Palestin tidak ada wang

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 9 April 2006


CABARAN pertama kerajaan Palestin Hamas yang dihadapi setelah penubuhannya adalah apabila ia mendapati perbendaharaannya kosong dan kakitangan awamnya tidak dibayar gaji.

Ini kerana bukan saja penyumbang-penyumbang dari Barat menghentikan pemberian kerana kemenangan Hamas tetapi wang daripada pihak Arab sebagai pengganti tidak kunjung tiba.

Hakikatnya, kerajaan Palestin tidak mempunyai kemampuan sendiri dalam keadaan sekarang untuk berfungsi tanpa bantuan pihak luar. Tetapi keadaan ini tidak menghairankan kerana di dunia, banyak negara yang juga tidak mampu untuk berfungsi, dan mereka mengharapkan bantuan asing.

Malah kerajaan Israel juga tidak dapat berfungsi tanpa bantuan kewangan dari Amerika Syarikat (AS).

Tetapi sekurang-kurangnya Israel mempunyai kegiatan ekonomi melibatkan eksport dan membolehkan kerajaannya mengutip cukai dan memiliki pendapatan. Tetapi tidak Palestin yang dikepung dan ekonominya disekat oleh Israel. Malah satu-satunya ladang buah-buahan di Gaza yang memberi pendapatan kepada sebilangan rakyat wilayah itu terpaksa ditutup apabila Israel menghalang satu-satunya pelabuhan di situ atas alasan keselamatan.

Apa yang berlaku sekarang menyeksa rakyat Palestin. Kemenangan Hamas menyukarkan kehidupan mereka. Tetapi semasa di bawah kepimpinan Al-Fatah dahulu, kedudukan mereka juga bukanlah lebih baik. Masalah korupsi dan salah urus tadbir dalam kerajaan antara penyumbang kepada penolakan rakyat terhadap parti tunjang Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) itu.

Pilihan rakyat Palestin terhadap Hamas yang dilakukan melalui proses demokrasi tidak mendatangkan kesan baik kepada mereka. Tetapi adakah keadaan lebih baik jika Al-Fatah yang memenangi pilihan raya itu?

Ada satu ciri pada Hamas yang menjadikannya menarik, sesuatu yang tidak ada pada Al-Fatah, iaitu semangat berdikari dan sifat khidmat aktivis-aktivisnya. Hamas bergerak seperti badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan program sosial seperti sekolah dan hospital. Mereka mewujudkan sistem pendidikan dan kesihatan untuk rakyat Palestin. Sudah tentu program-program ini disenangi oleh penduduk setempat.

Maka persoalan yang timbul ialah mengapa Al-Fatah tidak mempunyai kegiatan seperti itu? Perlu diingat ketika Allahyarham Yasser Arafat menubuhkan Al-Fatah dan kemudian pertubuhan payung PLO, ia diwujudkan dalam bentuk gerakan politik dan tentera. Apabila memperoleh kuasa melalui Pihak Berkuasa Palestin (PA), maka jentera dan perkhidmatan kerajaan digerak dan dianggotai aktivis Al-Fatah.

Dalam senario begini, maka selama ini seolah-olah wujud dua kerajaan selari di Palestin, yang satu oleh PLO, satu lagi Hamas. Sudah tentu rangkaian institusi Hamas seperti sekolah dan hospital dianggotai dan digerakkan aktivisnya.

Maka dapat dibayangkan betapa apabila gaji kakitangan awam tidak dapat dibayar kerana ketiadaan wang kerajaan, maka kesannya adalah pada aktivis Al-Fatah yang menganggotainya.

Akhirnya tindakan Barat menyekat bantuan kepada kerajaan Hamas mendatangkan tekanan bukan pada penyokongnya tetapi kepada orang PLO sendiri.

Persoalan juga timbul, selama ini dari mana Hamas mendapat dana bagi menggerakkan perkhidmatan sosialnya? Dapat dibayangkan bahawa Hamas pada asalnya merupakan gerakan Ikhwanul Muslimin cawangan Palestin.

Ikhwanul Muslimin yang bermaksud persaudaraan Islam ditubuhkan oleh Hassan Al-Banna di Mesir pada tahun 50-an. Ia membawa fahaman fundamentalis Islam moden dengan mengadun pemikiran berasal daripada ulama silam Ibnu Taimiyah dan pemikir Islam moden seperti Jamaluddin Al-Afghani dan Muhammad Abduh.

Tetapi Hassan Al-Banna sendiri mempunyai madrasah yang kuat melatih kader-kader ikhwanul Muslimin melalui sistem usrah yang kemudian popular di seluruh dunia Islam.

Pemikiran Ikhwanul Muslimin dikukuhkan lagi melalui sumbangan hujah-hujah Syed Qutb dan Abdul Kadir Audah.

Dari awal lagi, Ikhwanul Muslimin turut terlibat dengan jihad menentang Zionis dalam peperangan pimpinan Allahyarham Presiden Gamal Nasser.

Dari segi ideologi politik, dunia Arab pada abad ke-20 terbahagi kepada Nasserisme (Nassiriyun) dan gerakan Islam berasal Ikhwanul Muslimin.

Arafat, Fatah dan PLO mempunyai susur galur fahaman politik daripada Nasser. Begitu juga dengan Muammar Gaddafi (Libya), Jaafar Numeiri (Sudan), Hafez Assad (Syria) dan Saddam Hussein di Iraq.

Sementara Ikhwanul Muslimin bercambah di seluruh dunia Arab, baik di Jordan, Sudan, Syria dan negara-negara Teluk. Mereka bertembung dengan aliran sekular kiri Nasserisme ini.

Dalam menghadapi aliran politik kiri, Ikhwanul Muslimin mendapat sokongan negara-negara Arab yang diperintah oleh keluarga-keluarga diraja. Tokoh-tokoh ikhwan yang ditekan di Mesir diberi perlindungan oleh kerajaan-kerajaan beraja ini. Walaupun mereka bukanlah sefahaman dengan ikhwan tetapi seperti raja Arab ini berasa lebih hampir dengan ikhwan dari segi keagamaan. Fahaman Wahhabi umpamanya juga mempunyai susur galur daripada pemikiran Ibnu Taimiyah juga.

Umpamanya ulama terkenal Yusuf Qaradhawi merupakan tokoh ikhwan yang diberi perlindungan oleh Qatar.

Maka Hamas dapat bergerak selama ini atas bantuan pendukung ikhwanul Muslimin di seluruh dunia Arab.

Maka itulah juga yang diharapkan oleh kerajaan Hamas apabila AS dan Eropah menghentikan bantuannya.

Dengan wang Arab, Hamas tidak perlu bergantung pada AS dan Eropah. Mereka tidak perlu menghiraukan tekanan dari Barat sebaliknya mereka hanya perlu akur kepada pandangan dunia Arab lain.

Kedudukan sebegini pasti disedari oleh Barat. Mereka tidak mahu pengaruh Arab bertambah kuat berbanding dengan pihak Barat.

Tetapi mengapa bantuan dari negara-negara Arab lambat? Mungkinkah Barat sedang mengenakan tekanan supaya tidak menghulurkan bantuan?

Jika keadaan ini berlaku, senario lain akan timbul. Tanpa bantuan Barat dan Arab, kerajaan Hamas Palestin terpaksa mencari dana dari Iran.

Kedudukan Iran tidaklah sekukuh negara-negara Arab, apatah lagi Barat. Tetapi mereka mampu membuat peruntukan itu.

Dari segi ideologi, Hamas-ikhwan dan Republik Islam Iran adalah sefahaman. Tetapi mereka pernah bertembung dari sudut mazhab Syiah dan Sunnah. Pernah semasa perang Iran dan Iraq, sebahagian besar ikhwan tidak menyebelahi Iran, sebaliknya mereka menyokong Saddam yang beraliran sekular kiri.

Tetapi hakikatnya ialah Hamas dan Hizbullah Lebanon adalah sekutu kuat dalam cara menentang Israel. Kalau Iran boleh membantu Hizbullah, maka tidak menjadi masalah untuknya menolong Hamas.