Oleh: ZIN MAHMUD (Di Canberra, Australia)
Sumber: Mingguan Malaysia 3 Jun 2007
DR. Jamal Rifi, seorang doktor perubatan di Sydney, Australia memenuhi masa hujung minggunya dengan memberi sumbangan sukarela bagi menggalakkan kegiatan sukan di kalangan kanak-kanak dan remaja di sekitar kediamannya di Lakemba.
Beliau yang juga Presiden Kelab Sukan dan Rekreasi Lakemba berbuat demikian bukan saja hanya kerana minat kepada sukan tetapi mempunyai misi sosiopolitik besar untuk Australia. Ketika ditemui di kliniknya, Jamal dengan semangat menyatakan kepercayaannya bahawa melalui sukan, komuniti daripada pelbagai latar belakang budaya di Australia dapat diintegrasikan sebagai satu bangsa.
Politik tidak dapat melakukannya. Tetapi sukan sebagai kegiatan universal yang dapat dihargai oleh semua bangsa mampu mewujudkan perasaan saling faham-fahami, bertoleransi di antara satu sama lain.
“Cuba bayangkan apabila kanak-kanak bermain sesama sendiri. Mereka tidak pedulikan latar belakang, keturunan, agama atau warna kulit. Mereka berseronok bermain dan ia memupuk sikap toleransi dan menerima budaya berbeza," kata Jamal yang lahir di Lebanon dan menjadi warganegara Australia lebih 30 tahun lalu.
Kelab beliau yang mempunyai beberapa pasukan bola sepak lelaki dan wanita dianggotai oleh kanak-kanak dan remaja daripada pelbagai keturunan: Lebanon, Vietnam, Greek, Somalia, Indonesia, Turki, Iraq dan lain-lain. Kelabnya juga menggalakkan sukan-sukan lain seperti kriket, seni mempertahankan diri dan sentiasa mendedahkan ahli-ahlinya kepada permainan baru supaya masing-masing mencari permainan kesukaan sendiri.
Menurutnya, usaha beliau mendapat sokongan daripada keturunan Anglo-Saxon, iaitu Inggeris dan Britain yang mana merekalah yang pada asalnya menubuhkan kelab itu 90 tahun lalu. Bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa usahanya bukan sekadar memperbaiki ruang aktiviti sukan di peringkat tempatan tetapi melihatnya sebagai usaha serius bagi menyumbang kepada kekuatan sukan Australia.
Selain daripada menggalakkan penglibatan semua kanak-kanak dan remaja dalam sukan dan permainan, kelab itu juga berusaha memberi latihan serius kepada pasukannya supaya mampu bertanding dengan pasukan-pasukan tempatan lain hingga ke peringkat negeri dan negara.
“Dari kegiatan sebeginilah, pasukan kebangsaan Australia akan mencari bakat baru dalam pelbagai permainan khususnya bola sepak. Dalam sukan, mereka terpaksa melihat hanya kepada merit dan melangkaui keturunan," ujarnya. Maka ketika bermain melawan pasukan-pasukan yang dianggotai oleh keturunan Anglo-Saxon, mereka juga akan dapat berinteraksi dan sekurang-kurangnya melunturkan prejudis terhadap komuniti minoriti seperti orang Islam.
Beliau tidak menafikan bahawa usahanya tetap sukar kerana ada pihak yang mempunyai perasaan prejudis dan stereotaip kepada komuniti bukan minoriti. Di satu pihak, pandangan umum Anglo-Saxon yang dibentuk oleh media bersikap Islamofobia, sementara di pihak lagi satu pula ialah kalangan orang Islam sendiri yang ada antaranya masih berfikiran memencilkan diri dan tidak menerima hakikat bahawa mereka adalah orang Australia.
Beliau juga mempertemukan delegasi media Malaysia dengan seorang pemain ragbi nasional yang terkenal di Australia, Hazem El Masri, seorang keturunan Lebanon. Dalam buku mengenai dirinya, El Magic yang ditulis oleh Bill Woods, Hazem menceritakan bagaimana sukarnya seorang Islam di Australia dapat diiktiraf menurut kebolehannya sendiri. Tetapi kejayaan beliau memaparkan hakikat bahawa sukan menjadi antara cara terbaik untuk memupuk toleransi dan persefahaman antara kaum dan agama.
Ini kerana jika seseorang itu mempunyai kebolehan dalam sesuatu permainan, adalah sukar bagi sesiapa untuk menolaknya daripada menyertai pasukan nasional. Hazem walaupun kuat beragama dan masih mengekalkan identiti Lebanon Arab Islam Sunni tetapi sentiasa memaparkan dirinya sebagai seorang Australia.
Dalam permainan bola sepak dunia, Zineddine Zidane dari Perancis menunjukkan betapa sukan boleh memaparkan penyatuan nasional tidak kira keturunan atau agama seseorang itu. Zineddine tetap menggambarkannya sebagai seorang Perancis walaupun dia beragama Islam. Keadaan ini boleh terjadi kerana pasukan kebangsaan yang dianggotainya dapat diterima sebagai mewakili Perancis.
Sesebuah negara, termasuk Australia adalah entiti wilayah tanah yang mana semua warganegara adalah dianggap setaraf, saksama dan mempunyai hak serta tanggungjawab serupa. Walaupun seseorang itu beragama berbeza daripada kebanyakan warganegara di negara berkenaan, tetapi ia tetap merupakan sebahagian daripada negara berkenaan. Sementara identiti sesebuah negara tidak lagi terletak pada bangsa, agama atau keturunan.
Malah bukan kepada tentera masing-masing yang berperang bagi pihak negara berkenaan itu, sebaliknya, pada alaf ini terdapat tanda-tanda identiti sesebuah negara dikaitkan dengan sukan, sama ada pasukan bola sepak masing-masing mahupun kontinjen dalam Olimpik.
Kalau zaman dahulu, sifat kenegaraan itu dikaitkan dengan angkatan tentera masing- masing yang berperang mempertahankan raja masing-masing di bawah bendera kebangsaan mereka, tetapi pada zaman yang menolak peperangan, pada masa akan datang identiti negara dizahirkan di Sukan Olimpik dan sukan-sukan lain seperti Sukan Asia, Sukan Komanwel atau pertandingan dunia seperti Piala Dunia dengan atlet dan pemain menjadi pejuang baru bagi mempertahankan bendera negara mereka.
Konsep sukan yang dikaitkan dengan usaha menyelesaikan masalah sosiopolitik jangka panjang turut dibincangkan oleh agensi pemikir Australia, Institut Lowy bagi Polisi Antarabangsa mengaitkannya dengan politik hubungan antara negara-negara dengan mengemukakan gagasan Diplomasi Bola Sepak.
Pengarah Programnya, Dr. Malcolm Cook memberitahu bagaimana keahlian Australia dalam Konfederasi Bola Sepak (AFC) mencerminkan peranan sukan dalam politik hubungan antarabangsa.
Beliau membayangkan bagaimana interaksi rakyat negara-negara dengan penglibatan mereka dalam sesuatu penganjuran sukan membawa nilai politik hubungan antarabangsa tersendiri. Tidakkah penyertaan Australia dalam AFC mulai tahun lalu juga mencerminkan kehendak Canberra untuk lebih dilihat sebagai negara Asia selaras dengan keanggotaannya juga dalam Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS)?
Sukan dan permainan antara negara dilihat mampu merapatkan hubungan antara rakyatnya kerana semangat kesukanan dapat mengendurkan perasaan negatif, dan akhirnya sebarang masalah diselesaikan menurut pertimbangan khusus sesuatu isu, dan bukannya atas prejudis serta kebencian.