan ganas.

Di pihak Islam pula demonstrasi dan rusuhan hingga membawa kepada kekerasan hanya menambah buruk pandangan pihak lain kepada agama ini. Lebih-lebih kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan melalui internet dan sepanduk-sepanduk yang dibawa oleh penunjuk perasaan. Ia hanya memburukkan keadaan kerana pada akhirnya kerenggangan hubungan antara Barat dan Islam hanya merugikan kedua-dua pihak.

Adakah kalau benar-benar berlaku peperangan antara barat dan Islam, ia boleh mendatangkan kemenangan kepada mana-mana pihak? Atau hakikatnya hanya mendatangkan penderitaan. Langkah menahan diri daripada melakukan kekerasan adalah lebih berkesan dan menyelamatkan berbanding dengan memukul gendang perang.

Di sudut pihak Barat, mereka yakin akan mengalahkan pihak radikal Islam seperti kejayaan mereka mengalah komunisme dan fasisme sebelum ini. Tetapi apa yang mereka mahukan ialah kemenangan yang lebih menyenangkan. Bagi pihak Islam, pada perkiraan akhirnya hanyalah untuk mendapatkan negara yang merdeka yang berdaulat dan mampu menjadi makmur dalam arus persaingan globalisasi.

Ketika dunia tertumpu kepada persaingan antara Barat dan Islam, wajar dilihat apa yang dilakukan oleh sebuah kuasa yang sedang meningkat naik. Mereka tidak begitu mempedulikan isu-isu yang berlaku di dunia tetapi tumpuan adalah kepada meningkatkan kedudukan ekonomi mereka. Kuasa ini ialah China. Kaedah mereka yang fokus kepada ekonomi menjadi ikutan kepada negara lain khususnya Vietnam dan India.

Bukanlah China tidak memiliki masalah politik. Daripada soal Taiwan, Korea Utara dan hinggalah kepada cabaran pergolakan di Tibet dan Xinjiang. Tetapi dalam mereka mempertahankan kepentingan dan kedaulatan sendiri, juga bertembung dengan kepentingan AS, mereka tidak beralih tumpuan dari segi meningkatkan kedudukan ekonomi.

Bangunan tertinggi dunia hari ini ialah Taipei 101 terletak di wilayah China. Shanghai juga sedang merancang bangunan tertinggi di dunia. AS juga begitu, sedang merancang bangunan lebih tinggi daripada menara-menara di China itu. Bagaimanapun, tidaklah boleh disamakan antara China dan dunia Islam. China walaupun berpecah dua masih sebuah negara. China tidak ada masalah Palestin. Bagaimanapun, cuba kalau fikir jika umat Islam memberi lebih tumpuan kepada soal ekonomi dan meningkatkan kedudukan politik melalui kaedah terancang dan polisi-polisi rasmi.

Dalam ucapan Perdana Menteri di PBB itu, ada ditimbulkan mengenai pembangunan dan modal insan sebagai antara perkara yang wajar diberi perhatian oleh negara-negara Islam. Gagasan Islam Hadhari juga menekankan kepada pembangunan dan pembinaan kekuatan serta keupayaan diri.

Kalau mengikut kaedah, dapat dibayangkan betapa jika segala kekuatan yang ada pada rangkaian Al-Qaeda digunakan dalam bentuk usaha ekonomi, maka sudah tentu bukan saja lebih banyak akan selamat tetapi juga imej buruk Islam yang ada hari ini tidak menjadi lebih parah.

Dalam ucapan di PBB, Presiden Bush kali ini menegaskan komitmen untuk menyelesaikan masalah Palestin dengan matlamat mewujudkan dua negara merdeka dan berdaulat, Israel dan Palestin. Jalan ke arah itu adalah pengiktirafan Palestin terhadap kewujudan Israel. Bagi mengatasi masalah sikap Hamas yang tidak mengiktiraf Israel, maka jalannya ialah mewujudkan kerajaan perpaduan Hamas-Fatah. Dalam hal ini, Malaysia turut memberi sumbangan dengan menggalakkan penubuhan kerajaan perpaduan. Dengan penyelesaian masalah Palestin, ia boleh membawa kepada kestabilan di Iraq, Lebanon malah hingga ke Iran.

Ketika selepas peristiwa 11 September, berulangkali kerajaan-kerajaan Islam mengingatkan AS bahawa kunci kepada ancaman keganasan ialah penyelesaian masalah Palestin. Tetapi apa yang ditekankan oleh Washington adalah pendemokrasian. Maka sasaran utamanya ialah pendemokrasian Afghanistan dan Iraq. Diharapkan bahawa apabila demokrasi dapat diwujudkan di Afghanistan, maka Taliban dan Al-Qaeda tidak dapat bertapak. Begitu juga dengan perubahan rejim di Baghdad. AS mengharapkan demokrasi di Iraq akan merebak dan menjangkit ke tempat-tempat lain, dari Syria, Iran dan juga Arab Saudi yang akhirnya akan membawa kepada penerimaan Hamas dan Hizbullah terhadap Israel.

Tetapi keadaan tidak menjadi begitu. Malah Iraq lebih berbahaya sekarang. Ia menjadi medan operasi Al-Qaeda dan kumpulan-kumpulan militan lain. Maka bukan saja pendemokrasian tidak berlaku, tetapi ketidakselamatan merebak hingga ke Lebanon dan pembabitan Hizbullah dalam masalah Palestin.

Akhirnya kini tumpuan AS adalah kembali kepada asal, iaitu penyelesaian masalah Palestin. Langkah pertamanya adalah usaha penubuhan kerajaan perpaduan.