Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 18 Februari 2007
Lega rasanya apabila Persetujuan Mekah dicapai antara Hamas dan Fatah bagi tujuan menubuhkan kerajaan perpaduan. Tahniah wajar diberikan kepada Raja Arab Saudi, Raja Abdullah yang berusaha menjadi orang tengah dalam perselisihan Hamas-Fatah yang telah pun mengorbankan pejuang mereka sendiri dan hampir menyeret Palestin ke dalam kancah perang saudara, sedangkan musuh mereka iaitu Israel terus bermaharajalela.
Tetapi perjalanan masih jauh. Persetujuan Mekah ini hanya menyelesaikan satu perkara yang tidak patut berlaku iaitu perbalahan antara Hamas dan Fatah.
Tetapi masalah ini berlaku kerana Amerika Syarikat (AS) tidak mahu mengiktiraf kerajaan Hamas. Maka hakikatnya ia bukan masalah Palestin tetapi lebih kepada sikap hipokrisi AS terhadap demokrasi.
Sepatutnya apabila Hamas menang pilihan raya, maka ia berhak menubuhkan kerajaannya tanpa syarat. Dunia termasuk AS wajar akur pilihan rakyat Palestin. Sememangnya lebih bijak bagi Hamas menubuhkan kerajaan campuran dengan mengajak Fatah menyertainya. Tetapi kemenangan Hamas adalah kuat dan ia tidak perlu menubuhkan kerajaan campuran.
Masalahnya AS tidak mahu mengiktiraf kerajaan Hamas dengan alasan pertubuhan itu enggan mengiktiraf Israel, di samping ia masih tidak menolak penggunaan senjata.
Demokrasi memberi hak untuk mana-mana pihak memiliki pendirian. Begitu juga dengan Hamas. Ia sudah mempunyai pendirian sedemikian dan tidak wajar ia dipaksa untuk mengiktiraf Israel. Banyak negara di dunia yang tidak mengiktiraf Israel. Itu tidak bermakna kerajaan mereka tidak boleh diiktiraf.
Apabila kerajaan Hamas tidak diiktiraf AS, maka ia dihalang daripada mendapat bantuan kewangan. Kesatuan Eropah (EU) juga menurut jejak AS. Kesemua punca pendirian ini ialah Israel yang mahu kerajaan Palestin mengiktirafnya sebelum diadakan rundingan damai.
Untuk sebarang rundingan, mestilah pengiktirafan dilakukan antara satu sama lain. Israel mengiktiraf Palestin, dan pihak Palestin juga mengiktiraf Israel.
Tetapi tidakkah boleh rundingan terus dijalankan tanpa pengiktirafan? Hakikatnya walaupun Palestin tidak mengiktiraf Israel, tetapi rejim Zionis sudah menguasai Palestin. Begitu juga walaupun Israel tidak mengiktiraf Palestin, kerajaan Hamas sudah dipilih rakyatnya. Rundingan boleh dilakukan untuk cari jalan damai walaupun kedua-dua pihak tidak mengiktiraf antara satu sama lain.
Bagaimanapun, Israel menggunakan isu pengiktirafan ini untuk menekan Hamas. Baginya ini adalah peluang untuk mendapatkan pengiktirafan ke atasnya secara paksa.
Bagi mereka yang menjunjung sejarah, Israel sememangnya tidak boleh diiktiraf. Tanah-tanah Israel itu adalah milik kedaulatan Palestin. Britain yang menguasai Palestin selepas kejatuhan Khalifah Uthmaniah ekoran Perang Dunia Pertama memegangnya sebagai mandat, iaitu amanah. Maka secara demokratik, ia perlu mengembalikannya kepada rakyat Palestin. Apabila rakyat Palestin mahukan sebuah negara merdeka dan berdaulat, maka itulah yang patut diwujudkan.
Tetapi selepas Perang Dunia Kedua, Britain menyerahkan mandat itu kepada Zionis untuk dijadikan Israel. Ia merupakan suatu pengkhianatan dan adalah zalim untuk sesiapa mengiktiraf Israel.
Bagaimanapun, Israel berjaya mempengaruhi AS dan EU. Maka untuk menekan Hamas, mereka menghentikan bantuan kepada kerajaan Palestin. Akibatnya kakitangan kerajaan Palestin lumpuh kerana tidak memperoleh gaji. Sementara kakitangan kerajaannya pula terdiri daripada anggota Fatah.
Maka sudah tentulah Fatah marah kepada dasar Hamas dan mereka mahu kerajaan Palestin mengiktiraf Israel supaya bantuan kewangan dapat disalurkan semula.
Inilah akibatnya apabila kerajaan Palestin bergantung kepada dana kewangan AS dan EU.
Tetapi mengapakah kakitangan kerajaan Palestin umumnya terdiri daripada anggota Fatah dan tidak disertai oleh orang Hamas?
Ini kerana semasa penubuhan pentadbiran Pihak Berkuasa Palestin (PA) ekoran Persetujuan Oslo yang membawa kepada kepulangan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) serta pengerusinya Yasser Arafat, Hamas tidak melibatkan diri.
PLO mengambil jalan mengiktiraf Israel, sebab itulah rejim Zionis itu membenarkan penubuhan kerajaan Palestin, lengkap dengan bantuan AS dan EU sendiri.
Hamas tidak mengiktiraf Israel dan terkeluar daripada persetujuan itu. Selama Yasser masih hidup, Fatah memenangi pilihan raya Palestin kerana Hamas tidak menyertainya.
Pertubuhan yang berasaskan fahaman Islam itu tidak menyertai pilihan raya Palestin kerana ia tidak mengiktiraf Israel.
Tetapi apa yang mendorong kepada Persetujuan Oslo dan penubuhan PA serta kepulangan PLO adalah intifadah atau kebangkitan rakyat Palestin melawan penjajah Israel pada akhir tahun 80-an. Penggeraknya ialah Hamas. Pada masa itu PLO berada dalam buangan di Tunisia. Maknanya, apa yang menyebabkan penubuhan PA dan kepulangan PLO ialah gerakan yang asasnya pada Hamas.
Mungkin keadaan berbeza andai kata Yasser dahulu mengundang Hamas menyertai kerajaan PLO. Walaupun Hamas tidak menyertai pilihan raya, kerajaan perpaduan akan membawa Hamas ke arus perdana.
Tetapi pada masa itu, perkara itu tidak difikirkan kerana mereka sengaja mahu meminggirkan Hamas. Lagipun Israel, AS dan EU tentu tidak mahu Hamas menyertai kerajaan pimpina Fatah.
Kini setelah Hamas menang pilihan raya, ia juga tidak dapat berfungsi kerana kerajaan tidak mempunyai dana. Sememangnya dana tidak boleh terkumpul kerana hakikatnya Palestin sedang dijajah dan diduduki.
Keadaan akan lebih mudah jika Israel mengundurkan diri daripada menjajah Palestin tetapi realitinya ia tidak mahu Palestin merdeka. Kalau diberikan kemerdekaan pun, ia berbentuk palsu kerana Israel tidak mahu negara Palestin berdaulat.
Bagi menekan Hamas, pejuang Fatah melancarkan serangan, malah menangkap pemimpin Hamas. Sementara Israel bersedia memberi bantuan dan ruang untuk Fatah bertindak ke atas Hamas. Begitu pilu keadaannya kerana pejuang Palestin menggunakan sokongan Israel untuk menekan pejuang Palestin yang lain.
Hamas cuba mendapat sokongan dan bantuan dana bagi kerajaannya dari luar. Banyak negara Islam sedia membantu. Antaranya, Arab Saudi dan Iran.
Tetapi sebarang pertumpahan darah di Palestin hanya akan mendatangkan penderitaan kepada rakyatnya. Hamas boleh mempertahankan pendiriannya dan negara-negara Islam boleh membantunya tetapi peperangan yang berlanjutan bukan saja daripada pihak Israel tetapi pertembungan sesama Hamas-Fatah akan hanya menyusahkan rakyat biasa.
Keutamaan sekarang adalah tindakan menghentikan sebarang pertumpahan darah dan membuka jalan damai untuk masa depan dalam kerangka bahawa kekuasaan dunia dipegang oleh AS, EU dan Israel.
Maka perdamaian antara Hamas dan Fatah mesti dirintis dan Riyadh adalah pihak yang paling sesuai untuk melakukannya. Ia mempunyai kemampuan untuk menyalurkan dana bagi menggerakkan jentera pentadbiran di situ.
Lagipun jika Riyadh tidak berperanan, Teheran akan masuk dengan lebih pesat dan keadaan menjadi sulit kerana ia adalah musuh AS. Jalan masa depan lebih kepada berbentuk ketenteraan, peperangan dan penderitaan.
Arab Saudi dan Palestin adalah sesama Arab dan Sunah Waljamaah, maka peranan ini lebih mudah dimainkan. Hubungan baik Arab Saudi dengan AS juga boleh digunakan bagi melicinkan usaha ke arah damai.
Dari segi latar belakang sejarah, Hamas yang merupakan cawangan Ikhwanul Muslimin mendapat dukungan ideologi dari Arab Saudi yang pada satu masa menentang golongan kiri Arab. Sedangkan Fatah dan PLO berada di pihak nasionalis kiri bersama Mesir pimpinan Gamal Nasser.
Tetapi tindakan aktif Arab Saudi dalam usaha menyelesaikan masalah Palestin adalah dimensi baru untuk meluaskan penglibatan pihak lain daripada Quartet.
Quartet atau kumpulan empat kuasa terdiri dari AS, EU, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Rusia yang dipertanggungjawabkan mencari penyelesaian antara Israel dan Palestin.
AS dan EU dilihat sebagai pihak di sebelah Israel sementara PBB dan Rusia di pihak Palestin. Tetapi sehingga hari ini Quartet gagal mendapatkan jalan damai bagi masalah ini.
Kegagalannya adalah kerana kedua-dua pihak, Israel dan Palestin tidak mahu berganjak daripada kedudukan masing-masing. Israel mahu membolot banyak perkara kerana beranggapan ia kuat sedangkan Palestin tidak mahu menyerahkan haknya kerana ia sudah banyak kerugian.
Dalam keadaan lemah dan realistik, Fatah bersedia mengalah. Tetapi Hamas tidak sanggup lagi untuk berganjak lebih-lebih lagi setelah banyak pengorbanan dilakukan.
Maka tercetuslah pertembungan berdarah antara Hamas dan fatah. Bagi Israel, adalah tanggungjawab Fatah menumpaskan Hamas. Bagi Hamas, Fatah melakukan kerja-kerja pemusnahan bagi pihak Israel. Yang terkorban dan terus menderita adalah rakyat Palestin sendiri.
Di sinilah negara-negara Islam terdorong untuk mencari penyelesaian. Presiden Pakistan, Pervez Musharraf telah pun mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) bagi mencari inisiatif.
Masalah Palestin tidak boleh dibiarkan kepada Quartet saja. Negara-negara Islam mesti terlibat sama. Musharraf juga mempunyai hubungan baik dengan Washington dan Riyadh.
Maka sewajarnya kedua-dua pemimpin Hamas dan Fatah, Khaled Meshaal dan Mahmoud Abbas bertemu di Mekah dan melakukan persetujuan di depan Raja Abdullah.
Sekembalinya ke Palestin, Perdana Menteri Ismail Haniyeh meletak jawatan bagi membolehkan penubuhan kerajaan perpaduan. Jauh lagi perjalanan bagi mewujudkan perpaduan lebih luas. Tetapi dana yang disalurkan oleh Saudi akan meredakan keadaan di Palestin.
Selepas ini, terpulang kepada AS dan EU untuk penerimaan selanjutnya. Sama ada kerajaan perpaduan ini dapat diterima oleh mereka atau tidak. Washington dan Brussels mesti meyakinkan Tel Aviv supaya meneruskan rundingan.
Dunia sudah muak dengan peperangan yang berlanjutan di Palestin hingga kini menghasilkan pelbagai bentuk keganasan, baik dari golongan militan mahupun tentera AS. Apa yang AS anggap sebagai keganasan global adalah akarnya pada konflik di Palestin.
Tetapi lebih penting lagi ialah Riyadh wajar lebih aktif bagi memastikan Persetujuan Mekah itu akan akhirnya mendatangkan hasil perdamaian.
Sikap dan usaha Arab Saudi wajar didukung oleh negara-negara OIC lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai hubungan baik dengan AS dan EU khususnya seperti Pakistan dan Turki.
Riyadh juga kini bukan saja wajar aktif menyelesaikan masalah Palestin tetapi juga di Iraq. Golongan Sunah di sana mesti disokong supaya terdapat perimbangan antara pengaruh Iran dengan yang lain.
Kedua-dua Arab Saudi dan Iran boleh saling lengkap-melengkapi dalam perjuangan membela kepentingan umat Islam. Tindakan berbentuk militan didukung diplomasi adalah amalan biasa dalam mencapai objektif politik dari sejak dulu lagi.
Kalau di Palestin, Hamas mewakili pihak militan sementara Fatah di pihak diplomasi. Israel juga melakukan kaedah yang serupa. Pihak tenteranya menggunakan kekerasan untuk menundukkan Palestin, sementara kerajaannya menampilkan cara diplomasi.
Kalau di peringkat global, Iran menggunakan pengaruh kekuatan tentera, Arab Saudi pula melaksanakannya secara diplomasi.