Oleh: Zin Mahmud (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 9 Januari 2006
Empat puluh enam tahun lalu, Tanah Melayu baru tiga tahun mencapai kemerdekaan, Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman membuat satu keputusan besar bagi menunjukkan kepada dunia bahawa negara ini berhasrat untuk aktif dalam pentas antarabangsa dengan menjalankan tanggungjawabnya selaku ahli Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Langkah untuk memberi sumbangan kepada PBB ini bukan saja hendak menunjukkan kepada dunia bahawa Tanah Melayu yang dikenali oleh badan dunia itu sebagai Malaya bukan saja mahu menjadi anggota pada nama saja tetapi juga mahu bergerak secara aktif dengan memberi sumbangan bererti.
Tanah Melayu pada tahun 1960 adalah sebuah negara lebih kecil daripada Malaysia hari ini. Pertahanan dan dasar luarnya masih berkait rapat dengan bekas penjajahnya Britain melalui mekanisme Komanwel.
Kedudukan ekonominya juga masih rendah. Malah Sri Lanka dan Filipina masa itu mempunyai kedudukan lebih baik.
Tetapi Tanah Melayu mempunyai sahabat-sahabat di peringkat antarabangsa. Selain daripada Britain dan negara-negara Komanwel lain, negara jiran Indonesia dan Thailand turut menyokong, mengiktiraf kemerdekaan Tanah Melayu dan seterusnya mengundi supaya negara ini menjadi anggota PBB.
Hanya negara yang merdeka diterima menjadi anggota PBB. Keanggotaan dalam PBB merupakan pengiktirafan dunia terhadap kemerdekaan dan kedaulatan sesebuah negara.
Mana-mana negara yang menyertai PBB mestilah mendukung Piagam PBB di mana ia komited terhadap usaha memerdekakan tanah-tanah jajahan di seluruh dunia. Inilah antara hasil positif dari Perang Dunia Kedua yang dimenangi oleh pihak Berikat terdiri daripada dua kuasa pimpinan Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Soviet.
Washington mewakili negara-negara yang mengamalkan sistem pasaran bebas sementara Moscow adalah ketua blok komunis. Tetapi tanah-tanah jajahan berada pada tangan sekutu-sekutu AS seperti Britain, Perancis, Belanda dan Belgium.
Moscow memberi tekanan supaya tanah-tanah jajahan itu dimerdekakan dengan memberi sokongan secara moral dan material kepada gerakan kebangsaan di seluruh dunia.
Salah sebuah negara yang tersepit ini ialah tanah jajahan Belgium bernama Congo, negara ketiga paling luas Afrika. Ia berada di tengah-tengah benua itu, kaya dengan khazanah bumi.
Terdapat dua negara Congo di dunia. Congo yang besar beribu negarakan Leopoldville. Nama Leopold mengambil sempena Raja Belgium, Leopold II yang berjaya menjajah negara itu. Kini ia bernama Kinshasa. Maka rujukan kepada negara ini ialah Congo-Kinshasa. Nama rasminya ialah Republik Demokratik Congo.
Nama Congo berasal daripada nama Sungai Congo. Di tebing timur sungai ini terletak Kinshasa sementara bersetentangannya ialah bandar Brazzaville, ibu negara Congo yang lebih kecil, bekas tanah jajahan Perancis. Selain dikenali sebagai Congo-Brazzaville, nama rasminya ialah Republik Congo.
Membantu
Tetapi negara yang banyak masalah hingga ke hari ini ialah Congo besar itu. Dalam pilihan raya umum pertamanya pada 31 Mei 1960, gerakan kemerdekaan Congo pimpinan tokoh kiri Patrice Lumumba menang dan diisytiharkan sebagai Perdana Menteri. Republik Congo merdeka diisytiharkan pada 30 Jun 1960.
Pihak barat tidak berpuas hati dengan kemenangan Lumumba kerana beliau dipandang sebagai nasionalis kiri yang pro-komunis. Maka barat menyokong dan membantu golongan pemberontak melalui tentera Belgium yang masih bertapak di situ. Kekacauan pertama berlaku.
Tetapi Majlis Keselamatan PBB pada 9 Ogos 1960 mengarahkan tentera Belgium berundur untuk digantikan dengan tentera pengaman PBB. Badan dunia itu memanggil mana-mana negara anggota untuk menghantar tentera.
Tunku Abdul Rahman menyahut panggilan PBB itu. Buat pertama kalinya tentera negara ini dihantar keluar negara untuk menjadi pengaman. Askar Melayu Diraja telah dihantar ke sana. Anak-anak Melayu biasa yang tidak pernah termimpi untuk pergi ke luar negara ini buat kali menjejak kaki ke benua Afrika. Tunku menghantar mereka di Pelabuhan Klang (ketika itu bernama Port Swettenham) Mereka pergi dengan kapal dan belayar menuju Mombasa, pelabuhan Kenya sebelum diterbangkan ke Congo.
Maka di kalangan rakyat negara ini, Congo mula dikenali. Ada pelawak mengambil sempena nama negara itu apabila dia dikenali sebagai Alias Congo. Terdapat tentera yang pulang dan bersara dibenarkan tinggal di satu tempat di Cheras, Kuala Lumpur yang dikenali sebagai Kampung Congo. Ia kini bernama Bandar Tun Razak.
Pihak pemberontak Congo yang mendapat sokongan barat berjaya menjatuhkan Lumumba. Bukan saja Lumumba dilucut jawatannya sebagai perdana menteri tetapi dibunuh pada Februari 1961. Pembunuhannya diratapi oleh penyokong-penyokong gerakan kiri di seluruh dunia. Ia turut menjadi tema sebuah sajak oleh Kassim Ahmad, yang disiarkan di Utusan Zaman dan kemudian dimasukkan ke dalam antologi Kemarau di Lembah.
Peperangan saudara bertambah sengit di Congo apabila Leopoldville dikuasai oleh kumpulan pro-Barat. Pada tahun 1964, golongan kiri menubuhkan Republik Rakyat di Stanleyville (kini Kisangani). Tetapi pada tahun 1965, pemberontak kiri telah kalah. Jeneral Joseph Mobutu yang kemudian dikenali sebagai Mobutu Sese Seko menjadi presiden. Beliau kemudian menjadi diktator dan menukar nama negaranya kepada Zaire.
Ketika Tanah Melayu dan kemudian Malaysia bertambah makmur, Zaire merosot kerana korupsi dan perang saudara.
Mobutu tumbang pada 1997, di mana pemberontak pimpinan Laurent Kabila berjaya menguasai Kinshasa dan menukar kembali nama negara itu kepada Congo.
Kini Congo terus bergelumang dalam peperangan saudara dengan negara-negara jiran, Rwanda dan Uganda membantu pihak pemberontak. Kerajaan pula ditolong oleh Angola, Namibia dan Zimbabwe.
Jumaat lalu, tinjauan daripada jurnal Lancet beribu pejabat di London mengisytiharkan bahawa konflik kongo merupakan krisis kemanusiaan paling dahsyat di dunia sejak 60 tahun lalu.
Bantuan
Perang dari tahun 1998 hingga 2003 yang telah mengorbankan hampir empat juta orang itu menuntut supaya lebih banyak bantuan disalurkan dengan usaha meningkatkan keselamatan kepada rakyat.
Buat masa ini terdapat 17,000 anggota pasukan keselamatan PBB yang berusaha mewujudkan perdamaian di situ. Tetapi bagi Pengarah Kesihatan Jawatankuasa Penyelamatan Antarabangsa, Richard Brennan dalam laporannya kepada Reuters, bantuan dunia jauh daripada mencukupi untuk menyelamatkan nyawa di negara malang itu.
Sejak mengenali tamadun, rakyat Congo tidak pernah mengecapi kestabilan. Bermula dengan penjajahan Belgium, perjuangan kemerdekaan, kediktatoran selepas kemerdekaan dan kini, apabila perang saudara terus berlaku.
Dari segi menghadapi penyakit, Congo pernah mengalami wabak virus ngeri Ebola yang tiba-tiba muncul dan membunuh banyak orang, dan berakhir dengan begitu saja.
Namun begitu, dalam konteks serantau, Congo hanya sebahagian daripada konflik maut yang berterusan di benua itu. Pada masa ini kebuluran melalui konflik terus berlaku di Sudan, Eritrea, Somalia dan Habsyah.
Mungkin pada tahun 1960 ketika Congo mencapai kemerdekaan, harapan rakyat dan dunia kepada kemakmurannya adalah tinggi. Setelah 46 tahun, apa yang termampu adalah usaha tetapi tanpa harapan.