Oleh: ZIN MAHMUD (Di Zurich, Switzerland)
Sumber: Utusan Malaysia 29 Januari 2007
KETIKA bertemu dengan seorang pemimpin korporat multinasional di Hotel Morossani di Davos, beliau menceritakan betapa perlunya lebih ramai orang Malaysia sama ada daripada kalangan korporat atau bidang lain turut serta sidang-sidang seperti WEF untuk mencambahkan idea, meningkatkan hubungan rangkaian serta mendedahkan diri kepada pelbagai maklumat serta manusia global di forum yang paling unggul dunia hari ini.
Sambil berbual dengannya, terlihatlah pengasas Microsoft, Bill Gates masuk ke hotel itu. Pemimpin korporat itu menyatakan betapa di Davos pada tempoh-tempoh waktu seperti itu, seseorang akan dapat bertemu secara langsung pelbagai tokoh daripada pelbagai bidang.
Menurutnya, untuk bertemu dengan tokoh-tokoh itu secara biasa sememangnya sukar kerana untuk membuat temu janji serta pergi ke pejabat-pejabat mereka sudah tentu sukar. Tetapi forum seperti di Davos ini memberi peluang kepada peserta dari seluruh dunia untuk bertemu dan berinteraksi secara tidak formal, baik semasa sesi atau dalam sidang-sidang tidak formal secara langsung.
Sememangnya ini pun tujuan WEF diadakan setiap tahun, iaitu memberi ruang dan peluang kepada pemimpin-pemimpin global dalam pelbagai bidang, bukan saja pemimpin kerajaan bertemu secara tidak formal, bertukar fikiran dan akhirnya mencambahkan idea baru untuk kebaikan manusia sejagat.
Dari Malaysia, syarikat korporat paling menonjol adalah Petronas yang menjadi rakan kongsi strategik WEF. Tokohnya, Tan Sri Hassan Merican juga dapat dilihat aktif dalam WEF. Petronas juga membantu pihak Malaysia menjadi tuan rumah kepada jamuan tahunan akhir WEF kali ini dengan menampilkan acara kebudayaan Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika ditanya semasa sidang akhbarnya Sabtu lagi juga mengajak lebih banyak tokoh Malaysia menyertai pertemuan-pertemuan seperti WEF bagi mendapat maklumat serta menanggapi trend dunia selain memperoleh idea-idea baru.
Sebagai langkah awal, pemimpin-pemimpin di pelbagai sektor di Malaysia boleh menyertai forum-forum WEF di peringkat serantau. Petronas pula pernah mengadakan sesi yang ada kaitan dengan WEF ini dan di Kuala Lumpur , konsep Pemimpin Muda Global dilahirkan. Maka dalam WEF 2007 ini, banyak pemimpin muda dalam gabungan Pemimpin Muda Global menampilkan diri. Golongan ini di samping boleh menyatakan aspirasi masing-masing adalah juga melatih diri berdepan dengan komuniti dunia.
Bukan mudah untuk melahirkan pemimpin-pemimpin global. Seseorang itu mungkin berjaya di negara masing-masing tetapi gagal di peringkat global. Di sinilah perlunya pemimpin-pemimpin global dalam apa jua bidang dilahirkan oleh Malaysia kerana dalam era globalisasi, daya saing semakin sengit.
Umpamanya seorang anak Melayu cemerlang dalam bidang akademik hingga berjaya mencapai kedudukan di peringkat sarjana dalam waktu dekat tetapi akhirnya apabila bekerja dalam syarikat yang berdaya saing, cabarannya ialah berdepan dengan eksekutif asing untuk rundingan atau mencapai sasaran syarikat.
Bagaimanakah mereka hendak memiliki kemampuan itu jika tidak terdedah kepada dunia luar? Kecemerlangan akademik dan kemampuan menimba ilmu sepanjang hayat melalui buku dan Internet tidak akan dapat menggantikan pemilikan estim diri yang tinggi untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan pihak-pihak global. Penguasaan bahasa Inggeris hanya satu aspek. Lebih penting lagi ialah kekuatan dorongan diri untuk berdepan bagi menyelesaikan masalah atau peluang perniagaan baru.
Kalau melihat pada WEF, kelihatan delegasi dari China khususnya berduyun-duyun menyerlahkan kehadiran mereka. Juga kehadiran pemimpin-pemimpin Rusia.
Menurut pemimpin korporat itu, jika orang Malaysia tidak meningkatkan kemampuan mereka dalam modal insan global, maka bukan saja kebangkitan China dan India menenggelamkan ASEAN, tetapi dalam rantau Asia Tenggara sendiri, kedudukan negara ini akan tercabar.
Buat masa ini, banyak pihak melihat Malaysia dan Singapura adalah sebagai sebuah negara yang maju dalam konteks ASEAN. Bersama Indonesia , Filipina dan Thailand, negara-negara asal ASEAN ini berusaha membantu negara-negara CLVM yang dianggap ketinggalan. Tetapi cara mana orang Vietnam bekerja dan menghasilkan produk, maka tidak hairan pada suatu hari Vietnam mendahului negara-negara tradisional kapitalis seperti Malaysia .
Dengan Vietnam, Thailand dan Indonesia berusaha menguasai bahasa Inggeris untuk menceburkan diri dalam senario global, dengan memiliki pasaran luas, berkemungkinan Malaysia-Singapura boleh ketinggalan jika tidak berubah.
Lebih-lebih lagi anak-anak Melayu yang antaranya mempunyai sifat malu tidak bertempat, segan, rasa rendah diri dan kompleks rendah wajar keluar daripada tempurung psikologi untuk berhadapan dengan dunia yang perubahannya begitu mendadak, cepat dan tanpa persediaan, boleh tertinggal.
Bila melihat Misi Nasional, Rancangan Malaysia Kesembilan dan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), sememangnya Malaysia melihat keperluan modal insan bertaraf global. Bajet bagi infrastruktur juga jelas dan dapat dipercayai boleh dijayakan.
Tetapi perkiraan akhir ialah sama ada semua rancangan ini akan mencapai sasaran atau anak-anak muda Melayu terkesamping kepada perkara-perkara lain yang sia-sia serta tidak menyumbangkan kepada daya saing negara.