Sumbangan Noordin pada Malaysia

Oleh: ZIN MAHMUD (Wartawan Utusan)
Sumber: Utusan Malaysia 30 Disember 2005


Antara sumber penting yang secara peribadi dianggap sebagai penyumbang kepada pendidikan politik penulis ini ialah buku bertajuk From Malayan Union to Singapore Separation (Dari Malayan Union ke Pemisahan Singapura) diterbitkan pada tahun 1974 oleh University Malaya Press.

Tulisan ini adalah garapan daripada tesis Tan Sri Dr. Noordin Sopiee, Ketua Pengarah Institut Kajian Strategik Antarabangsa (ISIS) yang meninggal dunia semalam. Allahyarham baru menyambut hari jadinya ke-61 pada 26 Disember lalu.

Setelah membaca buku itu di perpustakaan sekolah pada tahun 1976, penulis mula kenal nama Allahyarham dan tertarik pada pemikiran-pemikiran beliau. Buku ini mengupas satu tempoh penting dalam pembentukan negara ini, kerana perkembangan daripada cadangan penubuhan Malayan Union hinggalah kepada pemisahan Singapura membentuk jati diri Malaysia.

Ini kerana dalam tempoh ini, pelbagai jenis perjuangan politik berlaku di tanah air dalam usaha untuk membentuk satu entiti negara bangsa menurut cita-cita kumpulan masing-masing.

Bermula daripada gagasan Malayan Union yang dikemukakan oleh penjajah British, penentangannya oleh orang Melayu melalui UMNO, kebangkitan komunis dan perisytiharan darurat, penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu, gagasan Malaysia dalam pelbagai bentuk, konfrontasi Indonesia terhadap Malaysia dan akhirnya pemisahan Singapura yang mengkonkritkan idea Malaysia seperti yang ada pada hari ini.

Tetapi apa yang turut menarik tentang buku ini ialah gambar-gambar bersejarah yang diatur sebagai lampirannya. Dengan kapsyen kreatif menjadikan buku ini menarik, bukan semata-mata sebagai tesis politik atau kisah sejarah, tetapi suatu paparan kewartawanan.

Sememangnya dapat difahami bahawa Allahyarham adalah seorang wartawan dengan memulakan kerjayanya sebagai penulis rencana pengarang di New Straits Times pada tahun 1972.

Ketika itu, kewartawanan Malaysia sedang mengalami perubahan mendadak. Sebagai seorang lulusan tinggi dari institusi berprestij iaitu dari London School of Economics and Political Science (LSE) dengan memiliki ijazah doktor falsafah, beliau merupakan antara golongan berpendidikan muda selepas merdeka yang mampu menyumbang kepada pembinaan negara.

Tidak seperti kebanyakan wartawan, beliau tidak bermula sebagai pemberita tetapi dengan kelulusan tinggi itu, kewartawanan negara menjadi bertambah mutu.

Ketika itu pula New Straits Times baru mengalami perubahan apabila ia lahir daripada perpecahan antara The Straits Times Malaysia dan Singapura. Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri A. Samad Ismail baru berusaha menerap haluan akhbar itu untuk menghala ke Kuala Lumpur daripada berorientasikan London dan Singapura.

Penulis, sebagai pembaca remaja yang meminati The Straits Times masih ingat bagaimana pembaharuan konsep dan tataletak akhbar itu berlaku pada tahun itu.

Antara perkara yang masih diingat ialah bagaimana logo peta dunia untuk halaman luar negara berubah daripada meletakkan London di tengah-tengahnya kepada Kuala Lumpur dengan dibuat penjelasan mengenainya.

Sudah tentu tulisan Allahyarham memberi pengaruh sepanjang beliau menjadi penulis rencana pengarang. Dua tahun kemudian, beliau dilantik sebagai penolong pengarang kumpulan dan bintangnya terus cerah hingga dilantik sebagai ketua pengarang kumpulan The New Straits Times Press (NSTP) pada tahun 1983.

Tetapi rupa-rupanya kejayaan besar beliau dalam memberi sumbangan kepada negara adalah melalui Institut Kajian Strategik Antarabangsa (ISIS) yang beliau mempelopori penubuhannya pada Januari 1984 sebagai ketua Pengarahnya.

Sebagai pemberita yang mempunyai minat peribadi terhadap institusi ini, penulis ini telah menemui beliau ketika ia mula-mula hendak ditubuhkan di pejabat sementaranya di bangunan Pusat Pembangunan Asia Pasifik (APDC), Jalan Duta, kini merupakan ibu pejabat Institut Integriti Malaysia (IIM).

Allahyarham menceritakan bagaimana ISIS akan menjadi agensi pemikir negara untuk membuat kajian strategik mencarta pembangunan masa depan Malaysia.

Pertubuhan dengan nama yang sama sudah pun wujud di Britain tetapi di negara-negara membangun, institut pemikir seumpama itu belum lagi popular dan meluas. Bagi mereka yang meminati isu-isu kenegaraan dan strategik, badan seperti itu sudah tentu menarik perhatian.

ISIS sering mengadakan seminar mengenai isu-isu politik antarabangsa dan ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru tiga tahun menjadi Perdana Menteri dan sedang mencarta haluan baru bagi Malaysia.

Maka setiap penyampaian kertas kerjanya, pendengar akan dapat kesan tentang ketajaman serta kejelasan fikirannya dari segi hujah, analisis dan cadangan-cadangannya.

Perhatian ISIS kelihatan tertumpu kepada rantau Asia Timur, selaras dengan Dasar Pandang Ke Timur yang diperkenalkan oleh Dr. Mahathir. Maka sudah tentu ia bermula dengan kajian mengenai ASEAN dan dilanjutkan kepada Jepun, Asia Timur dan Pasifik pada umumnya.

Buku-buku tulisan atau diedit beliau yang diterbitkan oleh ISIS dari tahun 1984 hingga 1987 iaitu seperti Malaysia's Strategic Environment: One Perspective on the Present and the Future (Persekitaran Strategik Malaysia: Satu Perspektif mengenai Masa Kini dan Masa Depan) dan Into the Pacific Era: South East and Its Place in the Pacific (Ke dalam Era Pasifik: Asia Tenggara dan Kedudukannya di Pasifik) yang diedit bersama Hiroshi Matsumoto.

Allahyarham juga melalui ISIS mempelopori Kongres Asia Timur. Tidak tersasar untuk menyatakan bahawa beliau dan ISIS memberi sumbangan penting ke arah penggubalan gagasan Kumpulan Ekonomi Asia Timur (EAEG) yang dikemukakan oleh Perdana Menteri ketika itu, dan pada awal Disember lalu terserlah apabila Malaysia dapat menganjurkan Sidang Kemuncak Asia Timur pertama.

Dapat dilihat bahawa setiap polisi besar, khususnya yang berbentuk antarabangsa dan ekonomi negara pada era Dr. Mahathir, pastinya Allahyarham turut terlibat. Dalam banyak-banyak polisi itu, paling penting ialah sumbangan beliau dalam memberikan input untuk rangka asas gagasan Wawasan 2020.

Sesungguhnya hasil kerja dan pemikiran beliau merupakan khazanah negara dan generasi akan datang pasti melihat apa yang dilakukannya di ISIS seiring dengan corak pentadbiran Dr. Mahathir yang menetapkan hala tuju negara sebagai Malaysia yang berwawasan.

Disiplin beliau dalam ekonomi memudahkannya merancang dan membuat perakuan tentang rancangan negara. Beliau adalah pengerusi jawatankuasa kebangsan untuk merangka Draf Pelan Tindakan Kebangsaan mengenai Pembangunan Teknologi Industri.

Ketika negara dilanda kegawatan ekonomi, beliau turut memainkan peranan penting dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) I dan II.

Sesungguhnya negara kehilangan seorang anak watan dan nasionalis berwawasan yang cemerlang. Generasi kini wajar menelaah tulisan dan fikiran beliau kerana Malaysia banyak menerima sumbangan penting daripada beliau.

Ketika pertama kali bertemu dengannya dalam satu seminar pada tahun 80-an, nasihatnya kepada penulis ialah supaya berani tampil dan bercakap dalam forum-forum.

Kali akhir penulis menemui beliau dalam satu majlis makan malam beberapa bulan lalu, nasihat beliau ialah: ``Jaga tahap kolesterol anda.''

Semoga Allah s.w.t. mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al-Fatihah.

Iran jadi musuh utama Israel

Oleh: Zin Mahmud
Sumber: Mingguan Malaysia 25 Disember 2005


Kenyataan Presiden Iran, Mohammed Ahmedinejad baru-baru ini bahawa Israel wajar dihapuskan menimbulkan kemarahan dunia Barat.

Ia bukan pendapat baru kerana banyak orang di seluruh dunia, khususnya di kalangan umat Islam mempunyai pendapat yang sama. Sebaik saja Israel ditubuhkan pada tahun 1948, muncul pandangan yang mahukan negara itu dihapuskan.

Ini kerana kewujudan Israel itu menghapuskan wilayah Palestin yang sudah wujud lebih awal. Sudah tentu bukan saja mangsanya mahu supaya Israel dihapuskan supaya Palestin dapat kembali wujud, tetapi pendukung-pendukung keadilan di seluruh dunia juga berpegang pada pendapat serupa.

Palestin asal, bermaksud meliputi negara Israel hari ini, adalah wilayah pelbagai agama dan kaum. Agama Islam, Kristian dan Yahudi. Kaum Arab dan Yahudi yang kedua-duanya disifatkan sebagai bangsa Semit.

Apabila Israel ditubuhkan dan menidakkan kewujudan Palestin, maka penyokong-penyokong rakyat wilayah itu tentu menunjukkan sikap mahu menghapuskan negara Yahudi itu.

Dunia Arab yang terbentang dari Maghribi di barat ke Yemen di timur bersimpati pada Palestin. Begitu juga dengan orang Islam yang berada di sebelah timur dunia, sehingga ke Asia Tenggara.

Di kalangan Kristian, banyak juga yang memihak pada Palestin. Bukan semata-mata mereka anti-Yahudi yang merupakan sikap tradisi agama itu yang menganggap bangsa itu sebagai `pembunuh anak Tuhan' yang merujuk kepada paderi-paderi Yahudi pada zaman Nabi Isa a.s., di mana nabi itu dikenali sebagai Jesus Christ dianggap sebagai `anak Tuhan'.

Tetapi mereka juga berpandangan bahawa Palestin yang bersifat pelbagai agama mempunyai hak asal untuk menubuhkan negara mereka, bukannya Israel.

Malah di kalangan Yahudi terdapat yang menolak Israel kerana ia merupakan satu gagasan sesat dalam doktrin agama mereka. Lebih-lebih lagi apabila ia diasaskan di atas penderitaan dan penyingkiran penduduk asal wilayah itu.

Bukan saja dari kalangan agama yang menyokong Palestin dan menolak kewujudan Israel. Di kalangan pemegang fahaman sosialis pula, mereka juga melihat Israel, yang walaupun mempunyai tradisi kiri tersendiri merupakan satu projek imperialis yang mahu menindas rakyat Palestin. Justeru, Israel wajar dihapuskan.

Maka pada awal penubuhan Israel, Asia Barat sedang menyaksikan kebangkitan nasionalisme radikal kiri ditanda dengan rampasan kuasa tentera pimpinan Gamal Nasser di Mesir.

Beliau mengimpikan negara besar pan-Arab yang bersifat nasionalis dan sosialis. Bukan saja Mesir yang berada dalam fahaman ini, tetapi juga Libya, Yemen Selatan, Syria dan Iraq. Mereka yang bersekutu dengan Kesatuan Soviet tidak menyembunyikan hasrat mereka untuk menghapuskan Israel.

Mereka melihat Israel sebagai wilayah imperialis AS yang berada di tengah-tengah dunia Arab. Maka dalam semangat inilah, mereka melancarkan perang tahun 1967 bertujuan mengambil balik Palestin kepada milik dunia Arab dan menghapuskan Israel.

Tetapi mereka kalah, lebih-lebih lagi Israel dibantu AS dan negara-negara Barat lain. Malahan negara-negara Arab bertambah kehilangan wilayah. Mesir kehilangan Sinai dan Gaza, Syria kehilangan Golan dan Jordan kehilangan Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis.

Wilayah Palestin seperti Gaza dan Tebing Barat yang pada mulanya diletakkan di bawah Mesir dan Jordan turut terlepas pada Israel.

Di kalangan sukarelawan Mesir yang turut berjuang dalam perang menghapuskan Israel ialah gerakan fundamentalis Ikhwanul Muslimin pimpinan Hassan Al-Banna.

Gerakan fundamentalis mempunyai pendirian jelas dalam menghapuskan Israel.

Bukan saja di Mesir tetapi juga di India melalui Jamaati Islami.

Tetapi terdapat dua negara Islam, bukan Arab yang bersekutu dengan AS mengiktiraf Israel. Mereka ialah Turki dan Iran di bawah pimpinan Shah Reza Pahlavi yang naik takhta atas dukungan AS menghalang pentadbiran Ahmad Mossadegh yang dipilih rakyat.

Ketika itu, AS berada di Asia Barat kerana mahu menghalang pengaruh Soviet daripada mengukuh di rantau itu.

Shah Iran mempunyai cita-cita besar terhadap negaranya. Beliau mahu mengembalikan kegemilangan negara Parsi, melangkaui sejarah Islamnya.

Seperti Kemal Attaturk di Turki, Shah Iran mahu memodenkan negaranya, baik melalui sekularisasi mahupun pengambilan cara hidup Barat. Tetapi di sebaliknya, beliau mahu meneruskan sistem beraja yang menjadikan era pra-Islam sebagai inspirasi. Dalam pada itu beliau pula menolak demokrasi dan tidak menghormati hak-hak asasi manusia.

Parsi merupakan antara kerajaan terbesar di Asia Barat Sebelum Masihi. Jajahannya pernah meliputi Iraq dan Palestin hinggalah tenteranya pernah bertempur dengan angkatan Firaun Mesir.

Tetapi akhirnya Parsi kalah dengan Yunani di bawah pimpinan Iskandar Agung.

Selepas kematian Iskandar di Babylon, kerajaan-kerajaan berpecah di bawah panglima-panglimanya. Parsi muncul kembali sebagai kerajaan besar tetapi di bawah keturunan panglima Yunani. Ia mencantumkan budaya Yunani dan Parsi.

Ketika rantau Asia Barat, iaitu di sekitar Laut Mediterranean berada di bawah pemerintahan Rom, Parsi muncul sebagai kuasa besar kedua rantau itu.

Palestin adalah salah sebuah wilayah Rom. Wilayah itu adalah tanah muncul para nabi. Walaupun Rom mempunyai gabenor yang memerintah wilayah itu, mereka membenarkan paderi Yahudi menguruskan soal-soal agama mereka.

Tetapi paderi ini dianggap oleh banyak orang Yahudi sebagai sudah korup dan tidak tulen lagi. Maka ketika Nabi Isa muncul, beliau merupakan reformis yang mahu membaiki agamanya. Paderi Yahudi menentang usaha itu dan mereka berusaha hingga berlaku penyaliban.

Agama Kristian muncul dalam bentuk pelbagai mazhab. Tetapi antara yang dominan percaya bahawa Nabi Isa adalah `anak Tuhan' yang dipanggil Jesus Christ.

Gerakan Kristian tersebar dan dianuti oleh banyak orang bukan Yahudi seperti Yunani dan Rom. Kalangan mereka mula mempercayai bahawa bangsa Yahudi yang menyebabkan Jesus disalib, maka dikatakan mereka sebagai `pembunuh anak Tuhan'. Ini kerana Jesus dianggap anak Tuhan.

Bermulalah sentimen anti-Yahudi di kalangan orang Kristian. Istilah anti-Yahudi yang digunakan ialah anti-Semit. Semit merupakan rumpun bangsa Yahudi-Arab tetapi apabila disebut anti-Semit, maka rujukannya ialah anti-Yahudi dan bukannya anti-Arab walaupun bangsa Arab juga termasuk dalam rumpun Semit.

Pada mulanya orang Kristian ditindas oleh kerajaan Rom. Tetapi akhirnya apabila Maharaja Rom adalah orang Kristian, maka ia menjadi agama rasmi empayar itu. Ketika itulah orang Yahudi mula ditindas Kristian Rom yang turut menguasai Palestin.

Ketika zaman Nabi Muhammad s.a.w., kuasa besar rantau itu ialah Rom dan Parsi. Dalam tradisi Islam, kedua-duanya diramal tumbang di tangan Islam.

Akhirnya wilayah-wilayah Rom seperti Palestin berada di bawah penguasaan Is-lam. Khalifah Umayyah mewarisi kerajaan Rom di Asia Barat. Parsi juga jatuh ke tangan Islam setelah Perang Qadisiah. Akhirnya Parsi turut menjadi sebahagian daripada dunia Islam. Pemerintahan Khalifah Abasiah adalah sebenarnya pemerintahan Arab-Parsi.

Islam tidak pernah memiliki doktrin anti-Yahudi walaupun terdapat kata-kata keras terhadap bangsa dan agama Yahudi dalam al-Quran dan hadis. Tetapi ia merupakan rujukan kepada pengkhianatan beberapa suku kaum Yahudi di Madinah pada zaman Nabi Muhammad. Umat Islam juga diingatkan supaya jangan terpengaruh dengan sikap beragama kaum Yahudi yang menyebabkan penyelewengan mereka.

Namun begitu orang Yahudi, lebih-lebih lagi oleh kerana mereka celik huruf dan celik angka diterima berkhidmat dalam kerajaan-kerajaan khalifah Islam.

Mereka mendapat tempat dalam kerajaan Islam di Damsyik, Cordova, Baghdad dan Istanbul.

Ketika Andalusia jatuh ke tangan Kristian, orang Yahudi turut berpindah bersama orang Islam lain ke Balkan dan mendapat perlindungan daripada Khalifah Uthmaniah. Orang Islam tidak membenci bangsa dan agama Yahudi.

Ketika Palestin berada di bawah Khalifah Uthmaniah, Parsi memilih mazhab Syiah semasa Safawiah dan Qajar.

Selepas kejatuhan Uthmaniah, Palestin berada sebagai mandat yang dipegang Britain. Ketika itu Yahudi sudah banyak berada di Eropah. Mereka ditindas oleh kerajaan-kerajaan Kristian Eropah, baik di Perancis mahupun di jerman.

Tetapi mereka mendapat tempat di Britain. pengaruh mereka besar dalam kehidupan elit di negara itu dan menyumbang kepada Revolusi Sains dan Industri di negara itu yang menjadi asas kepada tamadun moden hari ini.

Ada fahaman mazhab tertentu Kristian, umpamanya yang berkaitan dengan Freemason yang menyifatkan Britain sebagai negara Israel yang dicita-citakan, iaitu sebuah kerajaan Tuhan yang mewarisi kerajaan-kerajaan suci seperti pimpinan Raja Sulaiman di Baitulmaqdis.

Tetapi di Eropah, dalam penindasan kerajaan di sana khususnya di Jerman, muncul gerakan Zionisme yang mencita-citakan sebuah negara Yahudi bernama Israel.

Gerakan ini berjaya mempengaruh London untuk menerima Perisytiharan Balfour yang menjanjikan sebuah negara Yahudi di Palestin.

Perang Dunia Kedua meletus dengan cita-cita Adolf Hitler untuk mewujudkan negara suci bangsa Aryan, bersih daripada pengaruh Yahudi. Aryan adalah konsep bangsa meliputi Jerman, Parsi dan Hindi.

Kemuncak fahaman Nazi ialah pembunuhan bangsa Yahudi secara beramai-ra-mai. Inilah kemuncak sentimen anti-Semit di Eropah. Ia kini dikenali sebagai Holocaust yang bererti malapetaka.

Selepas Perang Dunia Kedua, AS yang menerima kuat pengaruh Yahudi dalam politiknya menyokong penubuhan negara Israel sebagai penebusan dosa Eropah yang membenarkan berlakunya Holocaust.

Pada mulanya ada cadangan supaya Uganda di Afrika dijadikan negara Israel. Tetapi meningkatkan tentang Perisytiharan Balfour dan Palestin berada dalam mandat Britain, maka wilayah itu diterima oleh kuasa Eropah sebagai negara sesuai untuk dijadikan Israel.

Bagi AS, Israel merupakan pangkalan penting bagi menghalang Soviet. Israel, Turki, Iran dan Arab Saudi merupakan negara penting sebagai penghalang kemaraan komunisme.

Iran merupakan negara strategik bagi menghalang Moscow daripada mendapat laluan laut di Teluk Parsi dan Laut Arab.

Maka AS komited menyokong Shah Iran.

Akibat tekanan dan penindasan Shah Iran, maka reaksi rakyat adalah bangkit menentang rejim itu. Sudah tentu pendukung Mossadegh yang terdiri daripada gerakan kiri dan nasionalis progresif meneruskan perjuangannya.

Pemikir seperti Ali Shariati menggabungkan idealisme kiri dengan nilai-nilai Islam hingga membolehkan Ayatollah Khomeini mendapat sokongan anak-anak muda. Mereka tegas menolak kewujudan Israel. Bukan saja ia merupakan negara sekutu besar AS tetapi juga Baitulmaqdis sebagai kota suci ketiga Islam mesti dibebaskan. Justeru pembebasan Palestin dan penghapusan Israel mesti dilakukan.

Ahmedinejad adalah antara anak muda yang mendukung Khomeini dan memperjuangkan Revolusi Islam Iran pada tahun 1979. Khomeini berjaya menumbangkan Shah Iran.

Kini Iran menjadi musuh utama Israel dan berusaha untuk membangunkan senjata nuklearnya.

Mengapa Israel boleh memiliki bom nuklear dan tidak Iran? Itulah yang dipersoalkan Ahmedinejad yang dipilih menjadi presiden oleh rakyatnya secara demokratik.

beliau berkata, Israel patut diwujudkan di Eropah, umpamanya di Austria atau di Jerman, kerana mereka yang melakukan Holocaust dan bukannya rakyat Palestin, atau umat Islam.

Ke arah generasi menguasai bahasa Inggeris

Oleh: ZIN MAHMUD (Wartawan Utusan)
Sumber: Utusan Malaysia 24 Disember 2005


Keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) baru-baru ini merupakan satu mercu tanda bersejarah bagi pendidikan negara ini. Ini kerana buat pertama kali generasi pelajar yang mempelajari mata pelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris diuji dalam satu peperiksaan nasional.

Hasilnya, projek penggunaan bahasa Inggeris dalam mengajar dan belajar Sains dan Matematik pada keseluruhannya telah berjaya.

Sememangnya kenyataan ini menimbulkan petanda-petanda keraguan dalam masyarakat tentang kejayaan program kontroversi yang merupakan cetusan wawasan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan didukung oleh pentadbiran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Dalam era di mana mudah bagi orang ramai untuk meragui kenyataan-kenyataan rasmi, maka dapat difahami betapa kejayaan projek ini pasti turut dipersoalkan.

-lebih lagi bidang pendidikan di negara ini sudah terlalu dipolitikkan dengan elemen-elemen berbau perkauman, maka kecenderungan adalah untuk mempersoalkan kejayaan program berkenaan.

Hakikat pertama yang perlu diterima ialah pentadbiran pendidikan di negara ini, walau apa pun imejnya adalah berasaskan kepada profesionalisme. Sama ada Kementerian Pelajaran mahupun Kementerian Pangajian Tinggi menjalankan kerja mereka menurut amalan-amalan profesional, daripada guru-guru hinggalah kepada pentadbirnya.

Sebarang kelemahan yang timbul adalah lebih berbentuk kepada pengecualian atau kejadian terpencil, dan bukannya amalan rasmi dalam sistem berkenaan.

Sistem yang dilaksanakan adalah berdasarkan kepada amalan universal bidang pendidikan, dan bukannya berbentuk politik atau usaha untuk menonjolkan kejayaan semata-mata.

Hakikat bahawa bidang pendidikan berada dalam wilayah kesedaran sensitifnya mendorongnya untuk lebih telus dan berhati-hati dalam membuat keputusan.

Begitu juga dengan pelaksanaan projek pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Ia benar-benar menepati sasaran dan tidak ada sebarang kompromi terhadap mutu pencapaian dalam mata pelajaran tersebut. Tolak ansur mungkin berasaskan pada pendekatan yang mengambil kira kelemahan penguasaan bahasa Inggeris dalam memahami dan menjawab soalan mata pelajaran itu. Tetapi dari segi kandungan mata pelajaran, mutunya tetap dipertahankan.

Pada hemat saya, secara umum dan purata, pelajar-pelajar mampu menguasai bahasa Inggeris dan memahami Sains dan Matematik dalam bahasa berkenaan.

Masalah besar terletak pada pelajar-pelajar lemah. Mereka ini bukan saja tidak dapat menguasai bahasa Inggeris, bahasa Melayu yang menjadi bahasa ibunda juga gagal dikuasai dengan baik. Malah jika Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Melayu, mereka tetap gagal menguasainya.

Umpamanya, jika mereka dapat memahami sedikit saja mata pelajaran Sains dan Matematik ketika diajar dalam bahasa Melayu, maka apabila diajar dalam bahasa Inggeris, mereka langsung tidak dapat memahaminya.

Pelajar-pelajar pintar kurang menghadapi masalah. Mereka dapat menguasai apa saja bahasa. Sama ada bahasa Inggeris atau Arab. Dengan belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, mereka lebih beruntung kerana dapat meningkat penguasaan bahasa Inggeris mereka.

Di universiti kelak, yang pasti dapat dimasukinya, mereka akan mudah akses pada bahan-bahan bacaan bahasa Inggeris. Bukan itu saja, program ini meningkatkan keupayaan mereka ketika mencebur diri dalam dunia kerjaya masing-masing kerana bahasa Inggeris mereka.

Bagi pelajar-pelajar sederhana, mereka mungkin menghadapi masalah. Andai kata Sains dan Matematik menggunakan bahasa ibunda, mungkin mereka dapat menguasainya dengan lebih baik. Tetapi penggunaan bahasa Inggeris membuka peluang mereka untuk meningkatkan penguasaan bahasa itu, sesuatu yang berguna bagi mereka.

Bagaimanapun, bagi pelajar-pelajar lemah, dunia seolah-olah meminggirkan mereka. Sudahlah masyarakat lebih memihak kepada pelajar-pelajar pintar, mereka terpaksa berlawan dengan psikologi rendah diri untuk hidup. Tambahan pula mereka pasti terperosok dalam lingkungan rakan sebaya yang juga bersahsiah lemah, maka bertambah masalah bagi mereka.

Ibu bapa, guru, majikan, media dan anggota masyarakat tidak mesra kepada golongan berkemampuan pelajaran lemah.

Maka golongan ini bukan saja tidak dapat menguasai bahasa Inggeris, malah mata pelajaran Sains dan Matematik yang menggunakan bahasa Inggeris berada di luar jangkauan mereka.

Bahasa Inggeris tidak ada guna bagi golongan pelajar lemah ini. Mereka pasti tidak akan menjejak kaki ke universiti. Mereka tidak perlu untuk membaca buku-buku bahasa Inggeris. Mereka juga bukannya minat pun.

Tambahan pula, mereka akan bekerja dalam lapangan kerja yang tidak banyak menggunakan bahasa Inggeris.

Golongan inilah yang perlu diberi perhatian lebih oleh masyarakat termasuk Kementerian Pelajaran. Mungkin ada kalangan dalam golongan ini merupakan mereka yang jenis pelajar lambat atau mekar lewat (slow learners dan late boomers).

Bagi pelajar lemah lepasan PMR tidak ada guna bagi mereka diasak masuk untuk mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang pastinya tidak akan dapat dikuasai oleh mereka. Jalan lain perlu dicari.

Cabaran komuniti Asia Timur

Oleh: Zin Mahmud
Sumber: Mingguan Malaysia 18 Disember 2005


TERDAPAT tiga negara besar di dunia hari ini. Amerika Syarikat (AS) yang merupakan kuasa besar tunggal, paling kaya dan kuat, China pula merupakan negara paling banyak penduduk dan menikmati pertumbuhan ekonomi paling pesat; dan ketiga Rusia negara paling luas di dunia, pernah menjadi kuasa besar dan mempunyai potensi untuk bangkit kembali.

Dalam pada itu, ada satu komuniti negara-negara yang maju, kaya dan mampu mencabar AS, China dan Rusia. Komuniti ini ialah Kesatuan Eropah (EU).

Maka China kini menggabungkan diri dengan negara-negara rantaunya dalam satu entiti bernama Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) dengan hala tujunya ialah penubuhan Komuniti Asia Timur (EAC).

Rusia menjadi pemerhati ke dalam EAS dan apabila berjaya menyertainya kelak, maka EAC mampu muncul sebagai satu komuniti yang lebih besar daripada EU dan AS.

menyatakan bahawa pihaknya tidak keberatan menyokong penyertaan Rusia. Maka hubungan kedua-dua negara kelak menjadi lebih kukuh berbanding ketika kedua-duanya berada dalam blok komunis.

Pernah pada satu ketika di mana Kesatuan Soviet mengetuai negara-negara komunis dunia dan menjadikan Beijing berada di bawah telunjuk Moscow. Gagasan Soviet ketika itu ialah membentuk satu komuniti ekonomi berpusat yang merangkumi benua besar Eurasia meliputi Eropah Timur, Asia Tengah dan Asia Timur - dari Jerman Timur di Barat sehinggalah Korea Utara di Timur.

Gagasan itu gagal kerana antara lain disebabkan perpecahan negara-negara komunis apabila Beijing tidak mahu lagi berada di bawah telunjuk Moscow. Untuk melindungi diri, China mengadakan hubungan dengan AS dan perkembangan inilah akhirnya menjatuhkan Soviet dan sistem komunis global.

Pada masa ini, Eropah Timur sudah menyertai EU dan pengaruh AS bertapak di Asia Tengah. Sementara Beijing menjadi penggerak kepada ekonomi Asia Timur, di sinilah kini Moscow menghalakan kepentingannya. Giliran Washington pula untuk berasa terpencil.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-11 Isnin lalu merintis beberapa perkara penting yang antaranya ialah Piagam ASEAN, sasaran ke arah Komuniti ASEAN, Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) dan sasaran ke arah Komuniti Asia Timur (EAC).

Kesemua perkara itu berkaitan. Piagam ASEAN menjadi asas kepada pembentukan Komuniti ASEAN. Sementara Komuniti ASEAN pula menjadi jentera penggerak kepada EAS, yang akhirnya juga mempunyai aspirasi penubuhan EAC.

Piagam itu adalah seolah-olah seperti perlembagaan dan komuniti itu pula merupakan gabungan negara-negara menjadi super negara. Untuk memahami apakah itu komuniti, maka rujukan paling mudah ialah EU yang pada satu masa dahulu bermula sebagai Komuniti Ekonomi Eropah (EEC).

Jadi visi yang diterapkan dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-11 di Kuala Lumpur itu adalah mewujudkan sebuah gabungan negara-negara merangkumi ASEAN, China, Jepun, Korea Selatan, India, Australia dan New Zealand.

Rusia menjadi pemerhati EAS dan permohonan untuk menyertainya akan ditimbang dan diputuskan dalam EAS ke-2 yang ditetapkan akan diadakan di Cebu, Filipina tahun depan.

Jentera baru

Cuba diandaikan bahawa Rusia, yang besar kemungkinannya juga akan dapat menyertai EAS, maka EAC ini akan merangkumi negara terbesar di dunia.

Sememangnya untuk membentuk EAC, ia memakan masa lama dan perlu sekurang-kurangnya komuniti ASEAN berjaya dibentuk, dengan sasarannya ialah tahun 2020.

Andai kata dua isu besar Asia Timur iaitu Korea Utara dan Taiwan dapat diselesaikan, maka EAC akan bertambah kukuh. Penyatuan China dan Semenanjung Korea akan melahirkan satu lagi jentera baru dalam rantau Asia Timur.

Buat masa ini penyelesaian Korea Utara melibatkan enam pihak: Korea Utara, Korea Selatan, Jepun, China, Rusia dan AS. Tiga dari negara itu terlibat dengan EAS. Korea Selatan dan Jepun adalah sekutu AS sementara China dan Rusia merupakan mantan sekutu Korea Utara dan kini meneruskan hubungan istimewa.

Dengan semangat EAC, Korea Utara akan akhirnya berjaya diintegrasikan. Langkah pertama ialah penyelesaian masalah senjata nuklear Korea Utara diikuti dengan pembukaan ekonomi negara komunis itu hingga pada satu peringkat di mana penyatuan dalam bentuk konfederasi dengan Korea Selatan dapat dilakukan.

Masalah Taiwan lebih rumit. AS berada di belakang wilayah itu dan kini perimbangan berlaku antara kuasa-kuasa yang mahu menjadikan wilayah itu berpisah dari China dengan pihak mahu kekal sebagai wilayah negara tanah besar itu.

Beijing menawarkan kaedah sistem satu negara dua sistem seperti yang berlaku di Hong Kong dan Macau. Tetapi Taiwan menuntut supaya demokrasi diwujudkan di Beijing sebagai prasyarat kemasukannya.

Mungkin akhirnya yang akan muncul ialah satu konfederasi China-Taiwan seperti apa yang mungkin berlaku di Korea.

Penyelesaian masalah Korea Utara dan Taiwan boleh meminggirkan AS dari rantau ini kerana peranannya selama ini adalah berhubung dengan masalah kedua-dua wilayah sebagai sebahagian daripada warisan Perang Dingin.

Pun begitu, bagi negara-negara di Asia Timur yang berasa terancam dengan China, mereka mungkin masih memerlukan kehadiran AS untuk menjadi kuasa penjamin andai kata berlaku perubahan sikap dan polisi di Beijing.

Walaupun buat masa ini, Beijing merupakan sebuah kuasa damai tetapi sebarang perubahan kepada keadaan negatif boleh berlaku dan ia mampu merungkaikan segala apa yang terbina di Asia Timur.

Bagi AS dan pihak Barat tidak mempercayai sikap konsisten Parti Komunis yang menguasai Beijing. Walaupun buat masa ini, parti itu bersikap menyokong pertumbuhan ekonomi dan perdamaian, tetapi keadaan yang sama tidak dijamin akan berterusan.

Kalau pernah satu masa China menjadi ancaman kepada negara-negara di Asia Timur, iaitu ketika pemerintahan Mao Zedong, maka tidak boleh ditolak kemungkinan keadaan yang serupa boleh berulang.

Pada zaman Mao, China menjadi ancaman kepada negara-negara bukan komunis, baik terhadap Korea Selatan, Jepun, Taiwan, Hong Kong, malah Asia Tenggara melalui sokongannya kepada gerila komunis tempatan yang beroperasi di negara-negara itu.

Akibatnya, AS terpaksa memberi sokongan kepada Korea Selatan, Jepun, Taiwan, Vietnam Selatan dan Kemboja. Setelah Beijing berpecah dengan Moscow, ia menjadi ancaman kepada Vietnam Utara yang mana Hanoi menyebelahi Moscow. Keadaan tegang tercetus hingga berlaku peperangan antara dua negara komunis itu.

Bagi AS, demokrasi merupakan jalan bagi menundukkan China seperti apa yang berlaku di Rusia.

Maka dalam keadaan China terus di bawah pemerintahan komunis, negara-negara lain di Asia Timur, dari Jepun, Korea, Vietnam, Thailand, Filipina, Singapura dan Indonesia mungkin lebih cenderung mahukan kehadiran AS yang berterusan di rantau ini.

Untuk melihat mengapa peranan AS masih dikehendaki oleh negara-negara tertentu di rantau ini walaupun isu Korea Utara dan taiwan dapat diselesaikan, cuba lihat apa yang berlaku terhadap Mongolia.

Bangsa Mongol pernah menguasai sebahagian besar benua Asia, meliputi Asia Timur dan Tengah ketika pemerintahan Genghiz Khan. China pernah ditakluki oleh bangsa Mongol dan Kublai Khan menjadi maharajanya. Bangsa ini pernah memusnahkan Baghdad dan menjatuhkan Khalifah Abasiah, menakluki Parsi dan keturunannya menubuhkan kerajaan Moghul di India.

Hubungan baik

Tetapi kini empayar Mongol sudah tiada. Wilayahnya terbahagi tiga. Satu menjadi wilayah Inner Mongolia dalam China, sebuah lagi, republik Buryat Mongol yang menjadi sebahagian daripada Rusia, dan hanya Mongolia muncul sebagai sebuah negara berdaulat.

Semasa Perang Dingin, Mongolia menjadi sebuah republik komunis yang dikuasai oleh Moscow. Tetapi dengan kejatuhan Soviet, ia bebas dan menjadi demokratik apabila parti komunisnya menyerahkan kuasa kepada sistem pilihan raya untuk diundi.

Kini hubungan kuatnya bukan dengan Moscow atau Beijing, tetapi seperti beberapa republik bekas Soviet, ia mempunyai hubungan baik dengan AS.

Tahun ini, Presiden George W. Bush mengadakan lawatan ke Mongolia selepas kunjungannya ke Beijing. Kalau Washington mengkritik Beijing atas demokrasi dan hak asasi manusia, presiden AS itu memuji Mongolia.

Walaupun geografi Mongolia tersepit antara Rusia dan China, tetapi ia layak untuk menyertai Asia Timur apabila kedudukan politik dan ekonomi mewajarkannya.

AS akan memainkan peranan geopolitiknya di Asia Timur, Asia Tengah dan Asia Selatan untuk menjamin kepentingannya terpelihara.

Dengan sikap AS seperti ini, China akan sentiasa berwaspada terhadap Washington. Maka cara terbaik baginya ialah merapatkan hubungan dengan Rusia. Mungkin atas sebab ini, ia dengan mudah menerima kemasukan Rusia ke dalam EAS.

Moscow dan Beijing mempunyai kepentingan bersama untuk memastikan pengaruh AS terbatas di Asia Tengah.

Asia Tengah merupakan medan selanjutnya bagi menyebarkan kemakmuran melalui konsep komuniti. Negara-negara bekas Soviet masih tergabung dalam Komanwel Negara-negara Berdaulat (CIS) yang dipimpin Moscow. Iran, Afghanistan, negara-negara bekas Soviet di Asia Tengah, Pakistan dan Turki mempunyai pertubuhan serantau bernama Pertubuhan Kerjasama Ekonomi (ECO).

Pakistan, seperti India dan negara-negara Asia Selatan yang lain adalah anggota Pertubuhan Serantau Asia selatan (SAARC).

Pertubuhan-pertubuhan serantau ini akhirnya melalui negara-negara tertentu akan berkait juga dengan EAS. Rusia hadir dalam EAS dan CIS. Sementara negara-negara bekas Soviet di Asia Tengah hadir dalam CIS dan ECO. Pakistan menganggotai ECO dan SAARC. India menganggotai SAAEC dan EAS.

Kesemua pertubuhan serantau benua Asia, EAS, SAARC, CIS, ECO dan Majlis Kerjasama teluk (GCC) yang dianggotai negara-negara Asia Barat akan menjadi rangka kepada satu komuniti ekonomi pan-Asia pada satu masa kelak jika kemakmuran dapat disebarkan.

Tetapi permulaannya tetap melalui EAS dan matlamatnya iaitu EAC. ASEAN pula menjadi penggeraknya. Buat masa ini, setiap tahun akan diadakan sidang EAS dan ia diadakan di negara-negara ASEAN secara bergiliran. Perjalanan masih jauh dan cabarannya banyak.

Dalam ASEAN pula, setiap negara kecil atau besar mempunyai peranannya. Sudah tentu negara-negara besar seperti Indonesia dan Vietnam mempunyai kedudukan tersendiri kerana saiz geografi dan demografi mereka.

Namun tiga negara yang dianggap termaju di rantau ini, Malaysia, Singapura dan Brunei, secara gabungan mempunyai peranan istimewa dari segi menggerakkan ekonomi, lebih-lebih lagi kesemua mempunyai sistem pentadbiran serupa diwarisi dari Britain.

Lebih-lebih lagi kini Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah pengerusi kepada empat pertubuhan dunia iaitu ASEAN, EAS, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM).

Bagaimanapun, apa hal pun, China masih menjadi negara paling utama bagi mencapai cita-cita damai ini.

Maka adalah bererti apabila selepas sidang-sidang itu, Perdana Menteri China, Wen Jiabao telah mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia.

Berpadalah memperjuangkan hak asasi

Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
Sumber: Mingguan Malaysia 18 Disember 2005


MISTERI telah terurai tetapi persoalan tidak berjawab apabila pihak yang galak mendedahkan "penderaan'' dalam lokap polis kini kunci mulut dan cuci tangan.

Hari kedua dan ketiga inkuiri awam suruhanjaya bebas baru-baru ini telah menyuraikan dua persoalan utama. Pertama; adakah benar wanita yang diarahkan ketuk-ketampi sambil berbogel itu antara lima warganegara China yang mendakwa dikasari polis sebelum ini? Keduanya, adakah ketuk-ketampi dan bogel dalam lokap polis itu satu penderaan dan menyalahi hak asasi manusia?

Kedua-dua persoalan ini menjadi kunci kepada kontroversi klip video tahanan wanita di Balai Polis Petaling Jaya yang disebarkan kepada umum hingga ke lobi Parlimen. Kontroversi akibat kenyataan demi kenyataan oleh beberapa pihak menggambarkan yang berlaku dalam lokap polis itu satu penderaan kepada warganegara China.

Kerana ada pihak yang begitu galak mengeluarkan kenyataan hingga mengeruhkan hubungan dua hala Malaysia-China, kerajaan terpaksa mewujudkan sebuah suruhanjaya bebas untuk menyiasat isu ini. Kewujudan suruhanjaya bebas ini membuktikan kerajaan telus dan tidak bias kepada mana-mana kaum.

Hasil daripada inkuiri awam suruhanjaya itu, kontroversi ini sudah tidak kontroversi lagi. Ini kerana wanita dalam kilp video itu bukan warganegara China. Walaupun tidak pernah disebut secara khusus tetapi persepsi dibentuk wanita itu warganegara China. Wanita itu sebenarnya rakyat tempatan keturunan Melayu. Jadi bias kaum yang dibentuk oleh beberapa kenyataan sebelum ini salah sama sekali.

Inkuiri awam juga mendedahkan bahawa ketuk-ketampi antara lima hingga sepuluh kali bukanlah penderaan. Sebaliknya ini adalah amalan biasa untuk memeriksa tahanan wanita dalam kes-kes seperti dadah. Maka jelaslah tidak ada isu yang boleh dikaitkan dengan pelanggaran hak asasi manusia seperti yang dihebohkan oleh pihak tertentu. Adakah selama ini polis kita melakukan penderaan?

Difahamkan kaedah ketuk-ketampi ini digunakan di banyak negara lain. Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Musa Hassan pula kurang setuju dengan istilah "ketuk-ketampi'' yang mencerminkan tahanan didera. Tahanan bangun dan mencangkung supaya pemeriksaan dapat dijalankan ke atasnya.

Barangkali ada yang bertanya kenapa klip video ini sampai hingga ke lobi Parlimen? Malah yang lebih menimbulkan tanda tanya kenapa semacam ada imuniti kepada individu menjaja klip video yang mengaibkan tahanan wanita itu? Inikah cara pihak tertentu memperjuangkan hak asasi manusia?

Sebab itulah kontroversi ini perlu dibaca dan disorot bukan saja isu hak asasi manusia malah daripada kaca mata politik. Motif politik ternyata lebih terserlah apabila makna "hak asasi manusia'' seolah-olah untuk kaum tertentu tambahan pula dibangkitkan oleh parti tentu saja.

Kalau sebelum ini pihak yang membangkitkan isu ini dilihat seumpama wira, Selasa lalu mereka dilihat dengan imej yang berbeza. Mereka tidak matang berpolitik, hujah tidak mantap, fakta salah dan tidak bertanggungjawab di atas tindakan.

Adakah selepas mencetuskan kontroversi yang menggegarkan negara, pihak ini boleh mengundurkan diri daripada kontroversi ini begitu saja? Mereka mesti bertanggungjawab di atas "perjuangan hak asasi'' yang memalukan negara dan pihak polis.

Mesti ada satu bentuk tindakan supaya pada masa akan datang tidak ada pihak yang sewenang-wenang mencetuskan suasana tegang dalam ataupun luar negara. Ini bukan perkara kecil dan boleh didiamkan begitu saja. Apabila kerajaan terpaksa wujudkan sebuah suruhanjaya bebas bermakna perkara ini serius.

Lihatlah perkara yang tidak sepatutnya menjadi isu telah menjadi kontroversi besar akibat menyalahgunakan kebebasan bersuara. Ruang kebebasan ini digunakan melampaui yang sewajarnya.

Mungkin yang isunya di sini ialah mengambil gambar tahanan dalam keadaan bogel. Ini isu individu dan pihak atasan polis tentu ada tindakan tertentu di atas perbuatan ini. Tetapi yang jelas ini sama sekali bukan dasar polis negara ini terhadap tahanan terutamanya dari China.

Kontroversi ini juga wajar memberi pengajaran kepada banyak pihak terutama yang terlalu cepat mengeluarkan kenyataan. Mereka perlu lebih berhati-hati. Teliti dahulu hujung pangkal sebelum mengeluarkan kenyataan sama ada menyokong atau sebaliknya. Ini kerana kenyataan daripada persepsi yang keliru tentu akan mengelirukan.

Kenyataan-kenyataan begini akan membentuk persepsi umum yang silap terhadap sesuatu isu. Lihatlah secara logiknya apakah kaitannya tindakan polis menahan dan memeriksa seorang wanita Melayu dengan kemasukan pelancong dari China?

Tetapi apabila persepsi dijuruskan bahawa wanita yang diarah bogel itu warganegara China, maka bertalu-talu kenyataan yang menyentuh kebimbangan menurunnya kemasukan pelancong China.

Satu lagi persoalan yang tidak kurang pentingnya ialah tindakan polis berdiam diri dan tidak mendedahkan bahawa wanita itu bukan warganegara China. Tentunya polis tidak memerlukan masa yang panjang untuk mengesahkan bahawa wanita itu adalah rakyat tempatan.

Kalaulah awal-awal lagi identiti warganegara wanita itu didedahkan, tentu tidak ada peluang pihak tertentu untuk menyemarakkan kontroversi hingga sampai ke China. Sikap berdiam diri pihak polis juga membentuk persepsi seolah-olah dakwaan itu benar.

Perjuangan hak asasi manusia kini sudah menjadi lesen untuk tujuan yang lain. Kontroversi tahanan wanita ini boleh dijadikan contoh bagaimana mudahnya benda-benda kecil seperti ketuk-ketampi sengaja dilihat sebagai isu hak asasi manusia.

Kalau benar memperjuangkan isu hak asasi manusia berpada-padalah. Jangan kelihatan melampau kerana ketuk-ketampi bukan bentuk hukuman yang luar biasa di sekolah-sekolah suatu ketika dulu.

Adakah pihak yang menghangatkan kontroversi ini terlalu gopoh atau sengaja menggunakan isu sekecil ketuk-ketampi sebagai modal politik?

Rusia menyumbang semangat multipolar

Oleh: Zin Mahmud (Wartawan Utusan)
Sumber: Utusan Malaysia 14 Disember 2005

Walaupun Rusia hanya berjaya mendapat status pemerhati dalam Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) pertama semalam, tetapi kedudukannya lebih mantap di rantau ini apabila Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia pertama berlangsung Selasa lalu.

Rusia yang memohon untuk menjadi anggota EAS adalah rakan dialog ASEAN selama sembilan tahun.

Sebagai pemerhati dalam EAS, sudah cukup bagi negara terbesar dunia itu mengesankan kehadirannya di rantau ini. Sekali gus ia menyumbang pada semangat multipolar yang menjadi aspirasi kepada banyak negara yang tidak bersetuju dengan peranan unipolar Amerika Syarikat (AS).

Sejak kejatuhan Kesatuan Soviet yang diterajui Rusia, politik global berubah daripada dwipolar kepada unipolar. Semasa Perang Dingin, kedudukan dwipolar dunia ditandai oleh dua kuasa besar iaitu AS dan Soviet.

Tetapi dengan perpecahan Soviet, Rusia tidak mampu lagi menjadi kuasa besar dan ini menyebabkan AS mengamalkan peranan unipolar dengan nama Order Dunia Baru (NWO) di mana ia berani membuat sesuatu inisiatif politik global tanpa perlu mengambil kira bangkangan kepada kuasa pesaingnya. Peristiwa paling besar yang menandakan peranan unipolar AS ialah peperangan yang dilancarkan terhadap Iraq.

Dari situ negara-negara lain mula membimbangi sikap unipolar AS itu dengan menyeru supaya diwujudkan sistem multipolar dalam politik global dunia.

Pendukung-pendukung multipolar ini, termasuk Malaysia menentang peperangan yang dilancarkan oleh AS dan sekutu-sekutunya ke atas Iraq. Negara-negara besar lain yang mendukung amalan multipolar ialah Rusia, Jerman, Perancis, China dan India.

Di kalangan negara ASEAN, ada yang menyokong peperangan AS ke atas Iraq seperti Filipina, Thailand dan Singapura. Sementara negara-negara seperti Malaysia, Indonesia dan Vietnam menentang tindakan AS itu.

Sementara di kalangan 16 negara yang menjadi anggota EAS, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand dianggap sebagai sekutu AS sementara China dan India mendukung amalan multipolar.

ASEAN secara keseluruhan sejak penubuhannya pada tahun 1967 dianggap sebagai himpunan negara-negara menentang komunis. Ketika itu, Thailand, Indonesia dan Filipina yang menjadi sekutu AS, maka pertubuhan serantau ini dianggap pro-Washington.

Pun begitu, dengan mengisytiharkan gagasan Zon, Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN), ASEAN mengambil sikap berkecuali antara Moscow dan Washington bagi mengelak daripada terheret ke dalam peperangan di Indochina.

Setelah kejatuhan Saigon, Vietnam dan Laos menjadi sekutu Soviet. Kemboja di bawah Khmer Rouge merupakan sekutu China sementara Burma (kini Myanmar) mengambil sikap menyendiri dan menutup pintu luar tetapi memiliki hubungan strategik dengan Beijing.

Apabila Vietnam menakluk Kemboja dan menubuhkan kerajaan bonekanya di Phnom Penh, ASEAN memihak kepada Khmer Rouge. Justeru dalam keadaan sedemikian, ASEAN bersifat menentang Moscow.

Kejatuhan Soviet mengubah segala-galanya dan kini ASEAN yang dianggotai oleh 10 negara mengukuhkan hubungannya di antara satu sama lain.

Rusia sudah tidak menjadi ancaman kepada AS tetapi ternyata bahawa di mana-mana pun kehadirannya, bekas kuasa besar itu juga mahukan sistem multipolar di dunia. Maka kehadiran Rusia dalam Sidang ASEAN-Rusia dan EAS sebagai memberi sumbangan kepada aspirasi multipolar.

AS pasti berasa cemburu dengan kehadiran Rusia dalam EAS. China menyatakan kesediaannya menerima Rusia sebagai anggota EAS jika ASEAN menyetujuinya.

Tetapi ASEAN tidak akan terburu-buru menerima Rusia kerana perasaan AS juga patut dipelihara.

Semalam Bernama melaporkan dari Washington betapa Dana Dillon dari Heritage Foundation berkata EAS tidak mungkin berjaya merintis jalan ke arah pembentukan satu pasaran tunggal Asia.

Heritage Foundation yang menyatakan nada cemburu AS ini merupakan agensi pemikir konservatif yang menyumbang kepada fahaman politik Parti Republikan yang berkuasa di AS sekarang.

``Tidak ada sebarang tarikan yang boleh menyatukan mereka. Selepas 30 tahun pun, ASEAN belum menjadi pasaran bersepadu. India dan China (pula) bersaing sesama mereka. China dan Jepun sedang bertelagah. Satu-satu perkara yang mereka bersepakat ialah untuk tidak memasukkan AS dalam sidang kemuncak itu,'' kata pegawai pertubuhan itu.

Malah, menurut Dillon yang sentiasa mengikuti perkembangan di Asia Tenggara, beliau tidak hairan jika EAS kedua tidak akan diadakan.

Washington menolak gagasan Kumpulan Ekonomi Asia Timur (EAEC) dan memandang Sidang ASEAN+3 dengan penuh curiga. Tetapi EAS yang turut dianggotai oleh sekutunya, Australia meredakan kecemburuannya.