Cabaran baru orang Melayu

Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 17 November 2006


DALAM mengikuti Perhimpunan Agung UMNO Ke-57, bermula dengan majlis perasmian Persidangan Perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO hinggalah kepada perbahasan-perbahasan ucapan dasar Presiden dan usul-usul dapat dirasakan bahawa terdapat cabaran-cabaran baru yang sedang dihadapi oleh orang Melayu.

Apa yang tidak pernah timbul pada tahun-tahun lalu, kini sudah muncul realiti baru yang mesti dihadapi oleh orang Melayu secara berdepan dan rasional.

Dalam memahami fenomena ini, wajar juga diulangi takrif rasmi Melayu supaya dapat dilihat konteks cabaran yang sedang dihadapi ini.

Orang Melayu ditakrifkan sebagai seseorang yang beragama Islam, berbahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu.

Soal agama Islam dan bahasa Melayu adalah mudah untuk difahami, tetapi mengenai adat istiadat, ia perlu penjelasan kerana ia membawa implikasi lebih besar melibatkan politik dan ekonomi.

Adat istiadat Melayu bukan saja melibatkan soal cara kahwin, berhari raya atau menguruskan kematian. Ia bukan saja bermakna istiadat, tetapi lebih daripada itu, iaitu adat, yang bukan saja meliputi amalan budaya bersifat sosial tetapi juga politik.

Maka adat Melayu adalah termasuk sistem berpolitik iaitu kedaulatan raja- raja Melayu. Dari paksi inilah maka terletaknya kuasa politik Melayu.

Maka UMNO lahir pada tahun 1946 dalam konteks ini. Melalui perjalanan sejarah, maka wujudlah Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dan kemudiannya Malaysia yang menjadikan UMNO serta Perikatan sebagai sebahagian daripada politik Melayu.

Kemudian pegangan kepada kuasa politik ini pula membawa kepada ekspresinya dalam bentuk ekonomi. Perkara ini jelas selepas tahun 1969 dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan diikuti dengan Barisan Nasional (BN) diwujudkan.

Sejak kemunculan teknologi maklumat (IT) dengan penciptaan laman web, e-mel, blog dan sistem pesanan ringkas (SMS), satu ruang baru yang terbuka dan bebas muncul untuk menjadi wadah luas kepada perbahasan dan mencorakkan semula pentas komunikasi politik.

Di sinilah realiti baru yang menjadi cabaran kepada perjuangan UMNO. Ia bukan soal teknologi atau kaedah baru komunikasi semata-mata tetapi lebih kepada cara fikiran politik yang baru bagi Malaysia.

Fahaman demokrasi liberal dalam politik, dan kapitalisme globalisasi dalam ekonomi merupakan dua cabaran bagi orang Melayu dan UMNO.

Jadi, sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini, demokrasi liberal dan kapitalisme global ini bukan saja mencabar amalan politik dan ekonomi orang Melayu, tetapi menyentuh dua ciri yang menjadi sosok Melayu itu sendiri.

Dua ciri itu adalah bahasa, dan lebih mencabar lagi ialah agama.

Menguasai

Dalam fahaman kapitalisme globalisasi, untuk berjaya dalam ekonomi yang kini tidak mengenal sempadan, seseorang mesti menguasai bahasa paling berdaya komersial dalam dunia. Maka realiti sekarang ialah bahasa Inggeris dan Mandarin.

Di sinilah cabaran yang dihadapi oleh orang Melayu hingga terdapat tanggapan bahawa bahasa Melayu sudah tidak relevan untuk survival. Bukan saja orang Melayu mesti menguasai bahasa Inggeris, tetapi mereka mesti turut menguasai Mandarin kerana masa depan rantau ini terletak di tangan Cina.

Cabaran ini menjadikan orang Melayu berasa kurang selamat. Bahasa rojak dan pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris adalah antara gejala yang menjadikan psikologi orang Melayu berasa kurang selamat.

Bagaimanapun, perasaan kurang selamat yang lebih besar adalah dalam soal agama. Di peringkat dunia sendiri, demokrasi liberal dengan fahaman sains dalam bentuk falsafah telah mencabar semua agama.

Tetapi agama yang paling dicabar dan diasak ialah Islam. Fenomena terorisme dan Islamofobia hanya menderaskan asakan ini.

Tanpa agama Islam, bahasa Melayu dan adat istiadat Melayu, iaitu yang berkaitan dengan politik dari segi ketuanan dan kedaulatan Melayu maka orang Melayu akan hilang begitu saja.

Orang Melayu wujud bukan atas darah dan keturunan. Sebab itu konsep Melayu tidak berkaitan dengan etnik atau ras. Justeru, di dalam orang Melayu terdapat pelbagai jenis darah dan keturunan. Melayu bukannya entiti perkauman. Kebangsaan Melayu berkait langsung dengan agama, bahasa dan politik.

Di sinilah cabaran realiti baru. Di satu pihak, terdapat golongan bukan Melayu, bukan Islam dan generasi baru yang mahu asas Malaysia diubah untuk menjadi apa yang dipanggil sebagai ‘negara normal’. Bagi mereka hanya apabila sesebuah negara mengamalkan sistem demokrasi liberal, baru dianggap sebagai ‘negara normal’. Malaysia dianggap tidak normal. Sedangkan realitinya semua negara di dunia mempunyai jati diri tersendiri dan istimewa, termasuk Malaysia.

Di sinilah dalam ucapan dasar Presiden UMNO ditegaskan bahawa Malaysia mempunyai sistem politiknya tersendiri dengan kontrak sosial yang dibuat atas asas perjuangan kebangsaan Melayu yang dibawa oleh UMNO sekian lama.

Pembahas-pembahas dalam Perhimpunan Agung UMNO membawa satu nada mengenai kebangsan Melayu ini; daripada soal agama, bahasa, politik dan ekonomi.

Tetapi apakah kekuatan orang Melayu untuk mempertahankan kedudukannya ini? Setakat ini, kekuatan ini ditunjukkan dalam bentuk simbol dan retorik. Istana, masjid dan keris adalah simbol-simbol orang Melayu untuk mempertahankan kedudukannya. Retorik yang garang pula menjadi seolah-olah ugutan tentang akan berlakunya kekacauan jika status sedia ada dicabar. Tetapi tidakkah ia berbentuk kekerasan?

Banyak perwakilan yang menyentuh tentang pendidikan. Tetapi bercakap mengenai perkara ini, ia sering dikaitkan dengan modal insan dan seterusnya tentang ekonomi.

Orang Melayu sudah lama faham bahawa ekonomi merupakan kekuatan hakiki seperti mana yang dipegang oleh orang Cina di Malaysia, dan pihak Barat di peringkat global.

Politik dianggap hanyalah kekuatan sementara. Maka apabila ditegaskan mengenai pendidikan, ia adalah untuk ekonomi.

Sedangkan pendidikan dalam erti kata sebenar adalah untuk membentuk manusia yang berakhlak dan berilmu. Jadi apa yang hendak dilahirkan oleh pendidikan ialah bukan saja modal insan untuk dijadikan aset ekonomi, tetapi lebih daripada itu, iaitu kemampuan intelektual dan moral.

Di sinilah kekuatan sebenar yang orang Melayu masih ketinggalan.

Untuk menghadapi cabaran yang dikemukakan oleh pejuang demokrasi liberal dan kapitalisme globalisasi, orang Melayu memerlukan kekuatan intelektual dan moral.

Tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, musuh utama dan besar bagi orang Melayu dan UMNO bukannya dari golongan lain tetapi adalah kelemahan yang ada dalam diri sendiri.

Budaya rasuah termasuk politik wang dan mentaliti remeh-temeh serta tidak serius adalah ciri-ciri kelemahan intelektual dan moral.

Sedangkan kekuatan intelektual dan moral adalah kunci sebenar untuk menghadapi serangan pihak yang mahu menghapuskan Melayu dengan memisahkan bangsa ini daripada agamanya, bahasanya dan adat istiadatnya, dalam erti kata yang luas.