Oleh: ZIN MAHMUD, AZNAN BAKAR dan YULPISMAN ASLI
Sumber: Mingguan Malaysia 4 Mac 2007
MUKADIMAH
Oleh kerana Amerika Syarikat (AS) adalah sebuah negara maju dan kuat, maka FTA dengannya mengundang kebimbangan besar terhadap kemampuan negara ini menghadapi persaingan sengit daripadanya. Tetapi Persetujuan Perdagangan Bebas (FTA) meliputi banyak aspek hinggakan ia dikatakan mampu mengancam kebebasan kerajaan untuk menggubal dasar-dasar ekonomi termasuk Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan usaha membantu bumiputera dalam perniagaan.
Seorang aktivis ekonomi yang banyak membuat kajian mengenai perdagangan bebas, Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan FTA ialah Martin Khor. Pengarah Third World Network, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berpusat di Pulau Pinang ini melakukan kajian mengenai isu-isu perdagangan sejak 1991.
Dalam wawancara dengan wartawan Mingguan Malaysia, ZIN MAHMUD, AZNAN BAKAR dan YULPISMAN ASLI di pejabat Utusan Khamis lalu, Khor menghujahkan betapa FTA Malaysia-AS boleh mengakibatkan harga ubat akan naik melambung tinggi hingga 10 kali ganda kerana lebih banyak ubat akan dipatenkan oleh syarikat AS yang menentukan harga ubat bagi mengaut keuntungan.
Selain perubatan, peladang juga akan menerima akibatnya apabila tarif tanaman luar negara akan dikurangkan. Dengan adanya FTA bersama AS, Malaysia akan dibanjiri oleh hasil tanaman AS yang amat murah berbanding dengan harga tanaman Malaysia.
Tetapi lebih parah lagi, menurut Khor, implikasi daripada FTA Malaysia-AS boleh menjejaskan dasar-dasar kerajaan dalam membantu perniagaan bumiputera kerana pemberian kontrak atau tawaran perniagaan oleh kerajaan mesti dibuka kepada syarikat-syarikat AS yang pastinya lebih mampu bersaing.
Banyak lagi aspek ekonomi negara yang terancam dengan FTA Malaysia-AS dengan akhirnya Khor mengungkapkan bahawa sempena negara menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-50 tahun ini, kita juga menghadapi ancaman penjajahan ekonomi bentuk baru.
Mingguan: Apa sebenarnya terkandung dalam FTA?
Martin Khor: Sebenarnya FTA adalah satu perjanjian. Saya tidak pasti mungkin ia membabitkan 500 atau 700 muka surat. Jika kita lihat FTA yang ditandatangani antara AS dengan Singapura, ia memberikan satu gambaran baik di mana terdapat banyak bab, enam perjanjian merangkumi banyak bab. Setiap bab ada perjanjian tersendiri. Jadi terlalu banyak perjanjian untuk dipersetujui.
Apakah pecahan yang terdapat dalam bab-bab ini?
MARTIN KHOR: Ada satu bab membabitkan bagaimana hendak mengurangkan tarif makanan. Misalnya produk pertanian seperti beras. Bagaimana hendak mengurangkan tarif beras. Terdapat bab tentang pemerolehan kerajaan (government procurement).
Bab itu turut merangkumi perkara bagaimana untuk membenarkan pihak asing mendapat kontrak kerajaan bagi membekalkan kertas atau perabot, atau turut serta dalam projek kerajaan seperti membina jalan raya, sekolah, empangan dan sebagainya.
Terdapat juga bab tentang perkhidmatan seperti perbankan, insurans, pengangkutan, telekomunikasi, bekalan air, perkhidmatan guaman, kedai gunting dan banyak lagi.
Dalam bab-bab ini, AS mencadangkan supaya Malaysia membuka ‘pintunya’. Jadi, syarikat mereka boleh masuk dan beroperasi dalam bidang-bidang tersebut yang ketika ini dihadkan kepada beberapa negara sahaja. Atau, mereka juga boleh membeli syarikat-syarikat Malaysia.
Bab perkhidmatan adalah serius kerana ketika ini kita mengehadkan pemilikan pihak asing dalam perbankan dan sebagainya.
Bab pelaburan pula sama dengan bab perkhidmatan, tetapi ia lebih luas kerana merangkumi perkilangan, pertanian, peladangan, perlombongan dan sebagainya. AS hendak menggunakan bab ini untuk membolehkan syarikat-syarikatnya masuk dan memiliki atau mengambil alih syarikat atau ladang dan sebagainya.
Bab Harta Intelek (IP) pula satu bab yang sangat penting kerana ia akan turut memberi kesan kepada orang ramai. Bergantung kepada jenis perlindungan Harta Intelek yang dibenarkan. Ada perjanjian IP yang Malaysia tidak dan belum tandatangani di peringkat antarabangsa kerana kita berpendapat keburukannya lebih banyak berbanding kebaikan.
Sekarang, jika kita menandatangani FTA, ia akan menyebabkan kita terikat sama dengan perjanjian-perjanjian IP di peringkat antarabangsa.
Kajian yang kita buat mendapati, sesetengah perjanjian itu memberi kesan negatif kepada Malaysia.
Kenapa wujud kebimbangan apabila Malaysia mahu menandatangani FTA dengan Amerika Syarikat (AS)?
Martin Khor: Saya berpendapat, terdapat banyak kebimbangan. Satu daripadanya ialah dari segi pengguna. Sebagai contoh kita terpaksa membayar harga lebih tinggi untuk ubat-ubatan dan kita tidak lagi boleh membeli ubat baru yang berada di pasaran. Pada masa hadapan, terlalu sukar untuk membeli ubat pada harga murah, sebaliknya perlu membayar harga yang tinggi.
Ini kerana ubat-ubat bagi pesakit-pesakit Aids, lelah, Parkinson atau sakit jantung, ketika ini ada dua jenis ubat yang digunakan. Satu yang dihasilkan oleh syarikat-syarikat besar, dan kedua ubat generik yang tiada jenama.
Kebanyakannya dikeluarkan oleh syarikat tempatan atau asing seperti India. Ini kerana, menurut kesatuan pengeluar ubat generik, ubat berjenama yang telah dipatenkan sepuluh kali lebih mahal berbanding ubat generik.
Mengikut cadangan yang dikemukakan oleh AS dalam FTA, mereka mahu melanjutkan tempoh perlindungan paten.
Mereka mahukan paten diberikan perlindungan lebih kukuh dan mereka juga mempunyai mekanisme baru dikenali sebagai Data Exclusivity yang menyukarkan sama sekali pengeluar ubat generik memasarkan produk mereka di sini, sama ada ia dihasilkan di dalam negara apatah lagi yang diimport.
Jadi, sekiranya kita tidak ada ubat generik maka kita hanya boleh membeli ubat berjenama dengan kos 10 kali ganda lebih tinggi. Ini akan memberi kesan kepada pengguna. Mereka yang mempunyai anggota keluarga sama ada ayah, abang, ibu atau nenek yang bergantung kepada ubat-ubatan, akan lebih terjejas.
Adakah perkara ini telah berlaku pada negara-negara yang menandatangani FTA dengan AS?
Martin Khor: Di Korea misalnya, syarikat-syarikat insurans menjangka jika paten ubat dilanjutkan bagi tempoh empat tahun akibat perjanjian FTA, rakyat negara itu terpaksa membayar kos tambahan sebanyak AS$750 juta (RM2.63 bilion) bagi mendapatkan ubat-ubatan. Jumlah itu sudah tentu amat tinggi.
Malah rakyat Kanada, negara yang turut menandatangani FTA dengan AS mendapati, mereka terpaksa membayar AS$600 juta (RM2.1 bilion) lebih tinggi untuk mendapatkan ubatan-ubatan disebabkan adanya Data Exclusivity.
Bagi Malaysia, kita telah bertindak bijak dalam tempoh dua tiga tahun lalu apabila Kementerian Kesihatan mengeluarkan lesen untuk mengimport ubat dari India bagi pesakit HIV/AIDS.
Ini kerana ubat tersebut dijual 50 peratus lebih rendah.
Ia membolehkan kementerian memberikan rawatan kepada lebih ramai pesakit. Bagaimanapun, jika Malaysia menandatangani FTA, adalah sukar untuk pihak kementerian mengeluarkan lesen berkenaan dan dengan jumlah peruntukan yang sama sebelum ini, pihak kementerian hanya mampu merawat sebilangan kecil pesakit disebabkan kos ubat yang meningkat.
Perkara ini telah menimbulkan kebimbangan kepada persatuan-persatuan yang mewakili pesakit AIDS dan mereka menentang keras FTA. Ini perkara berkaitan hidup dan mati kerana harga ubat meningkat dan mereka (pesakit) pula tidak boleh mendapatkan ubat yang murah. Selain itu, kemampuan pihak kementerian merawat pesakit juga semakin berkurangan dan lebih ramai pesakit AIDS akan meninggal dunia.
Sejauh mana FTA menjejaskan dasar kerajaan?
Martin Khor: Saya berpendapat, kerajaan dan semua rakyat tahu sejak 1970-an, kerajaan memperkenalkan apa yang kita panggil Dasar Ekonomi Baru. Sebelum itu, kita mempunyai dasar ekonomi yang agak sederhana dan orang asing boleh memiliki apa sahaja yang mereka mahu, tetapi dasar itu telah diubah. Dalam perbankan kita mula memperkenalkan bank tempatan dan sudah tentu pemilikan asing dibataskan.
Ini kerana kita berpendapat, polisi sebelum ini kurang baik, maksud saya, selepas 13 tahun (sehingga tahun 1970) merdeka pemilikan asing dalam ekonomi adalah 70 peratus. Sementara pemilikan bumiputera hanya sekitar satu atau dua peratus.
Jadi, adalah perlu untuk Malaysia memiliki dasarnya sendiri secara total, dasar untuk mengawal pelaburan dan pengagihan saham. Maka saham asing dapat dikurangkan kepada 40 peratus, bumiputera pula ditingkatkan kepada 30 peratus dan bukan bumiputera pula yang sebelum ini sekitar 20 peratus juga boleh ditingkatkan.
Kita mempunyai Dasar Pembangunan Nasional, dasar Misi Nasional dan sekarang di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Di bawah pelaksanaan FTA dasar ini akan secara drastik terjejas dalam beberapa aspek.
Terjejas dari aspek mana?
Martin Khor: Pertama, dalam bab pemerolehan (procurement). Sekarang kerajaan boleh membantu syarikat tempatan apabila kerajaan berbelanja seperti membeli peralatan pejabat dan menganjurkan seminar. Juga ketika kerajaan melaksanakan projek- projek seperti membina sekolah, jalan dan empangan berharga RM1 juta atau RM1 bilion.
Polisi kita adalah mengutamakan syarikat tempatan walaupun mungkin kos mereka 10 peratus lebih tinggi. Ini wajar kerana ia boleh mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan memberi keuntungan kepada syarikat tempatan.
Keuntungan itu mereka laburkan semula untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat. Jika kita buka kepada syarikat asing dan membeli produk luar, kita hanya merangsang ekonomi mereka dan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat mereka.
Kedua, sudah tentu kita hendak memperkenalkan sektor domestik dan hasil daripada pemerolehan kerajaan merupakan langkah terbaik untuk mencapai hasrat tersebut. Selepas zaman penjajah, kita mahu menjana penyertaan warga tempatan dan kerajaan akan menggunakan bank-bank tempatan berbanding bank-bank asing. Kerajaan akan menggunakan syarikat tempatan untuk membina jalan.
Ketiga, di Malaysia kita ada dasar mengutamakan bumiputera. Dalam terma kontrak, dari segi membekalkan bahan-bahan dan sebagainya dasar ini yang diguna. Ia bertujuan membantu pengusaha kecil dan sederhana (SME).
Sudah tentu kita juga mempunyai syarikat-syarikat besar. Bagaimanapun, dasar pemerolehan kerajaan di Malaysia ialah mengutamakan bumiputera dan berkelayakan. Ini adalah langkah jelas untuk meningkatkan keusahawanan dan perniagaan kecil di kalangan bumiputera.
Dari apa yang kami tahu berdasarkan data yang dikumpulkan daripada WTO, perniagaan daripada pemerolehan kerajaan adalah berjumlah kira-kira RM92 bilion setahun. Angka ini mungkin mencecah sehingga RM100 bilion setahun, mengambil kira perbelanjaan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan, terutama syarikat milik kerajaan (GLC).
Jika kita buka kepada FTA berdasarkan cadangan AS dan FTA dengan lain-lain negara kelak, banyak perniagaan yang sebelum ini diperuntukkan kepada orang Malaysia akan ‘terhakis’. Ini tidak akan membantu dan tidak menjana ekonomi tempatan, ia akan mengalir keluar.
Adakah ini bermakna semua polisi yang dilaksanakan kerajaan akan terhapus dangan adanya FTA?
Martin Khor: Tidaklah semua, tetapi kita terpaksa menghapuskan kebanyakan polisi dan rangka tersebut akan mewujudkan banyak tekanan pada masa hadapan. Itulah masalahnya.
Dewan Perniagaan AS di Malaysia telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan mereka tentang segala tuntutan tersebut. Ia termasuk membuka sektor perbankan, insurans, industri penyiaran bagi membolehkan mereka mewujudkan stesen televisyen sendiri, pemasaran, pasar raya, ICT, industri farmaseutikal, peguam, doktor dan sebagainya.
Mereka telah menggariskan segala bentuk halangan yang dikenakan kerajaan sekarang termasuk kebenaran pemilikan asing sebanyak 20 peratus dan mahu ia ditingkatkan sehingga 100 peratus. Mereka mahu dasar kerajaan yang menyokong industri tempatan dihapuskan.
Sebagai contoh, jika sesebuah pasar raya atau hypermarket hendak beroperasi, dasar sekarang ialah mereka perlu menyediakan 30 peratus ruang untuk memasarkan produk tempatan terutama di kalangan SME bumiputera. Jadi, mereka mahu dasar ini dimansuhkan.
Saudara rasa Malaysia akan bersetuju dengan perjanjian FTA tersebut?
Martin Khor: Saya tidak kata Malaysia bersetuju dengan tuntutan tersebut. Saya juga pasti kumpulan perunding negara juga akan mengemukakan tuntutan bagi pihak kita.
Tetapi kerangka inilah yang sedang diwujudkan. Sekarang kita boleh kata, ya saya bersetuju ke atas beberapa perkara, dan tidak kepada beberapa yang lain, tetapi kita telah membuka rangka tersebut.
Jadi, AS boleh berkata, ini adalah pendekatan semasa yang anda perlu jika mahu mengekalkan sebahagiannya. Tetapi, anda perlu melaksanakannya dari semasa ke semasa. Anda tidak boleh berpatah balik. Jika sekarang anda membenarkan 49 peratus pemilikan asing, pada masa hadapan ia perlu dinaikkan kepada 70 atau 100 peratus, tetapi tidak mengurangkannya menjadi 30 peratus. Ini akan menyebabkan anda tersekat supaya tidak menukar dasar.
Jadi, dengan menandatangani FTA di bawah tuntutan AS, kita juga akan menghapuskan dasar yang mengehadkan pemilikan syarikat oleh pihak asing. Maka, mereka boleh mengambil alih bank dan banyak lagi.
Adakah kita mempunyai pilihan?
Martin Khor: Secara teorinya ada. Tetapi ia melibatkan dua negara dan segala kemungkinan boleh berlaku. Hakikatnya, AS telah menandatangani FTA dengan beberapa negara seperti Singapura, Chile, Mexico, Kanada dan Bahrain. Jika kita lihat FTA yang ditandatangani, ia lebih kurang sama sahaja atau template, ia rangka biasa dengan kandungan biasa.
Misalnya, kita tidak bersetuju berkaitan bab pemerolehan kerajaan dan kita keluarkan bab itu. Mungkin juga kita tidak bersetuju bab pelaburan, harta intelek dan boleh dikeluarkan. Tetapi AS akan berkata, kami tidak bersetuju untuk mengadakan perjanjian. Itu adalah hakikatnya, melainkan kita bersetuju dengan tuntutan mereka, maka perjanjian akan ada.
Pilihan ada. Tetapi bolehkah kita kata duduk berbincang dan berunding bagi menyatakan kita tidak mahu itu dan ini? Mungkin boleh. Tetapi, saya tidak fikir AS akan bersetuju dengan permintaan kita. Dalam erti kata lain, pilihan kita terhad iaitu terima atau tidak.
Pada pandangan saudara adakah perunding- perunding kita sedar perkara ini?
Martin Khor: Saya harap begitu. Saya tidak kata kerajaan menolak segala tuntutan, tetapi apa yang saya maksudkan ialah menyedarkan orang ramai bahawa inilah tuntutan AS.
Sebagai wakil persatuan pengguna saya mahu supaya kerajaan menolak tuntutan tersebut. Kita tidak menyalahkan AS. Mereka berbuat demikian demi kepentingan mereka. Tetapi kita tidak boleh tunduk. Lebih-lebih lagi ia akan menjejaskan orang ramai.
Ia juga akan menjejaskan para petani, sektor perniagaan. Kami persatuan pengguna amat prihatin terhadap kesannya ke atas pengguna. Pada masa yang sama kita tidak mahu sektor perniagaan di Malaysia hancur.
Adakah ini bermakna kerajaan kena tangguh dulu perjanjian FTA dengan AS?
Martin Khor: Janganlah kita terburu-buru dalam perkara ini. Walaupun ada tarikh akhir untuk membuat keputusan, kita boleh menandatanganinya jika sudah bersedia. Banyak isu berkaitan cadangan yang dikemukakan oleh AS. Kebanyakannya menyentuh perkara pokok, termasuk dasar ekonomi Malaysia, pelan pembangunan negara dan juga RMK-9. Matlamat RMK-9 boleh terjejas, begitu juga K-ekonomi melalui peraturan harta intelek dan hak cipta yang merendahkan kemampuan orang dan syarikat tempatan.
Apa yang saya hendak katakan, jika kita tidak membuat keputusan menjelang tarikh akhir iaitu 31 Mac ini, ia bukanlah satu tragedi besar kepada dunia.
Jika benar apa yang kita katakan perjanjian yang dikemukakan AS sebagai template dan meminta anda mematuhi tuntutannya, sekarang adalah baik untuk Malaysia menyatakan pendirian. Misalnya kita tidak boleh memansuhkan dasar pemerolehan yang properniagaan tempatan. Jika benar kita tidak mahu, maka tidak perlu FTA atau mungkin disebabkan kita tidak boleh menerima beberapa tuntutan AS, maka tidak perlu membuang masa.
Kita tidak perlu malu kerana gagal mencapai kata sepakat dalam FTA kerana ia bukan satu peperiksaan. Saya rasa, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz perlu membuat pendirian.
AS dan Malaysia masih boleh menjadi sahabat baik, walaupun tidak mengadakan FTA kerana kita sudah pun menjalin persahabatan sebelum ini. Dan ia mungkin lebih baik apabila pertikaian di bawah FTA dapat dielakkan.