Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 6 Januari 2007
HAKIKATNYA iklim dan cuaca di dunia pasti berubah dari zaman ke zaman. Itu sudah menjadi sifat alam.
Sama ada manusia menyumbang dalam bentuk menambah pengeluaran karbon dioksida hingga memberi kesan rumah hijau dengan kebocoran lapisan ozon atau tidak, iklim dan cuaca bumi tidak akan kekal sama sepanjang masa.
Walaupun manusia berbuat baik sepanjang masa, sifat bumi sentiasa berubah, ada masa secara perlahan. Pada waktu lain, perubahan berlaku mendadak hingga mendatangkan bencana dan malapetaka. Manusia tidak dapat mengelak.
Apa yang mampu dilakukan hanyalah memperdalamkan pengetahuan mengenai alam dan berusaha menyelamatkan diri dan mengurangkan kesengsaraan.
Dalam hal ini, ilmu mengenai alam, baik dalam bentuk geologi dan meteorologi mesti menjadi kajian penting walaupun negara tidak mempunyai ancaman bencana besar-besaran seperti gempa bumi dan letupan gunung berapi.
Hakikatnya alam tidak mengenal sempadan. Begitu juga dengan bencana serta malapetaka mempunyai sempadannya sendiri.
Apa saja gegaran yang berlaku di Indonesia, maka kesannya sampai juga ke Malaysia. Apabila hujan lebat melanda Nusantara, pastinya bukan saja Sumatera yang banjir, Johor juga terlibat sama.
Setelah mengalami pelbagai ancaman bencana dan malapetaka, manusia kini mampu menyusun sistem amaran serta pengurusan bagi usaha menyelamat dan mengurangkan kesengsaraan.
Kemahiran ini perlu ditingkatkan khususnya dalam soal banjir. Ini kerana walaupun tidak sebesar negara-negara lain, banjir Malaysia mampu memberi tamparan kepada ekonomi dan kualiti hidup rakyat negara ini.
Banjir di Johor memberi banyak pengajaran di mana terdapat ruang untuk memperbaiki sistem menyelamat dan mengurus bantuan khususnya oleh agensi yang ditugaskan untuk perkara-perkara ini.
Terdapat tiga hakikat iklim dan cuaca yang dihebahkan oleh Utusan Malaysia semalam.
Pertamanya, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis menyatakan Malaysia berkemungkinan menghadapi musim tengkujuh lebih daripada sekali dalam setahun pada masa akan datang.
Kedua, pakar geologi, Profesor Dr. Ibrahim Komoo menyatakan bahawa beberapa bandar seperti Klang, Miri dan Pekan yang terletak di kawasan rendah bakal ditenggelami air secara kekal dalam tempoh 50 tahun akan datang.
Ketiga, pakar meteorologi Britain menyatakan bahawa dunia diramalkan menghadapi cuaca paling panas pada tahun ini disebabkan fenomena El Nino di Lautan Pasifik.
Hakikat iklim dan cuaca ini bukanlah suatu yang pelik atau mengejutkan bagi mereka yang memiliki pengetahuan mengenai sejarah planet Bumi.
Dari zaman ke zaman, cuaca bumi pasti berubah. Maka jika ia melibatkan sesuatu negara, pastinya berlaku perubahan yang perlu dihadapi oleh penduduknya.
Perubahan iklim dan cuaca ini menuntut penduduk mengubah cara hidup. Kalau terpaksa menaiki sampan ke sekolah setiap awal tahun, maka begitulah yang mesti dilakukan.
Maka perubahan cuaca di negara ini sudah patut dipandang serius, ramalan cuaca patut menjadi panduan bukan saja bagi nelayan-nelayan tetapi orang ramai, seperti mana penduduk di Barat yang peka terhadap perubahan suhu.
Di kawasan-kawasan yang mudah dilanda banjir, rumah yang dibina mesti mengikut keadaan cuaca. Mereka perlu dibina di atas tiang seperti rumah-rumah dahulu.
Jadi apabila berlaku banjir yang sederhana, mereka masih boleh tinggal di rumah, cuma memerlukan alat pengangkutan air.
Perubahan cuaca juga pasti mendatangkan kesan kepada ekonomi. Kehidupan mereka yang bergantung kepada pertanian juga pasti berubah.
Bayangkan dua musim tengkujuh yang akan berlaku, pastinya ia menuntut perubahan dari segi penanaman pokok.
Sementara suhu tinggi yang dijangka berlaku akan menuntut perubahan dalam bentuk peningkatan penggunaan penghawa dingin.
Anganan hendak menggalakkan penggunaan basikal di negara ini tidak akan boleh menjadi kenyataan. Negara ini sudah menjadi terlalu panas untuk penunggang basikal.
Sememangnya sukar untuk percaya bahawa Klang, Miri dan Pekan akan ditenggelami air secara kekal. Maknanya bandar itu tidak akan wujud.
Tetapi bukan saja bandar-bandar itu. Daripada maklumat awal, satu pertiga pulau Sumatera juga akan ditenggelami air.
Ais di Kutub Utara akan cair dengan lebih banyak dan banyak pulau di dunia akan hilang, termasuklah kepulauan Maldives.
Kalaulah benar-benar berlaku, tentunya ia menuntut persediaan, kerana kaedah mengurus adalah satu-satunya cara bagi manusia menghadapi perubahan.
Banyak fenomena alam berlaku secara perlahan-lahan hingga tidak begitu dirasai oleh manusia. Bagaimanapun, apabila ia benar-benar terjadi, manusia tidak wajar terkejut dan menerimanya sebagai hakikat alam.
Lagipun, manusia hanyalah sebahagian daripada alam. Kisah-kisah fiksyen sains dan dokumentari spekulatif yang ada hubungan dengan ramalan bencana alam masa depan adalah sebahagian daripada cara manusia untuk menyediakan mentaliti kolektif bagi menghadapi perubahan iklim dan cuaca.