Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
Sumber: Mingguan Malaysia 31 Julai 2005
PENGUMUMAN peletakan senjata Tentera Republik Ireland (IRA) Khamis lalu bukanlah suatu perkembangan yang menggembirakan, jauh sekali mengejutkan. Biarpun IRA terkenal dengan siri keganasan yang dilakukan sejak lebih tiga dekad lalu dan telah membunuh lebih 3,500 orang antara 1970 hingga 2005, pengumuman itu sangat dicurigai kejujurannya.
Banyak pihak terutamanya Perdana Menteri Britain Tony Blair curiga dengan pengakuan IRA untuk berdamai. Tetapi secara diplomatik, Blair mengalu-alukan tindakan IRA meletakkan senjata. Tetapi beliau tidak mampu menyembunyikan rasa kurang percaya dengan janji IRA kali ini.
"Ini barangkali akhirnya selepas beberapa kegagalan rundingan sebelum ini. Perdamaian menggantikan perang, politik menggantikan keganasan di Ireland Utara,'' tegas Blair yang menggesa IRA wajar membuktikan kesungguhan mereka menuju perdamaian.
Antara catatan keganasan awal IRA yang menjadi ingatan adalah pembunuhan ibu sepuluh anak pada 1971 kerana disyaki menjadi pengintip bagi pihak tentera Britain. IRA menafikan terlibat dalam pembunuhan itu sehinggalah tahun 1990.
Peletakan senjata itu juga menjadi topik analisis beberapa akhbar di Britain. Kebanyakannya mencurigai kenyataan IRA itu. Akhbar Times London misalnya dengan sinis menganggap kenyataan peletakan senjata sebagai "watak berbeza'' daripada berdozen isu keganasan sebelum ini.
Sementara penulis buku Rebel Hearts: Journey Within the IRA's Soul dalam Times London menulis, sekalipun peristiwa ini satu yang bersejarah tetapi rakyat dapat menjangka nilai kesukaran proses ini dan antaranya terpaksa membebaskan pengebom Sean Kelly.
Akhbar Daily Telegraph pula dengan sinisnya menulis,"Nilai perdamaian di Ulster - 3,637 dibunuh, 45,000 parah dan 15,300 bom.'' Sementara akhbar The Sun (London) bertanya, "Adakah ini sama dengan pembohongan sebelum ini?'' Daily Mail pula menuntut IRA memusnahkan semua senjata, memulangkan wang yang dirompak dari Nothern Bank.
IRA yang mendakwa berjuang atas nama patriotik sebenarnya mengorbankan banyak orang awam. Keluarga mangsa sangat curiga dengan pengumuman yang dianggap bersejarah ini. Mereka tidak percaya IRA mahu kedamaian, mereka percaya ini satu taktik seperti sebelum ini.
Pada Khamis lalu pukul 1 petang (waktu tempatan), IRA mengedarkan cakera video digital (DVD) Seanna Walsh yang membaca kenyataan komander pergerakan itu. Peletakan senjata berkuat kuasa pukul 4 hari yang sama.
Lanjutan daripada itu salah seorang daripada anggota IRA yang menjadi pengebom berbahaya, Sean Kelly telah dibebaskan dari penjara sementara menunggu kesnya dibuka semula. Sean Kelly merupakan salah seorang yang mengebom sebuah premis awam di Shankill Road, Belfast yang membunuh sembilan orang awam dan seorang anggota IRA.
Pembebasan pengebom yang tidak berperikemanusiaan ini memperlihatkan nilai "perdamaian'' dengan IRA sangat tinggi. Rakyat kecewa dengan tawar-menawar politik hingga meminggirkan soal keselamatan apabila membebaskan pembunuh orang awam itu.
Selepas dihukum penjara seumur hidup. Kelly dibebaskan tahun 2000 di bawah Perjanjian Belfast (Good Friday) tahun 1998. Tetapi pengebom ini disumbat balik ke penjara pada bulan lalu atas arahan Setiausaha Negara Ireland Utara, Peter Hain kerana disyaki terlibat dengan siri keganasan.
IRA yang ditubuhkan pada 1970 adalah lanjutan daripada kebangkitan rakyat memperjuangkan hak asasi tahun 1969. Ketika itu rakyat Ireland Utara menuntut kesaksamaan sosial; peluang pekerjaan, tempat tinggal dan kuasa mengundi dari Britain.
Lanjutan itu Britain memperkenalkan program baru di Ireland Utara dengan menghapuskan seorang individu satu undi untuk pilihan raya wilayah, melarang diskriminasi agama dan membatalkan undang-undang tahun 1922. Program baru ini mencetuskan kemarahan dan IRA bersama nasionalis (militan) bangun mengangkat senjata menentang Britain.
Dengan peletakan senjata itu, semua anggota IRA diarahkan oleh pemimpin mereka membantu pembangunan politik dan demokrasi melalui pendekatan aman. Sebelum ini IRA melancarkan kempen bersenjata; membunuh orang awam dengan siri letupan bom yang lebih kejam daripada Al-Qaeda.
Persoalan yang besar ekoran peristiwa bersejarah peletakan senjata ini ialah sejauh manakah IRA mengimpikan kedamaian di Ireland Utara? Harus diingat, IRA hanya meletakkan senjata tetapi bukan dibubarkan sepenuhnya. Dengan kata lain, IRA akan bangun mengangkat senjata apabila mereka merasakan "perlu'' berbuat demikian.
Kalangan penganalisis politik tidak melihat sesuatu yang baru daripada peletakan senjata IRA kali ini. IRA yang tidak dibubarkan itu semacam menyediakan premis untuk anggota-anggotanya kembali mengganas.
Anggota IRA pada relatifnya tidak banyak. Dianggarkan hanya antara 500 hingga 1,000 anggota saja dan dipimpin oleh enam ahli majlis tertinggi dan 11 ahli eksekutif. Tetapi pergerakan militan ini berjaya mencipta satu trauma hingga menggugat politik Britain.
Pendekatan ganas menjadi modus operandi IRA untuk mendapatkan pengaruh. Mereka adalah nasionalis songsang yang pada mulanya berjuang untuk menuntut keadilan sosial. Bagaimanapun telah jauh menyimpang menjadi mafia politik yang digeruni kerana IRA dilabelkan sebagai tidak menghormati undang-undang.
Selepas tragedi 11 September 2001, masyarakat dunia semacam terlupa dengan siri keganasan yang dilakukan selama tiga dekad itu. Ini kerana terlalu banyak memberi perhatian kepada trauma dan misteri Al-Qaeda pimpinan Osama bin Laden yang kononnya menjadi perancang serangan ke atas New York.
Tetapi Khamis lalu, selepas ledakan bom menggegarkan kota London 7 Julai lalu, pengumuman peletakan senjata IRA juga tidak kurang gegarnya sekalipun pemimpin Britain masih waswas dengan kejujuran mereka meletakkan senjata.
Malah Britain tidak berharap satu keajaiban yakni keamanan berlaku selepas peletakan senjata ini kerana IRA mempunyai sejarah yang panjang mengkhianati beberapa perjanjian perdamaian sebelum ini. Perjuangan nasionalis songsang ini jauh terpesong dan tidak lagi dihormati.
Sebelum IRA meletakkan senjata, pemimpin parti Sinn Fein, sayap politik IRA, Gerry Adams yang dilaporkan telah keluar dari IRA Mei lalu mendesak IRA mengikut amalan politik dan demokrasi yang tulen.
"Ini adalah masa untuk bangun dan menentang musuh. Ini juga masa untuk bersatu dan melupakan perang,'' demikian desak Gerry Adams yang sebelum ini berjuang selama tiga dekad bersama IRA.
Gerry Adams menambah, "Inilah masa untuk keamanan, masa untuk keadilan dan masa untuk membangunkan semula negara.''
Kalangan penganalisis melihat peletakan senjata Khamis lalu adalah hasil daripada penyelesaian diplomatik antara IRA dengan parti Sinn Fein. IRA sebenarnya menerima tekanan antarabangsa supaya meletakkan senjata sejak Disember lalu. Ini berikutan dengan rompakan bank yang paling besar melibatkan kehilangan wang AS$50 juta.
Persoalannya adakah peletakan senjata ini suatu yang menunjukkan sinar keamanan? Ini merujuk kepada kegagalan perjanjian sebelum ini misalnya Perjanjian Belfast tahun 1998. Perjanjian ini gagal apabila ketetapan supaya IRA meletakkan senjata dan menghentikan aktiviti keganasan sebelum 2000 tidak dipatuhi. Apakah kali ini juga serupa selepas pengebom Sean Kelly dibebaskan?