Di ambang perang Sunnah-Syiah

Oleh: Zin Mahmud
Sumber: Mingguan Malaysia 17 Disember 2006


KETIKA detik-detik kritikal umat Islam berhadapan dengan Israel, satu ancaman perpecahan besar sedang membayangi ummah. Perpecahan itu dapat dilihat dalam dua peringkat: antara mazhab iaitu Sunnah waljamaah dengan Syiah, dan antara aliran politik baik di kalangan Sunnah mahupun Syiah.

Di kalangan Sunnah, ia diserlahkan melalui pertembungan antara Hamas dan Fatah di Palestin; sementara antara Syiah, ia dapat dilihat melalui persaingan pilihan raya Dewan Pakar dan majlis perbandaran di Iran; iaitu antara golongan konservatif dan reformis.

Perpecahan dua peringkat ini hanya menguntungkan Israel dan Amerika Syarikat (AS). Sementara yang menjadi mangsa besar ialah rakyat Iraq, Palestin dan Iran.

Fokus utama pertembungan ialah negara malang Iraq. Adalah satu ironi bahawa pengunduran tentera AS yang bakal berlaku berkemungkinan tahun depan tidak secara automatik mendatangkan perdamaian dan kestabilan di Iraq.

Pengunduran yang dinanti-nantikan itu kini dibayangi satu pertempuran antara Sunnah dan Syiah yang dahsyat dan tidak pernah berlaku dalam sejarah Islam.

Tanda-tanda pertempuran ini dapat dikesan dengan rentetan peristiwa yang dilaporkan pada Selasa lalu.

The New York Times yang memetik sumber diplomatik AS dan Arab menyatakan bahawa Arab Saudi memberitahu pentadbiran Bush bahawa mereka mungkin akan membantu dari segi kewangan kepada golongan Sunnah di Iraq bagi berhadapan dengan Syiah sebaik selepas Washington mengundurkan tentera mereka.

Setakat ini, Arab Saudi secara rasmi tidak memberi sebarang bantuan kepada golongan Sunnah sebagai menepati janjinya kepada Washington, iaitu selagi tentera AS masih berada di negara itu.

Riyadh dikatakan membantah rancangan AS hendak mengundurkan tenteranya dari Iraq kerana bimbang akan berlaku pembunuhan besar-besaran dilakukan oleh militan Syiah.

Lawatan singkat

Mesej ini dikatakan disampaikan oleh Raja Arab Saudi, Raja Abdullah kepada Naib Presiden AS, Dick Cheney ketika beliau mengadakan lawatan singkat ke Riyadh bulan lalu.

Dikatakan bahawa perbincangan antara kedua pemimpin itu meliputi soal Iraq, Palestin dan Iran. Arab Saudi juga melahirkan penentanganya ke atas rundingan diplomatik antara AS dan Iran.

Maka menjadi satu ironi apabila umat Islam di seluruh dunia bersama dengan mereka yang menentang AS telah mendesak dan menyokong pengunduran tentera kuasa besar itu, tetapi kini berdepan pula dengan situasi bantahan Arab Saudi itu.

Bagaimanapun realitinya hari ini, pembunuhan dahsyat sedang berlaku di Iraq, di mana kedua-dua militan Sunnah dan Syiah saling berbunuhan sesama sendiri dengan tentera AS juga terlibat sama.

Suasana berdarah ini adalah antara satu sebab yang menyumbang kepada rancangan pengunduran oleh pihak tentera AS. Tetapi pada waktu yang sama, ketiadaan tentera AS ini pula akan mendatangkan bencana besar kepada Iraq apabila mereka dikhuatiri terheret ke dalam kancah perang saudara.

Dalam keadaan ini, maka dapat difahami betapa Iraq adalah negara yang malang kerana terpaksa mengharungi penderitaan dan kesusahan yang bersilih ganti, baik semasa pemerintahan Saddam Hussein, pendudukan tentera dan masa depan yang menggerunkan.

Harapan kepada angin perdamaian, kemakmuran dan demokratik yang dinanti-nantikan dengan pendudukan AS musnah dengan kegiatan keganasan yang tidak kelihatan akan berakhir.

Bagaimanapun, pengunduran tentera AS yang pasti berlaku pula tidak menjanjikan perdamaian, apatah lagi kemakmuran dan iklim demokratik.

Ini kerana apa yang berlaku di Iraq kelak selepas pengunduran tentera AS ialah senario Afghanistan. Sebarang penglibatan Arab Saudi di Iraq akan menjadikan negara itu medan bukan saja perang saudara tetapi juga pertembungan mazhab, antara Riyadh mewakili Sunnah, dan Tehran mewakili Syiah.

Senario Afghanistan di Iraq bukan saja tidak menguntungkan umat Islam di rantau itu, tetapi akan berlaku perpecahan yang meluas di seluruh dunia Islam, membabitkan satu sikap yang berasaskan pandangan pertembunmgan antara Sunnah dan Syiah.

Di Afghanistan, sudah disaksikan bagaimana pengunduran tentera Kesatuan Soviet dan kekalahan tentera komunis di Kabul tidak membawa perdamaian, sebaliknya perebutan kuasa melalui pertumpahan darah kumpulan Mujahidin yang akhirnya membawa kepada kemunculan Taliban.

Apa yang berlaku di Afghanistan sepatutnya menjadi pengajaran kepada umat Islam dan usaha hendaklah dipupuk bagi mewujudkan perpaduan sesama Islam, walaupun berlainan mazhab.

Pergaduhan antara kumpulan Mujahidin di Afghanistan memberi ruang besar bagi kemasukan Taliban yang bergerak atas gerakan Sunnah dengan bersifat anti-Syiah. Pada peringkat awal, kumpulan ini ada kaitan dengan gerakan Sunnah ekstrem di Pakistan dan Arab Saudi.

Kerjasama antara Taliban dan Al-qaeda adalah juga berlandasakan kepada fahaman Sunnah ekstrem yang akhirnya memburukkan lagi kedududkan umat Islam.

Buat masa ini, Afghanistan bergolak kembali dengan Taliban dikatakn bertapak semula hinggakan Kabul melemparkan tuduhan kepada Islamabad, dan malah ada cadangan dari AS bahawa Taliban wajar dilibatkan ke dalam kerajaan Kabul.

Pertembungan antara Sunnah dan Syiah mesti dielakkan apabila tentera AS berundur kerana ia hanya menyusahkan bukan saja umat Islam pada keseluruhannya, tetapi AS sendiri.

Konflik antara Sunnah dan Syiah di Iraq pasti mengalihkan tumpuan umat Islam kepada masalah tersebut dengan mengesampingkan soal Palestin yang masih belum selesai.

Washington faham tentang keadaan ini dan ia berusaha untuk menstabilkan Iraq dengan membawa golongan Sunnah dan Syiah di meja rundingan. Bukan itu saja, ia juga faham tentang pengaruh di Riyadh dan Tehran. Maka sebab itu, Washington sanggup berunding dengan Tehran mengenai Iraq.

Maknanya, Washington mempunyai kepentingan bagi memastikan perimbangan pengaruh antara Riyadh dan Tehran di Iraq.

Apa yang berlaku dengan Iraq bukannya berkaitan mazhab, apatah lagi agama. Ia semata-mata rebutan kuasa politik antara golongan yang ditandakan dengan tiga golongan utama Iraq iaitu Sunnah, Syiah dan Kurdis. Ironinya, Kurdis bermazhabkan Sunnah tetapi apa yang disebut sebagai Sunnah di Iraq ialah golongan Arab Sunnah. Golongan Syiah pula adalah etnik Arab, sementara Iran yang dikatakan di belakang mereka adalah etnik Parsi.

Justeru peperangan yang bakal berlaku antara Sunnah dan Syiah tidak ada mengena dengan kepercayaan. Walaupun apabila berlaku pertembungan kelak, isu-isu berkaitan kepercayaan Sunnah dan Syiah pasti menjadi bahan propaganda oleh kedua-dua belah pihak yang akhirnya hanya memecah-belahkan umat Islam dan mengelirukan fikiran ummah.

Jadi pada asasnya ialah persaingan antara dua golongan iaitu Sunnah dan Syiah di Iraq, tetapi kemudian diperluaskan antara Riyadh dan Tehran, yang akhirnya mampu merobek-robek perpaduan ummah.

Kecurigaan antara kedua-dua belah pihak dapat difahami. Walaupun banyak pengulas Barat mungkin mengaitkannya dengan sejarah pertembungan antara Sunnah dan Syiah sejak daripada perbalahan mengenai jawatan khalifah selepas kemangkatan Rasulullah s.a.w., tetapi kaitan seumpama itu tidak tepat.

Politik di Iraq yang menembungkan Sunnah dan Syiah serta politik Asia Barat dari segi persaingan kuasa Arab Saudi dan Turki adalah fenomena moden.

Dari segi budaya dapat dilihat sebagai suatu warisan pertembungan antara Sayidina Ali Abi Talib dan Sayidina Muawiyah, yang kemudian menjadi khilafah Umaiah pertama.

Itulah gambaran yang ingin dipaparkan oleh pihak Barat mengenai umat Islam. Sedangkan apa yang berlaku ialah fenomena politik ini merupakan warisan kejatuhan Khilafah Uthmaniah yang membawa kepada kehadiran penjajah British di Asia Barat.

Justeru masalah Iraq, Kurdistan, Arab Saudi, Iran, Palestin dan Israel hari ini berkait rapat dengan imperialisme sebelum dan sesudah Perang Dunia, baik Perang Dunia Pertama mahupun Kedua.

Ini kerana masalah zaman silam yang berkaitan dengan punca munculnya mazhab Syiah dan Sunnah waljamaah sudah tidak relevan pada masa ini.

Ulama Sunnah waljamaah menerima banyak tokoh yang dikaitkan dengan golongan Syiah, daripada Sayidina Ali hinggalah kepada fukaha seperti Imam Jaafar yang mana fikahnya tidak jauh berbeza daripada Imam Syafii.

Begitu juga ketika menentang Khilafah Umaiah, gerakan dari kalangan Abasiah menggabungkan golongan Syiah dan Sunnah waljamaah.

Walaupun kemudian Khilafah Abasiah yang menubuhkan kota Baghdad adalah dari kalangan Sunnah waljamaah tetapi kerajaan merupakan gabungan dan pakatan bersama golongan Syiah.

Justeru hakikatnya, Baghdad dan Iraq merupakan mercu tanda kerjasama dan persaudaraan antara Sunnah waljamaah.

Maka seharusnya dalam keadaan sekarang di mana umat Islam berdepan dengan ancaman Israel dan AS, perpaduan mesti dirintis dan dikukuhkan.

Justeru bukan saja masa depan Iraq dan Palestin berada pada kerjasama dan persaudaraan antara Sunnah waljamaah dan Syiah, tetapi keseluruhan umat Islam bergantung pada usaha berbaik-baik antara Riyadh dan Teheran.

Perintis fahaman

Dunia Islam wajar ingat betapa semasa munculnya Ibnu Taimiah yang dikatakan sebagai perintis kepada fahaman Sunnah yang agak keras, bukan saja kepada Syiah tetapi juga Sufi, ia ditujukan kepada golongan Mongol yang menakluki darul Islam.

Pada masa ini, soal ancaman Mongol sudah dalam lipatan sejarah. Banyak suku kaum Mongol sudah menjadi Islam dan merupakan sebahagian daripada umat Islam, khususnya di Asia Tengah.

Justeru, semangat yang dikemukakan oleh Ibnu Taimiah berhubung Syiah dan Sufi sudah tidak relevan. Begitu juga di pihak Syiah. Ayatullah Khomeini dalam perjuanganya sering menegaskan betapa perpecahan antara Sunnah waljamaah dan Syiah sudah tidak relevan berhubung dalam soal politik. Umat Islam tidak kira apa pun mazhab wajar bersatu kerana musuh ummah hari ini ialah Israel yang dibantu AS.

Mungkin dalam era negara bangsa hari ini, kepentingan nasional mengatasi ummah dan mazhab.

Justeru apabila dibincangkan tentang agama atau mazhab, perlulah diselidiki adakah di belakangnya hakikat sesuatu pendirian berupa kepentingan nasional.

Tetapi untuk menyebut konsep nasional juga perlu kepada fahaman mengenainya. Adakah sesuatu nasionalisme itu benar-benar mencerminkan rakyat atau penduduk sesebuah wilayah? Atau apabila disebut nasional, ia hanya merujuk kepada segolongan elit yang menguasai tampuk pemerintahan sesebuah negara di mana tanggapannya ialah mereka mewakili keseluruhan rakyat negara berkenaan.

Dalam pilihan raya Dewan Pakar Iran, yang boleh dikatakan pusat kuasa republik Islam tertinggi. terdapat persaingan antara ulama yang dikatakan konservatif dan reformis. Istilah-istilah ini hanyalah label yang membawa pengertian tertentu dan bukannya mencerminkan makna perkataan itu sendiri.

Walaupun setiap kumpulan itu mempunyai pendirian dan fahaman tersendiri dalam politik, tetapi secara jujurnya, mereka mesti mewakili kepentingan rakyat keseluruhan negara masing-masing. Dan umat islam di seluruh dunia, sama ada di Iraq, Iran, Arab Saudi, Palestin, Lebanon dan Afghanistan pastinya mahukan perpaduan, tanpa mengira apa jua mazhab.