Jangan separuh jalan

Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
Sumber: Mingguan Malaysia 12 November 2006


Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan dasar pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (SMI) dikekal seperti dirancang. Eloklah selepas ini tidak ada pihak yang cuba membangkitkan isu dasar SMI yang pernah dipersetujui sebelum ini.

Dasar SMI diperkenalkan tahun 2003, bermula dengan murid tahun dua bagi sekolah rendah serta tingkatan dua dan enam atas bagi sekolah menengah dan program matrikulasi.

Selepas empat tahun, tentu menimbulkan pertanyaan apabila ada pihak membangkitkan semula soal kedaulatan bahasa Melayu dan jati diri. Semasa kerajaan mengusulkan dasar SMI dulu, bantahan hanya datang daripada golongan pejuang bahasa.

Tetapi selepas empat tahun, bantahan yang serupa datang daripada kalangan orang UMNO sendiri. Di mana suara mereka sebelum ini? Kalau benar mereka perjuangkan martabat bahasa, sewajarnya bantahan itu konsisten sejak dulu hingga sekarang.

Ketika bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad mencadangkan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, sebahagian besar kalangan tokoh politik “semacam setuju’’. Jadi apabila tampuk pemerintahan bertukar tangan, tidak eloklah kalau ada yang membangkitkan perkara yang “dipersetujui’’ bersama dulu.

Kalau benar ada bantahan daripada orang UMNO seperti hari ini, kita percaya dasar SMI tentu tidak akan diteruskan. Memanglah meletakkan kepentingan bahasa Inggeris untuk pengajaran sains dan matematik suatu yang boleh meminggirkan bahasa Melayu.

Tetapi isu itu sudah tidak relevan lagi apabila permulaan dulu sebahagian besar setuju dasar itu dilaksanakan. Melontarkan bantahan memang mudah. Apa lagi dalam keadaan orang yang mengasaskan dasar ini sudah tidak ada dalam kerajaan.

Walau apa sekalipun, kita kena meletakkan kepentingan pendidikan pelajar-pelajar mengatasi segalanya. Perubahan dasar yang terlalu kerap hanya akan menjejaskan pembelajaran, mengelirukan para guru dan akhir sekali membazirkan banyak wang yang dihabiskan untuk dasar ini.

Baru-baru ini Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor yang juga Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman membantah pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Ghani melontarkan alasan bahawa dasar itu hanya akan menyebabkan orang Melayu kehilangan jati diri dan identiti.

Dasar yang berkaitan dengan pendidikan tidak boleh diubah sesuka hati. Selepas sesuatu dasar itu dilaksanakan, sudah menjadi tugas semua pihak untuk membuat penambahbaikan kepada mana-mana yang kurang.

Peringkat membantah sudah berlalu apabila dasar SMI ini berjalan selama empat tahun. Sekarang adalah masa untuk sama-sama menjadikan dasar ini sebagai suatu yang boleh menyumbang kepada dunia pendidikan.

Menghentikan di tengah jalan bukan saja memperlihatkan suatu yang “kucar-kacir’’, malah yang lebih membimbangkan ia menjejaskan para pelajar. Mereka sudah mulai serasi dengan apa yang dipelajari sekarang dan kerja-kerja untuk mempertingkatkan keberkesanan masih boleh dilakukan.

Kalau dasar SMI ini diubah lagi, kita yang mempunyai kuasa, suara dan pengaruh telah melakukan sesuatu yang tidak adil kepada pelajar. Maka yang terbaik dilakukan sekarang tentulah bukan kembali ke belakang.

Mahu tidak mahu apabila dasar ini dipersetujui empat tahun lalu, kita terpaksa menerima hakikat bahawa itu adalah keputusan sebulat suara. Kalau bukan sebulat suara, bantahan seperti yang diutarakan ketika ini sudah kedengaran daripada orang politik khususnya UMNO.

Bersetuju dengan Abdullah dalam isu ini bukan bermakna bersedia untuk mengorbankan identiti dan jati diri. Sebaliknya bersetuju supaya kita tidak kelihatan “menyokong membawa rebah’’ semasa dasar ini dibincangkan di peringkat awal.

Malanglah kalau banyak yang bersetuju empat tahun dulu kerana sekadar mahu “menjaga hati’’ Dr. Mahathir yang menjadi Perdana Menteri ketika itu. Kalau kerajaan melayan desakan membantah dasar SMI ini maka benarlah hanya pejuang bahasa saja yang konsisten terhadap isu ini. Orang politik hanya melihat “arah tiupan angin’’ sebelum memperlihatkan pendirian mereka dalam semua isu.

Bayangkan berapa banyak pembaziran wang dan tenaga sekiranya kita memansuhkan dasar SMI apabila 30,000 guru tahun dua, tingkatan dua, tingkatan enam atas dan pensyarah kolej matrikulasi terlibat dalam SMI tahun 2003?

Tambahan pula belanja RM500 juta untuk melaksanakan dasar SMI bukan kecil. Peruntukan ini meliputi penambahan peralatan seperti komputer bimbit, bahan pembelajaran dan pendidikan serta kursus-kursus kepada guru dan pensyarah yang terlibat.

Jangan terlalu pantas menganggap siapa yang setuju dengan dasar SMI sekarang sebagai tidak menjulang bahasa Melayu. Kerja-kerja mendaulatkan bahasa Melayu dan jati diri boleh dibincangkan pada forum yang lain. Ini kerana dalam banyak aspek lain sebahagian besar daripada kita tidak sensitif tentang pencemaran bahasa Melayu dan jati diri.

Lagi pula mendaulatkan bahasa Melayu bukan hanya menggunakan bahasa Melayu untuk pembelajaran sains dan matematik. Ini hanya salah satu dan bagaimana dengan banyak aspek lain yang seolah-olah dilupakan?

Memang baguslah kalau kita mempunyai daya prihatin yang tinggi kepada bahasa Melayu. Tetapi lebih bagus kalau keprihatinan itu diluaskan kepada skop lain di sekeliling kita.

Berikan masa kepada dasar SMI untuk memperlihatkan hasil. Empat tahun tentulah terlalu awal untuk melihat hasil mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.

Sekali lagi, kasihanlah kepada anak-anak kita yang sekarang sudah belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Mereka tidak ada kuasa politik untuk membantah. Mereka hanya mengikut perintah. Jadi berlaku adillah kepada mereka yang sentiasa menurut perintah.