Makna di sebalik Pramoedya

Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 1 Mei 2006


PADA tahun-tahun 70-an, novel Pramodeya Ananta Toer, Keluarga Gerilya menjadi teks mata pelajaran Sastera bagi pelajar Malaysia.

Sudah tentu untuk beberapa generasi, sebilangan besar rakyat negara ini kenal pada Pramoedya.

Ketika itu, novelis itu sedang ditahan di Pulau Buru, sebuah pulau terpencil seperti mana ribuan rakyat Indonesia yang dikaitkan dan terkait dengan komunis. Pramoedya sudah tentu kena tahan dengan rejim Suharto. Bukan saja beliau merupakan pemuka dalam Lembaga Kebudayaan Rakyat (Lekra), sebuah organisasi komunis tetapi juga fahamannya sememangnya kiri.

Keluarga Gerilya memaparkan kisah Revolusi Indonesia. Ia bukannya suatu novel komunis, tetapi merupakan kisah perjuangan nasionalis menuntut kemerdekaan.

Masakan novel komunis menjadi teks sekolah di Malaysia.

Tetapi Keluarga Gerilya seperti Pramoedya mengandungi mesej perjuangan kental membebaskan minda, diri dan bangsa. Ia menuntut bukan sekadar memindahkan pemerintahan politik dari Belanda kepada elit nasional di Indonesia.

Revolusi yang diungkapkan oleh Pramoedya dalam kisah-kisahnya adalah pembebasan manusia daripada kezaliman dan penindasan. Penjajahan bukan saja terhadap bangsa tetapi terhadap manusia oleh manusia yang lain.

Tulisan Pramoedya sememangnya tidak lepas daripada perjuangan hidupnya sendiri. Beliau mengarang novel di mindanya kerana dia dinafikan untuk memperoleh pen dan kertas.

Kisahnya semasa menjadi tahanan Pulau Buru sudah cukup mengagumkan. Bacalah Nyanyi Sepi Seorang Bisu.

Ia juga menunjukkan jasad boleh dipenjarakan oleh manusia yang berkuasa, tetapi seseorang itu memilih untuk memiliki minda bebas atau mengizinkannya dijajah.

Tulisan Pramoedya bukan saja merupakan hasil sastera, ia sarat dengan mesej politik. Perjuangan sebagai penulis dan politik berkait rapat yang memperkayakan antara satu sama lain.

Malah tulisan novel sejarahnya, Arus Balik turut memaparkan suatu revolusi Indonesia yang lebih awal lagi, iaitu ketika Jawa sedang berubah daripada menganut Hindu kepada Islam. Ia turut berisi dengan isu-isu kemanusiaan dan perjuangan pembebasan.

Selepas reformasi dan kejatuhan Suharto, barulah Pramoedya memperoleh nikmat kemerdekaan zahir. Buku-bukunya mendapat perhatian dunia dan mulalah beliau menikmati honorarium.

Namun begitu, beliau tetap mengkritik kerajaan-kerajaan Reformasi Indonesia, termasuk ada terhadap Presiden Abdurrahman Wahid.

Beliau menolak menyertai mana-mana parti besar tetapi sebaliknya memilih untuk menjadi anggota Parti Rakyat Demokratik (PRD), sebuah parti kiri kecil yang ketika itu dipimpin anak muda, Budiman Soedjatmiko.

Kehidupan Pramoedya menyerlahkan bagaimana perjuangan dan keyakinan boleh membentuk menjadi hasil karya sastera yang indah.