Apabila harga minyak terus naik

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 23 April 2006


RABU lalu, dilaporkan pihak pemerhati tidak menolak kemungkinan bahawa harga minyak dunia akan mencecah sehingga AS$80 setong pada pertengahan tahun. Tidak dapat digambarkan kesannya tetapi yang pasti ia menimbulkan kacau bilau terhadap ekonomi dunia.

Hari Khamis lalu, harga minyak dunia sudah mencecah rekod sejarahnya. Di London, ia mencecah AS$74.16 setong, di New York AS$72.41 setong dan di Asia, AS$72.20 setong.

Subsidi minyak yang dapat dijimatkan oleh kerajaan akibat kenaikan harga minyak tempatan sebanyak RM4.4 bilion hampir lenyap. Tetapi kerajaan telah pun menegaskan bahawa mereka tetap berpegang pada janji tidak akan menaikkan harga minyak.

Bagaimanapun, tahun depan tidak dapat lagi ditentukan.

Puncanya ialah ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran. Washington tanpa rasa segan silu bercakap tentang opsyen nuklear, maksudnya penggunaan bom nuklear ke atas Iran.

Iran pula, tanpa segan silu juga menggunakan opsyen berani mati. Maknanya suasana di Asia Barat amat tidak stabil dan tidak menentu.

Selama ini sesiapa saja, apatah lagi AS berasa malu untuk menyatakan keinginan untuk menggunakan senjata nuklear. Ini kerana penggunaannya merupakan suatu tindakan tidak berperikemanusiaan. Beribu-ribu orang pasti mati. Sehingga ini hanya AS yang pernah menggunakan bom atom, dan kuasa besar itu kelihatan sebagai kuasa yang amat jahat.

Begitu juga dengan Iran. Sehingga ini tidak ada kerajaan atau pertubuhan Islam arus perdana yang terang-terang menyokong penggunaan penyerang berani mati kerana ia tidak berperikemanusiaan dan bercanggah dengan ajaran Islam. Tetapi dengan kenyataan Mahmoud itu, ia mendedahkan bahawa perkara itu boleh dilakukan bukan saja dari tindakannya tetapi lebih penting lagi, dari segi etika dan syariat Islam.

Salah siapa? Amerika atau Iran?

Presiden Iran, Mahmoud Ahmedinejad dalam kenyataannya yang terus menyumbang kepada kenaikan harga minyak dunia berkata, bahawa harga minyak mentah walaupun mencecah kedudukan paling tinggi dalam sejarah masih rendah berbanding dengan nilai sebenarnya.

Radio Teheran memberitahu, bahawa negara-negara maju dan bukannya negara-negara pengeluar minyak seperti Iran yang memperoleh manfaat daripada kenaikan harga itu.

Ini kerana produk-produk hasil daripada minyak dijual dengan harga yang berganda-ganda daripada harga minyak mentah yang ditetapkan oleh negara pengeluar minyak. Dalam perniagaan ini, negara-negara maju mendapat manfaat jauh lebih besar daripada negara membangun yang mengeluarkan minyak.

Kenyataan Presiden Iran itu dilihat sebagai amaran dari negara itu untuk menggunakan minyak sebagai senjata. Maknanya apabila berdepan dengan tekanan AS, Iran mengancam akan menggunakan minyak sebagai senjata. Jika perkara itu berlaku, maka sistem sejagat yang ada sekarang akan menjadi kacau.

Bagi Mahmoud, harga minyak sepatutnya ditentukan berdasarkan kepada bekalan dan permintaan di pasaran.

Iran dan banyak negara membangun sememangnya tidak puas hati dengan sistem yang ada sekarang kerana ia jelas menguntungkan pihak Barat berbanding mereka. Tetapi sistem ini tidak boleh dicabar kerana kedudukan negara maju, khususnya AS yang menguasai dunia dalam serba-serbi – ekonomi, politik dan ketenteraan. Belum lagi dikira dengan budaya.

Bagaimanapun, alternatifnya juga parah kerana pihak yang menentang Barat, walaupun majoriti tetapi tidak tersusun atau memiliki seorang pemimpin yang berani berdepan dengan Washington serta dapat menyusun semula sistem supaya menjadi lebih adil.

Malah tekanan yang dikenakan oleh AS ke atas Iran dilihat sebagai usaha kuasa besar itu untuk mengukuhkan kedudukannya di kawasan Teluk Parsi.

Cuba bayangkan andai kata berlaku peperangan antara AS dan Iran. Pastinya turut menjadi mangsa ialah negara-negara pengeluar minyak di Teluk Parsi yang merupakan sekutu AS.

Tetapi lebih besar lagi, ia akan mendatangkan kesan besar terhadap bekalan minyak dunia. AS dan negara-negara Barat mungkin sudah bersedia dengan senario apabila bekalan minyak dari Asia Barat terputus.

Asia Barat yang walaupun memberi sumbangan besar kepada keperluan minyak dunia bukan satu-satunya sumber. Terdapat sumber lain yang turut menyumbang kepada dunia, seperti dari dalam negara AS sendiri, Laut Utara di Eropah dan juga Rusia.

bagaimanapun, Venezuela yang merupakan negara pengeluar minyak mempunyai presiden yang turut bersikap anti-AS.

Antara negara yang mungkin lumpuh akibat penutupan penyaluran minyak dari Asia Barat ialah Jepun. Tetapi negara-negara membangun yang lain akan juga parah apabila menghadapinya.

Adalah menjadi kepentingan besar bagi AS untuk memastikan Teluk Parsi berada dalam pengaruhnya. Mereka tidak mampu untuk membiarkan Iran terus merdeka tanpa menerima telunjuk AS.

Kalau peperangan yang dilancarkan AS terhadap Iraq dilihat sebagai berkaitan minyak, maka lebih-lebih lagilah terhadap Iran.

Walaupun peperangan sebenar belum meletus atau mungkin tidak berlaku tetapi apa yang sedang berlangsung ialah pertempuran psikologi.

Yang menjadi mangsa selain daripada media sebagai penyalur serangan-serangan berbentuk retorik dan propaganda ini ialah pengguna minyak di seluruh dunia. Harga minyak terus tidak menjadi stabil dan ia bergantung kepada keadaan hubungan antara AS dan Iran.

Dalam keadaan ini, masing-masing sedang memperluaskan rangkaian sekutu di samping berusaha memencilkan musuh mereka.

China seolah-olah diisytiharkan sebagai sekutu AS dalam pertempuran psikologinya dengan Iran. Kena pula ketika Presiden China, Hu Jintiao mengadakan lawatan rasmi ke Washington. Di situ, mereka mengisytiharkan kerjasama nuklear dan berazam untuk mengendurkan ketegangan antara AS dengan Korea Utara dan Iran. Mesejnya, China adalah sekutu AS dalam soal Iran.

Tetapi dalam waktu sama, Presiden Rusia, Vladimir Putin telah menunjukkan bahawa Moscow tidak mahu bersekutu dengan AS dalam soal nuklear Iran.

Bahkan Rusia telah menyatakan bahawa kesediaannya untuk menghulur bantuan kepada kerajaan Hamas di Palestin yang tidak berbiaya sejak AS dan Eropah menarik balik peruntukan dana mereka.

Harapan Hamas terhadap negara-negara Islam untuk mendapat bantuan mereka hanya dipenuhi oleh Iran.

Hamas dan sekutunya, Jihad Islam serta Hizbullah di Lebanon adalah kumpulan-

kumpulan yang melakukan serangan berani mati. Hizbullah pula adalah kumpulan mendapat dukungan penuh Iran.

Maka senarionya ialah AS dan sekutu-sekutunya lawan Iran. Apa yang hendak dilakukan oleh AS ialah memencilkan Iran supaya tidak timbul dua blok dunia yang bertentangan.

Kalau Iran bersekutu dengan Al-Qaeda, maka bagi AS ia menjadi lebih mudah dari segi propaganda kerana dunia dapat diajak untuk memihak padanya. Maka Iran akan dianggap sebagai pengganas lantaran hubungannya dengan Al-Qaeda.

Maka Iran, Hamas, Jihad Islam, Hizbullah dan Al-Qaeda menjadi sekutu yang dianggap sesuai dan masuk akal.

Tetapi yang menjadi masalah adalah dua perkara. Pertama, peranan Rusia yang akan mengambil kesempatan dalam keadaan ini untuk menjadi pengimbang.

Dengan mengenang betapa AS telah campur tangan dan melebarkan pengaruhnya ke atas Eropah Timur dan bekas negara-negara Soviet di Asia Tengah, termasuk juga Afghanistan, maka Rusia berasa kewajarannya untuk berperanan dan memihak kepada Iran dan Palestin-Hamas.

Kedua, soal dunia Islam. Umumnya, umat Islam menyokong Hamas dan Iran. Walaupun mereka menolak Al-Qaeda. Hanya kerajaan-kerajaan Islam di seluruh dunia yang rata-rata bersahabat dengan AS perlu berhati-hati. Di satu pihak mereka bersimpati dengan Iran tetapi hubungan dengan dunia Barat terpaksa juga diambil kira. Ditambah pula mereka perlu juga mengambil kira sentimen rakyat Islam yang turut memberi kesan kepada politik domestik.

Di bawah sentimen tamadun, agama dan nasionalisme adalah rebutan terhadap sumber bahan api.

Selain daripada minyak yang sedang berlegar dalam pasaran yang menentukan kedudukan ekonomi dunia, ada tiga unsur lain yang menjadi perkiraan semua pembuat keputusan di seluruh dunia.

Pertama, potensi minyak dan gas yang masih tersimpan di perut bumi yang menjadi rebutan serta perkiraan kuasa-kuasa politik di seluruh dunia.

Kedua ialah bahan api alternatif yang sedang dibangunkan di seluruh dunia serta kesan kepada politik akan datang. Buat masa ini tumpuan adalah pada bahan api bio. Kalau di Malaysia ia berasas minyak sawit sementara di tempat lain adalah minyak bunga matahari, umpamanya.

Pada masa akan datang, sumber lain bahan api pasti muncul menjadi perhatian dunia.

Ketiga ialah tenaga nuklear sendiri. Dengan kekurangan bahan api, perhatian terhadap tenaga nuklear sebagai sumber bersih pasti mendapat perhatian. Inilah juga hujah Iran yang mahu menggunakan nuklear sebagai sumber tenaga bersih.

Tetapi masalah dengan tenaga nuklear ialah potensinya untuk diubah menjadi senjata. Inilah apa yang berlaku di Iran dan menjadi pertikaian AS.

Peta pertikaian politik sejagat wajar dilihat melalui pelbagai faktor selain daripada politik. Di satu pihak ialah peranan fahaman keagamaan, kebangsaan dan tamadun. Di satu pihak lain ialah hubungan dengan kepentingan ekonomi yang berkaitan dengan tenaga, industri dan kekuatan tentera.

Keseluruhan perkara itu pula akan berkait dengan geografi. Justeru geopolitik dan geoekonomi menjadi kajian wajar terhadap apa yang berlaku.Soal-soal seperti fahaman keagamaan, kebangsaan dan tamadun pasti berkaitan dengan sejarah. Ia juga berkaitan dengan asas-asas sejarah seperti arkeologi, malah juga anthropologi. Dalam perkiraan akhir, pastinya biologi yang melibatkan spesies manusia menurut pengalaman setiap bangsa turut memberi kesan.

Jika dilihat asal usul minyak pula, geologi akan menunjukkan ia merupakan hasil daripada perubahan biologi pada tumbuhan zaman prasejarah. Untuk memahami wajarlah mengkaji bidang kosmologi dan bagaimana planet ini terbentuk hingga menghasilkan bahan api seumpama itu.

Sejarah teknologi juga perlu dilihat tentang bagaimana manusia sedar mengenai penggunaan minyak secara besar-besaran untuk menggerakkan industri mereka.

Konflik antara AS dan Iran pula mewajarkan kajian terhadap psikologi imperialisme orang keturunan Eropah dengan semangat juang bangsa Parsi sejak mereka berperang menentang orang Yunani, Rom dan kemudian Turki.

Di Malaysia, golongan cendekiawan wajar mengkaji corak dan pola perkembangan ini hingga ia mampu menjadi input baik kepada pihak yang membuat keputusan tentang masa depan negara. Kesedaran ini tidak wajar diserahkan bulat-bulat kepada kerajaan. Sesiapa di kalangan rakyat perlu meningkatkan kefahaman serta bertukar-tukar idea supaya negara ini tidak sesat dalam kancah pertembungan pelbagai kuasa di dunia sejagat.

Pusat paling sesuai bagi kajian dan penyebaran kefahaman mengenai apa yang berlaku mengenai politik tenaga, Asia Barat dan konflik AS-Iran ialah Universiti Teknologi Petronas (UTP).