Cabaran damai India-Pakistan

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 25 Februari 2007


Ketika India bercita-cita untuk menyaingi China dalam kebangkitan ekonomi Asia, negara itu menghadapi kesukaran besar selagi masalahnya dengan Pakistan tidak dapat diselesaikan.

Peristiwa terbaru di mana serangan keganasan berlaku ke atas kereta api Ekspres Persahabatan yang sedang dalam perjalanan dari India ke Pakistan mencerminkan masalah besar ini.

China sudah tidak perlu menghadapi masalah keganasan seumpama ini. Walaupun Taiwan menunjukkan hasrat untuk merdeka tetapi ia tidak melibatkan kekerasan.

Sebaliknya Pakistan yang merupakan negara merdeka daripada India masih terbelenggu dengan masalah politik yang rumit berkaitan Kashmir hingga menyemarakkan kegiatan keganasan teruk. Ini belum dikira kegiatan pemisahan di wilayah-wilayah tertentu di India.

Di sinilah ironinya yang melihatkan perbezaan antara India dan China. Walaupun Taiwan berfungsi sebagai sebuah negara merdeka, tetapi secara rasmi ia adalah sebahagian daripada China.

Sebaliknya Pakistan walaupun merupakan merdeka, tetapi kedua-dua negara itu tidak dapat berfungsi secara aman kerana masalah Kashmir.

Hakikatnya India dan Pakistan tersimpul oleh Kashmir. Kedua-dua negara berdaulat itu masih menjadi satu walaupun mengiktiraf kemerdekaan masing-masing.

Bagaimanapun perbezaan besarnya ialah di India, kekerasan berlaku sementara perdamaian kukuh di China. Sebagai negara demokrasi, India dan Pakistan tidak dapat mengawal keamanan sepenuhnya sementara China di bawah pemerintahan autoritarian Parti Komunis China berjaya mewujudkan disiplin dan perdamaian.

India juga mempunyai parti komunis tetapi mereka menguasai negeri Bengal dan Kerala melalui pilihan raya dalam sistem demokrasi.

Tetapi masalah India sekarang bukannya komunis, tetapi adalah soal nasionalis agama. Begitu juga dengan Pakistan, ia juga soal nasionalis agama.

Malah pemecahan India yang melahirkan Pakistan adalah disebabkan oleh nasionalis agama.

Sementara pemecahan Pakistan yang melahirkan Bangladesh juga disebabkan oleh nasionalis agama.

Kini politik Bangladesh sedang bergolak, hasil daripada warisan pertembungan antara nasionalis bahasa dengan nasionalis agama.

Bangladesh merdeka disebabkan tekanan daripada nasionalis agama yang menimbulkan pemberontakan daripada nasionalis bahasa Bangla. Kejayaan Bangladesh mencapai kemerdekaan adalah kerana bantuan India.

Maka Bangladesh tidak dapat dipisahkan daripada pertembungan antara India dan Pakistan.

Liga Muslim yang memperjuangkan Pakistan adalah nasionalis agama yang menjadi pemula kepada pertembungan antara kedua negara. Tetapi dorongan Liga Muslim untuk berbuat demikian adalah kerana tekanan nasionalis agama di pihak Hindu kepada Parti Kongres.

Tetapi pemimpin Pakistan sekarang, Presiden Pervez Musharraf mahu meninggalkan era perang India-Pakistan. Beliau serius membuka jalan untuk menyelesaikan masalah Kashmir. Malah beliau turut merintis kepada pembukaan hubungan India dan Pakistan.

Ekspres Persahabatan mendapat sokongannya dan ia menjadi sasaran oleh pengganas yang mahu menggagalkan usaha Musharraf ini.

Jika Islamabad dan New Delhi komited terhadap perdamaian, mereka mesti melihat serangan bom itu sebagai cabaran yang mesti dilalui dengan penuh tekad. Serangan itu tidak wajar menjadi hambatan kepada usaha perdamaian.

Pakistan hanya mahu memperbaiki suasana negara mereka tetapi India mempunyai cita-cita besar untuk menyaingi China. Bagaimanapun, ia tidak boleh melakukannya tanpa sokongan Pakistan dan Bangladesh.

Ketiga-tiga negara ini wajar sedar bahawa mereka perlu bersatu untuk makmur bersama. Dalam hal ini, Kashmir memang menjadi masalah.

Pihak India umumnya menyalahkan Lashkar-e-Taiba, iaitu pejuang pembebasan Kashmir sebagai pengganas dalam serangan bom itu. Tetapi Lashkar menafikannya.

Mungkin Bangladesh boleh menjadi model kepada pertikaian antara India dan Pakistan. Kalaulah kedua-dua, Islamabad dan New Delhi melepaskan saja Kashmir untuk muncul sebagai sebuah negara merdeka, mungkin penyelesaian berada di situ.

Tetapi rakyat India dan Pakistan sehingga ini sukar untuk melepaskan Kashmir. Cara lain ialah Islamabad dan New Delhi sama-sama mentadbir Kashmir. Makna kesemua perkara ini, Kashmir merupakan penghubung dan penyambung antara India dan Pakistan.

Kalau demikian bentuknya, maka lebih baik kedua-dua India dan Pakistan tidak berpisah. Jika India dan Pakistan bergabung, Bangladesh pun tidak mempunyai sebab untuk berasingan.

Lagipun Bangladesh dan Bangla Barat berkongsi bahasa dan kesusasteraan.

Kedua-dua negara India dan Pakistan berpisah kerana agama. Tetapi ternyata India tidak boleh menjadi negara Hindu. Untuk beberapa tahun, ia diperintah oleh Parti Bharatia Janata (BJP) yang berpegang pada nasionalis Hindu, tetapi akhirnya ditolak oleh pengundi yang memilih kembali parti sekular Kongres dan sekutunya daripada kalangan golongan kiri termasuk komunis.

Pakistan yang nama rasminya Republik Islam Pakistan gagal memberi kemenangan kepada parti fundamentalis Jamaati Islami dan Jamaati Ulama. Sementara di Bangladesh yang jelas majoriti besar penduduknya beragama Islam meletakkan negara itu sebagai republik sekular berasaskan nasionalis bahasa.

Konsep nasionalisme, demokrasi dan sosialisme di India datangnya dari Britain. Begitu juga dengan angkatan tentera kedua negara yang kini bertembung sesama sendiri. Bahasa Inggeris yang membolehkan India menyertai globalisasi dengan lebih hebat daripada China juga berasal dari penjajah Britain.

Tetapi sepanjang penjajahan Britain, India bermaksud termasuk Pakistan, Bangladesh, Burma dan Afghanistan diperintah melalui pentadbiran ketenteraan. Kerajaan empayar yang berpusat di Calcutta (kini Kolkota) adalah pemerintahan tentera dan bukannya demokrasi. Apabila Pakistan diperintah tentera, ia tidak berbeza dengan apa yang dilakukan Britain ke atas India.

Sepanjang pemerintahan British, ia dilakukan secara kekerasan dan ketenteraan. Perang dan pemberontakan adalah perkara biasa. Justeru apa yang berlaku di India dan Pakistan adalah tidak asing sejak dari dulu.

Perspektif ini wajar diingatkan kerana pada masa ini gambaran yang dipaparkan adalah seolah-olah Barat adalah kuasa demokratik sementara politik oleh tentera hanya menjadi amalan Dunia Ketiga.

Pada zaman British, masalah besar mereka ialah Afghanistan. Di kawasan yang dinamakan Wilayah Sempadan atau Frontier Province merujuk kepada tempat yang sukar dikawal di mana suku kaum Pathan adalah mereka yang mempunyai sifat merdeka dan enggan tunduk kepada kuasa asing.

Walaupun ia terletak di bawah pentadbiran penjajahan, tetapi pengaruh British hanyalah minimum. Dasar luar British pada zaman penjajahan ke atas India adalah untuk menakluki Afghanistan bagi mengelak ia jatuh ke tangan Rusia.

Selepas tiga kali perang, walaupun ada masa berjaya, tetapi Britain mengalami tamparan hebat dalam pertempurannya menentang orang Afghan.

Sejarah seolah-olah tidak berubah. Kerajaan Pakistan juga tidak dapat mentadbir sepenuhnya kawasan sempadan dengan Afghanistan.

Walaupun ia sering dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu di Amerika Syarikat (AS) tetapi Musharraf menyatakan bahawa ada cara-cara tertentu bagi menghadapi suku-suku kaum di wilayah itu.

Melihat apa yang dihadapi oleh AS dan sekutu-sekutunya dari Eropah di Afghanistan, maka ia menunjukkan bahawa kedudukan zaman ini tidak banyak berubah dengan apa yang berlaku semasa penjajahan.

Malah India yang menghadapi pelbagai kejadian berdarah jauh lebih aman berbanding semasa penjajahan British dahulu.

Tetapi jika melihat jauh ke belakang sejarah, India sememangnya juga tidak sunyi dari pergolakan. Semasa pemerintahan Islam, iaitu kerajaan Moghul, banyak masa dihabiskan dengan peperangan dan menundukkan pemberontakan.

Walaupun ketika tamadun Moghul berada di kemuncaknya seperti pada zaman Akbar, negara terus berdepan dengan pertempuran.

Bagaimanapun, Moghul yang bermakna Mongol datangnya pula dari Afghanistan. Babur Khan yang mengasas kerajaan Islam Delhi adalah pemerintah Kabul.

Maka dalam perspektif sejarah, India mempunyai kaitan bukan saja dengan Pakistan tetapi juga Afghanistan. Jadi wilayah yang meliputi Afghanistan, Pakistan dan India berada pada iklim politik serupa. Inilah juga yang mungkin menjadi pendorong kepada penjajah British hendak menakluki Afghanistan untuk dimasukkan ke dalam empayarnya, tetapi ternyata gagal.

Hakikat geopolitik inilah yang perlu disedari oleh India. Untuk menjadi kuasa menyaingi China, New Delhi perlu mengambil kira keamanan bukan saja di Kashmir tetapi juga Afghanistan.

Maka tidak hairanlah pejuang-pejuang yang sealiran Taliban dan Al-Qaeda bergerak bukan saja meliputi sempadan Afghanistan dan Pakistan tetapi juga menembusi Kashmir dan India sendiri.

Baru-baru ini terdapat tanda bahawa kerajaan Kabul menghadapi tekanan hingga pada satu peringkat terdapat seorang pegawai AS mencadangkan supaya Taliban diajak menyertai kerajaan. Maknanya, Taliban gagal dihapuskan sepenuhnya dan jalan yang terbentang di hadapan adalah sama pergolakan baru yang terus mengancam keamanan dunia terus berlaku, atau suasana damai di mana mereka dipelawa menyertai kerajaan Kabul.

New Delhi memberi sokongan besar kepada kerajaan Hamid Karzai. Tradisinya, India memberi sokongan kepada golongan yang tidak sealiran dengan Pakistan.

Semasa pemerintahan komunis di Afghanistan, New Delhi memihak kepada Moscow dan rejim komunis di situ. Ketika Taliban yang disokong Pakistan menguasai Kabul, New Delhi menyebelahi Perikatan Utara.

Kalau Pakistan yang begitu rapat dengan Afghanistan tidak dapat mengenakan pengaruh ke atas negara itu, apatah lagi India. Maka fokusnya perlu kepada penyelesaian Kashmir.

Akhirnya jika diusahakan sungguh-sungguh, India dan Pakistan boleh menjadi sahabat yang utuh. Ingatlah betapa Perancis dan Jerman merupakan negara bermusuh berabad-abad tetapi kini menjadi sahabat.

Pada satu hari perdamaian dapat diwujudkan antara India dan Pakistan dan apabila disebut persaingan ekonomi antara China dan India, bahagian India itu dimaksudkan sekali dengan Pakistan.

Kalau rangkaian hubungan dua hala India-Pakistan dan Pakistan-Afghanistan dapat diwujudkan secara harmoni, maka peluang keamanan dapat diwujudkan.

Dalam ASEAN, pernah satu masa Indonesia berkonfrontasi dengan Malaysia. Singapura juga berpisah daripada Malaysia. Maka tidak ada sebab untuk India dan Pakistan tidak berbaik-baik.

Justeru walau banyak mana pun serangan keganasan ke atas Ekspres Persahabatan, New Delhi dan Islamabad mesti menganggapnya sebagai cabaran untuk mewujudkan perdamaian demi kesejahteraan rakyat masing- masing.