Dagang secara adil

Oleh: Zin Mahmud (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 6 Mac 2007


Terdapat fahaman di dunia hari ini yang menyatakan bahawa perdagangan bebas akan meningkatkan keupayaan ekonomi semua negara dan dengan itu memperluaskan kemakmuran sejagat.

Ini kerana fahaman itu menyatakan bahawa pelaburan dan produk akan dapat masuk ke mana pasaran yang menarik dan melahirkan serta mencergaskan aktiviti-aktiviti perniagaan.

Oleh kerana produk dan perkhidmatan boleh bergerak bebas ke mana-mana dalam pasaran yang lebih luas, maka bertambah banyak persaingan perniagaan akan berlaku dengan menghasilkan barangan yang semakin kompetitif dengan akhirnya menguntungkan pengguna di samping meningkatkan keuntungan syarikat.

Pada masa ini, terdapat dua mekanisme bagi meningkatkan perdagangan bebas, iaitu pertama, multilateralisme atau pelbagai negara melalui Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO). Cara kedua ialah melalui persetujuan perdagangan bebas (FTA) antara dua negara iaitu berbentuk bilateral.

Kalau dalam WTO, negara-negara membangun boleh berpakat untuk menghalang persetujuan yang merugikan mereka apabila berdepan dengan negara-negara maju.

Tetapi FTA antara negara maju dan negara membangun, boleh menimbulkan ketidakadilan yang boleh membentuk kepada keadaan di mana seakan-akan berlaku penjajahan ekonomi.

Ini kerana dalam menghadapi FTA, negara-negara membangun berada dalam kedudukan lemah kerana kerendahan kemampuan ekonominya, kelemahan kedudukan politiknya dan kelemahan sumber bagi merunding untuk kepentingan mereka.

Jadi apabila FTA ditandatangani antara negara maju dan membangun, kesannya kelak adalah penguasaan ekonomi oleh negara maju melalui pelaburan dan syarikat korporatnya yang besar.

Syarikat-syarikat negara membangun tidak berupaya menandingi apa yang datang dari negara maju, baik dari segi pelaburan, produk mahupun perkhidmatan.

Persaingan sihat tidak akan wujud kerana padang permainan tidak seimbang dan pastinya hasil daripada perdagangan bebas kaedah FTA ini hanyalah menyaksikan terkorbannya syarikat, produk dan perkhidmatan negara membangun.

Apa yang berlaku kelak bukannya kemakmuran tetapi penjajahan ekonomi dengan rakyat negara-negara membangun terpinggir daripada arus perdagangan dunia. Rakyat di negara-negara membangun ini hanya mampu menjadi kakitangan peringkat rendah syarikat-syarikat milik negara maju.

Senario yang membimbangkan ini membayangi rundingan persetujuan perdagangan bebas Malaysia-Amerika Syarikat (MUFTA) yang masih berjalan sejak dimulakan pada 8 Mac tahun lalu.

Oleh kerana AS adalah sebuah negara maju dan besar, maka FTA dengannya mengundang kebimbangan besar terhadap kemampuan negara ini menghadapi persaingan sengit daripadanya.

Tetapi FTA meliputi banyak aspek hinggakan ia dikatakan mampu mengancam kebebasan kerajaan untuk menggubal dasar-dasar ekonomi termasuk Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan usaha membantu bumiputera dalam perniagaan.

Kajian

Seorang aktivis ekonomi yang banyak membuat kajian mengenai perdagangan bebas, WTO dan FTA khususnya MUFTA ialah Martin Khor. Pengarah Third World Network, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berpusat di Pulau Pinang ini melakukan kajian mengenai isu-isu perdagangan ini sejak 1991.

Dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia Ahad lalu, Khor menghujahkan betapa FTA Malaysia-AS boleh mengakibatkan harga ubat akan naik melambung tinggi hingga 10 kali ganda.

Selain perubatan, peladang juga akan menerima akibatnya apabila tarif tanaman luar negara akan dikurangkan. Dengan adanya FTA bersama AS, Malaysia akan dibanjiri oleh hasil tanaman AS yang amat murah berbanding dengan harga tanaman Malaysia.

Tetapi lebih parah lagi, menurut Khor, implikasi daripada FTA Malaysia-AS boleh menjejaskan dasar-dasar kerajaan dalam membantu perniagaan bumiputera kerana pemberian kontrak atau tawaran perniagaan oleh kerajaan mesti dibuka kepada syarikat-syarikat AS yang pastinya lebih mampu bersaing.

Banyak lagi aspek ekonomi negara yang terancam dengan FTA Malaysia-AS dengan akhirnya Khor mengungkapkan bahawa sempena negara menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-50 tahun ini, kita juga menghadapi ancaman penjajahan ekonomi bentuk baru.

Pada hari yang sama The Sunday Times menyiarkan tulisan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dalam kolumnya, Out of the Cage (Keluar dari Kandang) bertajuk ‘FTA mesti meningkatkan perdagangan yang adil dan bukannya bebas’.

Beliau membayangkan sentimen sama iaitu ketika negara menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-50, ia menghadapi satu ujian serius terhadap kedaulatannya. Beliau kemudian memaparkan risiko dan ancaman yang dihadapi oleh Malaysia berhubung FTA negara ini dengan AS.

Khairy mengakhiri tulisannya dengan harapan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz akan bertegas dengan pendirian dan tidak terburu-buru.

Katanya, tidak perlu bagi Malaysia tergesa-gesa menyempurnakan perjanjian itu sebelum Julai untuk mendapatkan persetujuan segera Presiden AS.

Menurut Khairy, apa yang lebih penting mengenai persetujuan perdagangan, baik dalam bentuk multilateral mahupun bilateral ialah apa yang boleh menggalakkan perdagangan adil, dan bukannya bebas.

Di sinilah kunci perdebatan mengenai FTA di pihak Barat dan negara-negara membangun.

Fahaman di Barat ialah perdagangan bebas merupakan suatu yang adil, di mana pasaran dibuka seluas mungkin dan produk serta pelaburan beoleh masuk ke mana-mana tempat. Bebas itu dianggap adil.

Tetapi bagi negara-negara membangun, bebas tidak semestinya adil. Ini kerana apabila berlaku perdagangan bebas, mereka yang mempunyai kekuatan dan pengaruh, baik ekonomi, politik dan budaya pasti mendominasi pasaran. Selama ini kerajaan melalui tarif dan dasar-dasar awam melindungi kepentingan pihak yang lemah.

Akhirnya, fahaman bagi menggalakkan perdagangan bebas dapat dilihat sebagai suatu agenda Barat untuk menguasai dunia dan terus unggul serta menafikan negara lain untuk turut maju.

Ingatlah betapa pada tahun 1511 apabila Portugis sampai ke Melaka, apa yang mereka tuntut ialah sultan membuka pelabuhan kepada kapal dagang Barat.