Oleh: Zin Mahmud
Sumber: Mingguan Malaysia 13 Januari 2008
KENYATAAN Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin di Dialog Malindo 2008 Selasa lalu tepat mendedahkan bagaimana rumpun Nusantara ini, iaitu Malaysia dan Indonesia terperangkap dengan isu remeh-temeh hingga menyampingkan cabaran sebenar bersama.
Katanya, cabaran dalam hubungan Malaysia-Indonesia bukannya mengenai kedaulatan, pekerja pendatang, isu budaya seperti lagu rasa sayang, tetapi soal sebenar adalah survival kedua-dua negara.
Mungkin ia berasal daripada sifat semula jadi rumpun Melayu ini untuk berperasaan emosional kepada soal-soal titik bengik, seperti perangai warga-warga kampung di seluruh Nusantara hingga ia memerlukan ingatan sedemikian. Betapa ada orang Melayu yang bergaduh di antara saudara hanya kerana perbalahan terhadap sekangkang bidang tanah pusaka.
Ataupun berperasaan sensitif dalam soal layanan dan kata-kata yang tidak disenangi. Perbalahan di kalangan jiran tetangga di kampung-kampung kerana soal-soal menyentuh perasaan semata-mata.
Begitu jugalah hubungan antara Malaysia dan Indonesia yang seolah-olah dua warga kampung, sebangsa dan sebudaya hingga lupa bahawa cabaran yang dihadapi adalah soal kedudukan ekonomi dan politik di rantau Asia. Maknanya ketika Malaysia dan Indonesia berbalah soal emotif, China, India dan Vietnam sedang maju ke depan tanpa lagi menoleh ke belakang.
Inilah yang disebut oleh Khairy bahawa antara tahun-tahun 1970-an hingga 1990-an, Malaysia dan Indonesia adalah antara negara yang paling maju di rantau ini, dan menarik masuk banyak pelaburan asing, tetapi hari ini kedua-dua negara ini terpaksa bersaing dengan China, India dan Vietnam.
Sememangnya China, India dan Vietnam merupakan negara-negara besar yang mempunyai potensi untuk melangkah jauh ke depan. Indonesia juga adalah negara besar. Malaysia pula sememangnya kecil. Tetapi Indonesia akan lebih bersedia untuk bersaing jika bergabung tenaga dengan Malaysia dalam soal ekonomi untuk bersaing dengan China, India dan Vietnam.
Kalau dari segi rumpun bangsa, keadaan China, India dan Vietnam adalah jelas. Tetapi Malaysia dan Indonesia pula adalah sebenarnya satu bangsa dan oleh kerana perjalanan sejarah penjajahan, maka ia muncul sebagai dua buah negara. Dalam keadaan ini semangat Malindo dan Nusantara bermaksud gabungan kerjasama erat dalam bidang ekonomi bagi survival bersama.
Namun begitu, apa yang dikatakan semangat Nusantara bukanlah bersifat perkauman Melayu. Ia bukan saja melibatkan penduduk rumpun Melayu tetapi kesemua kaum yang sudah menjadi warga Malaysia dan Indonesia. Apabila bercakap tentang ekonomi, mestilah ia melibatkan keperkasaan perniagaan warga keturunan Cina, di kedua-dua negara Malaysia dan Indonesia.
Malah gagasan semangat Nusantara ini juga perlu melibatkan negara-negara yang pernah satu masa dicadangkan turut serta dalam penubuhan Malaysia, iaitu Singapura dan Brunei. Maka Nusantara Raya ini pula bersama Vietnam, Thailand dan Filipina menjadi teras kepada kekuatan ekonomi ASEAN. Maka barulah ASEAN dapat dilihat sebagai satu gagasan besar untuk berdepan dengan China dan India dalam persaingan ekonomi global.
Kerjasama
Namun sebelum dapat memunculkan ASEAN, kerjasama ekonomi yang kuat antara Malaysia dan Indonesia menjadi asas dan pemula untuk perubahan bagi mencapai kemampuan untuk bersaing.
Perlu dilihat betapa kesemua negara-negara ini: Malaysia, Indonesia, Vietnam, China dan India menghadapi pergolakan politik bagi mencari jati diri sebaik saja selepas Perang Dunia Kedua. Ketika itu mereka sudah meninggalkan era penjajahan dan mencari tapak untuk menjadi negara bangsa baru dan berjaya.
Malaysia dan Indeonsia hanya berjaya memantapkan jati dirinya selepas tahun 1967 apabila konfrontasi berakhir dan kejatuhan Presiden Sukarno serta pembubaran Parti Komunis Indonesia (PKI).
Walaupun Tanah Melayu merdeka pada 31 Ogos 1957, tetapi jati diri tidak dapat dimantapkan kerana ancaman komunis yang kuat dari Parti Komunis Malaya (PKM) baik dalam hutan mahupun di kota raya Singapura. Ancaman komunis dari Singapura mendorong kepada penubuhan Malaysia.
Sementara gagasan Malaysia yang akhirnya ditubuhkan pada 16 September 1963 menerima ancaman dari Indonesia yang dipengaruhi kuat oleh PKI. Justeru kedudukan Malaysia dan Indonesia bergolak hinggalah kejatuhan PKI dan Sukarno. Hanya selepas konfrontasi barulah kedua-dua negara dapat memantapkan jati diri politik dan ekonomi. Allahyarham Tun Razak Hussein dan Suharto membawa negara masing-masing ke jalan pembangunan hingga menyaksikan kemajuan pesat pada tahun 1970-an dan 1990 -an. Kestabilan Malaysia dan Indonesia inilah menjadi teras kepada penubuhan ASEAN.
Dalam keadaan China mengamalkan sistem komunis dan Indochina bergelumang dengan peperangan, maka tumpuan pelabur tentunya adalah Malaysia dan Indonesia, yang turut digalakkan oleh negara-negara Barat yang mahu melihat dua negara serumpun ini muncul sebagai kubu menentang komunisme.
Ketika itu, China, India dan Vietnam masih tidak menemui jati diri politik dan ekonomi mereka. Selepas Perang Dunia Kedua, China berpecah dua menjadi Republik Rakyat China di Tanah Besar China dan Republik China di pulau Taiwan. Walaupun kedudukan Parti Komunis China (CCP) yang kuat di Beijing, tetapi ia tidak memberi kestabilan di China. Di bawah Mao Zedong, China terlibat dengan peperangan di Korea, India, Kesatuan Soviet dan Vietnam dengan sikap konfrontasi terhadap Taiwan.
Sementara sistem ekonomi komunis Mao pula membawa negara itu kepada kehancuran hingga mencapai kemuncaknya pada Revolusi Kebudayaan. Di peringkat awal dan pertengahan pentadbiran Mao, Beijing menyumbang kepada kekacauan dan ketidakstabilan di Malaysia dan Indonesia melalui sokongannya terhadap PKM dan PKI.
Namun Malaysia di bawah Tun Razak berjaya meredakan ancaman ini melalui usahanya berbaik-baik dengan China. Apa yang dilakukannya diikuti pula oleh Indonesia. Hubungan baik kedua-dua negara ini dengan China menyumbang kepada kestabilan nereka. Pun begitu, China hanya dapat menikmati kestabilan setelah Mao meninggal dunia dan digantikan dengan Deng Xiaping pada akhir 1970-an.
Merobah
Polisi ekonomi Deng merobah keadaan China yang akhirnya kini menjadi ekonomi paling pesat berkembang di dunia. Bukan saja pelabur Barat melihat tarikan China itu tetapi juga dari kalangan peniaga keturunan Cina di Taiwan dan Asia Tenggara termasuk Malaysia dan Indonesia.
Vietnam pula terlibat dalam kancah peperangan sebaik saja selepas Perang Dunia Kedua. Daripada menentang penjajah Perancis hinggalah kepada Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1960-an dan 1970-an. Negara Vietnam terbahagi dua dan ketika Perang Dingin sedang hebat berlaku, maka Vietnam menjadi medan kedua selepas Korea. Hanya setelah AS mengundurkan diri pada tahun 1976, barulah ia menyaksikan kestabilan. Tetapi keadaan serba kekurangan terus berlaku kerana Hanoi turut terlibat dalam peperangan di Kemboja.
Setelah masalah Kemboja selesai pada tahun 1980-an, diikuti dengan pembukaan ekonomi China pada zaman Deng, maka barulah Hanoi mengikut jejak Beijing. Pihak pemerintah komunis Vietnam walaupun mempertahanakan ideologi politiknya tetapi mengikut jejak Deng dalam soal ekonomi melalui polisi Doi Moi atau keterbukaan.
Maka setelah memasuki tahun 1990-an, sudah tentu China dan Vietnam dilihat sebagai lebih menarik daripada Malaysia dan Indonesia. Kegawatan ekonomi Asia yang merintis kepada kejatuhan Suharto, dan juga memberi kesan kepada Malaysia melalui pengaruh politiknya menjadikan pelabur meragui kemampuan Malaysia dan Indonesia bagi menyediakan ruang pelaburan yang stabil. Oleh kerana Malaysia sudah menikmati pembangunan terlebih dahulu, maka kos tenaga manusia di China dan Vietnam jauh lebih murah dan menarik bagi pelabur.
Inilah cabaran besar bagi Malaysia dan Indonesia. Ia menjadi lebih ketara dengan kemunculan India sebagai kuasa ekonomi baru apabila dunia memasuki alaf baru. Walaupun India adalah sebuah negara demokratik dan tidak diperintah oleh komunis kecuali di peringkat negeri di Benggala Barat dan Kerala di mana parti-parti komunisnya memegang kuasa melalui pilihan raya tetapi sistem ekonominya yang diasaskan oleh Perdana Menteri Jawaharlal Nehru cenderung pada sifat sosialis.
Dengan India berkali-kali terlibat dengan peperangan dengan Pakistan, dan kemudiannya dengan Bangladesh dan Sri Lanka, maka kestabilan politik yang wajar tidak dapat dinikmati oleh New Delhi.
Hanya setelah kejatuhan sekutu kuatnya iaitu Kesatuan Soviet, ditambah pula kekalahan Parti Kongres di tangan Parti Janata Bharatia (BJP) yang polisi ekonominya bersifat terbuka, maka India menyediakan dirinya untuk stabil dan membangun. Dalam tahun 2000-an, India baru muncul sebagai kuasa menarik pelaburan yang bersaing dengan China tetapi menjadi cabaran besar kepada Malaysia dan Indonesia.
Maka untuk menyaingi kuasa-kuasa ekonomi besar itu, Malaysia dan Indonesia tidak memiliki jalan lain selain daripada kerjasama politik dan ekonomi untuk survival.
Ingatlah ketika kegemilangan Kesultanan Melayu di Melaka, perpaduan Nusantara berada di peringkat yang kukuh. Majapahit dan Melaka bukan saja bertukar-tukar duta tetapi mengukuhkan hubungan rumpun melalui perkahwinan.
Hanya setelah kejatuhan Majapahit dan perbalahan sesama serumpun membolehkan kemasukan kuasa penjajah ke rantau ini. Portugis hanya dapat menawan Melaka, Makassar dan Maluku apabila kerajaan-kerajaan Nusantara tidak bersatu. Kubu A Famosa hanya dapat ditumpaskan apabila Aceh bekerjasama dengan Johor membantu serangan Belanda. Tetapi perseteruan antara Aceh dan Johor membolehkan Belanda menguasai Sumatera, sementara kegagalan mana-mana kerajaan Melayu menolong Kedah untuk berdepan dengan Siam membolehkan British bertapak di Pulau Pinang.
Seperti dahulu, penjajahan akan bermula melalui penguasaan ekonomi.