Tragedi My Lai berulang di Haditha

Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Sumber: Mingguan Malaysia 4 Jun 2006


Sejarah pembunuhan beramai-ramai orang awam oleh tentera Amerika Syarikat (AS) berulang lagi. Malah bukan saja membunuh tetapi lebih buruk lagi menyembunyikan fakta serta berusaha menutup tragedi itu daripada pengetahuan dunia.

Ini adalah antara sikap buruk dan tidak bertanggungjawab AS yang semua dunia tahu. Kalau 38 tahun lalu tentera AS membunuh 300 orang awam di Kampung My Lai di selatan Vietnam, dalam perang AS-Iraq tentera marin AS membunuh 24 orang awam di Haditha, Iraq.

Kedua-dua tragedi pembunuhan kejam ini adalah serupa. Tentera AS mengabaikan etika dan membunuh orang awam yang bukan saja tidak bersenjata malah tidak terlibat apa-apa pun dalam konflik perang itu. Kedua-dua tragedi itu pula memperlihatkan kehadiran tentera AS di negara orang bukan untuk menyuburkan keamanan. Mereka menambahkan penderitaan dan kemarahan untuk melengkapkan diri sebagai satu bangsa yang hina.

Kedua-dua tragedi itu juga menunjukkan AS berusaha menutup, mengubah fakta, menyembunyikan saksi supaya kematian orang awam tidak menjerat AS di tribunal jenayah antarabangsa. Dalam kes My Lai, tragedi yang berlaku pada 16 Mac 1968 itu tidak didedahkan hasil siasatannya kepada umum. Kes ini ditutup sehinggalah dibongkar oleh wartawan penyiasatan Independent, Seymour Hersh pada 12 November 1969.

Dunia berterima kasih kepada wartawan. Selepas pendedahan eksklusif dalam Independent, pada 20 November majalah Time, Life dan Newsweek membuat laporan khas sementara stesen televisyen CBS juga membuat temu bual-temu bual eksklusif yang mengoncang kedudukan Richard Nixon sebagai Presiden, Penasihat Keselamatan Henry Kissinger serta Setiausaha Pertahanan Melvin Laird.

Tragedi My Lai yang ditutup rapat akhirnya terbongkar juga. Misi menyerang gerila termasuk tentera Viet Cong (VC) yang dipercayai berkubu di My Lai berakhir dengan tragedi pembunuhan beramai-ramai orang awam. Ketika AS berkuasa penuh di Vietnam, setidak-tidaknya dengan keganasan, siapa yang akan mendedahkan perilaku buruk tentera AS kepada dunia?

Perilaku

Kebebasan media telah mengatasi kuasa dan pengaruh AS untuk mendedahkan tragedi ini. Media telah melaksanakan tugas kepada masyarakat dengan jayanya apabila mendedahkan fakta sebenar My Lai.

Moral tentera AS selepas pendedahan sebenar tragedi My Lai jatuh mendadak. Kejahatan mereka terpampang di semua media dan mereka tidak berupaya untuk cuci tangan selepas rakyat di seluruh dunia percaya kepada kebebasan media dan wartawannya.

Itu kisah 38 tahun lalu di Vietnam. Tragedi Haditha pula berlaku pada 19 November tahun lalu di Haditha sebuah bandar yang sepi di lembah Euphrates. Kawasan ini dikenali sebagai kubu penentang AS, sama seperti My Lai 38 tahun lalu.

Ketika konvoi tentera AS melintasi Haditha, mereka diserang. Selepas diserang tentera AS membunuh secara kejam orang-orang awam di kawasan perumahah yang berhampiran. Orang yang dibunuh itu pun tidak tahu puak mana yang menyerang tentera marin AS.Pembunuhan berlaku dengan mudah kerana orang awam tidak sempat untuk menyelamatkan diri. Kanak-kanak dan wanita bergelimpangan, darah membasahi Haditha dan ini telah memecah kesunyian bandar mati ini.

Tetapi laporan yang dibuat oleh tentera AS kepada pihak berkuasa memihak kepada mereka. Semua yang dibunuh adalah antara orang yang berbalas tembak dengan tentera marin AS.Pada lapisan biasa memang wajarlah tentera marin AS membalas serangan puak penentang itu.

Dalam kata lain, tidak ada cerita yang menarik atau menimbulkan persoalan tentang pembunuhan di Haditha. Kepada media, pihak berkuasa tentera AS mengeluarkan kenyataan ringkas sekali gus menyembunyikan suatu yang besar sebenarnya telah berlaku di Haditha. Hasratnya adalah sama dengan tragedi di My Lai. AS cuba memberi gambaran kepada dunia bahawa di Iraq, manusianya sangat bahaya.

Semua ini adalah untuk mewajarkan apa saja yang dilakukan ke atas Iraq. Semasa merancang menyerang Iraq, Bush mengatakan faktor utamanya kerana loji nuklear Iraq yang boleh menghancurkan dunia. Iraq juga digelar negara paksi segala kejahatan kerana dikatakan mempunyai pertalian dengan serangan pada 11 September 2001 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York.

Maruah

Tetapi selepas Presiden Saddam Hussein tumbang, Iraq hancur, maruah rakyat Iraq dipersendakan alasan utama semasa menyerang dulu belum ditemui. Loji nuklear Iraq sehingga kini tidak wujud, AS menggunakan kuasanya memaksa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi lesen untuk menyerang Iraq.

Kisah sebenar Haditha tenggelam dan tertimbus. Pembunuhan orang awam semacam tidak ada pembelaan. Nyawa mereka tidak bernilai. Mereka mati kerana teraniaya dan yang hidup tidak pula mendapat peluang untuk menegakkan keadilan. Siapa yang kisah dengan pembunuhan 24 orang tidak berdosa di Haditha?

Wartawan dan media sekali lagi menjadi penegak keadilan.Dalam keadaan banyak pihak sangsi dengan ketelusan media, dalam kes Haditha, media telah mengembalikan kepercayaan orang banyak. Sehari selepas tragedi, seorang wartawan tempatan, Taher Thabet merakamkan kesan pembunuhan itu.

Bayangkan hasil rakaman video itu menunjukkan mangsa yang terdiri daripada kanak-kanak dan wanita Islam bergelimpangan bergelumang darah dalam pakaian tidur. Sementara di siling, dinding dan lantai penuh dengan kesan peluru. Inikah penyerang yang menembak tentera marin AS? Fakta ini tidak ada dalam laporan siasatan.

Pendedahan di sebalik tragedi Haditha disiarkan dalam majalah Time pada Januari lalu. Selepas pendedahan eksklusif itu, pihak tentera AS membuat penyiasatan tetapi ada kecenderungan untuk menutup kes ini. Tetapi kini semuanya terbongkar. Haditha adalah tragedi kemanusiaan yang tidak kurang tragisnya.

Dari sisi lain, tragedi ini membuatkan dunia mempersoalkan etika tentera AS selepas melakukan perkara yang sama di Vietnam.

Kedua-dua tragedi pembunuha orang awam di atas mempunyai banyak persamaan. Semasa tragedi My Lai, bekas Setiausaha Negara AS, Colin Powell seorang tentera berpangkat mejar tetapi masih muda.

“Saya berada dalam unit yang bertanggungjawab ke atas tragedi My Lai,” demikian pengakuan Powell pada 4 Mei 2004. Powell juga antara orang yang bertanggungjawab menghancurkan Iraq pada 2003.

Selepas Perdana Menteri Britain, Tony Blair dan Bush mengakui bahawa menyerang Iraq adalah satu kesilapan, untuk apa lagi tentera AS berada di Iraq? Kerana silap membuat keputusan, sengsaranya adalah rakyat Iraq. Kesilapan tidak boleh ditebus, yang boleh dilakukan ialah membetulkannya.

Cara membetulkan ialah mengeluarkan tentera AS dengan segera dari Iraq. Ini kerana semakin lama mereka di Iraq, mangsa mereka bukanlah musuh tetapi orang awam yang tidak ada kena-mengena dengan AS.