Oleh: Zin Mahmud
Sumber: Mingguan Malaysia 19 November 2006
BUAT pertama kali dalam sejarah, tiga pemimpin yang terlibat untuk menyelesaikan masalah Palestin adalah terdiri daripada mereka yang berada di kedudukan lemah.
Pemimpin-pemimpin itu ialah Presiden Amerika Syarikat (AS) George W. Bush, Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.
Bush lemah kerana partinya, Republikan kalah pilihan raya Kongres. Olmert juga dalam kedudukan lemah kerana partinya, Kadima hanya menang majoriti tipis dalam pilihan raya umum Mac lalu.
Sementara Mahmoud yang datang dari Fatah bercakap bagi pihak Palestin yang dalam pilihan raya, yang juga pada Mac lalu memberi kemenangan kepada Hamas.
Pernah pada satu masa, tiga pemimpin yang terlibat dalam usaha mencari penyelesaian Palestin, terdiri daripada pemimpin-pemimpin yang berkedudukan kuat.
Bush pernah berada dalam kedudukan kuat ketika Parti Republikan menguasai Kongres. Pihak Israel pula dipimpin oleh Perdana Menteri Ariel Sharon yang mendapat sokongan besar daripada rakyat Israel. Sementara bagi pihak Palestin, Allahyarham Yasser Arafat pernah menjadi pemimpin yang tidak mampu dicabar oleh sesiapa.
Namun begitu, dalam keadaan lemah begini, mungkin penyelesaian masalah Palestin lebih mudah untuk dicapai.
Ini kerana ketiga-tiga pihak kesemuanya perlu mengambil kira pandangan daripada pihak-pihak pesaing masing-masing di negara sendiri.
Umpamanya Bush perlu mengambil kira pendirian Parti Demokratik yang menguasai Kongres. Olmert yang mengetuai kerajaan campuran empat parti juga perlu meletakkan pendiriannya pada semua spektrum politik kerajaannya, meliputi Parti Buruh dan Parti Shas yang mewakili pendirian ultra-ortodoks Yahudi.
Tetapi kedua-dua pihak itu, AS dan Israel yang juga merupakan sekutu sudah biasa dengan keadaan sistem yang menggabungkan semua aliran politik di negara masing-masing.
Pihak yang tidak biasa dengan keadaan begini ialah Palestin. Selama ini, iaitu semasa Yasser mengetuai Palestin, beliau bebas menjadi wakil tunggal bagi negaranya.
Kini penggantinya, Mahmoud tidak boleh berbuat demikian. Kerajaan yang dipilih rakyat Palestin ialah Hamas, yang membawa kepada pelantikan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh.
Tetapi AS dan Israel tidak setuju dan untuk memecah tembok halangan kepada rundingan, maka dicadangkan penubuhan kerajaan perpaduan di mana kedua-dua Hamas dan Fatah menganggotai kabinet.
Maka tolak ansur dibuat dengan seorang ahli akademik yang berpendidikan AS dari Gaza, Mohammad Shbair menjadi perdana menteri.
Lihatlah betapa kedudukan Palestin semakin rapuh dan mengecil berbanding dengan dahulu.
Aktif
Pada satu masa dahulu, ketika Perang Dingin di tahun-tahun 50-an, perjuangan Palestin disokong kuat oleh kesemua negara Arab dengan Mesir, Jordan, Syria, Iraq dan Libya membantu secara aktif menentang Israel.
Di pihak antarabangsa pula, Kesatuan Soviet berdepan dengan AS membela Palestin.
Setelah perang tahun 1973, Kaherah berdamai dengan Tel Aviv. Tanpa Mesir, sudah tidak timbul boleh berlaku perang secara besar-besaran bagi menentang Israel.
Kemudian berlaku pertembungan antara Jordan dan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang mana Yasser terpaksa berpindah ke Beirut, Lebanon.
Justeru, Jordan terkeluar daripada persaingan langsung antara PLO dan rejim Tel Aviv.
Kemudian berlaku pergolakan di Lebanon dengan tentera Israel menakluki Beirut dan PLO terpaksa berundur ke Tunis, Tunisia.
Tetapi perkembangan terbesar berlaku dengan kejatuhan Soviet. Moscow sudah tidak berperanan besar dalam membela Palestin.
Dalam keadaan begini, intifadah berlaku dengan kemunculan Hamas. Dengan keadaan yang lemah tanpa Moscow, PLO berunding di Oslo yang membawa kepada penubuhan kerajaan Pihak Berkuasa Palestin (PA).
Apabila Saddam Hussein tumbang, satu lagi negara pro-Palestin yang aktif terkeluar daripada pertarungan langsung dalam penentangan terhadap rejim Tel Aviv.
Maka dalam keadaan begini, perjuangan asal dan tegas dalam kalangan Palestin sudah menjadi begitu kecil yang berpusat pada Hamas.
AS, Rusia, Kesatuan Eropah (EU), malah PLO yang ditunjangi Fatah berada di pihak apa yang Israel kehendaki. Cita-cita asal dan murni Palestin hanyalah berada pada tangan Hamas yang mendapat sokongan untuk memimpin PA.
Tetapi kerajaan Palestin ini tidak dapat berfungsi tanpa sokongan pihak-pihak lain seperti AS, EU dan Israel sendiri.
Justeru, kerajaan Hamas lumpuh. Untuk mengharapkan negara-negara Arab juga tidak dapat dilakukan kerana hampir kesemuanya di bawah pengaruh AS. Mesir. Iraq dan Libya yang pada satu masa dahulu adalah penyokong dan pembantu aktif Palestin sudah tidak dapat berbuat demikian.
Tetapi mengapakah dalam keadaan ini masih ada harapan untuk menyelesaikan masalah Palestin? Malah mungkin harapan bagi penyelesaiannya adalah lebih cerah?
Walaupun Hamas kelihatan kerdil apabila berada di depan Israel dan AS hingga ia terpaksa mengalah dan mewujudkan kerajaan perpaduan dengan Fatah, tetapi ia tidak bersendirian.
Apa yang dinamakan kerajaan perpaduan adalah hakikatnya kerajaan yang diterima oleh Israel, dengan sokongan AS.
Melihat bagaimana Washington mengenakan veto ke atas usul mengecam tindakan ganas Israel ke atas Gaza, maka dalam soal Palestin, perspektifnya ialah Washington dan Tel Aviv merupakan satu entiti, sementara PLO yang diketuai Fatah itu bersama di pihak mereka.
Hamas sanggup berundur daripada kerajaan PA, yang sepatut menjadi haknya hanya kerana mahu mempertahankan prinsip menolak pengiktirafan terhadap Israel, dan mempertahankan hak menggunakan senjata.
Mudah
Apabila mengiktiraf Israel, seperti yang dilakukan oleh Kaherah dan PLO, maka dengan sendirinya sesuatu entiti adalah berada di pihak Tel Aviv.
Maka apabila berlaku rundingan kelak, Washington, Tel Aviv dan PLO akan mudah mencari titik pertemuan berbanding kalau Hamas ikut serta.
Namun begitu, kesemua pihak Washington, Tel Aviv dan PLO mesti mengambil kira pendirian Hamas, bukan saja ia mendapat sokongan daripada rakyat Palestin tetapi kedudukannya tidak bersendirian.
Sememangnya kedudukannya dari sudut entiti rasmi adalah kecil, iaitu dengan terpaksa berkongsi kerajaan bersama PLO dalam kerangka penerimaan Washington dan Tel Aviv.
Jadi, Ismail Haniyeh, Perdana Menteri Hamas yang terpaksa berundur mempunyai kekuatan tersendiri. Bukan saja dari segi sokongan rakyat Palestin terhadap Hamas yang terus memegang prinsipnya tetapi parti itu juga mendapat bantuan dan sokongan, walaupun tidak mencukupi tetapi bermakna.
Sokongan dan bantuan yang diterimanya datang daripada Hizbullah, Syria dan Iran.
Inilah corak baru kepada pertarungan di Palestin. Iran pada masa ini berperanan seperti Mesir pada tahun-tahun 50-an. Mahmud Ahmedinejad menggantikan Gamal Nasser sebagai pemimpin politik Asia Barat bagi berdepan dengan AS dan Israel.
Cumanya kalau Moscow berada di belakang Gamal, Iran pula terpaksa berdiri sendiri.
Justeru, di belakang tiga pemimpin lemah, Bush, Olmert dan Mahmoud Abbas; terdapat tiga pemimpin yang boleh dianggap kuat dan perlu diambil kira bagi penyelesaian masalah Palestin.
Mereka adalah Presiden Iran, Mahmud Ahmedinejad, pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah dan Presiden Syria, Bashar Al-Assad. Ketiga-tiganya menolak pengiktirafan terhadap Israel, dan berada di belakang Hamas.
Maka kalau Bush sedang berdepan dengan Mahmud Ahmedinejad berhubung senjata nuklear, maka Olmert pula sudah pun berperang dengan Nasrallah.
Sementara Hamas dan Syria turut termasuk dalam kerangka medan pertembungan kedua belah pihak.
Tetapi dalam usaha mencari penyelesaian masalah Palestin, ada satu medan yang tidak dapat dicerap tentang natijahnya. Sama ada ia membantu penyelesaian masalah Palestin atau tidak?
Medan itu ialah Iraq. AS berada di situ untuk melumpuhkan dua kekuatan, iaitu golongan Sunni dan Syiah yang anti-Israel, termasuk penyokong Saddam; dan mereka yang bersekutu dengan Iran. Washington mahukan satu kuasa sederhana Syiah di Baghdad. Tetapi apabila perkara ini tidak dapat dicapai, mereka mahu melaga-lagakan semua kekuatan itu supaya golongan Sunni dan Syiah yang anti-Israel tidak mendominasi.
Di sinilah pula faktor Al-Qaeda yang anti-AS dan anti-Syiah. Mereka tidak begitu memberi perhatian kepada masalah Palestin. Malah satu kenyataan yang dikatakan dikeluarkan oleh Al-Qaeda cawangan Baghdad memberi amaran kepada Hizbullah supaya jangan cuba mendominasi politik Lebanon.
Al-Qaeda boleh digunakan oleh AS untuk melemahkan Hamas, Hizbullah dan Iran.