Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 12 Februari 2006
KHAMIS lalu, golongan Syiah di Iraq menyambut Hari Asyura, iaitu pada 10 Muharam dengan melakukan upacara menyeksa diri sebagai memperingati bagaimana cucu Rasulullah s.a.w., Sayidina Hussain yang terkorban dalam pertempuran dahsyat di Karbala apabila tentera pimpinan Yazid, anak kepada Khalifah Muawiyah membunuh mereka.
Perdebatan antara Sunah waljamaah dan Syiah berlarutan dari zaman ke zaman. Ia berkembang dengan penuh sensitiviti dan emosional hingga ke hari ini. Perdebatan dan persaingan antara golongan Syiah dan Sunah tidak berkesudahan, hingga ke hari ini politik di Iraq turut mencerminkan perbalahan antara mazhab ini.
Perbicaraan Saddam Hussein turut mencerminkan perbalahan ini. Beliau dituduh melakukan pembunuhan keji ke atas golongan Syiah dan Kurdis.
Begitu juga dengan pilihan raya yang diadakan di Iraq di mana parti-parti Syiah mencapai kejayaan. Ia turut mencerminkan persaingan Sunah-Syiah. Turut tercermin adalah perang penentangan yang dikatakan oleh Amerika Syarikat (AS) sebagai dipimpin oleh Al-Qaeda. Mereka juga mencerminkan persaingan ini. Penentang yang menggunakan kaedah keganasan melalui letupan bom berani mati ini dikatakan digerakkan oleh sekumpulan militan bermazhab Sunah.
Mereka menjadikan golongan Syiah sebagai sasaran kerana dianggap sebagai pengkhianat dan tali barut AS.
Tetapi golongan Syiah yang berasa ditindas pada zaman Saddam hakikatnya hanya mengambil kesempatan daripada keadaan di mana pihak AS telah menguasai negara itu dan meruntuhkan kekuasaan golongan Sunah yang diwakili oleh Saddam.
Golongan Sunah di sini membawa maksud mazhab. Ia bukanlah bererti Saddam itu menjadi pengikut golongan Sunah dalam erti kata hadis. Ini kerana bekas diktator itu berpegang pada ideologi nasionalis kiri Baathis.
Orang Syiah kelihatan berada di pihak AS kerana mereka mahu mengambil kesempatan mendapatkan hak politik mereka dalam konteks keruntuhan kekuasaan politik yang didominasi oleh Sunah.
Mereka juga tidak mahukan AS. Malah walaupun kelihatannya Syiah bekerjasama dengan tentera AS, tetapi fahaman mereka dipimpin oleh saudara semazhab di Teheran yang telah meletakkan hala tuju umat Syiah melalui ajaran Ayatullah Khomeini yang direalisasikan bermula daripada Revolusi Islam Iran itu.
Sejak revolusi itu, Iran menjadi pemimpin kepada dunia Syiah. Mereka mahu membebaskan umat Syiah daripada penindasan baik di Iraq, oleh rejim Baathis, mahupun di Lebanon dan tempat-tempat lain termasuk di negara-negara Teluk.
Sememangnya dalam tradisi, mereka menyifatkan diri mereka sebagai umat Islam sebenar tetapi ditindas dan dipinggirkan oleh golongan Sunah melalui institusi khalifah. Baik khalifah Umaiyah, Abasiah mahupun Uthmaniah.
Mereka menolak institusi khalifah, sebaliknya mengambil konsep imamah. Mereka menolak kepimpinan khalifah yang dianggap telah diseleweng, bermula daripada Sayidina Abu Bakar tetapi berjaya dikembalikan kepada haknya semasa Sayidina Ali menjadi khalifah. Tetapi kemudian kekuasaan ini dirampas semula melalui pemerintahan Khalifah Muawiyah di Damsyek.
Golongan Syiah tidak mengiktiraf Muawiyah. Baginya kepimpinan wajar bermula daripada Sayidina Ali dan baginda merupakan imam pertama diikuti dengan Sayidina Hussain sebagai imam kedua.
Mereka mengiktiraf 12 imam sebagai ketua umat Islam dengan imam terakhir ghaib dan mereka menunggu Imam Mahdi.
Tetapi dalam sejarahnya, Syiah pernah mewujudkan kerajaan-kerajaan besar, umpamanya Fatimiah yang berpusat di Kaherah dan kerajaan Qajar dan Safawiyah di Iran.
Apabila penjajah British yang bersaing dengan Perancis, Jerman dan Rusia masuk ke Asia Barat, Syiah sudah kehilangan kuasa. Di Iran sendiri, AS masuk ke negara itu untuk menggantikan penjajah British dan meletakkan Reza Pahlawi sebagai Syah Iran yang merupakan kerajaan baru pro-Barat di atas runtuhan kekuasaan Syiah.
Ketika mana nasionalis dari kalangan Sunah dapat menguasai banyak negara bekas wilayah Khalifah Uthmaniah, umat Syiah kehilangan kuasa walaupun mereka adalah majoriti di Iran dan Iraq.
Sifat Syiah yang mempunyai tradisi gigih menentang penindasan bersesuaian benar dengan jati diri bangsa Parsi. Jauh sebelum Islam, bangsa Parsi tidak pernah tunduk kepada kuasa-kuasa lain yang ingin menjajahnya.
Mereka sentiasa berperang menentang penguasaan Yunani, Rom dan Arab. Mereka pernah kalah di tangan Iskandar Agung dari Macedonia yang berperang bagi pihak Yunani. Walaupun kerajaan mereka musnah, di bawah Panglima Iskandar, bangsa Parsi bangkit semula untuk berdepan dengan Rom dan Bizantium.
Walaupun bangsa Parsi kalah di tangan Arab dan Islam diterima sebagai agama, tetapi mereka bangkit semula dan memilih Syiah. Mereka bersama dengan Bani Abasiah yang merupakan golongan Sunah menentang Khalifah Umaiyah.
Kejayaan menjatuhkan Umaiyah membawa kepada penubuhan Khalifah Abasiah yang berpusat di Baghdad. Hakikatnya tamadun kegemilangan Islam di Baghdad adalah hasil kerjasama budaya Parsi dan Arab. Ada masanya Muktazilah merupakan mazhab rasmi Abasiah dan Syiah mewarisi falsafah pemikirannya.
Maka Baghdad dan Iraq di mana terletaknya Najaf dan Karbala adalah wilayah penting Syiah hingga ke hari ini.
Setelah kejatuhan Abasiah di tangan Mongol, Iran juga dimusnahkan sama. Tetapi kemudiannya ia bangkit semula dan kerajaan Qajar dan Safawiyah menjadi penyimpan warisan pemikiran Islam yang hilang selepas kejatuhan Baghdad.
Maka tidak hairanlah, golongan Syiah akan terus memperjuangkan hak kemerdekaan mereka bukan saja di Iran tetapi juga di Iraq dan Lebanon. Ayatullah Khomeini telah menunjuk jalan dan berusaha membebaskan Iraq daripada Saddam tetapi gagal.
Apa yang termampu adalah penubuhan kerajaan buangan Majlis Tertinggi Revolusi Islam Iraq (SAIRI) yang kini menjadi komponen penting dalam perikatan parti-parti Syiah yang memenangi pilihan raya Iraq seperti yang selesai dikira Jumaat lalu.
Di Lebanon, Hizbullah yang mewakili Syiah di negara itu berjaya memperoleh hak berpolitik mereka apabila mereka menang pilihan raya bagi kawasan Syiah. Suara Hizbullah adalah penting bukan saja di Lebanon tetapi juga dalam perjuangan pembebasan Palestin.
Sifat Syiah dan Iran tidak akan menyerah kalah pada penjajah, apatah lagi AS. Presiden Mahmoud Ahmedinejad, bekas aktivis pelajar yang setia pada Khomeini tidak akan tunduk pada tekanan Washington. Senjata nuklear, apatah lagi hak untuk memiliki tenaga nuklear semata-mata tidak akan dilepaskan dengan begitu saja kepada AS.
Yunani, Rom, Arab, Turki dan Mongol pernah dihadapi oleh bangsa Parsi. Maka mereka tidak akan tunduk kepada AS, yang gemar menggambarkan diri mereka sebagai pewaris Yunani dan Rom.
Maka walaupun mereka bekerjasama dengan penakluk AS di Iraq tetapi umat Syiah tidak akan tunduk kepada mereka. Ada kalangan di pihak AS yang berasa bertanggungjawab untuk memastikan Iraq bebas daripada pengaruh Iran melalui Syiah. Tetapi siapakah AS untuk campur tangan di Iraq? Kepentingan mereka hanya terletak pada Israel dan minyak.
Tetapi Iran dan Syiah adalah sebahagian daripada Baghdad dan Iraq dari zaman silam lagi. Iran lebih berhak campur tangan dalam hal-ehwal Iraq daripada AS.
Kemenangan perikatan parti-parti Syiah di Baghdad hanya satu langkah kemajuan bagi mazhab itu. Mereka bekerjasama dengan golongan Sunah, sama ada Arab atau Kurds. Kerjasama tidak menjadi masalah. Golongan Syiah di Lebanon bekerjasama dengan Sunah dan Kristian Maronit. Begitu juga dengan Syria. Apa yang umat Syiah tentang adalah peminggiran dan penindasan.
Tetapi kehadiran AS di Iraq dan Asia Barat adalah penjajahan dan hegemoni. Mereka memperjuangkan demokrasi bagi Asia Barat tetapi apabila rakyat Palestin memilih Hamas, Washington tidak dapat menerimanya. Begitu juga di Iran dan Iraq. Rakyat telah jelas memilih Mahmoud dan parti-parti Syiah yang menerima ajaran Khomeini.
Apakah impian Syiah di Iraq? Mereka mahukan kuasa politik setimpal dengan kedudukan mereka di negara itu. Jika AS menghalang, maka pertembungan akan berlaku.
Bayangkanlah apabila parti-parti Syiah merupakan kuasa dominan di Iraq dan AS tidak menyukainya, maka sokongannya beralih pula kepada gerila militan Sunah.
Malah ada laporan bahawa rundingan diadakan antara tentera AS dengan gerila Sunah Iraq yang tidak ada hubungan dengan Al-Qaeda untuk menghentikan pertempuran.
Mungkinkah dalam senario berbeza, AS akan bersama Al-Qaeda bagi menentang Syiah, baik di Iraq, mahupun di Iran?
Impian AS terhadap Asia Barat ialah kemunculan satu rantau yang dapat mengiktiraf dan menerima kehadiran Israel. Negara-negara Asia Barat diimpikan bukan saja pro-Barat tetapi juga mengamalkan sistem demokrasi dengan ekonomi berkembang, seperti apa yang berlaku di Asia Timur dan Eropah.
Tetapi Asia Timur dan Eropah tidak menghadapi masalah seumpama Israel-Palestin.
Apabila sebuah negara diwujudkan secara palsu di sebuah wilayah yang sudah mempunyai penduduk dan hak milik, maka sudah tentu berlaku pemberontakan, lebih-lebih lagi jika penduduknya tidak dapat menerimanya.
Buat masa ini hanya Iran melalui presidennya mempunyai kelantangan untuk menyuarakan bahawa Israel tidak wajar diwujudkan di tempat yang ada itu. Bagi Presiden Iran, Israel patut ditubuhkan di Eropah atau Amerika Utara bukannya di Asia Barat.
Hamas yang memenangi pilihan raya Palestin juga menolak kesahihan Israel.
Maka selagi masalah ini tidak selesai, Asia Barat tidak akan dapat mengecapi keamanan. Tetapi persoalan juga timbul masa bila Asia Barat pernah mengecapi keamanan?
Walaupun tamadun-tamadun besar muncul di Asia Barat, iaitu di Iraq, Palestin, Mesir, Turki, Iran dan Syria, tetapi peperangan berlaku silih berganti secara berterusan, dari zaman purba hingga ke hari ini.
Dalam sejarah, tamadun dan peperangan seolah-olah berkaitan. Tanpa adanya peperangan, maka tidak muncul tamadun. Malah penindasan dan kongkongannya juga menandai gerakan pembaharuan dan kebangkitan kebaikan.
Dalam sejarah purba, wilayah Iran dan Iraq bertindan. Di bumi Parsi purba, konsep dualisme, kebaikan lawan kejahatan mula digagaskan melalui agama Majusi yang dipelopori Zarathustra.
Kejahatan dan kebaikan sentiasa bertembung. Dalam sejarah nabi-nabi, setiap kejahatan yang datang dalam bentuk raja-raja zalim dikalahkan dengan kemunculan pembaharu.
Pada zaman Rasulullah empayar Rom dan Parsi diperintah oleh maharaja besar yang bersifat zalim dan menindas. Rasulullah s.a.w. membawa risalah kebenaran untuk menegakkan keadilan di muka bumi ini.
Maka Islam mudah tersebar kerana penduduk empayar ini mahu mengecapi kebebasan. Nilai-nilai keadilan ini menjadi tarikan bagi penduduk Asia Barat menerima Islam dan agama ini berjaya menumbangkan empayar Rom dan Parsi.
Maka begitu juga tentang gerakan Syiah pada zaman Khalifah Umaiyah yang mereka sifatkan sebagai menindas dan berbentuk empayar. Kerajaan Islam yang bersifat kerohanian dan membela orang susah tidak wajar berbentuk raja-raja.
Gerakan Bani Abasiah yang mendapat bantuan Syiah mencerminkan perjuangan menentang hegemoni seumpama ini.
Maka sikap Iran menentang AS dan usaha parti-parti Syiah di Iraq untuk menubuhkan kerajaan adalah untuk mencapai impian gerakan mazhab itu, yang memperjuangkan pembebasan daripada hegemoni kuasa besar.