Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
Sumber: Mingguan Malaysia 7 Ogos 2005
SEMALAM genap 60 tahun pengeboman ke atas bandar raya Hiroshima dan Nagasaki di Jepun. Bom atom oleh tentera Amerika Syarikat (AS) itu pula menamatkan Perang Dunia Kedua antara pihak bersekutu dengan Jepun di Asia. Semalam bukanlah ulang tahun ke-60 kekalahan Jepun di tangan pihak Bersekutu, juga bukan kemenangan AS melenyapkan dua bandar raya dan membunuh lebih 210,000 nyawa.
Tetapi semalam adalah detik untuk kita mengenang satu tragedi buatan manusia ke atas manusia lain. Pengeboman Hiroshima dan Nagasaki adalah tragedi besar dalam sejarah moden dunia. Manusia yang tidak berdosa malah tidak tahu apa-apa tentang pertelagahan Jepun dengan AS tiba-tiba berkubur di tanah air sendiri bersama debu runtuhan kota raya.
Selepas 60 tahun nuklear digunakan dalam peperangan untuk menegakkan satu ideologi, apakah yang dunia belajar daripada tragedi besar ini? Semua orang tidak kira apa warna kulit, fahaman dan budaya percaya nuklear tidak wajar dijadikan senjata peperangan. Senjata nuklear bukan saja membunuh musuh malah segala hidupan di sekitarnya.
Tetapi dunia tidak belajar daripada tragedi ini untuk menghapuskan sama sekali penggunaan senjata nuklear. Banyak negara berlumba-lumba membangunkan program senjata nuklear masing-masing sekalipun kesengsaraan akibat dua bom atom itu sukar dijangkau di layar imaginasi kita.
Untuk apa program pembangunan senjata nuklear kalau bukan hasrat untuk membunuh manusia? Maknanya dalam keriuhan aktivis pejuang keamanan mendesak dihapuskan semua senjata nuklear, masih ada pihak yang mahu melihat tragedi Hiroshima dan Nagasaki berulang lagi.
Kuasa-kuasa besar seperti AS tidak melihat leburnya Hiroshima dan Nagasaki sebagai keruntuhan satu tamadun manusia. Apabila manusia direstui membunuh manusia lain dengan senjata yang begitu kuat kuasa pemusnahnya, hilanglah satu tamadun manusia.
Maka kita boleh membuat kesimpulan tragedi yang berlaku 60 tahun lalu ini tidak memberikan iktibar yang sepatutnya kepada dunia. Malah pemimpin besar dunia tidak pernah belajar daripada kerakusan AS yang dilihat sangat rendah moralnya sekalipun menang dalam Perang Dunia Kedua.
Apakah kemusnahan harta benda dan manusia di dua bandar raya Jepun itu tidak menginsafkan negara-negara yang rakus dengan kuasa nuklear mereka? Bayangkan ketika ini terdapat tidak kurang 30,000 bom nuklear yang dimiliki oleh lapan negara. Dengan jumlah yang begitu besar, kesannya bukan lagi bom atom di Hiroshima dan Nagasaki. Kemusnahan yang bakal dicatat oleh 30,000 bom nuklear ini berpuluh kali ganda berbanding Hiroshima dan Nagasaki.
Apakah ini akan melahirkan kembali Manhattan Project, kod rahsia yang digunakan untuk projek pembangunan bom atom oleh AS dengan bantuan Britain dan Kanada dalam Perang Dunia Kedua?
Pada ulang tahun ke-50 tragedi Hiroshima dan Nagasaki sepuluh tahun lalu, banyak pihak optimis dengan pengekangan bom nuklear apabila jatuhnya negara-negara blok komunis dan Kesatuan Soviet. Kejatuhan Kesatuan Soviet bermakna tamatlah satu kuasa besar selepas AS yang menggunakan senjata nuklear.
Para penganalisis politik melihat runtuhnya Kesatuan Soviet sebagai sinar untuk menghapuskan senjata nuklear selepas setengah abad tragedi Hiroshima dan Nagasaki. Mereka optimis hanya Kesatuan Soviet yang menjadi pemangkin perlumbaan senjata nuklear.
Bagaimanapun semua jangkaan itu jauh menyimpang. Selepas kejatuhan Kesatuan Soviet, India dan Pakistan berlumba-lumba antara satu dengan lain membangunkan program senjata nuklear masing-masing. Selain itu keruntuhan Kesatuan Soviet juga tidak menunjukkan tanda-tanda positif "negara nuklear''; AS, Rusia, Britain, China, Perancis dan Isreal menutup gedung nuklear masing-masing.
Perjanjian Mengehadkan Senjata Nuklear (Non Proliferation Treatry) atau NPT yang dikuatkuasakan pada 1970 pula terpaksa dilihat semula. Tetapi persidangan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Mei lalu gagal membuat penambahbaikan besar pada perjanjian tersebut. Ini memperlihatkan kalangan negara nuklear masih mahu meningkatkan keupayaan program senjata nuklear masing-masing.
Sementara AS pula selalu menggunakan alasan membanteras senjata nuklear untuk menyerang negara-negara yang menjadi musuh politiknya. Lihat saja bagaimana Iraq yang didakwa mempunyai program pembangunan senjata nuklear dan itu menjadi lesen untuk menyerang dan melakukan pemusnahan. Tetapi sehingga kini AS belum boleh menunjukkan bukti program nuklear Iraq sekalipun beribu-ribu orang awam terbunuh akibat perang di Iraq.
AS tidak belajar untuk menginsafi keterlanjuran mereka ke atas Hiroshima dan Nagasaki 60 tahun lalu. Usaha mengekang senjata nuklear AS lebih bersifat politik; membayangkan akan menyerang Iran tetapi membiarkan Korea Utara yang terang-terang mempromosi pembangunan senjata nuklear.
Kalau dunia (negara-negara nuklear) belajar daripada tragedi Hiroshima dan Nagasaki, tentunya tidak ada lagi ujian senjata nuklear oleh AS, Britain dan Perancis. AS misalnya membuat lebih 100 ujian nuklear di mana 67 daripadanya dilakukan di Pulau Bikini dan Enewetak di kepulauan Marshall.
AS tentunya tidak mengendahkan lagi amaran bekas presidennya, John F. Kennedy semasa berucap di PBB tahun 1961. Kata Kennedy, senjata nuklear perlu dihapuskan sebelum ia menghapuskan semua manusia. Perhimpunan PBB tahun berkenaan menggunakan draf resolusi Ireland yang akhirnya membawa kepada lahirnya NPT. Perjanjian itu kemudiannya dikuatkuasakan pada 1970.
Malangnya NPT tidak dikuatkuasakan selayaknya. Perjanjian hanya tinggal perjanjian. Maka tidak hairanlah kalau ketika ini selepas 60 tahun leburnya Hiroshima dan Nagasaki, 30,000 senjata nuklear berselerak di atas planet bumi ini. Ia hanya menunggu masa untuk menghancurkan manusia dan ketika itu tragedi bom atom di Hiroshima dan Nagasaki sangat kecil dibanding dengan tenaga pemusnah nuklear yang baru.
Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Mohamed El Baradei berkata, tiga faktor kenapa NPT perlu dikaji semula. Pasaran gelap senjata nuklear, banyak negara menghasilkan senjata nuklear dan hasrat pengganas memiliki senjata nuklear.
NPT hilang upaya untuk mengekang pertumbuhan program senjata nuklear apabila empat kuasa besar nuklear tidak menyertai perjanjian ini. India, Pakistan, Korea Utara dan Israel tidak ada dalam perjanjian ini. Lalu apa lagi yang hendak kita harapkan bagi menyedarkan dunia selepas tragedi 1945 itu?
Malah negara yang menyertai NPT seperti AS, Rusia, Perancis, Britain dan China pula belum menghapuskan senjata nuklear masing-masing. Bukan saja tidak menghapuskan senjata nuklear malah berlumba-lumba mempertingkatkan keupayaan membunuh senjata nuklear masing-masing.
Maka semalam yang genap 60 tahun kemusnahan paling besar dalam sejarah moden dunia hanya satu hari dalam catatan sejarah. Pemusnahan yang lebih besar menanti kita. Manusia terus berlumba-lumba menghasilkan teknologi membunuh yang paling canggih. Semua ini terus berlaku selepas 60 tahun debu Hiroshima mengaburkan pertimbangan antara idealisme perang dan kemanusiaan.