Bahasa Melayu malang selalu

Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Sumber: Mingguan Malaysia 4 Jun 2006


Banyak yang tersinggung apabila sesetengah majikan meletakkan bahasa Mandarin sebagai syarat untuk diambil bekerja. Majikan ini tentulah terdiri daripada bukan Melayu dan mempunyai keyakinan bahawa menguasai bahasa Mandarin adalah satu kelebihan.

Kita yang mendukung bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan memang wajar berasa terhina dan tersinggung. Masalahnya bukan tidak boleh menguasai bahasa Mandarin tetapi kita sudah ada bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Ini kerana sekiranya kecenderungan majikan bukan Melayu terus bersikap demikian, tidak mustahil ini mendorong orang mempelajari bahasa Mandarin. Tujuannya untuk memudahkan mereka mendapat pekerjaan.

Isu majikan memilih bahasa Mandarin bukanlah dari aspek menambahkan siswazah menganggur. Itu bukan isunya kerana bahasa boleh dipelajari. Kalau kita tidak mahu menganggur terpaksalah belajar bahasa Mandarin.

Sebelum ini pun bahasa Melayu bukan semuanya laku di korporat-korporat besar di negara ini. Bahasa Melayu tidak laku kerana pihak majikan ada pilihan kepada bahasa Inggeris. Ini berbalik kepada sikap kita yang menerima bahasa Inggeris dalam semua perkara.

Sebenarnya isu bahasa Mandarin menghantar satu mesej yang lebih besar tentang sikap kita termasuk birokrat. Kita memperjuangkan kedudukan bahasa Melayu dengan akta itu dan ini. Apabila sudah ada akta, maka lengkaplah perjuangan bahasa Melayu. Kita pun menjadi leka dan selesa.

Sekarang sudah terbukti akta atau undang-undang tanpa perlaksanaan tidak ada maknanya. Undang-undang tidak boleh bergerak sendiri menjulang bahasa Melayu kalau kita tidak meletakkan di tempat yang wajar.

Lihatlah kita ada Akta Bahasa Kebangsaan, tetapi tidak ada pun akta bahasa Mandarin. Kenapa dalam isu bahasa Mandarin, Akta Bahasa Kebangsaan tidak dapat menghalang orang daripada belajar bahasa Mandarin untuk mendapat kerja?

Syarat

Majikan yang mengutamakan pekerja bahasa Mandarin melaksanakan proses mendaulatkan bahasa Mandarin. Mereka tidak memerlukan akta itu dan akta ini tetapi mereka membuatkan bahasa Mandarin menjadi satu keperluan hidup.

Mereka mengkomersialkan bahasa Mandarin mengatasi bahasa Inggeris yang menjadi bahasa dunia. Pihak yang tidak berbuat apa-apa untuk menjulang bahasa Melayu tidak wajar berasa tersinggung dengan pendekatan radikal para majikan ini.

Memberi keutamaan kepada bahasa Mandarin bukanlah kerana urusan perniagaan semata-mata. Tetapi apabila ada syarat, pihak yang memerlukan pekerjaan terpaksa mengikut syarat. Inilah cara paling berkesan untuk mengembangkan penguna sesuatu bahasa.

Sewajarnya isu bahasa Mandarin ini memberikan kesedaran kepada kita bahawa bahasa Melayu selama ini diserahkan kepada akta semata-mata. Mempelajari bahasa lain selain bahasa ibunda bukanlah perbuatan yang melanggar tatasusila hidup.

Maka kalau majikan terus dengan syarat-syarat mereka, semua orang akan belajar bahasa Mandarin. Semua orang bukan saja mahir bertutur dalam bahasa Mandarin tetapi secara tidak langsung menaikkan kedudukan bahasa berkenaan.

Seperti biasa, kita selalu menganggap bahasa Melayu sebagai jambatan perpaduan. Maka tindakan majikan dilihat secara retoriknya sebagai tidak menjurus kepada perpaduan kaum di negara ini.

Tetapi secara jujur, apakah sekarang ini bahasa Melayu sudah kukuh sebagai jambatan perpaduan? Dalam keadaan bahasa Melayu seumpama kelas tiga, kita kena realistik bahawa kita tidak membuat sesuatu yang besar untuk menjulang bahasa Melayu.

Berubah

Realiti ini sebenarnya sangat pedih tetapi kita terpaksa menerimanya sehingga bahasa Melayu tidak boleh memberikan kita makan. Dasar mengenai bahasa Melayu tidak pernah berubah tetapi malangnya bahasa Melayu tidak kelihatan sebagai bahasa istimewa, dilindungi dan mempunyai tempat dalam semua kaum dan taraf sosial.

Kalau bahasa Melayu menerima dukungan yang kuat, kita pasti tidak menjadikan syarat berbahasa Mandarin sebagai suatu yang menggusarkan. Masalahnya bahasa Melayu tidak diberi keistimewaan, tidak boleh berbahasa Melayu pun bukan suatu yang mengaibkan.

Jadi, janganlah terlalu berduka dengan keistimewaan bahasa Mandarin. Ini hanya permulaan. Sebelum ini kerana bahasa Inggeris ada nilai dagang, dasar pendidikan kita juga ikut berubah. Selepas ini apabila bahasa Mandarin ada nilai dagang, kita pasti akan berubah lagi.

Kitalah yang tidak memberikan nilai dagang kepada bahasa Melayu yang kita tabalkan sebagai bahasa kebangsaan. Bergembira sajalah.