Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
Sumber: Mingguan Malaysia 12 Februari 2006
"Andainya itu sayang berupa erti
setahun janji ditempah hilang sehari
membuat aku sedar diri sendiri
inai merahmu tanda sudah bersuami.''
Inai Di Jari bukanlah satu-satunya lagu popular nyanyian S. Jibeng. Semasa era kegemilangannya, Jibeng mempunyai banyak lagu popular lain seperti Musafir di Aidilfitri, Selamat Tinggal Pujaan, Cik Ainon Janda Muda atau Gadis Pertiwi.
Tetapi Inai Di Jari menusuk ke jiwa, mungkin kerana penyanyinya yang kekurangan indera, cuma kaya budi dan bahasa. Maka lagu inilah menjadi keluhan jiwanya.
Lagu ini tentang keluh-kesah lelaki yang emas sesaga bermimpi memetik kejora di puncak singahsana. Maka sesiapa saja yang mendengar, kedaifan penyanyi menjadikan lagu itu manifestasi hidupnya.
Inai Di Jari yang telah sekian lama memagut rasa tentang realiti hidup yang memberitahu kita, budi bahasa hanya pemanis kata, emas perak juga yang diambil kira.
Jibeng ternyata berjaya menyampaikan pesan dalam serak dan tertahan-tahan suaranya. Biarlah kalaupun lagu itu hanya rekaan, orang yang mendengar setidak-tidak menganggap itu antara galur duka penyanyi cacat penglihatan ini.
Jibeng antara penyanyi angkatan pop 60-an yang dibongkar kembali selepas ledakan luar biasa sebuah konsert di Stadium Negara pada pertengahan 1985. Tiba-tiba saja lagu-lagu pop 60-an berada dalam arus perdana muzik semasa.
Tatkala irama keras dan suara serak rock memecah suasana di mana-mana, Jibeng antara yang memecah monopoli angkatan rock. Lagu sesyahdu Inai Di Jari dan Musafir Di Aidilfitri seolah-olah menjadi fenomena.
Nama Jibeng hampir pupus selepas era kegemilangan dekad 60-an. Begitu juga L. Ramlee yang menjulang dengan Dara Pujaan dan Selengkar Melor atau A. Rahman Hassan dengan Tak Mengapa. Tetapi selepas konsert anjuran Persatuan Anak-Anak Johor pada 1985 itu, Jibeng dan rakan-rakan terus berada semula di persada dunia nyanyian.
Selasa lalu perjalanan penuh liku Jibeng atau nama sebenarnya Jaafar Sidek berakhir. Allahyarham yang menutup usia 64 tahun. Allahyarham telah pergi tetapi legasi yang penuh kemilau di sebalik realiti pedih ditinggalkan buat renungan semua.
Allahyarham Jibeng meninggalkan balu Maznah Sidek, lima orang anak dan tujuh orang cucu. Allahyarham dikatakan terus mahu menetap di Rumah Panjang Larkin, Johor walaupun sudah mempunyai sebuah rumah lain.
Semasa hayatnya Jibeng antara beberapa orang artis veteran yang menerima skim pencen sebanyak RM500 sebulan daripada Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan).
Ketika Jibeng muncul semula pada 1985, saya beberapa kali cuba mengenalinya. Bertanya kisah hidupnya dan kesukaran seorang penyanyi cacat penglihatan menyara keluarga dengan suara. Jibeng selalu mengelak, ketawa besar dan memadam soalan tentang kisahnya.
Tapi pada suatu petang tahun 1985 di Angkasapuri, saya cuba mendapatkan kepastian mengenai lagu Inai Di Jari. Apakah itu kisah hidupnya yang diceritakan kepada orang lain untuk diolah menjadi lirik lagu.
"Inai di jari tapi merahnya di hati. Ah, aku ni berfalsafah pula. Orang suruh aku nyanyi aku pun nyanyilah,'' Jibeng ketawa. Seperti biasa dia mahu mematikan hal-hal yang baginya suatu yang peribadi.
Saya terpagut dengan frasa yang terluncur daripada mulutnya, inai di jari merahnya di hati. Tapi Jibeng tidak mahu bercerita panjang tentang lagu yang dianggapnya ``nyanyian biasa'' itu.
"Engkau budak-budak lagi, kerja kuat, kumpul duit. Aku tak tau buat kerja lain, inilah kerja aku,'' Jibeng begitu perahsia. Tetapi dengan serius Allahyarham semacam membisikkan, dia tidak susah, tidak derita dan tidak merana seperti yang orang lain lihat.
Allahyarham memperlihat personaliti seorang yang menerima keadaan diri seada-adanya. Maka tidak sekali pun kita mendengar keluhan sekalipun orang lain melihat hidupnya dimamah kepayahan dan tidak merasai kemewahan.
Semasa hayatnya Allahyarham pernah menerima Anugerah Tokoh Penyanyi 60-an yang disampaikan oleh Pengerusi MKLand, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar dalam satu majlis meriah yang berlangsung di Bukit Merah Lake Town Resort.
Kepada siapa yang pernah terhibur dengan nyanyiannya, hari ini kita bukan saja kehilangannya malah sangat terhutang kepadanya.