Semangat guru luar bandar tahun 50-an

Oleh: DATUK MUHAMMAD ALIAS
Sumber: Utusan Malaysia 26 Mac 2007


DAKWAAN keengganan guru-guru mengajar di luar bandar agak mengejutkan. Ini adalah kerana situasi di luar bandar dewasa ini amat berbeza dengan luar bandar tahun 50-an.

Lima puluh tahun lalu luar bandar disinonimkan dengan pelita minyak tanah, perigi dan kelambu. Sementara jalan raya seolah-olah tidak wujud. Yang ada cuma jalan tanah merah berlopak, berdebu dan ditakungi air di musim hujan.

Sementara basikal merupakan pengangkutan utama termasuk guru-guru.

Begitulah pemandangan sebahagian besar kampung-kampung di Perak Utara tahun 50-an termasuk kampung saya sendiri. Sekolah Melayu hanya setakat darjah 5. Menariknya guru besar saya, merupakan salah seorang guru ketika ibu saya bersekolah.

Guru-guru pula semuanya datang dari luar. Hinggalah ke hari ini. Sejajar dengan pembangunan negara kampung saya kini telah mempunyai sebuah sekolah menengah, balai polis dan pusat kesihatan. Perkhidmatan bas ke bandar berhampiran setiap setengah jam. Perkhidmatan teksi boleh didapati dengan mudah.

Penduduk tidak lagi menggunakan minyak tanah kerana sudah ada elektrik. Tidak lagi mandi air telaga kerana sudah ada air paip.

Namun kampung tersebut masih tetap kampung. Masih kawasan luar bandar. Masih ada guru-guru yang enggan tinggal di kampung tersebut. Sanggup berulang-alik dari bandar berdekatan. Mungkin ramai yang tidak mahu bertugas di kampung tanpa paksaan.

Keadaan amat berlainan ketika saya bersekolah dulu. Meskipun guru-guru semuanya orang luar, mereka datang membawa anak isteri. Tinggal sampai berpuluh tahun.

Rumah mereka sama taraf dengan orang kampung. Mandi air telaga atau sungai. Malam-malam pasang lampu minyak tanah dan tidur dalam kelambu kerana takutkan nyamuk malaria.

Namun mereka tidak bersungut. Tidak minta tukar. Sebaliknya menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab. Kalau tidak, sudah tentu beberapa kanak-kanak yang bernasib baik tidak dapat melanjutkan pelajaran ke universiti.

Kekurangan

Mungkin dimaksudkan luar bandar di abad ke-21 ini ialah penempatan pedalaman di Sabah dan Sarawak.

Tetapi apalah bezanya kampung-kampung ini dengan kampung-kampung di Persekutuan Tanah Melayu tahun 50-an. Kalaulah guru-guru di zaman itu sanggup menghadapi keadaan yang serba kekurangan kenapa tidak sekarang. Sebenarnya anggota angkatan tentera lebih awal dihantar bertugas di Sabah dan Sarawak dalam serba kekurangan.

Mungkin ramai guru-guru tidak bersetuju dengan kata dua Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Noh Omar.

Ketika bertugas di sebuah negara Afrika Barat beberapa tahun lalu, setiap tahun beratus-ratus orang sukarelawan Jepun terdiri daripada doktor, guru, jururawat dan jurutera datang bertugas sebagai sukarelawan selama 2-3 tahun. Mereka ditugaskan di kawasan-kawasan luar bandar yang kurang atau tidak ada langsung kemudahan asas.

Mereka tinggal dalam rumah-rumah yang dibuat daripada tanah liat, mandi dan minum air perigi, memakan makanan tempatan terdiri daripada ubi kayu. Mereka membuat apa saja tugas perlu. Termasuklah mengajar di sekolah-sekolah (sebenarnya bangsal tanpa kerusi meja dan ada juga di bawah pokok), mengajar ibu-ibu dalam bidang kraf tangan atau ilmu pertanian moden.

Malahan ada juga doktor-doktor perubatan yang dihantar membuat kajian membasmi berbagai penyakit terutama sekali malaria. Seorang daripada doktor pakar malaria bagaimanapun, meninggal dunia apabila beliau sendiri gagal menangkis serangan malaria.

Namun kematian tersebut tidak menakutkan para sukarelawan. Sementara program tersebut telah menjangkau 30 tahun.

Selain daripada sukarelawan Jepun terdapat ratusan dan ribuan sukarelawan dari negara-negara Barat bertugas di beberapa buah negara Afrika. Termasuklah mubaligh-mubaligh Kristian antaranya dari Filipina. Mereka sanggup tinggal di bangsal-bangsal kambing kerana agama. Membantu pesakit-pesakit termasuk yang mengalami AIDS.

Tahun 60-an ratusan sukarelawan American peace corps bertugas di Malaysia. Program bertujuan mengeratkan hubungan antara Amerika Syarikat (AS) dengan negara-negara dunia ketiga inisiatif Presiden Kennedy. Sebahagian besar daripada mereka bertugas di luar bandar dalam berbagai bidang termasuk pendidikan (guru) dan sektor pertanian.

Beberapa orang daripada bekas sukarelawan ini saya temui ketika bertugas di Los Angeles. Kini mereka masih bertugas dan memegang jawatan penting dalam sektor awam dan swasta. Rata-rata mereka mempunyai kenangan manis terhadap Malaysia. Malahan ada yang masih boleh berbahasa Melayu.

Sekiranya masalah guru menjadi semakin serius, dicadangkan kerajaan membawa masuk guru-guru dari negara-negara maju khususnya Eropah dan AS. Ia sekali gus dapat menyelesaikan masalah guru-guru berkelayakan untuk mengajar matapelajaran Sains dan Matematik serta Bahasa Inggeris sebagai satu mata pelajaran.

Selain daripada itu, pesara-pesara kerajaan sama ada bekas guru atau kakitangan awam eloklah diberi peluang untuk mengajar dalam mata pelajaran kritikal seperti Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Bahasa Malaysia atau apa sahaja mata pelajaran.

Percaya pesara-pesara ini masih dapat memberi sumbangan berkesan apatah lagi generasi yang dilahirkan dalam tahun-tahun 40-an dan 50-an mendapat pendidikan di sekolah-sekolah aliran Inggeris.

Saya rasa mereka tidak keberatan dihantar ke kawasan-kawasan luar bandar.

Di California siapa sahaja boleh menjadi guru asalkan mereka mempunyai kelulusan dan lulus peperiksaan untuk mendapat tauliah mengajar. Umur tidak menjadi soal. Asalkan disahkan masih waras dan sihat tubuh badan.