Kukuhkan harapan damai Kashmir

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 7 Mei 2006


KETIKA petanda kegagalan dilihat di dua tempat konflik dunia iaitu di Palestin dan Sri Lanka, terdapat pula unsur-unsur harapan di Kashmir.

Ini kerana Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush Jumaat lalu menyatakan bahawa kerajaannya tidak akan mengadakan sebarang hubungan dengan Hamas, parti yang memerintah Palestin selagi pertubuhan itu tidak mengiktiraf Israel.

Ini bermakna tidak akan berlaku perundingan antara kerajaan Palestin dengan AS. Tanpa keadaan ini, maka sukar untuk mencapai perdamaian kerana rundingan mesti melibatkan bukan saja Palestin tetapi juga AS.

Sementara di Sri Lanka, rundingan antara kerajaan dengan pertubuhan pemisah Harimau Pembebasan bagi Tamil Eelam (LTTE) diumumkan telah gagal dan pertempuran bermula lagi.

Sebaliknya di Kashmir Rabu lalu, rundingan awal damai diadakan antara Perdana Menteri India, Manmohan Singh dengan gabungan kumpulan-kumpulan pemisah Kashmir dikenali sebagai Persidangan Semua Parti Huriyat (kebebasan) diketuai Mirawaz Umar Farooq.

Perkembangan selanjutnya, iaitu Jumaat lalu Mirawaz menyatakan hasrat untuk mengajak kumpulan-kumpulan militan pemisah Kashmir menyertai rundingan.

Ini merupakan perkembangan damai yang lebih baik dan maju jika pihak militan itu bersetuju menyertai rundingan berkenaan.

Terdapat banyak kumpulan militan yang berkeliaran di Kashmir dan pengeboman baru-baru ini disyaki dilakukan oleh mereka sebagai antara usaha untuk menggagalkan rundingan. Itulah tafsiran banyak pihak pemerhati, dan ada kalanya benar.

Tetapi menurut laporan, Manmohan tidak berganjak untuk terus berunding walaupun peristiwa pengeboman itu. Jika komitmen beliau jelas, maka jalan damai akan terus lancar.

Kashmir terbahagi dua. Di dalam pentadbiran Pakistan ialah Azad Kashmir (Kashmir Bebas). Ia diperintah oleh parti politik Kashmir yang pro-Pakistan dan mahukan keseluruhan wilayah itu berada dalam pentadbiran Islamabad.

Mereka membantu gerakan pemisah Kashmir yang beroperasi di wilayah Kashmir dalam pentadbiran India.

Wilayah Kashmir India bernama negara Jammu Kashmir, iaitu gabungan Jammu yang berpenduduk Hindu dan Kashmir berpenduduk Islam.

Kekuatan politik di Jammu Kashmir terbahagi pada dua. Satu adalah pihak yang mahu mengekalkan negeri itu di bawah New Delhi. Pihak ini menyertai pilihan raya India, menang dan mentadbir negeri itu dengan restu New Delhi.

Tetapi pilihan raya di Kashmir yang selalunya tercemar dengan kekerasan dan keganasan diboikot oleh rakyat yang mahu memisahkan diri daripada India.

Gerakan pemisah ini boleh dikatakan majoriti, tetapi ia terbahagi dua. Satu yang mahu mengambil cara damai iaitu politik dan rundingan. Satu lagi ialah kumpulan-kumpulan militan.

Dalam apa jua konflik walaupun persekitaran dan sosiobudaya berbeza, tetapi ada kalanya dapat dikesan terdapat corak dan pola serupa mengenai punca konflik dan cara penyelesaiannya.

Tetapi komitmen damai pihak terbabit mesti jelas, khususnya di kalangan pertubuhan yang mewakili arus perdana sederhana politik tempatan.

Sememangnya dalam apa jua konflik, akan muncul tiga arus. Pertama, arus perdana yang sederhana; kedua, arus pelampau yang vokal; dan ketiga arus lembut yang mengalah.

Arus kedua dan ketiga adalah kecil tetapi tetap memainkan peranan besar. Arus perdana merupakan pihak yang mendapat sokongan rakyat yang sentiasa cintakan perdamaian. Tetapi mereka tidaklah sevokal arus pelampau, dan tidak mengalah kepada prinsip hak mereka.

Apa yang disebut sebagai pelampau, ini termasuklah golongan militan yang ada antaranya menggunakan keganasan. Sementara arus mengalah adalah pihak yang menyertai kerajaan musuh untuk mendapatkan perdamaian.

Maka dalam hal Kashmir, golongan yang memihak kepada India dianggap sebagai arus mengalah. Sementara arus perdana sederhana adalah 24 parti yang bergabung dalam Persidangan Semua Parti Huriyat itu. Sedangkan arus pelampau adalah militan seperti Lashkar-e-Jihad dan banyak lagi pelbagai kumpulan.

Pun begitu, perlu diingat jika konflik ini berterusan begitu lama, arus ini akan berubah, yang pelampau jadi arus perdana; atau sebaliknya, yang mengalah juga boleh jadi arus perdana.

Ini berlaku dalam perjuangan Palestin. Arus perdana sederhana sebelum pilihan raya terbaru adalah Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang memayungi pelbagai parti yang menerima pimpinan Al-Fatah. Sementara Hamas dan kumpulan seperti Jihadi Islam adalah arus pelampau.

Arus mengalah adalah mereka yang berada di Israel dan menyertai sistem politik di situ sebagai parti orang Arab.

Oleh kerana sudah terlalu lama dan tidak membuahkan hasil perjuangan, rakyat Palestin beralih dan memberi sokongan kepada Hamas. Maka Hamas menjadi arus perdana, walaupun sebagai parti pelampau.

AS memberi tekanan supaya Hamas menjadi arus perdana sederhana dengan mengiktiraf Israel. Terdapat cara lain bagi mengatasi masalah ini. Hamas tidak perlu berunding secara langsung dengan Israel dan AS. Mereka cukup menghantar Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dari PLO sebagai jurubicara Palestin.

Takrifan terhadap arus perdana, adalah pihak yang mendapat sokongan majoriti rakyat dan mereka akan muncul menjadi pemimpin sesuatu perjuangan dan berunding bagi pihak rakyat mereka.

Ada konflik yang tidak ada golongan pelampau. Begitu juga ada konflik yang tidak ada golongan mengalah.

Dalam apa-apa jua konflik, terdapat hubungannya dengan negara luar dan konteks sejarah yang jelas hingga dapat dikesan asal usul pertembungan itu.

Dalam hal Kashmir, asal usul konflik adalah jelas dan ia berkaitan dengan pemisahan India dan Pakistan. Maka penyelesaiannya juga tidak lari daripada kerajaan New Delhi dan Islamabad. Kedua-dua negara ini mesti komited terhadap perdamaian di Kashmir.

Penyelesaian masalah Kashmir juga bergantung kepada kerajaan yang memerintah New Delhi dan Islamabad. Kalau kedua-duanya dilihat sebagai arus perdana sederhana, komitmen mereka untuk mencari penyelesaian akan nyata.

Pada masa ini, Parti Kongres dengan Perdana Menteri Manmohan adalah pihak arus perdana sederhana yang mahukan perdamaian. Tetapi sebelum ini, parti yang memerintah India, Parti Janata Bharatia (BJP), adalah parti yang dianggap pelampau kerana di dalamnya terkandung aliran mahukan supaya Kashmir terus dipaksa berada dalam India.

Mereka yang pada mulanya ekstremis menjadi arus perdana atas pelbagai sebab. Tetapi ia menjadi arus perdana ekstremis, kemudian bergerak menjadi sederhana dan sebab itu pada satu ketika mereka yang memulakan daya usaha berunding dengan Pakistan.

Rintisan rundingan ini memudahkan kerajaan Parti Kongres untuk meneruskan proses damai.

Di pihak Pakistan pula, arus perdana sederhana terletak di pihak tentera, Liga Muslim dan Parti Rakyat Pakistan (PPP). Liga Muslim dan PPP pernah memerintah Pakistan dan mereka juga boleh merintis kepada rundingan dengan India.

Tetapi jika Jamaati Islami atau Jamaati Ulama yang tegas mahu berperang untuk mendapatkan Kashmir memerintah Pakistan, maka rundingan dengan India tidak akan dapat dilakukan. Mereka adalah arus pelampau yang kini di peringkat Parlimen menjadi arus perdana.

Bagaimanapun, apa yang berlaku sekarang, Presiden Pervez Musharraf dari pihak tentera mempunyai kuasa dan mewakili arus perdana sederhana. Maka Islamabad dapat berunding dengan New Delhi.

Pengaruh Islamabad dan kesediaan New Delhi membolehkan proses rundingan dengan Huriyat, yang merupakan arus perdana sederhana. Mereka mengajak golongan militan untuk mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai arus perdana.

Jika tidak, golongan militan ini akan berusaha menggagalkannya. Maka gabungan antara kedua-dua pihak ini akhirnya menjadikan mereka arus perdana sederhana.

Perlu diingat mengapa muncul golongan militan dalam sesuatu perjuangan politik. Apa yang dimaksudkan militan ialah kumpulan yang menggunakan senjata bagi mencapai matlamat.

Di sini harus memahami perbezaan antara istilah fundamentalis, radikal, pelampau, ekstremis, militan, pengganas dan berani mati. Mereka kesemua membawa maksud berbeza.

Sering kali terdapat pihak melonggokkan kesemua kumpulan ini sekali.

Fundamentalis Islam adalah mereka yang memperjuangkan pelaksanaan syariat Islam seperti apa yang difahami menurut rumusan ulama silam secara turun-temurun. Mereka tidak semestinya radikal, pelampau atau militan.

Kalau mereka mahu perubahan secara tertib, kecil-kecilan dan tidak segera, mereka bukanlah radikal. Golongan radikal mahukan perubahan mendadak.

Pelampau dan ekstremis adalah serupa. Mereka berpendirian yang melampau daripada penerimaan kebanyakan orang. Kalau mereka menurut kehendak sederhana banyak orang, mereka bukanlah pelampau.

Istilah militan adalah lebih mudah. Sesiapa yang mengangkat senjata untuk perjuangan dianggap militan. Tetapi jika kumpulan yang mahu perubahan mendadak dan bersifat pelampau dengan menggunakan proses pilihan raya, mereka bukanlah militan.

Sementara itu, tidaklah semua militan itu pengganas. Jika kumpulan itu berperang dalam medan pertempuran dengan pihak tentera kerajaan, tetapi tidak menyerang orang awam, mereka adalah militan saja, tetapi bukan pengganas.

Teroris dan pengganas bermaksud sama dan mereka melakukan serangan di tempat awam dan membunuh serta mencederakan orang.

Tetapi tidak semua pengganas adalah berani mati. Pengganas berani mati merujuk kepada mereka yang menyerang dengan membunuh diri seperti yang dilakukan oleh golongan Al- Qaeda.

Di Kashmir, dalam kalangan golongan militan terdapat juga pengganas dan mereka yang berani mati. Munculnya gerakan berani mati dianggap sebagai hasil daripada keadaan yang terdesak.

Maka harapan Huriyat mengajak mereka turut dalam rundingan adalah untuk menghentikan sabotaj usaha damainya.

Persoalan di sini adakah mereka mahu menyertainya atau tidak? Jika mereka enggan, Huriyat tidak dapat memaksa dan ia akan menyukarkan lagi proses damai.

Tetapi komitmen India juga penting. Jika kumpulan militan berkeras untuk terus beroperasi, maka ia akan mengundang serangan oleh tentera India. Konflik ini akan kembali mendalam dengan rakyat menanggung kesusahan dan penderitaan. Militan akan membalas balik dan ia menjadi lingkaran syaitan. Bunuh dibalas bunuh.

Apa yang perlu ada ialah kebijaksanaan pemimpin organisasi terutama di kalangan arus perdana sederhana.

Mereka mesti aktif dan vokal serta komited mencari jalan keamanan. Dalam pada itu mereka mesti kuat dan popular di kalangan rakyat untuk mendapatkan sokongan dan meminggirkan kumpulan arus pelampau.

Pengimbangan ini perlu bagi kejayaan sesebuah bangsa. Jika tidak, yang susah dan menderita adalah rakyat. Di Kashmir kejayaan ini belum kelihatan, rakyat di situ sengsara sudah lebih 60 tahun.

Ia menandakan kegagalan pemimpin India, Pakistan dan Kashmir sendiri. Memang sukar untuk mendapatkan pemimpin yang boleh menyelesaikan konflik dan seterusnya memberikan kemakmuran kepada rakyat.