Selepas 6 tahun 11 September

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 9 September 2007


BEGITU besarnya kesan peristiwa 11 September 2001 kepada dunia dapat dirasakan melalui keadaan di mana banyak orang di muka bumi ini dapat ingat apa yang mereka sedang lakukan ketika kejadian itu. Dunia yang mengecil dengan komunikasi televisyen satelit memungkinkan apa yang berlaku di New York dapat dilihat dan dihayati kebanyakan manusia. CNN memainkan memaparkan dengan jelas bagaimana dua kapal terbang merempuh menara Pusat Dagangan Dunia (WTC) New York.

Begitu juga dengan penulis yang masih ingat apa yang dilakukan ketika itu. Waktu itu pukul 8 malam dan penulis di sebuah klinik di Segambut. Tiba-tiba mendapat panggilan daripada seorang Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia yang meminta penulis melihat berita televisyen.

Penulis bergegas mencari televisyen di deretan kedai berhampiran dan dapat menyaksikan menara WTC dirempuh. Kemudian penulis mendapat panggilan daripada seorang wartawan-aktivis daripada sebuah kumpulan politik Islam. ‘‘Tengok televisyen, Amerika diserang. Macam perang. Kena buat analisis,’’ ujarnya.

Tahun lalu sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, penulis dapat menziarah tapak Ground Zero di mana terletaknya WTC. Satu bangunan peringatan sedang dibina termasuk Freedom Tower atau Menara Kebebasan.

Maka setiap tahun, New York dan Amerika Syarikat (AS) akan memperingati peristiwa itu dengan saluran-saluran televisyen dokumentari utama dunia, yang pastinya didominasi AS akan memaparkan pelbagai kisah berhubung peristiwa 11 September. Dunia yang didominasi oleh budaya AS dan menjadi pengguna bahan kandungan media massa kuasa besar itu pasti turut disogok dengan sudut analisis daripada perspektif AS.

Maka pastinya yang menjadi sasaran dan kecaman bukan saja Osama bin Laden, Al-Qaeda dan Taliban tetapi juga apa yang disebut Islam radikal. Dalam usaha ini, sedikit sebanyak ada nada Islamofobia, atau rasa benci terhadap Islam disemaikan. Kini ada istilah yang digunakan bagi fahaman yang dipegang Al-Qaeda dan kumpulan-kumpulan yang sealiran dengannya iaitu Islamofasisme.

Islamofasisme atau fahaman Islam fasis merujuk kepada pegangan politik fundamentalis, ekstremis, radikal dan terorisme Islam, dalam bentuk yang ditunjukkan oleh kumpulan-kumpulan seperti Al-Qaeda dan Taliban. Tetapi bukan itu saja, istilah Islamofasisme dikaitkan juga kepada Iran, Hamas dan Hizbullah.

Seperti Fasisme, termasuk Nazisme yang dipegang Benito Mussolini (Itali) dan Adolf Hitler (Jerman) semasa Perang Dunia Kedua, ciri yang hendak ditekankan terhadap Islamofasisme ialah kediktatoran, penggunaan ketenteraan dan perkauman dalam bentuk keagamaan yang ditunjukkan kepada pemusnahan Yahudi.

Jadi kalau Fasisme dan Nazisme dikaitkan dengan antisemitisme iaitu kebencian terhadap kaum Yahudi, maka Islamofasisme juga dilihat dalam bentuk yang serupa. Justeru bagi mereka, gerakan Al-Qaeda, Taliban, Hamas, Hizbullah dan Iran mempunyai elemen menghancurkan Israel, yang dilihat sebagai antisemisteme atau anti-Yahudi. Justeru Islamofasisme adalah serupa dengan Fasisme, cumanya ia diasaskan kepada Islam. Cara kumpulan-kumpulan Islam itu menggunakan senjata yang dianggap sebagai keganasan adalah ciri ketenteraan yang disamakan dengan amalan fasis. Begitu juga dasar pentadbiran Taliban dan Iran dilihat berbentuk diktator dan itu juga disamakan dengan Itali, Jerman dan Jepun pada zaman Perang Dunia Kedua.

Jadi ketika dunia Islam mengingatkan Barat tentang bahaya Islamofobia, Barat mengingatkan dunia Islam tentang Islamofasisme. Mereka seolah-olah berkata bahawa mereka tidak benci Islam, tetapi menolak Islamofasisme. Maka keadaan ini adalah antara yang terhasil daripada peristiwa 11 September. Freedom Tower turut membawa mesej ini. AS adalah di pihak mempertahankan kebebasan sementara Al-Qaeda dan fahaman yang sealiran dianggap Islamofasis yang memperjuangkan penguasaan dunia untuk mengongkong dan memaksa manusia mengikut doktrin yang sempit.

AS sentiasa menampilkan diri sebagai kuasa memperjuangkan kebebasan. Bermula dengan pemberontakannya terhadap pemerintahan Britain pada tahun 1776, hinggalah kepada usaha membebaskan hamba abdi dalam Perang Saudara AS, sampai Perang Dunia Pertama dan Kedua bagi menentang kediktatoran Jerman hinggalah kepada Perang Dingin, ketika ia bersaing dengan kediktataoran komunis Soviet. Maka peperangan menentang Al-Qaeda dianggap lanjutan usaha mempertahankan kebebasan.

Logik sebegini memang mudah untuk membawa seseorang memihak kepada AS jika mereka dengan mudah melupakan bagaimana Washington menjajah dan membelenggu bangsa-bangsa lain. Pada asalnya pun AS merupakan penempatan yang muncul di atas penaklukan dan penghapusan rakyat peribumi Amerika, mula-mula disebut sebagai Red Indian kemudian, American Indian dan akhirnya menjadi Native Americans.

Kemajuan AS adalah berasaskan penggunaan hamba abdi. Adakah itu ciri kebebasan? Ketika 13 negeri penempatan AS memberontak, banyak hamba abdi berkulit hitam menyebelahi Britain kerana mereka sedar kedudukan mereka dibelenggu dalam negara merdeka AS.

Setelah pihak Union pimpinan Abraham Lincoln memenangi Perang Saudara, banyak hamba kulit hitam dibebaskan tetapi kedudukan mereka sebagai komuniti adalah pada tahap kelas kedua hinggalah pada tahun 60-an apabila tercetus Pergerakan Hak Sivil.

Dalam Perang Dunia Pertama , AS berada pada Britain yang dianggap memperjuangkan kebebasan menentang kediktatoran Jerman. Tetapi hakikatnya pertembungan Jerman dengan Britain adalah atas asas imperialisme bagi merebut tanah jajahan di seluruh dunia. Sikap kedua-dua pihak yang tidak membela kepentingan rakyat biasa dan pekerja memungkinkan timbulnya gerakan sosialis yang melahirkan Kesatuan Soviet.

Sekali lagi AS di pihak Britain dalam Perang Dunia Kedua menentang diktator Jerman, Itali dan Jepun. Tetapi kemunculan Hitler dan Nazi yang menang pilihan raya atas sokongan rakyatnya adalah kerana tekanan buruk kuasa Eropah terhadap negara itu dalam Perjanjian Versailles. Kemelesetan ekonomi teruk di Jerman memungkinkan kemunculan Hitler. Ini membawa kepada pembunuhan ramai orang Yahudi. Harga yang dibayar terhadap pembunuhan itu bukan ditanggung oleh negara-negara Eropah tetapi rakyat Palestin.

Kegagalan Britain memberikan kemerdekaan yang sempurna kepada Palestin membawa kepada penubuhan Israel yang disokong kuat oleh AS. Adakah Washington berada di pihak kebebasan jika Palestin dinafikan hak kemerdekaan mereka? Tidak tegas dalam perjuangan untuk kebebasan di Asia Barat membawa kepada keadaan di mana akhirnya muncul orang seperti Osama bin Laden. Kebebasan diperjuangkan dalam bentuk selektif. Apabila kepentingan minyak dan Israel bertembung dengan kebebasan, maka kebebasan dikorbankan.

Ini dapat dilihat dalam Perang Dingin dari 1950 hingga 2000. Walaupun Soviet dan sekutu-sekutu komunisnya adalah kuasa diktator dan menyekat kebebasan, AS pula bersifat hipokrit. Sokongannya terhadap kediktatoran Chile, Shah Iran dan Pakistan umpamanya tidak mencerminkan bahawa ia komited terhadap kebebasan.

Maka sehubungan ini, dalam banyak dokumentari yang disiarkan sempena peristiwa 11 September, ada suatu filem yang berimbang ditayangkan melalui saluran History bertajuk Declassified: The Taliban.

Temanya mudah. Ia menyatakan 11 September berlaku hasil dasar AS dalam Perang Dingin. Seperti negara-negara lain Afghanistan mempunyai masalah politik yang jika tidak ada campur tangan luar, maka ia boleh stabil. Menurut dokumentari itu, perisikan AS tersalah membuat andaian dalam hal Afghanistan. Mereka percaya Soviet mahu menguasai negara itu seterusnya Iran untuk mendapatkan laluan laut ke Lautan Hindi.

Tetapi menurut dokumen sulit yang dikelaskan semula, Moscow pada zaman Leonid Brezhnev tidak berhasrat menakluk Afghanistan. Ini kerana ia tidak mampu dan bimbang campur tangan AS. Bagaimanapun, dari awal lagi, AS sudah membentuk gerakan menghalang Moscow menguasai Kabul. Usaha AS ini disalah tafsir sebagai usaha untuk melemahkan Soviet. Salah faham ini membawa kepada rampasaan kuasa komunis di Kabul.

Apabila Kabul menjadi komunis, maka bertambahlah usaha AS menguatkan kuasa bagi menentang Afghanistan. Maka melalui Pakistan, AS membekalkan banyak senjata dan akhirnya berlakulah perang saudara di negara itu. Apabila terdesak, Soviet turut menghantar tenteranya masuk. Peperangan jihad berlaku dengan lambakan senjata AS di pihak Mujahidin. Banyak orang Islam terkorban dan menjadi pelarian di Pakistan.

Soviet di bawah Mikhalil Kruschev sudah tidak tahan dengan peperangan di Afghanistan. Ia melemahkan Soviet dan akhirnya memang benar ia meruntuhkan keseluruhan negara itu. Setelah kerajaan komunis Kabul tumbang, Mujahidin berkelahi sesama sendiri dengan menggunakan banyak senjata yang dibekalkan oleh AS. Akibatnya banyak rakyat sengsara sedangkan AS tidak berusaha menstabilkan Afghanistan atau membantu membangunkan negara, yang dirosakkan akibat campur tangan dua kuasa besar itu.

Sementara itu anak-anak pelarian Afghanistan di Pakistan hanya belajar dua perkara di kem penampatan: Agama dan penggunaan senjata. Pelajar-pelajar ini menjadi Taliban. Dengan dibekalkan senjata AS melalui Pakistan mereka masuk ke Kabul yang kacau-bilau dan mendirikan negara yang dianggap keterlaluan oleh Barat. Jika Taliban ini dianggap Islamofasis, dari manakah mereka memperoleh senjata kalau tidak dari AS?

Selepas Taliban berkuasa, mereka juga dibiarkan seperti Mujahidin. Mereka memiliki senjata tetapi tidak mempunyai kemahiran untuk membina negara, apatah lagi membangunkan negara. Yang dapat dibekalkan oleh Pakistan dan AS hanyalah senjata untuk membunuh sesama Muslim. Dana bagi pembangunan tidak ada.

Sebaliknya, orang yang sanggup memberikan dana bagi membangunkan infrastruktur seperti jalan raya dan sekolah ialah Osama bin Laden. Walaupun Taliban tidak sealiran dengan Al-Qaeda tetapi mereka membayar harga dana itu dengan penempatan kem-kem latihan.

Osama sememangnya anti-Amerika tetapi sebab apa? Puncanya ialah dasar-dasar luar AS terhadap Asia Barat, bukan saja berhubung dengan Palestin tetapi cara AS melayani Arab Saudi dan negara-negara Arab lain. Setelah terpaksa lari daripada negaranya sendiri dan kemudian berpindah dari Sudan kerana tekanan daripada AS, Osama hanya dapat perlindungan daripada Taliban, itu pun dengan harga dana pembangunan infrastruktur.

Lanjutan daripada dasar luar AS di Afghanistan ialah serangan terhadap WTC New York. Itulah kesimpulan dokumentari Declassified: The Taliban.