Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 2 November 2006
Ketika umat Islam di seluruh dunia sedang bersiap sedia untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tempoh hari, Dubai di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) meraikan siapnya 75 tingkat Burj Dubai yang akan menjadi bangunan tertinggi di dunia mengalahkan Taipei 101 pada tahun 2008.
Pembinaan pencakar langit itu telah dimulakan pada 15 April 2005 dan akan mencecah 808 meter dengan memiliki jangkaan 162 tingkat, 200 meter lebih tinggi daripada Taipei 101.
Burj Dubai yang bermakna Menara Dubai mula dibina dua tahun selepas Taipei 101 merampas mahkota bangunan paling tertinggi di dunia daripada Menara Berkembar Petronas pada tahun 2003.
Sementara Menara Berkembar Petronas memegang gelaran itu sejak tahun 1998 selepas mengalahkan Sears Tower di Amerika Syarikat (AS). Sebelum itu gelaran itu disandang oleh Pusat Dagangan Dunia (WTC) New York yang menggantikan Empire State Building.
Burj Dubai ini telah pun mengatasi cadangan pencakar-pencakar langit yang dirancang untuk mencabar kedudukan Taipei 101. Ini termasuklah Freedom Tower (Menara Kebebasan) di tapak bekas WTC New York, Pusat Kewangan Shanghai di China dan Fordham Spire di Chicago, AS yang bakal menjadi struktur paling tinggi di Amerika Utara yang kini disandang oleh CN Tower, Toronto di Kanada.
Burj Dubai juga bakal mengatasi CN Tower.
Arkitek utama Burj Dubai ialah Adrian Smith dari firma Skidmore, Owings and Merrill di Chicago. Firma ini turut mereka bentuk Sears Tower di Chicago dan Freedom Tower New York itu.
Apabila siap kelak, sebagai kebanggaan dunia Islam, maka Burj Dubai boleh dikatakan bakal menebus kedudukan Menara Berkembar Petronas yang telah dirampas oleh Taipei 101.
Bagaimanapun, kelima-lima menara yang dianggap sebagai simbol tamadun manusia zaman Revolusi Industri ini boleh dianggap sebagai manifestasi pencapaian manusia dalam usaha teknologi dan kejuruteraan. Bukan itu saja, ia juga melambangkan kejayaan dalam sistem politik dan ekonomi yang membolehkan struktur sebegitu dapat dibina.
Kalau struktur-struktur zaman purba seperti Piramid di Mesir dan Tembok Besar China mewakili pencapaian kejuruteraan binaan zaman silam, pencakar-pencakar langit abad ke-20 dan ke-21 mewakili dunia yang telah melalui zaman sains, teknologi dan industri.
Kelima-lima pencakar langit itu meliputi bangunan Empire State di New York, WTC New York, Sears Tower di Chicago, Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur, Taipei 101 di Taiwan dan Burj Dubai yang sedang dibina ini.
Antara kelima-lima pencakar langit itu, WTC sudah tidak ada apabila ia runtuh dalam serangan peristiwa 11 September. Bangunan yang direka bentuk oleh arkitek Amerika berketurunan Jepun, Minoru Yamasaki merupakan menara berkembar berbentuk pencakar langit.
Sebagai bangunan tertinggi dunia, ia dikalahkan oleh Sears Tower Chicago yang direka bentuk oleh arkitek Bruce Garaham dan jurutera struktur Amerika berketurunan Bangladesh, Fazlur Khan; kedua-duanya dari firma Skidmore, Owings and Merrill.
Mencapai
Kini, hanya Menara Berkembar Petronas yang merupakan menara berkembar di kalangan pencakar-pencakar langit yang mencapai kedudukan bangunan tertinggi dunia. Maka ia masih menjadi menara berkembar tertinggi di dunia.
Jadi antara kelima-lima pencakar langit tertinggi dunia itu, tiga berada di luar AS iaitu Menara Berkembar Petronas, Taipei 101 dan Burj Dubai yang sedang dibina. Dari satu segi, Menara Berkembar Petronas merupakan pencakar langit tertinggi dunia yang pertama berada di luar AS. Maka ia merupakan pelopor dalam kategori ini.
Apa yang membolehkan bangunan-bangunan tinggi dapat dibina ialah penemuan elektrik, penciptaan motor elektrik dan lif. Ciptaan-ciptaan ini berlaku di AS, dan tidak hairanlah pembinaan bangunan-bangunan tinggi bermula di AS.
Teknologi bagi membina pencakar langit pula berasaskan kepada penggunaan besi dan keluli. Ia juga bermula dan dikembangkan di AS.
Kejuruteraan dan teknologi abad ke-19 yang banyak menggunakan besi dan keluli walaupun dipelopori di England dan diikuti oleh Jerman, tetapi disempurnakan di AS.
Besi dan keluli inilah yang membolehkan pembinaan alat-alat pengangkutan besar yang mencorak peta tamadun manusia. Daripada kereta api yang dapat merentasi benua Amerika Utara hinggalah kepada kapal-kapal besar seperti Titanic dan akhirnya membawa kepada pembangunan industri kereta, bermula di Jerman tetapi disempurnakan sebagai industri bagi pasaran massa oleh Henry Ford di AS.
Kesemua kemajuan ini tidak dapat dicapai tanpa penggunaan meluas manfaat daripada tenaga elektrik. Penciptaan lampu elektrik oleh Thomas Edison membolehkan industri berkembang hingga mendatangkan kekayaan kepada AS. Elektrik membolehkan penciptaan telegraf yang mampu menyampaikan maklumat secara laju dan meluas menyumbang kepada perkembangan kapitalisme.
Maka elektriklah yang membolehkan penciptaan lif hingga membawa kepada pembinaan bangunan tinggi dan perkembangan New York sebagai kota padat bagi mencorakkan ekonomi sejagat.
Untuk menghubungkan New York dengan tempat-tempat lain, maka mereka bukan saja memerlukan kereta api tetapi juga kereta. Kuasa yang menjadi penggerak kepada sistem ini ialah minyak.
Untungnya AS, mereka menemui minyak di California dan Texas. Syarikat minyak AS, Caltex yang merupakan kependekan perkataan California dan Texas melambangkan punca asal tamadun berasaskan minyak ini. Syarikat minyak yang lagi satu, Standard Oil, kependekannya S.O., dipermudahkan menjadi Esso; begitu juga dengan Exxon dan Mobil.
Minyak membolehkan kekayaan diwujudkan di AS, dan merekalah akhirnya membawa kepada kemunculan pencakar langit bangunan Empires State, WTC New York dan Sears Tower Chicago.
Tetapi minyak di AS tidak mencukupi. Emas hitam ini dicari di seluruh dunia. Maka ditemuinya di Asia Barat dan di lain-lain tempat termasuk di Malaysia.
Negara ini juga mendapat manfaat daripada kekayaan minyak melalui syarikatnya sendiri iaitu Petronas. Maka pembinaan Menara Berkembar Petronas adalah juga manifestasi kemakmuran yang diperoleh daripada minyak.
Pembangunan ekonomi di Asia Timur juga berasaskan kepada minyak walaupun Jepun sebagai pelopornya selepas Perang Dunia Kedua tidak memiliki bahan mentah itu. Negara itu mengimport minyak dari Asia Barat, Asia Tenggara dan daripada pelbagai sumber.
Kemakmuran dari Jepun ini berkembang ke Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong dan Asia Tenggara pada tahun 70-an sebelum China membuka ekonominya.
Tetapi apabila China bangkit, dan ia juga mempunyai minyaknya sendiri, maka masa depan rantau ini semakin cerah. Justeru, pembinaan Taipei 101 ini mewakili kebangkitan baru Asia.
Dengan pembinaan Burj Dubai, ia melengkapkan simbol kebangkitan baru Asia yang meliputi Asia Timur, Asia Tenggara dan Asia Barat. Taipei 101, Menara Berkembar Petronas dan Burj Dubai mewakili rantau masing-masing.
Selain daripada mereka mewakili satu tamadun yang juga berasaskan minyak, Menara Berkembar Petronas dan Burj Dubai menampilkan sisi kemakmuran dunia Islam.
Dunia Islam bukan semata-mata mengenai kesengsaraan di Iraq, Palestin dan Afghanistan. Tetapi juga memiliki kemakmuran seperti di Dubai dan Kuala Lumpur.
Maka Burj Dubai merupakan penanda baru bagi dunia abad ke-21 apabila ia siap pada tahun 2008 kelak.