Tiga ciri sekolah unggul

Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 20 April 2006


APABILA ditanya di manakah terletaknya ciri-ciri universiti yang baik, Profesor Dr. Syed Hussein Alattas baru-baru ini meletakkannya pada tiga perkara.

Pertama, perpustakaannya, kedua, sarjananya dan ketiga, penerbitnya.

Ini kerana dengan koleksi buku dalam perpustakaan yang baik barulah sarjana dan pelajarnya dapat berfikir dan membuat kajian. Sarjana yang baik akan mengisi universiti itu, baik dari segi mengajar pelajarnya tetapi juga penyelidikannya. Begitu juga, penerbit universiti yang baik akan mampu menerbitkan buku-buku sarjana mereka serta hasil kajian serta penyelidikannya.

Justeru, universiti yang baik tidak terletak pada bangunannya atau projek-projek hartanah mereka.

Tetapi kalau terhadap sekolah bagaimana pula?

Tentunya tiga perkara ini, iaitu akademik, kokurikulum dan sukan. Tetapi malangnya kini tumpuannya adalah akademik dan kokurikulum dan sukan boleh dianggap sebagai terabai.

Kokurikulum terdiri daripada dua cabang iaitu perpustakaan dan persatuan-persatuan sekolah.

Sekolah yang baik akan mengutamakan perpustakaan. Ia akan menjadi bangunan atau ruang utama di tengah-tengah sekolah yang mudah untuk dikunjungi para pelajar.

Pengetua akan menggalakkan pelajar-pelajar mengunjungi perpustakaan dengan pintunya dibuka seluas-luasnya.

Koleksi buku pula menjadi kebanggaan sekolah. Semakin lama sesebuah sekolah itu wujud, makin besar koleksi bukunya yang akan mengayakan minda pelajar-pelajarnya.

Tetapi perkara ini kurang berlaku pada masa ini. Perpustakaan sudah menjadi pusat sumber yang berada di bilik-bilik belakang dan tersembunyi dengan masa untuk kunjungannya amat terhadap. Koleksi buku juga terhad dan hanya bergantung kepada perakuan daripada pihak birokrasi pusat. Banyak prosedur dan pantang larang bagi perakuan sesebuah buku.

Kokurikulum juga tidak begitu digalakkan di sekolah lebih-lebih lagi Sabtu menjadi hari cuti. Banyak persatuan sekolah hanya tinggal nama. Persatuan yang mempunyai tradisi mendidik yang tinggi seperti Pengakap dan Bulan Sabit Merah tidak diberi sokongan untuk aktif. Mereka digantikan dengan persatuan-persatuan unifom baru yang tidak mempunyai tradisi panjang dan lebih kepada membantu agensi-agesi kerajaan seperti polis dan bomba.

Bagaimanakah hendak melahirkan bakal pemimpin bersahsiah jika mereka tidak aktif dalam persatuan sekolah?

Tahap sukan di sekolah juga menyedihkan. Pelajar-pelajar tidak digalakkan dengan tegas untuk bersukan. Mereka tidak diperkenalkan dengan pelbagai permainan. Jauh sekali untuk mengajar mereka berenang. Tetapi bagaimanakah hendak menggalakkan sukan sedangkan banyak pelajar tidak mendapat sarapan pagi, sementara kantin tidak memuaskan?

Selagi sekolah tidak kembali kepada perpustakaan, persatuan dan sukan; pencapaian akademik tinggi menjadi tidak bermakna dalam erti kata pendidikan yang luas.