Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 15 Januari 2006
SERUAN bekas Naib Presiden Syria, Abdul Halim Khaddam supaya Presidennya, Bashar Al-Assad digulingkan membuka dimensi baru dalam politik Asia Barat. Halim menyebut bahawa Bashar terlibat dengan pembunuhan pemimpin Lebanon.
Sudah tentu sikap bekas pemimpin Syria itu memberi ruang baik bagi Amerika Syarikat (AS) untuk menekan negara itu yang dianggap sebagai salah sebuah paksi kejahatan.
Bukan saja apa yang dinyatakan oleh Abdul Halim itu dijadikan propaganda tetapi beliau sendiri mampu muncul sebagai pemimpin pembangkang Syria, dan lebih lanjut lagi menjadi pelopor kepada perubahan di Asia Barat.
Wajar dilihat bahawa dengan Iraq berada di bawah AS, maka tumpuan perubahan bagi Washington ialah Iran dan Syria. Kedua-duanya merupakan sahabat yang pernah bersama menentang Iraq pada masa Saddam Hussein.
Pun begitu, masalah Iraq belum benar-benar selesai dan AS mendakwa bahawa Syria sekurang-kurangnya tidak secara langsung sedang membantu gerila yang menentang tentera kuasa besar itu.
Matlamat polisi AS di Asia Barat adalah jelas iaitu untuk memastikan kepentingannya di rantau itu, yang berbentuk dua, terpelihara iaitu minyak dan Israel.
Senjata untuk mencapai matlamat ini ialah demokrasi yang diterjemahkan kepada kehendak rakyat negara-negara itu hendak hidup aman dan bebas. Melalui demokrasi, AS berharap negara-negara Arab akan berdamai dengan Israel.
AS mengharapkan Iraq sebagai contoh dan pemula kepada proses pendemokrasian seluruh rantau Asia Barat. Walaupun ia menghendaki keseluruhan rantau itu menjadi demokrasi, tapi tumpuan perhatiannya adalah kepada Syria dan Iran yang dianggap sebagai negara-negara penyangak.
Tetapi Syria dan Iran sendiri memberi peluru kepada AS untuk menekan mereka. Syria dengan masalah Lebanon sementara Iran berhubung senjata nuklear.
Dengan cara masing-masing, kedua-duanya memberi ruang kepada campur tangan dan serangan oleh AS.
Pembunuhan pemimpin Lebanon, Rafik Hariri membuka ruang besar kepada AS untuk campur tangan, lebih-lebih lagi apabila Abdul Halim sendiri membuat kenyataan yang memburukkan lagi kedudukan Damsyik.
Sememangnya Iran kelihatan lebih berbahaya berbanding Syria kerana negara itu sedang membangunkan kemudahan nuklearnya. Tetapi apa yang perlu ditangani segera oleh AS adalah Syria.
Ini kerana dalam konteks Israel di mana rejim Tel Aviv itu menduduki Bukit Golan, penyelesaian masalah Syria adalah lebih mendesak, lebih-lebih lagi hubungannya dengan gerila yang menentang AS di Iraq.
Walau apa pun sikap Iran terhadap Israel, tetapi dalam soal Iraq, Tehran berada di pihak Syiah yang bersikap menerima AS.
Terdapat tanda-tanda bahawa AS tidak mahu melancarkan perang baru menentang Syria atau Iran kerana apa yang dilaluinya di Iraq sudah cukup sukar. Terhadap Iran, mungkin serangan boleh dilakukan bukan olehnya tetapi Israel seperti pernah dilakukan oleh rejim Tel Aviv terhadap loji nuklear Iraq di Ossirak pada zaman Saddam dahulu.
Berhubung dengan Syria, AS juga tidak mahu penglibatan dalam bentuk tentera. Ia lebih mengehendaki satu perubahan rejim yang datang dari dalam negara itu sendiri.
Maka seruan Abdul Halim supaya rakyat Syria bangkit dan menggulingkan rejim Baathis mudah diterima baik oleh Washington. Persoalannya ialah adakah Abdul Halim mempunyai kewibawaan dan kemampuan untuk menjadi pemimpin demokratik?
Berbahaya
Jika dilihat negara-negara Arab yang mula berjinak dengan demokrasi seperti Mesir, dan Iraq sendiri, pemimpin demokratik yang diterima rakyat hendaklah mempunyai platform Islam. Sebab itulah Ikhwanul Muslimin boleh meraih kerusi di Mesir dan Jordan, demikian juga Hamas di Palestin. Di Iran sendiri, Presiden Mahmoud Ahmedinejad menang atas platform Islam.
Maka Syria juga mungkin menampilkan fenomena yang sama. Sememangnya rakyat Arab, dan dunia Islam pada keseluruhannya mahukan negara yang aman, maju dan demokratik. Tetapi mereka juga mahukan budaya dan nilai-nilai Islam diamalkan.
Washington mungkin juga sedar bahawa musuhnya bukanlah Iran dan Syria tetapi satu kekuatan yang tidak berbentuk dan dinamakan oleh mereka sebagai rangkian pengganas Al-Qaeda. Kumpulan pengganas ini sedang berperang menentang AS dan mereka menggunakan hujah dan landasan agama Islam.
Walaupun umat Islam menentang keganasan dan kaedah Al-Qaeda yang dianggap bertentangan dengan cara Islam khususnya berhubung dengan membunuh diri dan orang awam, tetapi dari sudut politik yang berkaitan dengan Islam, ia tidak berbeza dengan aspirasi parti-parti yang menyertai pilihan raya di dunia Arab seperti Ikhwanul Muslimin, Hamas, Jamaati Islami Pakistan dan malah Parti Keadilan dan Pembangunan (AK) di Turki.
Satu perkembangan baru dan bermakna sedang berlaku di Palestin apabila Hamas tidak menyatakan akan terus menghancurkan Israel. Terdapat tanda-tanda mereka bersedia untuk mengiktiraf Israel tetapi rejim Tel Aviv hendaklah mengiktiraf kewujudan negara Palestin dengan beribunegarakan Baitulmaqdis.
Malangnya Israel yang sedang mengubah pucuk pimpinannya dipercayai tidak akan menerima Palestin merdeka. Mereka boleh memberi Gaza tetapi sebahagian saja kawasan Tebing Barat. Baitulmaqdis dan Golan mahu dimilikinya.
Justeru walaupun Iraq, Syria dan semua negara Arab menjadi demokratik, tetapi sikap kerajaan mereka tidak akan berubah terhadap Israel. Demokrasi tidak menjamin bahawa mereka akan bersifat pro-AS dan toleran pada Israel.
Begitu juga, pendemokrasian dunia Islam tidak akan menghentikan keganasan Al-Qaeda ke atas AS.
Israel merupakan punca masalah. Rejim Tel Aviv mesti belajar hidup di tengah-tengah dunia Arab.