Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 29 Oktober 2006
AKHIRNYA pada 18 Oktober lalu, ketika wawancara dengan ABC News, Presiden George W. Bush mengakui terdapat persamaan antara Iraq dengan Vietnam.
Sebelum ini, beliau menolak sebarang persamaan antara kedua-duanya. Kali ini, beliau berkata, bahawa peningkatan keganasan di Iraq pada masa ini adalah seperti serangan Tet pada Januari 1968 yang akhirnya membawa kepada pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS) dan kemenangan Vietnam Utara.
Cuba pertimbangkan persamaan dan perbezaan antara Iraq dan Vietnam. Sering kali dalam membuat pertimbangan ini, ia menjurus menurut kecenderungan fahaman politik masing-masing.
Jika seseorang cenderung untuk melihat persamaan antara Iraq dan Vietnam, maka apa yang dilihat adalah sebegitu. Tetapi jika sebaliknya, maka jadilah seperti apa yang dikehendaki oleh pemerhati.
Pertamanya, perang di Iraq dan Vietnam mempunyai satu persamaan yang ada perbezaan. Kalau Perang Vietnam dilihat dalam konteks Perang Dingin, iaitu antara komunisme pimpinan Kesatuan Soviet dan kapitalisme pimpinan AS; maka Perang Iraq ini dapat dilihat dalam konteks apa yang disebut oleh AS sebagai Perang Menentang Keganasan. Bagi sesetengah kalangan, perang ini merupakan Perang Menentang Islam.
Sementara ada pihak pula menilai bahawa Perang Dingin itu merupakan Perang Dunia Ketiga dan apa yang berlaku sekarang ialah Perang Dunia Keempat.
Maka jika sebelum Vietnam, AS terlibat dengan Perang Korea; maka sebelum Iraq, kuasa besar itu terbabit dengan Perang Afghanistan.
Di situ, nampak persamaan; bagaimanapun, perbezaannya ialah musuh yang dihadapi oleh AS. Semasa Perang Dingin, musuhnya adalah jelas iaitu komunisme pimpinan Soviet. Kali ini, musuhnya kabur. AS kata, mereka menentang terorisme. Tetapi terorisme tidak seperti komunisme, ia bukannya ideologi tetapi adalah metodologi.
Mungkinkah ideologi dan metodologi itu merupakan satu gabungan? Seperti ungkapan Marshall McLuhan untuk media iaitu “media adalah mesej”, maka mungkinkah boleh dinyatakan bahawa metodologi adalah ideologi?
Atau lebih jelas kalau dinyatakan bahawa perang kali ini bukan AS menentang terorisme, tetapi adalah perjuangan menentang fundamentalisme Islam sebagai sebuah ideologi. Itulah apa yang ingin hendak diyakinkan oleh Al-Qaeda dan sekutu-sekutunya di seluruh dunia.
Maka ia membawa persoalan kalau komunisme dahulu mempunyai negara untuk ditentang iaitu Soviet dengan Vietnam sebagai medan hadapannya, maka apakah fundamentalisme Islam kali ini diketuai oleh Iran? Dan Iraq itu adalah medan hadapannya?
Tetapi apa yang ditimbulkan di AS bukannya soal persamaan dari segi peperangan secara luas, dan peperangan secara khusus di Vietnam dan Iraq. Apa yang cuba diyakinkan oleh golongan parti Demokratik dan sedikit sebanyak berjaya ialah menampilkan kegagalan polisi luar presiden dari Parti Republikan.
Kalau Presiden Lyndon B. Johnson gagal di Vietnam, maka begitu jugalah dengan Presiden George W. Bush di Iraq.
Persamaan yang hendak ditunjukkan oleh pihak Demokratik ialah kegagalan polisi parti Republikan dan rakyat AS mesti mengundi mereka dalam pilihan raya separuh penggal Kongres dan Senat.
Kalau AS dahulu semasa Perang Vietnam dan sekarang semasa Perang Iraq ini adalah serupa, sekurang-kurangnya dari segi psikologi nasional, tetapi adakah Vietnam dan Iraq mempunyai persamaan bagi melahirkan natijah serupa?
Bagi penentang-penentang AS di seluruh dunia, mereka mahu melihat persamaan antara Iraq dengan Vietnam supaya kuasa besar itu kalah dan berundur serta serik untuk melakukan peperangan yang serupa ke atas negara lain. Jika ini berlaku, bukan saja Iran dan Korea Utara selamat tetapi ia menunjukkan kedudukan AS sebagai kuasa besar tidak begitu menakjubkan.
Perbezaan utama antara Iraq dan Vietnam ialah perpaduan. Iraq berpecah tiga dan jika AS berundur, maka dikhuatiri lahir tiga negara Iraq Syiah, Iraq Sunni dan Kurdistan, yang mencerminkan dua etnik iaitu Arab dan Kurdis dan dua mazhab, Sunni dan Syiah. Sebelum kehadiran AS di situ, negara itu bersatu di bawah fahaman Baathisme pimpinan Saddam Hussein. Bila AS datang, ia berpecah tiga.
Sebaliknya, Vietnam terdiri daripada satu bangsa, agama dan budaya. Kehadiran AS memecahkannya kepada dua negara, Vietnam Utara dan Vietnam Selatan. Apabila ia keluar, negara itu bersatu di bawah komunisme pimpinan pewaris Ho Chi Minh.
Satu lagi perbezaan ialah sifat Baathisme dan komunisme dengan Saddam dan Ho Chi Minh.
Ho Chi Minh adalah komited dengan perjuangan dan fahamannya. Dia mendapat sokongan padu daripada gerakannya dan bangsanya. Sebelum AS datang, dia menang dalam perang mengalahkan penjajah Perancis dalam pertempuran terkenal di Dien Bin Phu. Dia meninggal dunia sebelum dapat melihat kejayaan Vietnam ke atas AS. Parti dan kerajaan menghormatinya dengan menamakan semula Saigon sebagai Ho Chi Minh City.
Sementara Saddam memerintah dengan zalim dan adalah lebih sebagai diktator daripada komited kepada fahamannya. Dia tidak mendapat sokongan bukan saja daripada rakyatnya, malah di kalangan tenteranya yang mudah bubar apabila tentera AS masuk. Saddam membawa negaranya kepada kekalahan bukan saja dalam perang dengan AS ini tetapi juga sebelumnya, iaitu dalam perang ke atas Kuwait dan Iran.
Akhirnya Saddam ditangkap dalam keadaan memalukan. Perjuangan menentang AS pula dilanjutkan oleh banyak kumpulan dan antaranya adalah sekutu Al-Qaeda yang tidak pernah menyokong Saddam ataupun Baathis.
Setelah kejatuhan Iraq, nama Saddam dipadamkan di Baghdad, termasuk daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Saddam.
Kemenangan Vietnam ke atas AS adalah daripada daya juang dan strategi kemas pihak komunis di samping revolusi pelajar-pelajar dan anak muda tahun 60-an.
Kalau akhirnya AS berundur dari Iraq, ia berlaku dalam keadaan kacau-bilau dengan penentang-penentang AS terdiri daripada pelbagai kumpulan, antaranya dari kalangan sekutu Al-Qaeda yang mengganas dan sanggup membunuh orang awam secara kejam.
Sementara di AS, tidak ada revolusi pelajar dan anak muda walaupun kebanyakan para intelektual menolak Perang Iraq itu.
Mungkin apabila akhirnya AS berundur dari Iraq, ia menunjukkan bahawa apa yang berlaku di negara itu adalah serupa dengan Vietnam.
Tetapi cuba lihat apa yang berlaku selepas Vietnam menang dan penyatuan dibuat antara Vietnam Utara dan Vietnam Selatan di sekitar tahun-tahun 70-an. Kemenangan Vietnam itu merupakan satu kejayaan bagi pihak komunis. Teori Domino dirasakan benar apabila keseluruhan Indochina menjadi komunis dengan jatuhnya Laos dan Kemboja pada pihak mereka.
Keadaan ini menimbulkan rasa cemas di negara-negara Asia Tenggara lain. ASEAN semakin dikukuhkan dan merintis kepada perisytiharan Zon Perdamaian, Kebebasan dan Berkecuali (ZOPFAN) bagi menangkis sebarang kemaraan komunis.
Di pihak mereka pula, kejayaan di Vietnam itu menaikkan semangat dan menggalakkan perjuangan komunis. Aktiviti Parti Komunis Thailand, Parti Komunis Malaya, Parti Komunis Kalimantan Utara dan Parti Komunis Filipina mencemaskan ASEAN.
Serentak itu pula kegiatan gerakan mahasiswa diterajui mereka yang berhaluan sosialis kelihatan timbul di Thailand, Malaysia, Indonesia dan Filipina.
Bagaimanapun, hakikatnya, pada penghujung tahun 70-an, AS bukan saja menghadapi tamparan dan kekalahan dari Vietnam. Hanya dalam tiga tahun kemudian, ia mengalami satu lagi kekalahan yang boleh dianggap setanding dengan apa yang dialaminya di Vietnam. Iaitu kekalahannya dalam penguasaan ke atas Iran apabila Revolusi Islam Iran membawa kepada kejayaan rakyat negara itu mengalahkan rejim Reza Pahlavi yang disokong AS.
Revolusi Iran digerakkan oleh mahasiswanya. Merekalah yang membawa ulama sebagai pemimpin revolusi. Fenomena kebangkitan mahasiswa Iran ini adalah serentak dengan kebangkitan pelajar dan anak muda di seluruh dunia, baik di AS, Eropah dan Asia Tenggara. Cumanya, mereka memilih Islam, dan bukannya sosialisme seperti di negara-negara lain.
Tetapi pihak Soviet pimpinan Leonid Brezhnev tersalah pandang terhadap fenomena ini. Mereka melihat kekalahan AS sebagai kejayaan mereka. Justeru, Moscow berasa berada di puncak dalam Perang Dinginnya dengan AS. Keadaan ini membawa mereka campur tangan ke dalam Afghanistan dan menyokong penggulingan Raja Zahir Shah.
Maka sedikit demi sedikit Kabul jatuh ke tangan komunis. Di sinilah kuncinya kejatuhan Soviet dan berakhirnya perang Dingin, serta bermulanya bibit-bibit Perang Terorisme yang berlaku sekarang.
Gerakan komunis di Kabul bermula di kampus. Pertembungan antara komunis dan fundamentalisme Islam sudah lama berlaku di Universiti Kabul.
Revolusi di Teheran menaikkan semangat pelajar-pelajar Afghanistan. Apabila komunis merampas kuasa di Kabul, pihak gerakan Islam yang pernah bertempur dengan pelajar komunis di Kabul sudah bersedia menjadi Mujahidin untuk menentang komunis dan Soviet.
Nampaknya setiap manusia yang mengecapi kemenangan menjadi angkuh dan tamak.
Setelah berjaya dengan revolusi, Teheran pun mengeksportnya. Sasarannya ialah Iraq, Lebanon dan Afghanistan.
Provokasi di Iraq adalah antara penyumbang kepada perang Iran-Iraq. Usahanya di Lebanon melahirkan Hizbullah dan menjadi satu-satunya pertubuhan yang berani berperang menentang Israel secara langsung.
Di Afghanistan, mereka turut membantu Mujahidin. Tetapi apa yang berlaku di situ mempunyai suasana yang berbeza. Ini kerana AS turut masuk campur untuk membantu Mujahidin dengan azam untuk menebus kekalahannya di Vietnam dan Iran.
Sejarah menyaksikan kejayaan Mujahidin yang turut menyumbang kepada kejatuhan Soviet.
Giliran AS untuk berasa nikmat kemenangan. Baginya, Perang Dingin telah dimenangi seperti kejayaannya dalam Perang Dunia Pertama dan Kedua. Kekalahan di Vietnam dan Iran tertebus sudah.
Dengan melupakan peranan besar gerakan keterbukaan Presiden Soviet, Mikhail Gorbachev dan sumbangan Mujahidin, Washington mengisytiharkan bahawa kemenangannya dalam Perang Dingin adalah kerana kebijaksanaan polisi luas Republikan dan presiden dari partinya iaitu Ronald Reagan.
Maka Republikan menang lagi dalam pilihan raya presiden dan menghantar George H. W. Bush sebagai presiden.
Dengan nada angkuh, Washington mengisytiharkan Orde Dunia Baru di mana AS adalah kuasa tunggal dunia yang tidak boleh dicabar oleh mana-mana negara lain.
Untuk itu, ditakrifkan lima negara sebagai musuh AS yang perlu ditundukkan iaitu Libya, Iran, Iraq, Syria dan Korea Utara.
Tetapi apa yang mencabar AS rupa-rupanya timbul di Afghanistan selepas kemunculan Taliban dan Al-Qaeda, yang kini beroperasi di Iraq.
Rupa-rupanya, bukannya persamaan antara Iraq dan Vietnam. Tetapi apa yang berlaku di Iraq adalah lanjutan kepada polisi AS di Vietnam.
Perang Dunia Pertama membawa kepada Perang Dunia Kedua yang berlanjut ke Perang Dingin. Sementara Perang Dingin menyediakan tapak bagi Perang Menentang Keganasan. Atau adakah ia Perang Menentang Fundamentalisme Islam? Tetapi kelakuan AS adalah seperti Perang Menentang Islam.