Cabaran berbeza bagi wanita

Oleh: Zin Mahmud (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 26 April 2006


Banyaknya wanita dalam institut pengajian tinggi (IPT) berbanding lelaki bukanlah fenomena yang pelik. Begitu juga dengan peningkatan golongan profesional dan pemimpin politik.

Ia tidak hanya berlaku di Malaysia, tetapi di seluruh dunia. Terdapat satu artikel dalam majalah Scientific American beberapa tahun lalu yang membuat kajian mengenai gejala peningkatan mendadak pelajar wanita di IPT.

Semua negara maju kecuali Jerman turut mengalami fenomena ini. Justeru, peningkatan mendadak pencapaian wanita dalam akademik adalah suatu yang menjadi hakikat dan realiti.

Begitu juga apa yang dibincangkan dalam satu program BBC mengenai ramalan bagi masa depan. Selain daripada fenomena berhubung teknologi dan globalisasi, ia meletakkan kebangkitan wanita dalam bidang-bidang profesional merupakan suatu yang hampir pasti. Sementara kemenangan banyak ahli politik wanita sebagai ketua kerajaan dunia juga menunjukkan fenomena ini.

Mengapa kebangkitan wanita yang mendadak ini? Ia merupakan suatu evolusi manusia dan alam di mana kedudukan wanita terpinggir dan tertindas dalam kepimpinan manusia bertukar akibat perubahan daripada ekonomi pertanian ke perindustrian, hinggalah kepada era maklumat serta kreativiti hari ini. Ditambah pula dorongan daripada fahaman feminisme yang kian diterima oleh tamadun moden di seluruh dunia. Islam juga menerima pengaruh dan penyesuaian dalam asakan perubahan ini.

Dalam keadaan ini, landskap dunia yang selama ini didominasi oleh citra lelaki pasti turut mendatangkan kesan. Ia telah dialami oleh dunia komersial di mana daya pembelian tinggi wanita mencorakkan produk dalam pasaran.

Sememangnya lelaki dan wanita saling lengkap-melengkapi bukan saja dalam keluarga tetapi juga masyarakat. Imbangan antara kedua citra perlu ada.

Di sinilah cabaran baru.

Walaupun wanita mencapai kecemerlangan akademik, profesional, komersial dan juga politik, tetapi jika keupayaan mereka dalam soal intelektual dan kepimpinan tidak turut meningkat, maka ia akan mendatangkan masalah kepada masyarakat.

Justeru wanita-wanita yang berjaya dalam akademik mereka, dan seterusnya cemerlang dalam kerjaya wajar turut mengambil berat tentang sisi intelektual dan kepimpinan.

Mereka mesti banyak membaca, dan bukan hanya novel-novel cinta, serta menaruh minat terhadap masalah masyarakat dan perkara besar seperti mana kebiasaan kaum lelaki.

Sememangnya psikologi wanita berbeza. Umumnya, wanita cenderung untuk melihat perkara mikro, sementara lelaki pada makro.

Maka tidak hairanlah di sekolah-sekolah yang banyak dipimpin wanita, keadaan ini terserlah dalam cara pentadbirannya.

Di sinilah cabarannya bagi wanita baru yang akan memimpin dunia. Mereka mesti meningkatkan kemahiran memimpin khususnya terhadap lelaki yang dari segi evolusinya selama ini mendominasi kuasa dalam masyarakat manusia.

Dunia juga wajar menyesuaikan diri dalam fenomena baru ini dan ia tidaklah mudah.